March 31, 2013

Memupuk Kepimpinan Generasi Pelapis & Anugerah Kecemerlangan

-->
Kajang Utama, 18 Jamadil Awwal 1434 = 30 Mac 2013 (Sabtu):


Kembali dari beberapa jemputan kahwin dan selepas solat Asar, Adun berkejar ke Kajang Utama dalam suasana hujan lebat bagi merasmikan Kem Ibadat Remaja, Kajang Utama dan menyampaikan Anugerah Cemerlang SPM bertempat di Surau Al-Muhajirin. Tiba di Kajang Utama, walaupun di Bangi hujan lebat, tetapi tiada hujan di Kajang Utama. Kesampaian Adun disambut oleh Tuan Haji Azhar Arshad Pengerusi Surau Al-Muhajirin, saudara Zuhdi Kamarul Bahrain Pengarah Kem Ibadat Remaja di bawah KARIM (Kelab Remaja Islam Kajang Utama) – Baru lulus SPM, saudara Abu Bakar, AJK Remaja, AJK Surau, Ustaz-Ustaz dan Ustazah-Ustazah dan pelajar-pelajar yang kesemua, termasuk kalangan warga emas dan pemuda yang sukarela memasak dan menyediakan makanan. Mereka semua berjumlah dalam lingkungan 100 orang.


Pelajar-pelajar adalah duduk di lantai Anjung Surau Al-Muhajirin mendepani Meja Majlis Kem Ibadat sedikit ke dalam yang akan dirasmikan oleh Adun. Majlis dikendalikan oleh pelajar sendiri yang dipengerusikan oleh saudara Amri. Tuan Haji Azhar selaku Pengerusi Surau dan Tenaga Penggalak kepada kegiatan pelajar-pelajar mengucapkan terima kasih di atas kehadirin Adun yang menurutnya tidak pernah menolak sebarang jemputan yang dibuat surau. Beliau memaklumkan pelajar-pelajar yang mengikuti Kem Ibadat dari petang hingga ke malam – beriktikaf dan qiyamullail dan kegiatan esoknya, adalah terdiri dari pelajar Sekolah rendah hingga Menengah adalah berjumlah 80 orang. Antara mereka baru menerima keputusan SPM. Mereka dikenali dengan generasi surau yang memperlihatkan kemampuan mereka mencapai keputusan cemerlang di dalam Peperiksaan SPM. 23 orang daripada mereka yang bersekolah di Sekolah Menengah Kajang Utama mencapai sekurang-kurangnya satu A. Empat orang daripada mereka mencapai prestasi paling cemerlang dengan;


2 Orang mencapai 10 A
2 Orang mencapai   9 A

Tahniah kepada mereka.


Dalam Ucapan Perasmian oleh Adun, Adun menyebut, ``Sepanjang saya mengikuti perkembangan KARIM yang ditubuhkan pada tahun 2009, saya melihat beberapa tahap kejayaan.`` iaitu Kejayaaan:


Pertama:  Usaha AJK Surau berjaya mewujudkan mekanisme pembinaan generasi muda melalui KARIM.
Kedua:Terbukti mereka bukan saja memimpin Badan Akrab, tetapi melahirkan Imam Muda yang memimpin solat, termasuk solat tarawih. Mereka juga menjadi Badan yang menggerakkan kegiatan kebajikan dengan menziarah warga emas dan yang sakit dan menghulur bantuan.
Ketiga: Golongan remaja berjaya membawa contoh mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran melalui mutalaah dan muzakarah pelajaran di Surau yang melahirkan pelajar cemerlang


Keempat: Mereka memimpin seperti mengadakan majlis seperti hari ini dan berbagai lagi.

Kelima: Kejayaan mereka hasil dari tarbiah terhadap generasi muda dengan kerjasama dari surau, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Adun berharap dari generasi yang ditarbiah melalui surau akan lahir pimpinan pada masa akan datang baik pada peringkat negara, negeri dan tempatan. Adun berharap mereka dari generasi yang diasuh secara teratur dan berterusan di surau ini akan muncul sebagai pimpinan unggul pada masa hadapan. Selepas Adun merasmikan dengan lafaz:


Bismillahir Rahmanir Rahim

Kem Ibadat Remaja Kajang Utama 1434/2013 Adun sampaikan cek bantuan dari Pejabat Adun bagi Majlis pada hari ini.

Berikut dari itu Adun diminta sampaikan hadiah cemerlang SPM didahului yang mendapat 10A & 9A.

10A

1)      Ayob bin Zulkifli
2)      Mohd Afiq bin Muaz

09A

1)      Mohd Ikmal bin Anuar
2)      Nur Aisyah bt. Badrul Hisham

Diikuti penyampaian Hadiah Cemerlang kepada 19 yang lain.

Selain dari itu Adun Maklumkan bahawa Pejabat Adun juga akan adakan hadiah cemerlang pada peringkat Adun dengan syarat mencapai keputusan semua A, pelajar adalah dari Sekolah di Dun Bangi dan Keluarga tinggal di Dun Bangi. Tarikh pendaftaran bagi Hadiah Cemerlang dibuka hingga 10 April 2013.


Adun mengucapka selamat menjalani Kem Ibadat Remaja di bawah anjuran Kelab Remaja Islam  (KARIM), Kajang Utama.

Sekian.

Pelajar KUIS Sertai Gotong Royong Penduduk Seri Putra

-->
Bandar Seri Putra, Bangi, 11 Jamadil Awwal 1434 = 23 Mac 2013 (Sabtu):

Paling tidak bagi penggal Adun Bangi (2008-2013) Bandar Seri Putra memecah rekod dari segi mengadakan Kempen Kebersihan selama tiga minggu berturut-turut, Kempen yang dianjur oleh Persatuan Penduduk Bandar Seri Putra itu dengan kerjasama Pejabat Adun bermula dengan gotong royong pada 9 Mac 2013 di Kawasan Kedai Utama berhadapan dengan Post Office yang disertai Pemaju, Syarikat Pembersih dan MPKj, diikuti pada 17 haribulan berhadapan dengan kedai setingkat Seksyen 5 Bandar Seri Putera juga mendapat sponsor dari peniaga-peniaga. Keesokannya Persatuan Penduduk menganjurkan Sambutan 10 Tahun Bandar Seri Putra. Terakhir dan puncak dari gotong royong ialah pada 23 Mac 2012 yang tumpuan utama ialah sekitar Tapak Masjid (Al-Mustaqim) bakal didirikan dan  berhadapan dengan Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Menegah Bandar Seri Putra. Kesemua kegiatan di atas Adun berkesempatan hadir dan menyaksikan sendiri semua kegiatan.


Gotong royong pada hari ini ada kelainan dari gotong royong yang diadakan sebelum daripada ini, kerana pada hari ini disertai oleh pelajar-pelajar dari KUIS yang kampusnya berdekatan dengan tempat bergotong royong (Jalan masuk). Peserta-peserta hari ini berjumlah dalam lingkungan 50 orang dalam mana peserta dari KUIS ialah seramai 13 orang, 8 perempuan dan tiga lelaki. Penyertaan dari agensi-agensi juga memuaskan iaitu Kontrektor dari Bangi Height menghantar serama 6 pekerja, Kontrektor Sampah menghantar 2 pekerja dan pihak MPKj menghantar 3 pekerja. Walau bagaimana peserta-peserta gotong royong – terutamanya dari penduduk relatifnya sedikit. Miusalnya terdapat 4 buah lori untuk mengangkut sampah dan sampah yang dihasilkan tidak cukup bagi diisi di dalam lori. Sebenarnya dilihat dari jumlah peserta-peserta bagi ketiga-tiga gotong penyertaan agak kecil. Penduduk-penduduk semacam tidak memberi perhatian. Mungkin mereka berpendapat tugas pembersihan adalah tugas MPKj dan syarikat-syarikat yang sudah sedia wujud. Dalam hal ini pihak agensi-agensi lebih memberi respond terhadap anjuran bergotong royong. Fokus gotong royong nampaknya adalah ringan, iaitu membersih dan memungut sampah di tepi-tepi jalan. Barang kali pemilihan tempat kurang bersesuaian. Mengapa tidak difokuskan misalnya kepada Tapak Masjid yang agak semak dengan lalang dan tumbuhan yang difahamkan akan dimasuk untuk dibangunkan dalam masa terdekat. Fokus juga boleh terhadap Tanah Perkuburan – membersih semak-semak dan menanam pokok-pokok hiasan dan bunga-bungaan yang sesuai sebagai tanah perkuburan. Singnage bagi Tapak Masjid dan Perkuburan barangkali patut dibuat secara lebih baik dan menarik.


Walau apa pun usaha yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk haruslah diberi pujian. Walaupun ada agensi-agensi yang seharusnya bertanggungjawab bagi pembersihan, tapi kosep gotong royong sekali sekali  mempunyai fungsi yang tersendiri. Gotong royong walaupun tidak dapat mencapai objektif sepenuhnya – membersih kawasan yang masih tidak menyeluruh diberi tumpuan untuk bersih, tetapi ada objektif yang lain umpamanya dapat berkenalan dan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Selain dari berkenalan banyak ruang yang terbuka bagi bertukar-tukar fikiran dan sebagainya.


Pada dasarnya Bandar Seri Putra antara Bandar yang teratur dan bersih di Dun Bangi, usaha bergotong royong dapat menanamkan cinta kebersihan. Diharap Bandar Seri Putra yang cantik dengan landscape dan bersih dapat dipertahankan kebersihan dengan identiti
`Seri Putra Bandar Bersih, Hijau Dan Menarik`.

Sekian.

March 30, 2013

Adun Bangi Turun Melihat Tapak Sekolah Agama Terbengkalai ?

-->
Sungai Tangkas, 18 Jamadil Awal 1434 = 30 Mac 2013 (Sabtu):


Pagi ini Adun bersama saudara Azizi dan saudara Amir Udin ke Sungai Tangkas. Sebelum tiba Adun menghubungi Ketua Kampung Tok Abdul Hadi Husin untuk turut sama ke Tapak Sekolah Agama Sungai Tangkas. Tujuan Adun turun bagi melihat tapak Sekolah agama Sungai Tangkas. Tapak Sekolah ini telah dirasmikan lawatan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada 6 Januari 2013 yang lepas. Pada masa itu kerja-kerja tanah, iaitu menimbus dan meratakan tanah sedang giat dilakukan oleh Syarikat Rumiza di bawah Kontrektor yang bakal membina Sekolah, iaitu Syarikat Manfor. Sebelum daripada perasmian tapak oleh YAB Dato` Menteri Besar, Adun telah beberapa kali melawat tapak berkenaan yang disifatkan antara projek yang paling cepat menyelesaikan soal pengurusan tanah dan juga mendapat peruntukan pembangunan Sekolah, iaitu sebanyak RM5.2 juta.


Semalam Adun menerima telefon dari seorang penduduk di Sungai Tangkas yang menuduh bahawa``Projek Sebagai Gimik Politik`, kerana menurutnya kontrektor tidal lagi menjalankan kegiatan pembangunan. Perkara ini memang telah sampai ke pengetahuan Adun, melalui Wakil pihak JKR di Mesyuarat Penyelarasan Pejabat Daerah pada bulan Februari lepas. Namun menurutnya usaha sedang dilakukan untuk membuka tender yang baru. Ini bererti ia bukanlah suatu gimik politik. Lagi pula pembinaan site office dan pondok-pondok pekerja telah dilakukan dan kerja-kerja penambakan tanah pada kawasan gaung juga telah dilakukan.


Difahamkan oleh kerana kerja-kerja menambak gaung begitu banyak (perlu lebih 2,500 lori), maka peruntukan sebanyak RM5.2 juta tidak mencukupi. Difahamkan Syarikat Manfor menarik diri.
Semasa Tok Hadi Ketua Kampung Sungai Tangkas turun sama ke lokasi. Kami telah berbincang berhubung dengan pembinaan Sekolah berkenaan. Menurut Tok Hadi,
``Saya berpendapat tender baru sudah dikeluarkan, dan sudah ada yang mendapat kontrek dengan penambahan peruntukan pembangunan. Pihak pemaju yang mendapat kontrek pernah datang kepada saya dan bertanya tentang jalan keluar masuk bagi lori-lori berat.`` Kata Ketua kampong itu, ``Ini bermakna sudah ada yang mendapat kontrek.``

Kami cuba menghubungi pihak-pihak berkenaan, tetapi oleh kerana hari ini hari Sabtu, kami tidak dapat membuat hubungan ke Pejabat JKR Hulu Langat secara terus.


Perkembangan lanjut Adun akan laporkan, tetapi Adun nasihatkan terutama penduduk Sungai Tangkas jangan bimbang. Projek Sekolah Agama ini akan diteruskan. Insya Allah.

Sekian.

Program KAMIL Zon Kajang Meriah

-->
Sungai Ramal Dalam, 12 Jamadil Awwal 1434 = 24 Mac 2013 (Ahad):


Program KAMIL (Kegiatan Amal Islami) adalah merupakan kegiatan ko-kurikulum tahunan yang disertai oleh Sekolah-Sekolah Rendah Agama/Islam (SRA/I) dan  Kelas Agama Fardu Ain/Integrasi (KAFA/I) di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Mekanismenya pertandingan diadakan pada peringkat daerah di antara Sekolah-sekolah di dalam kegiatan ko-kurikulum seperti tilawah al-Qur`an, nasyid, adhan, solat jenazah, bercerita, syarahan, muhawarah, khutbah, khat, marhaban dan sebagainya. Johan-Johan pada peringkat Daerah mewakili Daerah pada peringkat negeri pada pertandingan akhir.



Bagi peringkat Daerah Hulu Langat, oleh kerana Daerah ini agak luas serta banyak sekolah dan program pertandingan antara Sekolah-Sekolah Agama di Daerah tidak dapat dislesaikan dalam sehari, maka pertandingan bagi sekolah-sekolah Daerah dipecah kepada 2 Zon, iaitu Zon Kajang dan Zon Ampang.



Pertandingan KAMIL bagi zon Kajang diadakan pada hari ini bertempat di Sekolah Rendah Agama, Sungai Ramal Dalam bermula dari pendaftaran jam 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. Adun Bangi dijemput untuk merasmikan KAMIL (Pembukaan dan Penutup) mulai jam 12.30 tengahari. Menyambut kehadiran Adun ialah Ustaz Mohd. Fadhlullah Suhaimi bin Mohd. Radhi selaku Pengarah Program (Guru Besar Sekolah Agama Kajang Raya yang bakal dibuka – April ini), Ustazah Nur Ashikin Idris Ketua Guru SRA, Sungai Ramal Dalam dan Ustaz Azhar Ketua Guru SRA, Jubli Perak. Turut hadir Ustaz Jamaluddin bin Sihab Pengerusi AJK Pelaksana.



Adun diberitahu oleh Ustaz Mohd. Fadhlullah Suhaimi bahawa, ``Sebanyak 25 sekolah menyertai pertandingan dari Sekolah SRI dan Kafa, juga beberapa buah Sekolah Rendah Islam Swasta.`` Dalam ucapan alu-aluannya Ustaz Mohd Fadhlullah mengucapkan terima kasih kepada Adun yang dapat hadir merasmikan KAMIL. Menurutnya penyertaan pada kali ini adalah lebih meriah. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada AJK yang bekerja kuat bagi menjayakan KAMIL pada hari ini. Menurutnya,``Oleh kerana ramai murid-murid yang mengambil bahagian, maka ruang sengaja dikosong dari meja dan kerusi dan mereka duduk bersila di atas lantai. Pun begitu kawasan luar juga melimpah dengan kehadiran, murid-mrid, guru-guru dan ibu bapa.


Dalam Ucapan Perasmian Adun berterima kasih di atas jemputan. Kamil menurut Adun, ``Dapat mengeratkan hubungan antara guru-guru, murid-murid dan ibu bapa yang melibatkan lebih kurang 300 guru dari 25 sekolah, 5,000 murid-murid dan 10,000 ibu bapa yang mengikuti perkembangan anak-anak mereka, walaupun tidak dapat hadir bersama.`` Yang lebih penting Peraduan Kamil dapat melatih murid-murid di dalam bacaan Al-Qur`an, adhan, khutbah, muhawarah, khat dan sebagainya. Paling tidak pelajaran yang disertai mereka memahirkan mereka dengan bidang-bidang keagamaan yang menjadi amalan dan panduan hidup.``  Kata Adun lagi, ``Kita bergembira sekarang melihat penghayatan agama Islam bertambah di kalangan masyarakat. Murid-murid yang dilatih menjadi asset yang penting bagi meningkatkan minat terhadap pendidikan Islam dan mengamalkan di tengah masyarakat. Adalah diharapkan masyarakat lebih meningkat dari segi amalan dan budaya keislaman.


Puncak dari Majlis Kamil, ialah penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya dari berbagai Sekolah. Hampir semua Sekolah mempunyai murid-murid yang berjaya di dalam bidang-bidang yang mereka masuk bertanding, tetapi sambutan dan tepukan yang diberi ialah kepada yang mendapat hadiah-hadiah pertama.


Oleh kerana jumlah Sekolah yang banyak dan banyak pula yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan, maka banyaklah hadiah disertakan. Piala-piala, crest dan berbagai-bagai hadiah tersusun dengan banyaknya di atas meja hadiah. Adun diminta menyampaikan hadiah dan memakan masa yang agak lama. Kelamaan disebabkan apabila pemenang dipanggil, tidak diketahui di mana, dan lambat ke hadapan. Walau bagaimana dengan kemeriahan suasana, kelamaan masa tidaklah terasa dan hadiah yang banyak itu dapat disampaikan dengan sempurna. Tahniah kepada murid-murid dan Sekolah-sekolah yang berjaya.


Terima kasih.

Sekian.

March 29, 2013

MOA Dan Seharian Perbincangan Mengenai Perincian Pembinaan & Penyeliaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi

BBB, 15 Jamadil Awwal 1434 = 27 Mac 2013 (Rabu):


Usaha membina Masjid Al-Umm di Bandar Baru Bangi di Seksyen Satu, BBB tiba pada satu lagi tahap penting selepas Pelancaran Tabung Pembinaan (19 Mei 2012) dan Melawat Tapak yang dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor (6 Januari 2013). Kini tiba kepada Penandatanganan Perjanjian Persefahaman antara AJK Induk dengan pihak-pihak berkaitan dengan Pembinaan Masjid Al-Umm. Kemudian diikuti dengan Majlis Perbincangan Mengenai Perincian Pembinaan dan Penyeliaan Masjid Al-Umm. Majlis bermula dari jam 9.30 pagi bertempat di Dewan Kompleks Pendidikan Islam Bangi (KPI) dengan dihadiri oleh pihak Arkitek, Kerja Tanah, Landscape, Juru Ukur Bahan, Mechanical, Electrical dan Costing dan AJK-AJK Masjid yang kesemuanya berjumlah 30 orang.

Majlis bermula dengan Pengerusi Majlis Tuan Haji Abdul Rahman Daud menjemput Ustaz Ahmad Hasbullah AJK Pembinaan membaca doa, diikuti dengan ucapan ringkas YB Pengerusi. Beliau menyatakan,

Pada hari ini kita tiba kepada satu lagi titik penting bagi pembinaan Masjid Al-Umm, iaitu menandatangani MOA bagi membina Dan Menyiapkan Sebuah Masjid Al-Umm Tiga Tingkat Yang Dapat Memuatkan antara 2,800 – 3,000 Jamaah Yang Dilengkapkan Dengan Kemudahan Tadika, Kelas Tahfiz, Kelas IT, Bilik Seminar, Bilik Sumber Dan Ruang Terbuka Serbaguna Di Atas Lot 51177, Jalan 1/4A, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Pihak-pihak terlibat dengan MOA pada hari ini akan membentangkan spesifikasi berhubung dengan Architecture, Kerja Tanah, Landscape, Ukur Bahan, Mechanical, Electric dan Costing. Terima kasih kepada semua yang hadir, khususnya bagi AJK yang diharap dapat mengikuti penerangan secara terperinci, berbincang dan mengemukakan kritikan, pendapat dan cadangan ke arah pembaikan bagi pembinaan Masjid Al-Umm. Menurut Pengerusi, ``Kita mendapatkan tempat yang selesa dan memperuntukkan masa yang panjang seharian hari ini dari pagi ke petang bagi kita benar-benar memberi tumpuan kepada semua aspek yang dibentang oleh pihak-pihak berkenaan secara halus dan detail. Hasil dari perbincangan dan rumusan yang diambil hari ini merupakan asas utama sebagai panduan Pembinaan Masjid Al-Umm. Kata Pengerusi, ``Saya berharap para hadirin mengambil bahagian dan memberi pendapat yang bernas dan membina.``


Berikut dari ucapan Pengerusi Upacara Tandatangan MOA dilakukan antara:

1)Architect
Pengerusi dan Tuan Haji Raja Fuaddin

2) Kerja Tanah
Pengerusi dan Tuan Haji Sapari

3) Ukur Bahan
Pengerusi dan En. Asri Yusof

4) Mechanicle
Pengerusi dan En. Mohd. Sani (Bagi pihak Pengarah En. Fazri tak dapat datang)

Selepas penandatanganan MOA bermula sesi pembentangan oleh 6 orang pembentang – Dua orang sebelah pagi ke tengahari dan 4 orang sebelah petang.


1) Bidang architect (Architect Urus Bina) Disampaikan oleh Tuan Haji Fuaddin
Beliau mengambil masa paling lama membentang. Antara perkara yang diberi perhatian

Bangunan tiga tingkat.
Tingkat Tengah (Dua)
  • Tingkat dua ruang utama. Lantai bertile, carpet boleh dikeluarkan piece by piece.
  • Ada tiga pintu – Dua daripadanya pintu besar
  • Dipasang air-cond.
  • Dinding hadapan tidak terlampau berhias, décor sederhana elak dari ganggu kekhusyukan
  • Mimbar juga berbentuk sederhana. Jelas dipandang makmum

Tingkat Bawah
  • Multi-functional – Seminar, pengajaran, kursus, perkahwinan, jamuan, bilik siaran, pentadbiran, mesyuarat, Tahfiz dan Bilik Sumber.
  • Ruang tidak bertiang bahagian tengah
  • Lantai juga menggunakan tile
  • Ada kemudahan untuk OKU
  • Juga berhawa dingin secara split.
Tingkat Atas
  • Bersifat keliling ruang tepi atas
  • Khas bagi jamaah perempuan
  • Bertile dan bercarpet
  • Ada tempat wudhu` di bahagian atas
  • Kemungkinan ada lift


2. Kerja Tanah
  • Disampaikan oleh Tuan Haji Sapari Ahmad (Jurutera CNS)
  • Retaining Wall 12 kaki secara straight
  • PL 40.0 m, PL 43.5 m & PL 47.0 m.
  • Melebihi 20 kaki cari bentuk lain, tidak straight tinggi
  • Baki dari Jalan & Bangunan tinggal 10% tanah
  • 3,000 kaki bagi jalan masuk. Mungkin di bawah jagaan MPKj atau di bawah Masjid
  • Tidak dibenar parking di bawah untuk mempastikan kebersihan
  • Lantai bawah water proof, tidak diresap lembap.

3. Landscape – Hijau dan Mesra Pengguna
  • Dibentangkan oleh En. Muhammad bin Salleh (Cerana Design)
  • Tanah 2 ekar tinggi ke atas dan rendah ke bawah
  • Ada Taman Buatan dari batu
  • Mengekalkan kehijauan pokok dan kawasan
  • Dihias dengan pokok cempaka putih
  • Pokok berdaun kecil bertanam Bunga Kemboja Cina dan Boshido

4. Mechanic – Mesra Pengguna dan Mesra Alam
  • Dibentangkan oleh Encik Hilmi (Jurutera MNE)
  • Air Conditioning & Mechanical Ventilation – Split System Air Conditioner
  • Fire Protection Services
  • Cold Water Plumbing Services
  • Lift system (dipersoal penggunaan)
  • Rain Water Harveting System

5. Electrical
  • Dibentangkan oleh En. Sani (May Consult)
  • Kawalan suiz secara keseluruhan dan terhad
  • Air Conditioning & Mechanical Ventilation
  • Fire Protection Services
  • Cold Water Plumbing Services & Sanitary Plumbing Services
  • Rain Water Harvesting System

6. Costing
  • Dibentangkan oleh En. Asri (May Consult)
  • Berdasarkan drawing yang telah dibuat kos keseluruhan RM11.3 juta
  • Pecahan
  • Construction
  • Piling Work
  • Building Work
  • Mechanical and Electrical
  • Kerja Luar dan Infrastructure
  • Soil survey.

7. Umum
  • Perlu sekurang-kurangnya 5 petender.
  • Perlu ada Tender Board. Mungkin mendapat kerjasama seperti JKR dan sebagainya.
  • Perlu ada Supervising Officer (S.O.)
  • Apa yang dicatat di atas adalah secara kasar, tidak keseluruhan. Banyak perkara yang telah ditimbulkan dalam perbincangan sehari yang bakal menjadi panduan kerja. Perubahan ke arah pembaikan akan berlaku hasil dari cadangan membina dari berbagai pihak.

Sekian.

March 28, 2013

Rasmi Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Persatuan Penduduk Taman Jasmin

Taman Jasmin, Kajang, 11 Jamadil Awwal 1434 = 23 Mac 2013 (Sabtu):

Taman Jasmin relatifnya agak baru dihuni, iaitu pada tahun 1993. Perumahan di sini dimajukan oleh Syarikat Perumahan MBF. Jumlah perumahan di sini adalah sejumlah 1.040 buah rumah dengan penduduk multi-rasial berjumlah lebih kurang 7,000 orang.



Penubuhan Persatuan Penduduk Taman Jasmin, menurut Tuan Haji Mohd Zaid bin Hussin Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Jasmin pada tahun 1993 disebabkan menurutnya, ``Adanya masalah-masalah perumahan yang perlu dibawa ke atas. Ini membawa kepada penubuhan Persatuan Penduduk Taman Jasmin.`` Sejak penubuhan terawal sehingga kini Persatuan Penduduk adalah diterajui oleh Cikgu Hj. Mohd Zaid bin Hussin. Hingga kini selain dari mesyuarat biasa, mesyuarat pemilihan AJK diadakan setiap dua tahun sekali. Mesyuarat kali ini adalah merupakan Mesyuarat Kali Keempat.

Bagi mesyuarat kali ini Adun Bangi dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung. Sebenarnya ini bukan kali pertama Adun datang merasmikan Mesyuarat Agung, bahkan Adun sering dijemput menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjur oleh Persatuan Penduduk Taman Jasmin seperti kegiatan gotong royong, menyambut Maulidur Rasul, sambutan Hari Raya dan berbagai-bagai kegiatan yang lain.

Bagi merasmikan mesyuarat pada malam ini sepatutnya Adun datang sebagaimana biasa bersama saudara Azizi, tetapi oleh kerana beliau ada masalah, maka Adun datang berseorangan, tetapi di sini ada saudara Shahrum Abdullah yang dapat bersama Adun – termasuk mengambil gambar.

Majlis Mesyuarat Agung bermula dengan doa dan ucapan oleh Cikgu Hj Mohd Zaid bin Hussin. Beliau mengucap terima kasih di atas kesudian Adun hadir yang menurutnya menyemarakkan lagi majlis dan memberi semangat kepada penduduk untuk hadir. Menurut Cikgu Haji Zaid, Sepanjang memimpin Persatuan, banyak aktiviti yang dapat diadakan bagi faedah penduduk, Antaranya:
  1. Mendapat pampasan kerosakan dan keluasan rumah yang tidak menurut spesifikasi dalam perjanjian. Rumah-rumah berkenaan ada yang mendapat pampasan antara RM500 hingga RM1,000.
  2. Berusaha hingga mendapat tapak surau Taman Jasmin yang kini dbenar didirikan solat Jumaat
  3. Mendirikan Sekolah Agama yang tapaknya berdekatan dengan Surau Taman Jasmin
  4. Persatuan Penduduk juga berjaya mewujudkan Pasar Malam Taman Jasmin.
  5. Mewujudkan Rukun Tetangga bagi keselamatan Taman
  6. Mengadakan Sambutan Maulidur Rasul bersama KAFAI Jasmin 2012 dan 2013
  7. Mengadakan Hari Keluarga dari masa ke semasa. Contoh Hari Keluarga dan Jamuan Mesra Penduduk 2012.
  8. Mengadakan Gotong Royong Perdana yang melibatkan kerjasama dengan MPKj, Bomba dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat pada 18.12.2011.
  9. Kegiatan Belia 2011-12
  10. Pertandingan Kejirana Terbaik dan Gotong Royong Perdana 24.6.2012.
  11. Program Sukaneka bersama MPKj 20.6.2012
  12. Jamuan Makan Malam, Majlis Kesyukuran dan sambutan Hariraya
  13. Majlis Taklimat dan Dialog Pelaksanaan Projek Rangkaian Pembentungan Kajang 2
  14. Ziarah Kebajikan termasuk bersama Adun.
  15. Mewujudkan Pejabat Tetap Pejabat Persatuan.

Dalam ucapan Adun, mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan merasa kagum di atas kerjasama penduduk yang terdiri dari pelbagai kaum. Ini terbukti dari kehadiran pada malam ini yang terdiri dari berbagai kaum – berjumlah 50 orang. Kejayaan ini tentulah diatas kebijaksanaan AJK Persatuan yang dipimpin oleh Cigku Haji Zahid yang merupakan seorang yang aktif yang bukan saja memimpin Persatuan Penduduk, tetapi juga setahu Adun, memimpin Surau dan juga Sekolah Agama. Saya sendiri kata Adun, ``Sering kali menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh Persatuan, juga kegiatan di Surau dan juga Sekolah Agama.`` Sesungguhnya keharmonian dan kejayaan penduduk adalah hasil dari kerjasama dari kalangan semua penduduk. Adun berharap kerjasama dan keharmonian dapat diteruskan. Dari laporan Adun dapati ianya bukan saja terdapat maklumat kegiatan, tetapi juga kewangan yang agak teguh. Adun memaklumkan sedia berkerjasama dengan Persatuan Penduduk, umpamanya menyampaikan maklumat dan skim-skim Kerajaan Negeri yang agak banyak dan berharap penduduk ambil peluang. Misalnya orang tua mengambil manfaat dari Skim Warga Emas, orang muda skim insentif dan pinjaman pelajaran, Skim Mempelai yang baru mendirikan rumah tangga, pinjaman Mimbar dan Skimsel, anak-anak Skim Sikembar, Tawas, Tuisyen Percuma dan Anak Pekerja Ladang. Bagi semua menikmati Bekalan Air Percuma dan sebagainya.



Bersempena dengan Perasmian Mesyuarat Agung, Adun menyampaikan cek seharga RM300/= sebagai menampung keperluan Mesyuarat Agung. Adun berharap Mesyuarat Agung berjalan dengan baik dan pemilihan pimpinan berjalan lancar.

Sekian.

Wasiat Rasulullah s.a.w. Tema Kuliah Di Rumah YAB Dato` Menteri Besar Selangor

Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam, 09 Jamadil Awwal 1434 = 21 Mac 2013 (Khamis):


Sudah lama tidak menghadiri Kuliah Bulanan yang biasanya diadakan pada malam Jumaat sekali sebulan di Kediaman Rasmi Dato` Menteri Besar Selangor – dihentikan sementara. Mutakhir pada bulan lepas dari siri baru diadakan di Ijok, Kawasan Dun YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor. Oleh kerana tempat begitu jauh dan waktu malam, maka Adun Bangi yang sering menghadirinya di Kediaman Rasmi YAB, maka Adun tidak menghadirinya ke Ijok.


Malam ini kuliah kembali diadakan di Kediaman Rasmi Dato` Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam. Mulai jam 6.00 petang secara berseorangan Adun bertolak dari Bangi dan tiba betul-betul masuk Maghrib – jem di jalan orang pulang kerja, berkesempatan berjamaah. Selepas solat pengumuman dibuat bahawa Penyampai Kuliah ialah Ustaz Hj. Ghazali Bin Hj. Omar seorang pendidik lulusan Al-Azhar dan juga Pendakwah yang sering menyampaikan ceramah. Tapi pengumuman memaklumkan, bahawa pada malam ini tidak sebagaimana pada siri-siri lepas - menyambung Kitab Fiqh As-Siyasah oleh Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang diedarkan kepada hadirin sebelum pengajaran, sebaliknya Ustaz Haji Ghazali akan berkuliah mengenai tajuk Wasiat Rasulullah s.a.w. berdasarkan buku hasil karangannya yang berjudul:

Buktikan Cinta Terhadap Rasulullah s.a.w.


Buku ini diedarkan dan boleh dimiliki dengan harga RM15.00 sebagai derma kepada Ma`had Tahfiz yang Penceramah sama berusaha mendirikannya, iaitu Ma`had Tahfiz Parit Kemahang. Wasiat Rasulullah adalah sebahagian daripada kandungan buku yang dihasilkan oleh Ustaz Haji Ghazali pada bahagian akhir yang disedut dari Khutbah-Khutbah Rasulullah s.aw. Beliau mengemukakan tiga wasiat.

Wasiat Pertama:
Iaitu dari Khutbah Terakhir Rasulullah s.a.w. yang disampaikan pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah yang membayangkan pengakhiran hayat Baginda Rasulullah s.a.w yang mengingatkan bahawa jiwa dan harta setiap orang Islam sebagai amanah suci, kembalikan harta yang diamanahkan kepada pemilik sebenar, jangan menyakiti sesiapa, kamu akan kembali kepada Allah dan mendepani perhitungan di atas amalan kamu, Allah mengharamkan riba, waspadalah dari tipu daya syaitan, jagalah hak suami isteri, layanilah wanita dengan baik, jangan biarkan mereka yang tidak berkenaan masuk ke rumah kamu dan jauhi dari zina. Dirikan solat, berpuasa bulan Ramadhan, keluarkan zakat dan kerjakan ibadat Haji jika berkemampuan. Setiap muslim adalah bersaudara dan tiada kelebihan antara kamu melainkan yang bertaqwa dan beramal salih.

Wasiat Kedua:
Dipetik dari Hadith riwayat Al-`Irbad bin Sariyah r.a.

Tentang wasiat Rasulullah yang begitu berkesan, sebagai wasiat Baginda bakal pergi. Baginda meminta supaya mereka bertaqwa kepada Allah dan patuh kepada pimpinan walaupun dia seorang hamba. Baginda menelah akan banyak perselisihan dan Baginda meminta supaya berpegang pada Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Khulafa` Ar-Rashidin. Berpegang teguhlah kamu dengannya.

Wasiat Ketiga:
Dipetik dari Abu Laith dari Ali bin Abi Talib k.w. berkata: Semasa turun Surah Al-Nasr, Rasulullah s.a.w. keluar dalam keadaan sakit berikat kepala. Baginda naik ke mimbar dan berkhutbah dengan muka yang pucat dan mata berlinang air mata. Baginda menyuruh Bilal memanggil orang berkumpul bagi mendengar wasiat Baginda. Ramai yang datang sehingga penuh Masjid Madinah. Baginda mengisyarat kedekatan pengakhiran usia Baginda dan Baginda sedih bakal meninggalkan mereka tentang apa yang mereka lalu kelak sepeninggalan Baginda, Baginda meminta mengamal yang halal , meninggalkan yang haram dan yang harus kamu lakukan, awasi dari nafsu, istiqamah dengan jamaah, takutlah kepada Allah dan jaga Agama, jagalah keluarga, pelihara isteri, patuhlah kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah, jagalah diri dari api neraka, patuhlah pada pemerintah, cintailah pada Rasulullah s.a.w. Dirikan solat lima waktu, tunaikan Haji, Baginda gambarkan hari Kiamat. Jagalah lidah, lepaskan dari kebudakan. Siapa yang berbuat kebajikan dia mendapat pahala, hadirlah diri di hadapan Allah dengan penuh iman dan taqwa.


Selepas pengajaran para jamaah mendirikan solat Isya` dan kemudian dijemput makan di Dewan di bahagian bawah dan kemudian bersurai.

Sekian.

March 27, 2013

Projek Hantu Makin Merosakkan Jalan

-->
Sungai Ramal, 09 Jamadil Awwal 1434 = 21 Mac 2013 (Khamis):

Pada petang hari ini sepulang Adun dari urusan interview biasiswa/pinjaman pelajar pengajian tinggi di Shah Alam Adun menerima telefon dari Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir bahawa ada pekerja-pekerja menurap jalan menceroboh masuk ke Kg. Sungai Ramal Luar tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada Ketua Kampung. Menurut Tuan Haji Mohd. Yusof, pada mulanya dia menyangka projek Kerajaan Negeri, sebab itu beliau tidak menghalang apabila pada malamnya pekerja menyimpan steamroller di dalam kawasan Masjid Sungai Ramal Luar (Masjid Haji Mat Saman), tetapi apabila pada pagi ini beliau menerima aduan dari jamaah Surau Al-Huda, Sungai Ramal Baru, bahawa pihak pekerja menurap jalan di halaman Surau Al-Huda yang sudah baik dengan kualiti tar yang tidak baik dan pecah-pecah dan mengorek lubang yang tidak ditimbus dan tidak ditampal – berlubang, maka Tuan Haji Mohd Yusof pergi memeriksa tempat berkenaan dan didapati betul. Lantas beliau memeriksa beberapa batang jalan yang sudah ditampal dan turap secara kualiti yang rendah. Sebelum ini Kerajaan Negeri telah membaiki jalan-jalan seperti di Sungai Ramal Dalam 12 jalan kecil dan Jalan Utama diturap. Banyak pula jalan-jalan di Sungai Ramal diturap dengan sempurna, tiba-tiba ada Projek-Projek Hantu dibawa ke Sungai Ramal Luar dan Dalam, tanpa merujuk kepada pihak-pihak berkenaan terlebih dahulu.


Dari penelitian Tuan Haji Mohd Yusof terhadap Projek Hantu itu beliau dapati.

1) Turapan yang dilakukan nipis dan rendah kualiti
2) Kualiti tar yang diturap keras dan mudah pecah
3) Turapan pula terlampau nipis – kurang dari seinci
4) Bahan-bahan yang digali dibiarkan tepi jalan
5) Tempat yang sudah baik, diturap, manakala tempat berlubang yang perlu diturap tidak diturap. Orang Umno sendiri marah dengan kerja-kerja yang tak sempurna dan rendah kualiti, kata Haji Mohd. Yusof.

Tuan Haji Mohd Yusof mencari pekerja-pekerja kontrektor dan mendapati kerja-kerja yang dilakukan bukan dari arahan Kerajaan Negeri. Beliau merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Daerah, MPKj dan UPEN, semuanya memaklumkan bukan dari projek yang diperturunkan.


Tuan Haji Mohd. Yusof memaklumkan kepada Adun dan Adun turun segera pada petang itu disertai saudara Azizi yang pergi terus ke Masjid Sungai Ramal Luar sebagai tempat bertemu dan dari situ kami membuat lawatan jalan-jalan di Sungai Ramal Luar dan juga jalan-jalan di Sungai Ramal Dalam, di sana juga ada kerja-kerja yang dibuat dan turut disertai Ketua Kampung Sungai Ramal dalam Tok Lateb Manan:

Kami melawat jalan-jalan dirosakkan dengan turapan dan tar yang tidak bermutu iaitu:

Sungai Ramal Luar:

1)      Jalan Desa Meringin
2)      Jalan Lorong SRL 7 (Lorong individu yang tidak diminta diturap, tetapi diturap dengan cara yang tidak bermutu).
3)      Halaman Surau Al-Huda, medan Surau elok, bila ditampal dengan tar yang rendah kualiti jadi buruk dan ditinggal kawasan yang dikorek berlubang.
4)      Jalan Utama Sungai Ramal Luar

Kami juga pergi ke Sungai Ramal Dalam bersama Ketua Kg. Sungai Ramal Luar disertai Tok Lateb bin Manan Ketua Kg. Sungai Ramal Dalam, pada asalnya untuk mencari pekerja-pekerja yang dikatakan sedang menurap jalan di Sungai Ramal Dalam. Kami menemui mesen roller dan mesen menabur tar di tepi jalan utama berhadapan bangunan Latihan Usahawawan Sungai Ramal Dalam, tetapi tiada pekerja, walau bagaimana  kami melawat jalan-jalan yang telah diturapkan iaitu,

1)      Jalan ke Surau Al-Umm, Sungai Ramal Dalam – tak sempurna
2)      Jalan ke Tahfiz Sungai Ramal Dalam yang baru diturap, tetapi diturap kembali secara tidak sempurna.

Ada beberapa tempat lagi yang diturap dan ditampal yang tidak kami lawati.
Pada dasarnya kita tidak menentang pembaikan penurapan jika dilakukan dengan baik, bertemu dulu dengan Ketua Kampung untuk mendapat nasihat dan pandangan mengenai tempat-tempat wajar diturap dan priority patut diberi perhatian, lebih wajar lagi jika projek seperti diperturunkan melalui sama ada Pejabat Daerah atau MPKj. Perlu diingat peruntukan yang diguna adalah dari harta rakyat baik pada peringkat negeri maupun pada peringkat Persekutuan. Negeri Selangor menyumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan hampir satu perempat dari pendapatan Negara. Negeri berhak mendapat peruntukan yang merupakan pengembalian balik hasil negeri. Peruntukan yang diperturun hendaklah diguna secara amanah dan dilaksanakan sebaik mungkin.


Pada petang hari Isnin 25 Mac 2013 dalam Mesyuarat Mingguan Antara Dato` Menteri Besar, Exco, Adun, Ahli Parlimen dan Pemimpin Parti Negeri mengenai isu-isu semasa, Adun Bangi berkesempatan membangkitkan persoalan Projek Hantu Membuat Jalan berkenaan kepada YAB Dato` Menteri Besar dan Ahli-Ahli yang hadir. Aduan ini mendapat respond yang baik dari YAB Dato` Menteri Besar, bahkan beberapa ahli yang hadir termasuk YB. Dato` Tuan Teng Chang Khim Speaker membangkitkan tentang jalan-jalan yang ditunjuk untuk diperbaiki (peruntukan Maris), tidak dibaiki, tetapi jalan yang tidak diminta baiki diperbaiki. Kontrektor pula dari kalangan yang lama dari parti lawan. Ahli-ahli yang lain mempersoalkan lambatnya tindakan yang diambil oleh PBT menyebabkan peruntukan yang diberi tidak dapat dimanfaat sepenuhnya. YB. Dr. Mariah pula kecewa dikawasannya yang banyak kerosakan jalan tidak dapat dibaiki sewajarnya. Pada satu peringkat dipersoalkan tentang kedudukan YDP PBT yang tidak mesra Wakil Rakyat. Berhubung dengan masalah peruntukan dan jalan ini YB. Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam mencadangkan agar diadakan Sidang Akhbar Khas berhubung dengan Projek-Projek Jalan Raya bermasalah.


Terakhir pagi Selasa 26 Mac 2013 jam 10.30 Adun terima telefon dari Ketua Kampung Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd Yusof, memaklumkan bahawa, hujan lebat malam tadi mengopakkan turapan tar yang tidak bermutu pada jalan perumahan berdekatan Sekolah Leftenan Adnan, Sungai Ramal Luar. Tar-tar tersebut tercabut berkeping-kepingan bagai keping-keping roti canai. Ini mencerminkan betapa tidak bermutunya jalan yang dibuat. Adun memaklumkan pada saudara Azizi untuk menghubungi Tuan Haji Yusof mengenai jalan pecah selepas diturap secara tidak sempurna. Kata saudara Azizi, ``Saya akan mendapatkan maklumat mengenai kerosakan jalan yang diturap tersebut.``
Persoalan Projek Hantu ini juga dibawa ke dalam Mesyuarat Kabinet Mini Adun Bangi pada malam 26 Mac untuk makluman ahli.

Sekian.

March 26, 2013

Karnival Rakyat Selangor Di Taman Tenaga


Taman Tenaga, Dun Bangi, 04 Jamadil Awwal 1434 = 16 Mac 2013 (Sabtu):


Salah satu Program Kemasyarakatan yang diatur dan diperuntukkan kewangan oleh Pejabat Adun dengan kerjasama dengan Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga Taman Tenaga beserta dengan Nisa` ialah mengadakan kegiatan Budaya yang dikenali dengan Karnival Budaya. Kegiatan ini diadakan di Dataran Perumahan Taman Tenaga yang melibatkan kegiatan dua hari. Khemah dipasang yang menjadi pusat tempat kegiatan, manakala ruang terbuka bagi kegiatan seperti sukan dan aktiviti riadah.


Taman Tenaga sebagaimana Adun pernah sebutkan adalah kawasan multirasial, bukan saja kependudukan di sini terdiri dari berbagai kaum dari orang Melayu, India dan Cina, tetapi di sini juga menjadi tempat kediaman pelajar-pelajar antarabangsa bagi peringkat Ijazah Lanjutan, kerana di sini ada asrama bagi pelajar-pelajar antarabangsa yang terletak berhampiran dengan surau di sini – Surau Ash-Shakirin. Kebanyakan pelajar-pelajar di sini adalah dari Negara-negara Timur Tengah seperti, Syria, Jordan, Yaman dan beberapa Negara Afrika seperti Sudan, Mesir, Maghribi dan sebagainya. Di sini juga ada Hentian Bas yang menjadi destinasi kesampaian dan bertolak bersifat nasional.


Puncak program pada malam ini ialah mengikuti ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Shauki dari UPM, tetapi sebelum tiba waktu ceramah dan sebelum tiba Penceramah para hadirin yang antaranya Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj hadir dan turut hadir Ustaz Dr. Ibrahim Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tenaga, En. Shaari Hashim Pengerusi Rukun Tetangga, hadirin termasuk kelompok orang Arab yang duduk di pinggir majlis sedang ramai dari anak-anak orang Arab ini berlari-lari dan bermain-main dengan anak-anak orang tempatan, sekali duduk di atas kerusi bersama hadirin dan kadang-kadang keluar bermain bersama anak-anak dengan riang.


Sebelum majlis perasmian para hadirin dihiburkan dengan beberapa persembahan Dikir Barat oleh sekelumpuk anak-anak Kelantan di Perantauan yang mungkin tinggal di Taman Tenaga. Persembahan mereka amat menarik perhatian hadirin. Tema yang di bawa mereka bersifat nasihat, menganjurkan mencari ilmu dan berakhlak dengan akhlak terpuji. Persembahan diselang seli dengan nasyid oleh anak-anak setempat yang dilatih oleh pihak penganjur.


Dalam ucapan perasmian – setelah doa dibacakan, Adun menyebut tentang elemen budaya yang dipersembahkan adalah baik dan menarik dan boleh ditambahkan lagi jika ada mereka yang tinggal dari negeri-negeri budaya berkenaan misalnya Kompang (ala Selangor), Rebana (Pahang), Dabus (Perak), Lagu Teromba (Negeri Sembilan) dan sebagainya, tentulah lebih menarik. Bahkan Adun mencadangkan agar komuniti dari Timur Tengah diajak sama mempersembahkan budaya negera mereka tentu lebih menarik – Adun berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Arab dan mengucapkan selamat datang dan berterima kasih pada mereka. Mereka amat gembira dan memperkenalkan diri dan asal Negara yang mereka datang. Namun untuk mendapat persembahan yang menarik bersifat rakyat dan antarabangsa, tentulah perlu kepada usaha dan tenaga untuk menjayakan. Tapi pada pendapat Adun bukanlah payah sangat. Tapi Adun syor bila ada majlis-majlis sambutan amat wajar diajak mereka terlibat bukan setakat menonton, tapi juga turut sama membuat persembahan. Selepas Adun merasmikan Karnival Budaya Rakyat, Adun tidak berkesempatan mengikuti ceramah Ustaz Shauki, oleh kerana ada program di tempat yang lain.


Keesokan hari Ahad 17 Mac, setelah menghadiri beberapa program pada sebelah pagi di beberapa tempat yang lain, Adun hadir sekali lagi di Krnival Taman Tenaga,  Kali ini bagi menyertai beberapa kegiatan seperti sukanika, melukis, pertandingan gubahan dan uji bakat dan sebagainya yang disertai oleh berbagai peringkat masyarakat menurut kesesuaian umur. Tapi kehadiran Adun yang turut disertai YB. Teo Nie Ching lebih khusus ialah bertujuan menyampaikan bantuan dari pihak PEKAWANIS (Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat ) yang diperturunkan melalui Adun. Kami menyampaikan bantuan-bantuan kepada warga emas setempat dari berbagai-bagai kaum, sedang acara sukanika dan pertandingan-pertandingan masih berjalan. Berikutnya kami memohon diri kerana mempunyai acara-acara tersendiri masing-masing di tempat-tempat lain.


Sekian.