BBB, 29 Jamadil Akhir 1434 = 10 Mei 2013 (Jumaat):
Dengan kehadiran Islam adalah merupakan cabaran dan
pengukuhan.
Cabaran adalah terhadap insan secara keseluruhan dan khusus
kepada masyarakat Arab yang disifatkan sebagai masyarakat Jahiliyyah. Cabaran
boleh dilihat dari segi pegangan, nilai budaya masyarakat Arab bila mendepani
Islam, manakala pengukuhan dapat dilihat dari segi bahasa, sastera dan sebahagian nilai.
Masyarakat Arab menjelang Islam boleh disifatkan masyarakat
mendepani pengaruh dan nilai tradisi setempat yang mereka berpendapat sebagai
`suci` dan perlu dipertahankan bagi mengekalkan integriti dan warisan yang
sebenarnya sudah dikabuti oleh berbagai pengaruh dan kekeliruan. Al-Qur`an
menjelaskan, Bermaksud:
``Dan apabila dikatakan kepada mereka, ``Turutlah akan apa
yang telah diturunkan oleh Allah``, mereka menjawab, ``Tidak``, bahkan kami
(hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. ``Patutkah
(mereka menurutnya) , sekalipun datuk nenek mereka tidak faham sesuatu (apa pun
tentang perkara-perkara agama) dan tidak pula mendapat pertunjuk hidayah (dari
Allah) ? (Al-Baqarah, 170).
Demi mempertahankan apa yang dipegang nenek moyang,
Rasulullah s.a.w. terpaksa berdepan dengan kaum Jahiliyah dan mendepani
ancaman-ancaman seperti dipulaukan masyarakatnya, percubaan membunuh, kepungan,
penyiksaan dan membawa kepada Hijratur Rasul s.a.w. ke Madinah. Dengan
penentangan mereka tidak berpeluang lebih awal mengenali tentang ajaran Islam.
Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda mengambil masa 23 tahun bagi
membetulkan akidah, membaiki akhlak, melaksanakan syariat dan membentuk sebuah
Negara Islam Madinah sebagai transformasi masyarakat Jahiliyyah kepada mesyrakat
Islam yang menjadi model utama bagi Negara Islam - Madinah.
Transformasi yang berlaku tidak lain dari melalui
transformasi pendidikan. Pada zaman Jahiliyyah maklumat dan budaya
diperturunkan melalui warisan cara hidup dan adat-adat kebiasaan yang boleh
dihayati melalui puisi-puisi diterima dari tokoh-tokoh dan dihafal. Konsep
riwayat oleh rawi-rawi bersanad sudah digunakan pada zaman sebelum Islam baik
bagi puisi, maupun bagi prosa. Apa yang diterima adalah diwarisi melalui
hafalan yang diwarisi dari generasi dan generasi:
Contoh puisi Tarfah bin al-Abd (564M.) berpuisi tentang
larian masa yang diwarisi secara bersanad dan dihafal sehingga dicatat secara
tulisan:
Apabila dikehendaki satu hari menariknya dengan kekang
talinya
Siapa yang digiring dengan tujuan (kematian) dapat melarikan
Kiranya engkau tidak mengambil manfaat merapatkan
persahabatan
Dan tak dapat melepaskan dari kejahatannya maka jauhilah
darinya
Aku melihat maut tidak mengira dari segi kedudukan keluarga
Walaupun semasa di dunia dianggap mulia kedudukannya.
Dan tidak ada kebaikan pada kebaikan dilihat jahat selainnya
Tidak ada yang berkata mendatangi kau lazat kekal
Seumurmu ! tidak ada hari-hari melainkan pinjaman
Tidak kau ketahui daripada kebaikannya maka berbekallah
Tentang seseorang tidak ditanya tentang temannya
Maka setiap teman menyertai yang ditemaninya.
(Dewan Tarfah bin al-`Abd, Beirut :
Dar Sadir, tt. hlm. 43-44).
Cerita juga disampaikan secara riwayat dan bersanad bagi
memperkukuhkan maklumat yang disampaikan. Contoh cerita tentang sifat pemurah
Hatim (m. 605M.) – Beliau adalah Hatim bin Abdullah bin Sa`d bin al-Hashraj
dari keturunan Tai`, mnakala ibunya `Inabah binti `Afif juga dari Ta`i. Beliau
terkenal seorang Legenda Pemurah bagi orang Arab dan seorang Penyair yang indah
puisinya yang tergolong zaman Jahiliyyah. Contoh:
Berkata al-Haitham bin Adiyy daripada orang yang bercakap
kepadanya daripada Milhan bin Akhi Mawiyyah isteri Hatim berkata: Kataku kepada
Mawiyyah: Wahai Ibu saudaraku, ``Ceritakanlah kepadaku tentang
keajaiban-keajaiban Hatim, maka dia berkata, ``Semua yang berhubung dengannya
menarik, tentang apakah yang engkau hendak tanya ? Maka kataku, ``Ceritakan apa
saja yang engkau mau tentangnya.
(Diwan Hatim at-Ta`I, Beirut :
Dar Sadir, tt. Hlm. 22).
Cerita Hatim Dan Tunggangan Bani Asad
Tiba serombongan yang memerlukan tunggangan daripada Bani
Asad dan Qays, mereka mau berjumpa dengan An-Nu`man. Mereka bertemu dengan
Hatim, maka kata mereka itu kepadanya, ``Kami tinggalkan kaum kami memuji
tentang kebaikan engkau dan mereka menghantar perutusan dengan satu surat . Katanya, ``Mana dia
?``. Maka kumpulan Bani Asad itu mengungkap puisi kepada `Abid dan bagi Bashar
yang kedua-duanya memujinya dan berpuisi Qaisuyyun satu puisi kepada
An-Nabighah. Setelah mereka berpuisi, mereka berkata, ``Kami rasa malu untuk
memohon dari engkau sesuatu, sedang kami mempunyai hajat.`` Maka katanya, ``Apa
dia ?`` Kata mereka, ``Kawan kami yang berjalan kaki.``. Maka berkata Hatim,
``Ambillah kudaku ini dan bawalah barang-barang sahabat kamu.`` Maka mereka pun
mengambilnya. (Dewan Hatim At-Ta`I, Beirut ,
Dar Sadir, tt: 21-22).
Selain dari puisi dan cerita seperti di atas, maka satu lagi
bidang sastera pada Zaman Jahiliyyah
ialah Khutbah. Khutbah disebut juga bersifat kata-kata hikmah dan
nasihat-nasihat oleh tokoh-tokoh, tetapi lebih kepada peristiwa semasa dan
pengalaman yang dilalui, tetapi tidak hasil dari keilmuan, bukan fikiran
mendalam dan bukan renungan yang jauh. Ungkapan mencerminkan latar belakang
kehidupan Jahiliah di padang
pasir. Antaranya memuji sifat semangat, keberanian, memuji yang kuat dan
mengeji yang lemah, mencerca kezaliman dan beradab kepada keluarga. Khutbah
biasanya panjang-panjang dan sukar diingati, sebab itu jumlahnya yang dihafal
lebih sedikit berbanding dengan syair. Yang lebih mudah diingati dari khutbah ialah
ungkapan-ungkapan yang bersifat hikmah dan nasihat-nasihat.
Apa yang mau ditekankan bahawa sebelum Islam dan zaman
Jahiliyyah sastera berkembang maju, khususnya bidang puisi. Ianya menjadi rakaman
maklumat yang tersimpan, dihafal, dipelajari dan menjadi contoh panduan dalam
kehidupan zaman Jahiliyyah, Turut berkembang ialah bidang prosa yang merupakan
hikayat atau cerita yang juga menyimpan maklumat dan pengajaran yang menjadi
pengajaran dalam kehidupan. Khutbah juga menjadi satu bidang yang berkembang
dalam tradisi Jahiliyyah. Khutbah biasanya disampaikan oleh pemimpin-pemimpin
bagi acara-acara tertentu. Misalnya memberi semangat bagi pahlawan yang hendak
bertolak ke Medan Perang. Juga bersifat pengajaran dan pesanan kepada khalayak
yang mendengar khutbah. Juga digunakan di dalam pertemuan.
Al-Qur`an yang diturunkan melalui wahyu kepada Rasulullah
s.a.w. dari satu segi mencabar kemampuan penyair-penyair yang begitu megah
dengan penghasilan puisi-puisi mereka dan disanjung masyarakat, namun tidak ada
yang mampu menandingi keindahan dan keistimewaan al-Qur`an. Begitu juga
al-Qur`an yang tidak puisi dan tidak prosa mencabar juga para sasterawan yang
mengungkapkan hasil karya mereka di dalam bentuk kata-kata hikmat dan
nasihat-nasihat. Mereka tidak mampu menandinginya (Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil.
I, hal. 13).
Ungkapan-ungkapan puisi mereka diluahkan oleh
penyair-penyair yang diterima dan dihafal oleh penerima-penerima agar dapat
kekal dalam ingatan dan diturunkan kepada warisan, Berlainan dengan al-Qur`an yang
diungkapkan dengan `Tanzil` (al-Baqarah:
176, al-Baqarah: 23, al-Kahfi: 1, as-Sajdah: 2 dll.) adalah diturun secara
wahyu dari Allah Ta`ala kepada Rasulullah s.a.w. Cara Rasulullah s.a.w. menerima
wahyu antaranya dapat difahami dari Hadith berikut bermaksud:
``Daripada Aishah Ummil Mu`minin radiyallahu `anha bahawa
Al-Harith bin Hisham r.a. bertanya Rasulullah s.a.w. Dia berkata: Wahai
Rasulullah, Bagaimana datang kepada engkau wahyu ?, Maka bersabda Rasulullah
s.a.w.``Kadang-kadang datang kepadaku seperti bunyi loceng dan dia bersangatan,
dia menyukarkan daku, tapi aku hafal dan menjaganya apa yang dikata.
Kadang-kadang ia menyerupai kepadaku Malaikat bagai seorang lelaki bercakap
kepadaku dan aku ingati apa yang dikata.
Berkata Aishah r.a.
Sesungguhnya aku melihatnya ketika diturunkan ke atasnya
wahyu pada satu hari yang amat sejuk, maka selepas menerima wahyu itu, maka
pada dahinya mengalir peluh.`` (Mustafa Muhammad Imarah, Jawahir al-Bukhari wa
Sharh al-Qistillani, Misr: Al-Maktabah at-Tijarah al-Kubra, tt. hlm. 1 -2).
Maka apa yang ditanzil kepada Rasullah diperturun dan dihafal
oleh sahabat-sahabat yang menerimanya dari Rasullah dan ditulis oleh
penulis-penulis Rasulullah seperti oleh Zaid bin Thabit, Sayyiduna Ali k.w.
Muawiyah bin Abi Sufyan) dan lain-lain.
Di sebalik al-Qur`an sebagai cabaran terhadap kalangan
sasterawan dan ahli bahasa Arab, dari zaman Jahiliyyah sebelum Islam, tetapi
juga cabaran kepada para sasterawan dan tokoh-tokoh bahasa semasa, al-Qur`an
juga merupakan pengukuhan kerana tidak semua nilai-nilai semasa dan sebelum
diutuskan Rasulullah bersifat negatif, sebaliknya ada yang bersifat positif dan mendapat
pengukuhan. Contoh sifat-sifat orang Arab yang memuliakan tamu. Mengatur sistem
hidup yang sedia ada dan memperbaiki mana yang bercanggah dengan Islam dan memperbaiki
aturan-aturan kemasyarakatan.
Dari segi sastera kehebatan puisi sebelum Islam menjadi lemah
bila berdepan dengan bahasa dan keindahan bahasa al-Qur`an, tetapi dari satu
segi kemeriahan bahasa dan sastera Arab membantu meningkatkan bahasa Arab itu
sendiri. Al-Qur`an merupakan sumber bagi
ilmu nahu dan saraf. Ianya adalah bahasa dan kaedah bahasa standard dan piawan
bagi bahasa Arab, begitu juga dari segi keindahannya yang dikaji melalui ilmu
Balaghah, baik dari segi ma`ani bayan dan badi`nya. Walau bagaimana ungkapan
bahasa Arab zaman Jahiliyyah juga dirujuk dalam kajian dan pembinaan bahasa dan
sastera, bahkan bagi sejarah bahasa dan bangsa Arab. Peranan dan pengaruh
al-Qur`an lebih dari segi budaya dan bahasa Arab, tetapi terhadap seluruh
cabang penghidupan, khususnya bagi umat Islam.
Sesungguhnya kehadiran al-Qur`an membentuk nilai dan budaya
baru yang dari segi mikronya terhadap masarakat Arab, tetapi dari segi Makronya
terhadap masyarakat Umat Islam dan alam keseluruhannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment