May 28, 2013

Bersyukur Kurniaan Tuhan Umur Subsidi Masih Dilanjutkan

-->
Di hening subuh syahdu ini
Ketika Bilal di Surau kami beriqamah
Sebelum melangkah mengimami jamaah
Menjelang mengangkat takbiratul ihram
Terlintas di ingatan tarikh haribulan
Bahawa hari ini ulangtahun kelahiran
Rahmat berkat usiaku melebihi 70
Terbetik dihati kecilku kesyukuran
Umur subsidi masih dilanjutkan
Al-hamdulillah terlintas syukur pada kurniaan
Dilanjut dalam doa mohon dalam peliharaan.


Sesungguhnya di pagi ini
Bangkit diri dari peraduan
Aku masih biasa sihat segar
Lantas keluar bergerak ke surau
selepas pasti membersih diri
Berjamaah dengan sahabat
Diikuti tazkirah ringkas
Sebelum kembali memulai tugas.

Mutakhir kini rutin harianku berubah
Tidak perlu segera-tergesa lagi ke pejabat
Lantaran ditunggu pengunjung berurusan
Boleh berlamaan di rumah bersama keluarga
Mengikuti berita letronik dan akhbar biasa
Dan pejabat pun bila dibuka
tak perlu didedahkan ruang
Lantaran kerja adalah sendirian
Kini tiada lagi sebok menerima aduan
Diikuti tindakan membuat lawatan
Tapi kini lebih tenang berseorangan
Berteman sepi di bilik bacaan
Memilih buku di rak mencari bahan
Dulu berhadapan khalayak di sambut hangat
Senyum bersalam sebelum berucap
Kini di hadapan computer menyusun ayat
Catatan ilmu peristiwa maklumat
Sesungguhnya pergerakan fizikal berkurang
Lebih pada kegiatan minda-jiwa bergandaan.

Kini tugas asasi itu tiada lagi
Sebagai wakil rakyat menyertai sidang
Menghantar terbaik soalan untuk dijawab
Membawa masalah rakyat dari kawasan
Menyediakan ucapan terbaik dikarang
Mendapat peluang bercakap membahaskan
Kini pengalaman itu mulai berlalu
Tersusun dalam lipatan ingatan
Bersama fail-fail surat dari Dewan
Di atas rak kenangan tersusun rapi
Dibuka untuk rujukan sekala sekali.

Tempoh berlalu gumpalan awan kenangan
Sesayup penglihatan bergerak menghilang
Bagai sekelip mata ditempuhi
Dalam lipatan usia dilalui
Tetapi di legih usia menuruni ini
Jalannya memendik usia menyempit
Ingin kuraih segala kesempatan
Dalam perjalanan kemuncak tenang.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi.
17 Rejab 1434
27 Mei 2013.

1 comment:

  1. Semoga Ybhg Dr. diberi kesihatan yang baik sentiasa hendaknya. Insya-Allah :)

    ReplyDelete