May 22, 2013

Sambut Hari Ibu Anjuran Rukun Tetangga Bukit Kajang Baru

-->
Bukit Kajang Baru, Kajang, 08 Rejab 1434 = 18 Mei 2013 (Sabtu):

Selepas menunaikan solat Maghrib, Penulis bertolak ke Bukit Kajang Baru, Kajang bagi menyertai Program Rukun Tetangga di sana, iaitu Sambutan Hari Ibu yang disambut setiap tahun pada pertengahan bulan ini. Saudara Azizi menunggu Penulis di Simpang, Kajang Sentral dan bersama beliau ke Majlis.


Tiba majlis sedang berjalan dan Penulis disambut oleh En. Othman Mohd Ali sebagai Pengerusi Rukun Tetangga, Kawasan Bukit Kajang Baru, Puan Maslina Abdul Rahman selaku Setiausaha dan En. Iqbal Imam Surau al-Huda. Majlis begitu ramai dihadiri oleh ibu-ibu dari semua kaum, terutama dari kalangan warga emas. Sebenarnya kedatangan Penulis selaku Mantan Adun Bangi bagi menyampaikan cek membaiki kavin Rukun Tetangga yang telah bocor. Janji ini dibuat di sini pada bulan lalu di dalam Majlis Sambutan Hari Wanita semasa Penulis masih lagi Adun Bangi, tapi nampaknya penyerahan peruntukan sebanyak RM1,000 ini disekalikan dengan Majlis Sambutan Hari Ibu pada malam ini. Penulis difahamkan Ahli Parlimen Serdang yang baru YB. Dr. Ong akan tiba, tetapi agak lewat, kerana ada program di tempat lain.


Dalam ucapan alu-aluan sempena ketibaan Mantan Adun Bangi, En. Othman mengucap terima kasih di atas kesudiaan Mantan Adun Bangi hadir ke dalam Majlis Hari Ibu. Beliau menyebut, banyak jasa Mantan Adun terhadap penduduk di Kajang Baru dan jasa tersebut tidak akan dilupakan oleh penduduk. Beliau mengharapkan Mantan Adun walaupun tidak lagi menjadi Wakil Rakyat, tetapi hubungan baik diharap akan diteruskan. En. Othman juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menderma sehingga dapat menjayakan majlis pada malam ini.

Mantan Adun Bangi, mengucapkan terima kasih kepada En. Othman dan Puan Maslina di atas kesudiaan menyelitkan Program menyampaikan peruntukan bersama dengan Sambutan Hari Ibu yang begini meriah. Mantan Adun memuji di atas kegiatan AJK yang baru, kerana sejak perlantikan AJK baru yang diketuai oleh Encik Othman berbagai-bagai kegiatan telah diadakan. Termasuk Majlis pada hari ini – setakat ini sudah tiga kali kegiatan besar diadakan. Sebenarnya  kata Mantan Adun Bangi, untuk bergiat maju tidak semestinya mempunyai pejabat yang besar, sempurna dan cantik. Yang paling penting ialah inisiatif dari AJK. Bila AJK aktif, maka akan aktiflah seperti Rukun Tetangga Kajang Baru ini. Namun jika ada tempat yang lebih sempurna lebih mudah pihak Rukun Tetangga dan juga sebarang persatuan bergerak. Kata Mantan Adun, sebenarnya dengan adanya kegiatan seperti Sambutan Hari Ibu ini menceriakan penduduk, terutama bagi warga-warga emas dan ibu-ibu tunggal. Kalau tidak ada majlis yang seumpama ini mereka mungkin tidak keluar rumah. Dengan adanya majlis seumpama ini mereka dapat bertemu muka dengan kawan-kawan dan jiran-jiran tetangga dan bertanya khabar. Mantan Adun berharap majlis yang seumpama ini lebih kerap diadakan, termasuklah hari keluarga dan sambutan-sambutan hari perayaan dan sebagainya. Namun begitu Mantan Adun menyebutkan, pihak Rukun Tetangga jangan lupa juga pada golongan belia, kegitan untuk mereka juga patut di adakan, umpamnaya mengadakan pertandingan sukan, rekreasi, gotong royong dan sebagainya. Mantan Adun Bangi juga menyebutkan, walau pun Mantan Adun Bangi tidak lagi menjadi Adun, tetapi hubungan harap dapat diteruskan. Jika ada jemputan dan ada kelapangan Mantan Adun Bangi sedia hadir. Jika diperlukan peruntukan Mantan Adun sedia pertimbangkan, tetapi mungkin tidaklah sebanyak peruntukan semasa menjadi Adun.


Berikutan dari ucapan Mantan Adun menyampaikan cek sejumlah RM1,000 yang diterima oleh Encik Othman. Seterusnya Mantan Adun dijemput menyampaikan cenderahati kepada warga-warga emas dari berbagai kaum. Majlis kemuncak ialah apabila semua warga emas yang kebanyakannya perempuan itu dijemput ke hadapan memotong kek beramai-ramai menandakan Selamat Menyambut Hari Ibu.





Selepas penyampaian cenderahati dan pemotongan kek dan juga penyampaian cenderahati berupa plug kepada Mantan Adun Bangi, Mantan Adun dijemput untuk minum dan menikmatai juadah yang disediakan, sedang majlis diteruskan oleh Pengerusi Majlis, iaitu saudara Faisal. Oleh kerana YB Dr. Ong tidak pasti bila tiba, mantan Adun Bangi terlebih dahulu memohon diri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment