May 27, 2013

Terima Kasih Persatuan Penduduk BBB Meraikan Mantan Adun Bangi

-->
Jalan. Reko, BBB, 13 Rajab 1434 = 23 Mei 2013 (Khamis):



Beberapa kali Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB, Ybhg. Dr. Tajul Ariffin Noordin menghubungi Mantan Adun Bangi dan juga ke rumah bagi mendapat kepastian Mantan Adun dapat hadir ke Majlis bagi meraikan Mantan Adun malam ini. Mantan Adun setuju hadir. Pada malamnya hadir bersama isteri diiringi saudara Azizi bertempat di Restoran Tupai-Tupai, Jalan Reko, jam 8.30 malam. Turut hadir pada malam ini ialah Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk selaku Penganjur dan Tuan Rumah. YB. Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB, AJK Persatuan Penduduk, Pengerusi-Pengerusi Surau pilihan dan staf-staf Kompleks Pendidikan Islam yang berjumlah lebihkurang 30 orang.


Saudara Jamir Saad selaku Pengerusi Majlis memaklumkan bahawa majlis yang dinamakan `Malam Jasamu Dikenang` sebagai meraikan Mantan YB Adun Bangi yang telah banyak berjasa terhadap Penduduk di Bangi dan juga terhadap Persatuan Penduduk BBB. Beliau telah bergiat cergas dalam politik Pas sejak 1998 sebagai aktivis, bertanding sebagai Adun Kajang 1999, kalah pada 2004, tetapi kembali menang bagi Dun Bangi 2008 dengan majoriti besar (6,192). Beliau telah bersama mendukung Persatuan Penduduk BBB dan terlibat sama menjadi AJK. Antaranya beliau mencetus idea `Bangi Bandar Ilmu` semasa menyambut 30 tahun umur BBB (2007).


Tuan Haji Sufi Munassir selaku YDP Persatuan Penduduk BBB mengalu-ngalukan hadirin dan berterima kasih kerana dapat bersama meraikan Mantan Adun Bangi. Menurut Tuan Haji Sufi Mantan Adun bukan saja melibatkan diri dalam kepimpinan selaku AJK Persatuan Penduduk dan juga AJK Koperasi Penduduk, tetapi juga terlibat di dalam kepimpinan surau-surau dan sama mengikuti kegiatan. Semasa menjadi Adun Kajang terkenal dengan kegiatan turun padang dan membuka Kaunter Aduan. Akhbar Cina menyifatkan beliau sebagai `Lee Lam Tye` Melayu dan orang Cina memujinya sebagai Wakil Rakyat yang sering turun padang, mengambil perhatian bila berlaku seperti masalah banjir, kebakaran dan kemalangan - beliau segera datang. Dengan gelaran dan imej itu memperkenal dan mempopularkan Mantan Adun Kajang, juga Bangi. Pada hujung minggu programnya sentiasa penuh. Pada bulan Ramadhan adalah bulan yang sebok bagi Adun. Programnya juga penuh, beliau bergerak dari surau ke surau memimpin solat-solat Fardu dan tarawih dan sempena Ramadhan menyampaikan bantuan bersama Lajnah kebajikan. Kesebokan memuncak pada hari-hariraya menyertai sambutan. Adun Bangi juga Kajang terkenal dengan pendiriannya yang teguh tidak mau maksiat berlaku di Dun Bangi-Kajang dan tidak mau Panggung Wayang didirikan dan tidak mau arak dijual dipremis-premis kedai di Dun Bangi. Pendirian beliau ini amat dihormati penduduk.


YB Ustaz Shafie Ngah yang datang lewat turut bercakap ringkas menyebut Bangi sebagai sinonem dengan Shafie, seolah Shafie Adalah Bangi dan Bangi adalah Shafie dan Bangi adalah bermazhab Shafie. Beliau tidak berada lama dan selepas berucap meminta diri.


Dr. Ariffin Noordin turut diminta bercakap, bahawa beliau mengenali Mantan Adun Bangi sejak di UKM. Beliau bergiat sebagai aktivis bahasa, sastera dan budaya Melayu. Beliau pernah bersama Mantan Adun sama ke Sri Langka anjuran Gapena dalam rangka mengerat hubungan Dunia Melayu. Beliau menyebut bahawa beliau berkesempatan menjadi ahli Majlis dua kali. Satu pada zaman BN semasa – Al-Marhum Mantan Ahli Dewan Negeri YB Dr. Zainal Abidin Ahmad mencadangkan beliau menjadi Ahli Majlis Daerah Hulu Langat (MDHL) mewakili Bangi dan Pada masa di bawah Mantan Adun Bangi Dr.Shafie Abu Bakar, beliau sekali lagi mencadangkan Dr. Tajul menjadi Ahli MPKj mewakili NGO –Persatuan Penduduk BBB. Dr. Tajul menyebut semasa Kerajaan Pakatan Adun tidak mempunyai kuasa dalam MPKj untuk mengelak dari campur tangan dan rasuah. Berlainan dari masa di bawah BN. Adun menjadi ahli dan mempengaruhi dalam meluluskan tender dan sebagainya, bahkan Adun sendiri mendapat peluang tender dan faedah. Beliau menyebut semasa Mantan Adun Bangi, beliau memberi perhatian sejak dari usaha permulaan untuk membina Kompleks Pendidikan Islam. Bila AJK bercadang untuk membina hanya dua tingkat saja bangunan, beliau mencadangkan agar dibina tiga tingkat. Beliau sama hadir pada hari pelancaran pembinaan dan memberi sokongan kuat memohon peruntukan dari Kerajaan Negeri Selangor. Sebanyak RM240,000 diberi oleh Kerajaan Negeri bagi membina KPI yang berjumlah RM7 juta itu.


Seterusnya Dr. Tajul Ariffin Noordin mencadangkan pihak Persatuan Penduduk dan Penduduk memberi sokongan bagi Pas yang membuat janji pilihanraya baru-baru ini mengenai 8 perkara:

1) Perkasa Agama                          2) Tingkat Bangi Bandar Ilmu
3) Eratkan hubungan kejiranaan    4)  Membela wanita
5) Memupuk Budaya Sihat            6)  Mesra Alam
7) Pengurusan Alam Sekitar          8)  Perhatian terhadap Golongan belia.

Tuan Haji Mohd Ghazali Abbas turut berucap yang memberi tumpuan kepada soal agama dan Surau. Beliau menyebut bahawa Mantan Adun Bangi memberi perhatian tinggi terhadap Agama Islam dan memperuntukkan untuk agama sebagai peruntukan tertinggi setiap tahun. Setiap Ramadhan beliau memperuntukkan RM500 x 110 surau dan masjid. Ini tidak termasuk peruntukan pembangunan dan pembaikan dan peralatan surau masjid yang dipohon. Beliau mengadakan konvensyen masjid-surau bagi mengimarahkannya dan mencadangkan penggunaan IT bagi silang maklumat antara surau. Berbagai kursus diadakan dimasjid dan surau dianjur oleh Pejabat Adun dan AJK atau persatuan yang Adun memberi peruntukan – termasuk kem ibadat rekreasi yang bersifat kegamaan. Beliau juga terlibat dengan bantuan kepada Sekolah-sekolah agama dan memberi sokongan untuk peruntukan Sekolah rakyat dan swasta agama.
Tuan Haji Ghazali menyebut tentang kegiatan Surau An-Nur yang memang benar surau berkenaan adalah sebagai model surau yang paling giat di Dun Bangi. Saban hari dan minggu mempunyai kegiatan keagamaan, ceramah, pengajaran dan sebagainya. Surau An-Nur menjemput guru-guru pilihan mengajar dan menyampaikan khutbah yang tidak terikat kepada teks. Surau An-Nur dan Persatuan Penduduk juga terlibat di dalam menganjur `Tadarrus Antara Surau` yang diadakan secara regular yang biasanya sebulan sekali. Antaranya turut disertai Mantan Adun.


Sebagai Tamu yang dirai Mantan Adun Bangi – juga Kajang mengucapkan terima kasih kepada YDP Persatuan Penduduk BBB Tuan Haji Sufi Munassir dan Mantan YDP Dr. Tajul Ariffin Noordin yang mengadakan Majlis pada malam ini bagi meraikan Mantan Adun Bangi dan isteri yang sebenarnya tidak diharapkan oleh Mantan Adun.

Merenung pada keterlibatan Mantan Adun dalam politik, apa yang didapati adalah lebih kepada penambahan pengalaman dan cabaran dalam hidup yang menjadi panduan bagi Mantan Adun. Politik bukan agenda awal dalam minda Mantan Adun, yang mendominasi adalah menuntut Ilmu, tetapi berikut dari persaraan Mantan Adun pada 1999 digalak oleh kawan-kawan, maka Mantan Adun diminta bertanding di tempat yang sebelum ini tidak ditandingi, melainkan oleh orang Cina - bertukar antara DAP dan MCA bergilir memenangi. Mantan Adun masuk di kawasan Melayu 49% dan selebihnya bukan Melayu, tidak dengan keyakinan tinggi, namun dapat sokongan kawan-kawan Cina yang bekerjasama dengan Pas melalui Barisan Alternatif dan menang dengan majoriti hanya 37 undi. Sudahlah sebagai Pembangkang di Dewan Negeri, tiada diberi peruntukan terpaksa menghadapi petition dari MCA Chau Tao Chong terpaksa  ambil Lawyer terbaik, Karpal Singh, berpuluh kali naik mahkamah dari Mahkamah Tinggi di Bangunan Perangsang, Shah Alam ke Mahkamah Baru Shah Alam dan Mahkamah Istana Keadilan Putra Jaya. Memakan masa sepuluh tahun dan memakan belanja lebih dari RM40,000 yang akhirnya walaupun menang, tapi menangnya jadi arang dan kalah jadi Abu. Lebih perit apabila kalah 2004 terpaksa bergerak tanpa kewangan, hanya bantuan dari kawan-kawan dan penyokong yang simpati. Hanya agak selesa bila menang pada 2008 dengan majoriti tinggi. Dengan kemenangan Kerajaan Pakatan di Selangor ada peruntukan diberikan dan perjalanan agak selesa. Namun keselesaan ini hanya antara Mac 2008-April 2011. Selepas itu tampuk pimpinan pentadbiran diambil oleh yang berminat tanpa dijangka dan bila pentadbiran bukan di bawah Adun dan terpaksa bergerak menjalankan khidmat bersama Kabinet Mini Adun Bangi. Walau bagaimana dengan kerjasama Kabinet Mini Mantan Adun berusaha memberi khidmat terbaik memudahkan pihak yang berminat meneruskan perjalanan.

Adalah menjadi hasrat Mantan Adun bukan setakat mempromosikan Bangi Bandar Ilmu, tetapi berusaha ke arah `Menuju Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (BTwRG)`. Oleh kerana hasrat ini terganggu, kini selepas tidak lagi menjadi Adun, Mantan Adun akan menghabiskan sisa-sisa hidup bagi menjelmakan hasrat `Menuju Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` dalam bentuk tulisan yang kini sedang diusahakan, di samping menerbitkan berbagai-bagai penerbitan yang lain.

Selaku Mantan Adun Bangi dan Kajang Adun mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sama memimpin, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Ketua-Ketua Kampung dan Ahli-Ahli Majlis, Penduduk Kajang dan Dun Bangi yang  memberi kepercayaan kepada Mantan menjadi Adun Kajang dan Adun Bangi. Semua pihak berperanan memberi pengalaman yang amat berharga kepada Mantan Adun dan pengalaman ini menjadi asset bagi Mantan Adun menimbanya sebagai inspirasi dan ilham di dalam penulisan.

Sekian.

1 comment:

  1. memang jasa mu tetap dikenang, moga termasuk dalam amal soleh InsyaAllah yg hanya dapat di tuai di SANA

    ReplyDelete