May 21, 2013

Sambutan Hari Muzium Peringkat Kebangsaan 2013 Di Sarawak. Selangor Mendapat Giliran Sambutan Bagi Tahun 2014?

-->
BBB, 10 Rejab 1434 = 20 Mei 2013 (Isnin):

Hari Muzium Antarabangsa yang disambut oleh seluruh muzium di dunia ialah pada 18 Mei setiap tahun. Malaysia juga tidak terkecuali dari menyertai sambutan Hari Muzium tesebut. Pada tahun ini Sambutan Hari Muzium pada peringkat Kebangsaan tahun 2013 berlangsung di Kuching bermula dari 22 hingga 26 Mei 2013. Pada tahun lepas Hari Muzium pada peringkat Kebangsaan 2012 disambut di Pekan Pahang pada 17 hingga 19 Oktober – Antaranya ke Sungai Lembing di mana bertempatnya Muzium Bijih Timah di sana. Sebelum berlangsungnya sambutan di Pekan diadakan Pelancaran Sambutan di Muzium Negara Kuala Lumpur pada 17 & 18 Mei 2012 sempena dengan tarikh Hari Muzium Antarabangsa.


Adalah menjadi hasrat Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang muzium Sultan Alam Shah Negeri Selangor adalah sebahagian dari PADAT untuk mendapat giliran menyambut Hari Muzium diadakan di Negeri Selangor pada tahun 2014. Jika hasrat ini tercapai, maka inilah pertama kali pihak Muzium Negeri Selangor di bawah PADAT diberi penghormatan menyambut Hari Muzium Antarabangsa dan juga Nasional di Negeri Selangor. Adalah difahamkan hasrat Selangor ini diterima baik oleh pihak Persatuan Muzium-Muzium Malaysia.


Namun adalah amat dirisaukan memikirkan tempoh setahun adalah pendek untuk membuat persediaan dan sambutan yang lebih sempurna, sesuai dengan Selangor sebagai Negeri Maju dan berada pada Pusat Pentadbiran Negara. Banyak perkara yang dirisaukan dan adakah dalam tempoh setahun dapat dibuat persediaan. Adalah mendukacitakan sejak tamatnya tempoh Ahli Lembaga PADAT pada akhir Februari 2013 dan perlantikan Ahli Lembaga Baru yang di Perkenankan oleh Duli Yang Mulia Tuanku Sultan Selangor sejak akhir Februari tersebut dan tawaran perlantikan baru dibuat pada pertengahan bulan Mac 2013, maka sehingga kini masih belum dipanggil mesyuarat Lembaga. Ini bererti sudah dua bulan pihak PADAT tidak mengadakan Mesyuarat Lembaga yang seharusnya merangka polisi dan kegiatan-kegiatan yang harus dijalankan terutama bagi tahun 2013. Keterlibatan Muzium Selangor dalam Sambutan Hari Muzium Sedunia dan Nasional di Sarawak sewajarnya dibincangkan, kalaupun tidak pada peringkat Lembaga, sepatutnya dirundingkan pada peringkat Exco berkenaan selaku Pengerusi sebelum dari pilihanraya dahulu dan jika pun kerana pilihanraya dan belum dipastikan siapa yang bakal dilantik selaku Exco Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor seharusnya dilibatkan Timbalan Pengerusi yang telah dilantik dan telah memberi persetujuan mengenai perlantikan.

Kita juga risau sebagai Tuan Rumah bagi Sambutan Hari Muzium bagi tahun 2014, kalau-kalau bangunan Muzium Sultan Alam Shah yang telah lusuh dan banyak berlaku kerosakan, tidak juga dibaiki. Perkara ini telah dibawa ke mesyuarat beberapa kali sejak awal 2012 untuk membaiki kemasan dinding, tetapi tindakan pembaikan tidak juga dilakukan. Apakah dengan imej demikian kita hendak mempertontonkan kepada orang ramai, khususnya tamu-tamu kehormat yang datang sempena dengan Sambutan Hari Muzium.

Kita juga risau dan mengharap sebelum tiba Sambutan Hari Muzium Sedunia, bangunan Perpustakaan Lama yang telah diserahkan kepada Muzium sejak perpindahannya ke Bangunan Baru - Bangunan Anggerik (Bangunan asal dikenali sebagai Bangunan Tanjung) dapat diisi. Keputusan agar sebahagian dari kakitangan di Bangunan asal dipindah sudah lama diambil dan atas syor Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim agar dijadikan sebahagian dari bangunan yang diserahkan itu sebagai Muzium Sukan dan sebahagian disewakan – terutama kepada syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan sukan, nampaknya masih tidak berjalan. Sepatutnya kedua-dua bangunan dilengkap dan disempurnakan sebelum tibanya giliran Selangor menyambut Hari Muzium Sedunia dan peringkat Nasional di Selangor. Apa yang kita sentuh ini hanya perkara-perkara yang akan terdedah kepada pengunjung bagi sambutan sahaja, agar diambil tindakan segera yang sebenarnya sudah diputuskan melalui mesyuarat-mesyuarat.

Peluang bagi Muzium Sultan Alam Shah Selangor mendapat giliran menyambut Hari Muzium Sedunia dan Nasional dapat dikatakan sudah pasti, bahkan dari maklumat yang didapati bahawa Yang Berhormat Dato` Haji Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sendiri bagi pihak Kerajaan Negeri akan menerima Penyerahan Bendera pada akhir hari sambutan sebagai simbolik penerimaan giliran bagi Selangor. Tugas yang paling penting mulai dari sekarang, ialah mengadakan mesyuarat-mesyuarat bagaimanakah pendekatan dan pengisian sambutan yang hendak diadakan. Muzium Sarawak yang dipilih sebagai Tuan Rumah bagi sambutan menyemarakkan sambutan sempena dengan 50 tahun kemasukan Sarawak di dalam Malaysia dan juga bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2013.

Muzium Sultan Alam Shah Selangor di bawah PADAT perlu memikirkan apakah pendekatan, program dan kegiatan yang hendak diisikan. Tema sambutan mungkin ditentukan dalam mesyuarat antara-muzium, tetapi jika tidak ditentukan pihak Tuan Rumah perlu memikirkan Tema Sambutan yang bersesuaian sekurang-kurangnya pada peringkat negeri jika difikirkan bersesuaian. Sempena sambutan, wajar diadakan seperti Sambutan Setengah Abad Muzium Alam Shah, Perasmian Bangunan Anggerik Muzium Alam Shah atau Perasmian Muzium Istana Bandar, Kuala Langat. Sempena dengan Sambutan Hari Muzium Sedunia dan Nasional juga antara kegiatan yang patut diadakan ialah Pameran. Seingat kita sejak 2008 amat kurang dari pameran yang seharusnya menjadi identiti bagi muzium, sebab itu hendaklah difikirkan apakah tema dan pameran yang sesuai diadakan. Sempena dengan Sambutan Hari Muzium di Selangor ini pihak PADAT juga perlu mengusahakan sebuah penerbitan buku khas oleh PADAT sebagai kenangan bagi sambutan. Kegiatan yang biasa yang perlu diadakan setiap Sambutan ialah mengadakan Seminar dan Forum yang berhubung dengan permuziuman.

Di samping program-program yang bersifat berat di atas, maka perlu juga diisikan dengan program-program ringan dan santai seperti sukan, pertunjukan budaya dan lawatan. Dengan program-program di atas dan usaha membaiki muzium, sebenarnya banyak perkara dan kerja yang perlu dilakukan. Tempoh setahun adalah pendek, sebab itu kerja-kerja hendaklah dirangka, disusun dan dilaksanakan mulai dari sekarang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment