Menyusuri denai sejarah
Dilitupi lalang tebal menghalang
Untuk menjejaki tapak-tapak tinggalan
Bertembung kita dengan tasik-tasik buatan
Akibat ghairah perlombongan
Hakikatnya keaslian telah hilang
Bersama bijih timah dikeluarkan.
Di tasik berkenaan kami dimaklumi
Berlaku penemuan tinggalan zaman batu
Beliong, pengisar, penumbuk, penggiling
Pengasah batu, mangkuk tembikar tanah
Menandakan wujudnya komuniti
Orang Neolitik Jenderam
Yang meneruskan kehidupan-kegiatan
Ke Zaman Gangsa dengan tinggalan
Perkakasan seramik kendi
periuk dan bekas tiga kaki
hingga ke Zaman Sejarah
dengan dayung dan Wang Timah
Menariknya bukti budaya berterusan di sini
Lengkap alat membuka ruang untuk dikaji.
Merenung ke gerbang silam
Di tepi tasik kami berimaginasi
Meminjam dayung dan perahu
Orang Neolitik Jenderam di sini
Bertolak dari pengkalan pertemuan
Meneliti ruang lingkup pergerakan
Bahawa Sungai Langat nadi kehidupan
Bergerak ke Hulu hingga ke Dengkil
Dan laluan hingga ke Sungai Tangkas
Adalah sungai menjadi sumber
Kegiatan di daratan ke bukit-bukau
Berdekatan jenderam hingga ke Bangi
Dan tanah UKM sekarang ke Kajang
Tanah ruang pergerakan Orang Neolitik
Melakar budaya diikuti generasi.
.
Dalam imaginasi
Kelihatan tanah huma dan bendang
Tanaman jagung ubi
keledek
Di tepi sungai ke kaki bukit
Dipayungi jejaran pohon kelapa
Cukup membantu kehidupan setempat
Turut lahir industri membuat alat
Namun dalam perkembangan lanjut
Mereka tidak terhad di Sungai Langat
Sebaliknya bergerak ke laut terbuka
Menjarah kawasan hingga ke Kelang
Lebih jauh dari segi perantauan
Lantas berlaku pertukaran barangan
Terbukti penemuan zaman purba
Tersimpan diperut bumi sedalam 7 meter.
Penemuan artifek purba di Jenderam
Melengkapkan rentetan
silam kekinian
Boleh dijejaki sempurna perjalanan
Sebuah adab-tamadun diserlahkan
Bahawa Jenderam Dengkel ke Bangi
Keluasan ruang giat pergerakan
Menyeberang ke batas moden
Meluaskan motto ungkapan
Wilayah ilmu semarak kajian.
Kawasan Jenderam & berdekatan
Menyimpan tinggalan berharga
Perlu dikaji dan dipelihara
Membuka ruang untuk diteroka
Kita mempunyai budaya dibangga
dengan tinggalan sejarah dari purba.
Shafie Abu Bakar,
Jenderam Hilir,
16 Rabiul Akhir 1434
27 Februari 2013.
No comments:
Post a Comment