May 7, 2013

Iqra`: Cemerlang Islam


BBB, 20 Jamadil Akhir 1434 = 01 Mei 2013 (Rabu):

Iqra` wahyu permulaan diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai banyak keistimewaannya. Dengan penerimaan Iqra` di Gua Hira`, Makkah menandakan bermulanya Rasulullah s.a.w. menerima tugas sebagai Rasul yang kemudian terus menerima wahyu sebagai amanah tugasan sehingga lengkap sebagai sebuah kitab al-Qur`an. Nama al-Qur`an adalah diambil dari kata Iqra` (Bacalah) menjadi al-Qur`an (Bacaan) (Hamka, Tafsir al-Azhar, Jil. 10, Pustaka Nasional PTE Ltd., Singapura, 2001:8059).

Daripada Iqra` membawa kepada perluasan dakwah Islam dengan wahyu-wahyu diturunkan terutama mengenai akidah yang menegaskan Keesaan  Allah sebagaimana Firman Allah  di dalam surah al-Ikhlas. Aqidah Tauhid bertentangan sama sekali dengan amalan syirik dilakukan oleh penduduk Makkah dan yang seumpamanya di mana jua. Amalan syirik penduduk Makkah yang menyembah berhala diwarisi dari nenek moyang mereka, contoh amalan menyembah berhala oleh kaumnya pada zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. Dikatakan juga amalan menyembah berhala antaranya dari pengaruh Yunani yang amat memuja patung-patung sebagai karya seni agung mereka. Budaya ini turut sampai di kalangan orang Arab melalui perdagangan. Pemujaan membawa kepada penyembahan berhala termasuk di sekitar Ka`bah. Menurut Ahmad Hasan Az-Zayyat di dalam bukunya Tarikh al-Adab al-Arabi:

Agama orang Arab pada peringkat awal adalah pada dasarnya mudah, bersahaja dan tidak komplikated. Tidak bagi orang Arab dari sumber kepercayaan berbilang Tuhan, besarnya patung, mendirikan bentuk gambar, sumber mendalam kepercayaan dan falsafah akidah. Pada dasarnya mereka di atas warisan agama Nabi Allah Ibrahim yang masih dituruti berkurun-kurun secara warisan, namun dikotori keadaan oleh kelamaan masa, diakibat oleh kejahilan dan dokongan berterusan dalam keadaan samar. Lantas ada yang terikut beribadat kepada berhala dan membesarkan patung-patung yang diletak di sekitar Ka`bah dengan jangkaan dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah. Pengibadatan dengan berhala-berhala ini kemudiannya menjadi ikutan dan amalan yang biasa bagi orang Arab pada zaman Jahiliyyah. Sebahagian kecil daripada mereka, setengahnya menurut agama Yahudi seperti di Yaman dan Yathrib dan berdekatan dengannya seperti di Khaibar dan Taima`, setengahnya menurut agama Nasrani seperti di Najran, Hirah, kabilah-kabilah Tai` dan Ghassanah di Sham ( Ahmad Hasan Az-Zayyat, Tarikh al-Adab al-Arabiyy, Penerbt  ? Tahun ?: 10).

 Akidah Islam ialah tauhid menentang perhambaan keberhalaan, tetapi yakin dan patuh kepada keesaan Tuhan. Akidah tauhid dengan kandungan al-Qur`an menjadi tunjang bagi kehidupan dan amalan yang mencakupi keseluruhan cara hidup dari falsafah keilmuan, pendidikan, pergaulan, kekeluargaan, ekonomi, perundangan, politik pemerintahan, adab-akhlak, seni, budaya, peradaban dan tamadunnya bersama.

Tradisi Persuratan

Adalah tahap bagi lawannya yang dikenali sebagai lisan. Tahap persuratan menandakan tahap lebih tinggi dari lisan yang berkembang dengan kedatangan Islam. Antaranya kenal huruf yang menjadi ejaan bagi perkataan. Budaya awal bagi manusia sebelum kenal tulisan ialah tradisi lisan. Perkembangan sastera zaman Jahiliyyah ialah bersifat lisan yang mana satu hasil karya yang dihasilkan diingat dan dikeluarkan secara lisan, bukan tulisan. Untuk mengingatinya ialah dengan menghafal yang pada peringkat yang lebih tinggi ialah penulisan. Menurut Butrus al-Bustani adalah bagi setiap penyair pada zaman Jahiliyyah ada penghafalnya atau menghafal antara satu sama lain. Misalnya Penghafal bagi Penyair Zuhair ialah Aus bin Hajar dan Khati`ah juga Penghafal bagi Penyair Zuhair. Jika terkenal seorang penyair di kalangan kaumnya, maka ahli qabilah turut menjadi perawinya yang dapat mengangkatkan nama qabilah (Butrus al-Bustani, Udaba` al-Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, 1989: 37).

Melalui riwayat dan penghafalan sastera oleh rawinya  terkumpul sebagai Wadah Sastera Jahiyyah pada zaman Islam –  Mnghafal adalah satu cara mengekalkan maklumat (Butrus al-Bustani, 1989: 37). Tetapi memilih bentuk karya tertentu juga menjadi wadah penyimpanan maklumat. Misalnya melalui syair, maklumat yang disimpan di dalam bentuk syair ini memudahkan ingatan dan hafalan. `Bahkan menurut Fuad Afram al-Bustani, ``Yang lebih utama yang dipetik dari khizanah Sastera Arab (syair dan prosa) dari berbagai-bagai pelajaran dan maudu ialah tentang kehalusan tanggapan mengenai gambaran-gambaran, nasihat-nasihat, kata-kata hikmat, rasa kezuhudan kepada catatan geografi, sejarah, perjalanan kepada ilmu berhubung dengan benda-benda, tumbuhan dan haiwan yang merangkumi berbagai-bagai masa dari zaman Jahiliyyah dan zaman jatuh bangunnya kedudukan masyarakat kaum (Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jil. 1, Beirut, al-Matba`at al-Kathulikiyyah, 1946: I). Contoh ialah  catatan-catatan Penyair-penyair Jalanan pada  zaman Jahiliyyah (Abad ke 6 Masihi) dikenali sebagai as-Sa`alik seperti al-Shinfari (Thabit bin Aus al-Azdi) yang membicarakan di dalam puisinya tentang dendam dan pembunuhan, Ta`abbata Sharran (Thabit bin Jabir bin Sufyan al-Fahmi) (530 M.)  yang mengungkapkan dalam puisinya tentang kemuliaan dan keberanian dan Urwah bin al-Ward (596M.) yang berpuisi mencatat tentang, Siapa dia as-Sa`luk, Adab bertamu juga tentang peperangan (Fuad Afram al-Bustani, 1946: 2 – 26). Puisi-puisi zaman Jahiliyyah ini dihafal dan diwarisi dan dicatat bila berlakunya tradisi tulisan pada zaman Islam. Walaupun tema-temanya tidak begitu positif, namun dapat dinilai dan difahami tentang masyarakat Arab dari segi perniagaan seperti di Pada zaman Jahiliyyah.

Zaman Jahiliyyah adalah zaman yang batasnya bersentuh dengan zaman Islam. Zaman ini boleh dikatakan zaman transisi daripada tidak Islam kepada Islam, khususnya bagi yang masuk Islam, zaman perpindahan dari syirik kepada pegangan akidah tauhid, zaman penggunaan tulisan yang telah dan sedang berkembang pada masa itu, terutama penggunaan untuk perniagaan seperti di Pasar Ukkaz, Makkah dan penggunaan bagi kegiatan sastera dan keperluan semasa. Sebagaimana telah dibincang tulisan atau Khat Jazam yang dianggap asli dari tanah Arab menjadi tulisan rasmi di pakai untuk segala keperluan penulisan.

Menjelang kehadiran Islam digambarkan bahawa puisi-puisi Arab memuncak tinggi dari segi mutu. Sayembara puisi diadakan di Pasar Ukkaz di Makkah yang menjadi tempat pertemuan peniaga dan budaya. Puisi-puisi yang indah dan terbaik diberi penghormatan dengan menggantungkannya di Ka`abah. Penghormatan diberi kepada penyair-penyair berstatus tinggi ini sebagai `Ashabul Muallaqat` bermaksud Penyair-penyair al. Mu`allaqat`  di pamer di Ka`bah. Mereka seperti Imra`ul-Qais bin Hajar al-Kindi (500-540 M.). Beliau lahir di Najd dari keluarga mewah. Beliau menggubah syair yang boleh dinyanyikan, bapanya dibunih dan beliau berusaha menuntut bela. Sebagai Penyair terkenal beliau diberi penghormatan oleh Qaisar Bustanius (527-565) melalui pengantara yang memperkenalkannya. Dia berbicara melalui puisinya tentang ingatan terhadap kekasih, gambarannya bersama Umm Jundub, gambaran perburuan, qanaah, perjalanan ke Byzantine (Rum) dan tentang pembunuhan bapanya. Antara ungkapan  Imraul Qays terhadap Kekasihnya di dalam puisi Muallaqatnya:

Seharian berdiri menangis mengingati kekasih
Rumahnya di Siqtillawi antara Dakhul dan Haumil
Makin jelas ingatan tidak mungkin padam rakaman
Lantaran jaringan tenunan ketara dari selatan ke utara

 ( Fuad Afram al-Bustani, 1946: 28- 54).

Tarfah Ibn al-`Abd (545-569M.). Nama sebenarnya ialah Amru bin al`Abd bin Sufyan al-Bakri yang digelar dengan Tarfah. Lahir di Bahrain. Hidup dalam keadaan mewah . Mempunyai hubungan dengan Raja Hirah (554-570) dan memujinya dengan puisi. Dia mempunyai puisi Mu`allaqat, puisi Ghazal dan Bangga, keji dan caci dan beberapa yang lain. Kata Tarfah tentang Menuntut Kebenaran:

Kebenaran datang ke tengah kamu
Biar kecil di tengah kumpulan menyerlah
Sungguh bangkit isu besar dari kecilnya
Bagai larian tak kesudahan dari hulu.

Penyair-penyair Mu`allaqat yang lain yang terkenal tinggi nilai puisi ialah Zuhair bin Abi Salma (530-627), Labid bin Rabi`ah (560-661), Amr bin Kalthum (Abad ke 6M.), al-Harith bin Hillizah (Abad ke 6M.) dan`Antarah bin Shaddad (525-615) (al-Majani al-Hadithah, Jil 1, 1946, hlm. 55-166). Selain daripada itu terdapat penyair-penyair kumpulan Istana, Penyair Pahlawan (al-Fursan) dan penyair-penyair yang lain di zaman Jahiliyyah (Fuad al-Afram al-Bustani, 1946: Al-Majani al-Hadithat, Jil 1 1946: 117-368).

Selain dari bidang puisi pada zaman Jahiliyyah sebelum Islam, ialah bersifat prosa yang merupakan ingatan tentang ungkapan-ungkapan tokoh, cerita, khutbah dan kata-kata hikmat mereka yang diwarisi secrara ingatan dan diperturunkan dari generasi ke generasi melalui perawi-perawinya yang kemudian tiba zaman persuratan dan dirakamkan. Di dalam hal ini kata Nisar Ahmad Faruqi:

``The material of tribal tales continued to be transmitted by professional narrators orally. These tales were for long narrated in informal get-togethers or tribal assemblies until the Umayyad court engaged them as professional artistes (Nisar Ahmed Faruqi, Early Muslim Historiography, Delhi, Idarah-I Adabiyat-I, 1979: 5).b

Dari perbincangan di atas dapat difahamkan.

Sebelum ketibaan Islam orang-orang Arab, terutama dari kalangan Qurasy dan pengunjung-pengunjug Arab yang datang dari berbagai kawasan tanah Arab amat memberi perhatian dan sanjungan terhadap hasil bahasa dan sastera di kalangan masyarakat. Pertandingan menggubah dan mendeklamasi puisi diadakan sebagai acara tahunan di Pasar Ukkaz. Hadiah diberi dan karya terpilih yang memenangi pertandingan diberi penghormatan digantung di Ka`abah. Hasi-hasil bermutu juga dijadikan bahan hafalan, ungkapan dan panduan ikutan.

Hasil-hasil cerita, khutbah ucapan dan kata-kata hikmat juga dihafal dan diperturunkan dari generasi ke generasi dan bila tiba zaman persuratan dirakamkan ke dalam penulisan.
Masyarakat Arab zaman Jahiliyyah bermegah dengan kelahiran ahli sasterwan di kalangan kaum mereka menjadi kemegahan dan sanjungan bukan saja oleh kaumnya, tetapi oleh kaum-kaum yang lain. Mereka dianggap sebagai tokoh dan pemimpin. Walau bagaimana tema ialah mengenai asabiyyah, peperangan, kemegahan dan budaya masyarakat Jahiliyyah itu sendiri.

Jadi Islam hadir ke tengah masyarakat Arab dalam masa orang-orang Arab menyanjung tinggi terhadap bahasa dan sastera. Lantaran itu Rasulullah s.a.w. antaranya diutuskan dengan wahyu al-Qur`an yang mempunyai keistimewaan dan ketinggian dari segi bahasa dan sastera dan lebih istimewa dari segi kandungannya. Firman Allah bermaksud:

``Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan (al-Qur`an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al Qur`an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar (al-Baqarah: 23).

Firman Allah lagi yang bermaksud:

``Katakan, sekiranya dihimpunkan manusia dan jin untuk mendatangkan seperti ini Qur`an, mereka tidak boleh membawanya sepertinya, walaupun mereka sama membantu antara satu sama lain (al-Isra`: 88).

Hadith riwayat Saidina Uthman r.a. bermaksud:

``Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Qur`an dan mengajarnya.

Penyair Labid ketika mendengar al-Qur`an dibacakan beliau berkata, ``Sesungguhnya amat merdu dan indah. Dia adalah tinggi dan tiada lebih tinggi daripadanya. Sesungguhnya pada zaman  bersentuhan dengan Islam. Kumpulan dari orang Arab ini memepelajari  kaedah menulis. Zaman berdekatan dengan Islam  zaman berkembangnya tradisi penulisan.

Sesungguhnya Iqra` kunci bagi segala Khazanah Maklumat yang memancarkan Kegemilangan dan kecemerlangan Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment