May 25, 2013

Ke UPSI Berwacana Teori

Tajung Malim, 13 Rejab 1434 = 23 Mei 2013 (Khamis):

Antara universiti yang masih kuat mendukung Teori Sastera, ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Tanjung Malim. Ini ialah kerana wujudnya tokoh-tokoh teori di sana seperti Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah terkenal membawa Teori Sastera Baru, dan Ta`abbudiyyah, manakala Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali membawa Teori Estetika Bersepadu. Di UPSI sering diadakan seminar-seminar yang berhubung dengan teori, misalnya pada awal Disember 2011 diadakan Seminar berhubung dengan Teori yang penulis turut hadir. Tiga bulan yang lepas juga diadakan wacana yang berhubung dengan teori dan pada hari ini sekali lagi diadakan dengan nama `Wacana Teori Sastera` khusus bagi membincang sebuah kertas kerja `Konsep Estetika Bersepadu` yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali seorang pensyarah di UPSI sendiri. Untuk memeriahkan perbincangan dua orang tokoh dari luar UPSI dijemput. Mereka ialah Profesor Dr. Mohamad Mokhtar bin Hassan dari Universiti Malaya dan Ybhg. Dr Shafie Abu Bakar Mantan Profesor Madya di Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Saudara Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah Pensyarah di UPSI turut menjadi panel Pembahas. Penulis bertolak bersama saudara Azizi dari Bangi, Jam 8.00 pagi dan tiba jam 9.30 pagi pada masa sesi seminar sedang berjalan.

  

Konsep Estetika Bersepadu menurut Profesor Madya Dr. Abdul Halim, Estetika ialah merujuk kepada makna `Keindahan` yang pendapat sedemikian disetujui seperti oleh Muhammad Haji Salleh dan Braginsky. Menurut Muhammad Haji Salleh, ``Keindahan sebenarnya memiliki daya tarikan yang mendorong pembaca suka kepadanya. Ia adalah baik untuk pengarang dan khalayak dan membantu manusia lebih nyaman dan lebih manusiawi.`` Bagi Braginsky, ``Keindahan hadir dan membawa makna dedaktif, pengajaran daripada ciptaan bersifat keagamaan dan sekular.`` Bagi Braginsky keindahan ada bersifat dalaman, luaran dan fungsional, tetapi fungsi fungsional adalah tertinggi. Bagi Mohd Affandi Hassan, keinginan kepada keindahan adalah merupakan sifat semula jadi manusia. Perbincangan mengenai konsep keindahan melalui masa yang panjang iaitu klasik, pertengahan, moden dan pasca moden. Kelahiran istilah `estetika` membawa makna khusus bagi aspek keindahan. Pembicaraan tentang keindahan ini bukan didominasi oleh Barat sahaja, tetapi dibicarakan dalam Tamadun Islam, India, China, Jepun dan Melayu Nusantara.


Saudara Abdul Halim memberi penekanan terhadap tokoh-tokoh klasik Barat seperti Plato, Aristotle, Horace,  Loginus, Plotinus, Aquinas, Dante. Beliau memberi tumpuan kepada pendapat Plato dan Plotinus yang memberi kedudukan unggul terhadap keindahan. Bagi pendapat tokoh moden beliau mengenengahkan pendapat Immanuel Kant yang penilaiannya mengambil kira pengalaman keseronokan dan harmoni terhadap objek sebagai asas bagi menilai keindahan.

Mewakili tokoh Islam saudara Abdul Halim mengambil tokoh al-Ghazali. Pandangan al Ghazali tentang konsep keindahan dapat dikaitkan dengan teori An-Nur (Kajian Al-Ghazali – Mishkat al-Anwar). Bagi Al-Ghazali Cahaya Tertinggi dan Hakiki ialah Cahaya Allah s.w.t, (An-Nur: 35). Seorang lagi tokoh Islam yang dianggap paling komprehensif  didalam membicarakan tentang keindahan di dalam Islam ialah Ismail al-Faruqi. Bagi al-Faruqi,
``Al-Qur`an ialah model seni, oleh itu, sifat seni Islam itu, bersifat Qur`ani dalam erti kata al-Qur`an menjadi model utama dan tertinggi bagi kreativiti dan produksi estetik. Komposisi al-Qur`an selalu tepat, terjalin dengan baik dan indah bagaikan karya seni yang sempurna.``

Dari segi kesusasteraan Melayu, bahawa keindahan merupakan aspek yang paling penting mengungguli kesusasteraan Melayu Tradisional. Keindahan bagi kesusasteraan Melayu hendaklah seharusnya tidak terlepas dan berpaksikan Islam. Bagi Mohd Affandi Hassan konsep keindahan (estetika), ialah yang membawa kebenaran dan membawa manusia kepada hidup beradab, sebagaimana kata Abdul Hadi W.M.

``Di dalam tradisi estetika Islam, Yang Satu dinamakan Yang Hakiki. Dialah asal segala bentuk, segala rupa dan segala makna. Yang hakiki adalah yang Maha Indah dan keindahan itu sendiri – Keindahan tidak terpisah dari kebenaran dan berteraskan tauhid.`` – antaranya selari dengan pendekatan Takmilah yang merujuk kepada sifat Jamal, Kamal, Jalal dan Qahhar (Shafie Abu Bakar) dan Persuratan Baru (Mohd. Affandi Hassan). Pada akhirnya saudara Abdul Halim kembali kepada konsep keindahan berasaskan al-Qur`an dan juga Hadith.

Asas Kesepaduan

Merupakan puncak apa yang hendak dikemukakan oleh saudara Abdul Halim Ali bahawa, ``Kesepaduan adalah proses yang dapat menunjukkan pertalian hubungan unsur-unsur tekstual yang membina makna teks.`` Menurutnya, ``Aspek yang bersepadu meliputi unsur dalaman (idea, pemikiran dan perutusan/mesej) dan unsur-unsur lahiriah teks (bahasa, bentuk, teknik, struktur). Contoh tertinggi ialah dari al-Qur`an.

Berhubung dengan Konsep Estetika Bersepadu, kata saudara Abdul Halim, ``Bermatlamat meletakkan teks kesusasteraan Melayu khususnya puisi pada tahap keindahan bermakna, yakni keindahan yang dapat mendiskripsi stail (gaya bahasa dan pemikiran) penyair dan perutusan agama secara holistic dalam memberi kesan pengajaran dan peringatan kepada pembaca, khususnya kepada umat Islam secara indah pula (berhikmah).`` Matlamat akhir kesusasteraan dari sudut Estetika Bersepadu juga untuk meletakkan teks kesusasteraan pada kedudukan keindahan berpahala yang diistilah sebagai keindahan bermakna. Dalam konseptual Estetika Berpadu, idea stilistik menyediakan lapangan analisis secara langsung terhadap penggunaan gaya bahasa dan kiasan dalam teks-teks puisi yang dikaji. Kajian ini dibina berdasarkan dua aspek utama, iaitu penyepaduan stail dan pemikiran penyair dengan perutusan agama. berasaskan dua alat ukur utama, iaitu gaya bahasa kiasan dan perutusan agama.
Stail yang disarankan ialah penyepaduan gaya bahasa dan pemikiran penyair berdasarkan kesedarannya terhadap kualiti keindahan dan perutusan yang ingin disampaikan kepada khalayak.

Dalam pembicaraan saudara Abdul Halim ini kita mencari dan menunggu teks-teks yang digunakan untuk kajian. Kita dapat maklum hanya selepas pembentangan dan hasil dari pertanyaan peserta tentang tek yang digunakan iaitu empat buah kumpulan puisi Kemala iaitu, Ayn, Pelabuhan Putih, Mim dan Kaktus-Kaktus. Kita mau melihat aspek pengaplikasian terhadap puisi-puisi dari kumpulan puisi-puisi berkenaan, tetapi yang ditampilakan hanya secebis dari puisi `Cinta Al-Farabi` Kemala.

Mawar susila di dada
bakar puing-puing nestapa dan putusasa

Dengan begitu banyak pembicaraan tentang Estetika Bersepadu, kita merasakan amatlah tidak memuaskan dengan penampilan dua baris puisi Kemala sebagai contoh.

Dengan rumusan bahawa Estetika Bersepadu, ialah persepaduan dari aspek-aspek lahiriah dan maknawiyah, bahkan kesepaduan dari segi nilai dan akhlak pengkarya, kita lebih ingin mengetahui sejauh mana kukuhnya contoh-contoh puisi yang dibicarakan dan relevennya teknik-teknik yang digunakan. Ini antara kekurangan yang amat dirasakan.

(Ulasan penal Pembahas akan menyusul).

Sekian.

No comments:

Post a Comment