Pej. Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, 21 Jamadil Akhir 1434 =
02 Mei 2013 (Khamis):
Pagi ini Penulis dikunjungi oleh Associate Professor Dr.
Soda Naoki dari Tokyo University of Foreign Studies – Institute of Global Studies .
Temu Janji ini telah dibuat sejak sebulan lepas melalui internet. Pagi ini
sepatutnya Prof. Soda datang pada jam 11.00 pagi, tetapi beliau meminta tangguh
hingga jam 12.00 kerana mempunyai program dan temu janji di UKM. Ini bukan kali
pertama Profesor Soda datang menemui Penulis, bahkan seingat Penulis, ini
adalah sekurang-kurangnya kali ketiga dalam rangka sebahagian dari kajiannya di
Malaysia .
UKM adalah menjadi pangkalan kajiannya di Malaysia dan sekuarng-kurangnya di
Bangi. Penulis kira kehadiran Prof. Soda ke sini dalam masa hangatnya
pilihanraya ke 13 adalah juga bagi menyaksi dan mengkaji sistem dan perjalanan
pilihanraya di Malaysia ,
khususnya di Selangor.
Profesor Soda, mendapat maklumat awal dari kajiannya
berhubung dengan pilihanraya dan beliau mengetahui kali ini Penulis tidak
bertanding dalam pilihanraya bagi kali ke 13 ini. Lantaran itu dalam pertemuan
banyak pertanyaan berhubung dengan perancangan Penulis pada masa hadapan.
Penulis maklumkan bahawa Penulis `Kembali Kepada Kegiatan Ilmu, khususnya
Menulis`. Ini adalah sebagai penyambungan kegiatan menulis Penulis sebelum
berpolitik, khususnya semasa di UKM. Penulis menyebut beberapa buku dalam
perancangan Penulis untuk menerbitkan – termasuklah beberapa buah kumpulan
puisi yang bahan-bahannya sudah ada. Yang perlu ialah penyusunan dan
penghalusan sebelum diterbitkan.
Profesor Soda juga memaklumkan, bahawa beliau akan mengambil
cuti sabatikal dari universitinya selama 9 bulan. Dalam masa tersebut beliau
akan berada di UKM dan berharap mendapat kerjasama dari Penulis bagi kajiannya
yang akan dilakukan – Mungkin berhubung dengan politik dan budaya di Malaysia ,
khususnya di Selangor. Profesor Soda adalah seorang yang fasih berbahasa Melayu
yang mungkin telah lama dipelajari dan hasil dari beberapa siri kunjungan ke
sini. Kehadiran Profesor/Pensyarah, bahkan Pelajar Pelawat dari Jepun bukan
sesuatu yang baru, bahkan dari pengalaman Penulis menjadi Pensyarah di UKM
selama 25 tahun, ramai daripada mereka ke sini menyertai kegiatan ilmiah,
seminar, bahkan melengkapkan sebahagian dari pengajian mereka di Jepun di sini.
Kini ada pelajar-pelajar dari UKM juga melengkapkan sebahagian daripada kursus
mereka di Jepun. Contoh Kursus dalam bidang Industri. Ada pelajar-pelajar yang memohon bantuan
peruntukan semasa Penulis sebagai Adun Bangi.
Bagi kunjugan kali ini Profesor Soda menyampaikan
Cenderamata beliau kepada Penulis iaitu
sebuah buku kajiannya yang baru terbit mengenai:
Pendidikan Islam di Malaysia
Buku di atas adalah di dalam bahasa Jepun. Sebahagian
daripada gambar memperlihatkan situasi pendidikan Islam – termasuk kulit luar
(Jacket sebelah kanan, manakala kulit luar Jacket sebelah kiri gambar nelayan
membelah lautan). Adalah dipercayai ini adalah sebahagian dari penyelidikan
yang Prof. Soda pernah buat di Bangi lantaran terdapat gambar Yang Berbahagai
Dato` Dr. Harun Din sebagai seorang yang Arif
berhubung dengan makhluk halus. Mungkin pembicaraannya berkait dengan
Darul Syifa`. Pada halaman yang sama (hlm. 270) terdapat gambar Penulis di
Pejabat semasa Profesor Soda pernah datang interview Penulis yang semasa itu
sebagai Adun Bangi.
Sebagai menghargai kunjungan Profesor Soda Penulis juga
menghadiahkan tiga buah buku Penulis kepada Profesor Soda:
1) Bangi
Bandar Ilmu (2012). Buku melakarkan hasrat mempopularkan Bangi sebagai Bangi
Bandar Ilmu dan kegiatan-kegiatan yang berhubung dengan Ilmu
2) Gagasan
Bangi (2012), iaitu himpunan Esei dan Puisi hasil dari pertandingan yang
dianjurkan pada tahun 2011
3) Madu
Ilmu (1999) Kumpulan puisi Penulis yang dirakamkan selama 30 tahun (1969-1999)
selama berada di UKM dan dipersembahkan kepada UKM sempena persaraan Penulis
dari berkhidmat di UKM. Madu Ilmu diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu,
UKM.
Kami berterima kasih antara satu sama lain dengan jangkaan
bertemu lagi.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment