May 12, 2013

Bukan Saja Yang Kalah Kecoh, Tapi Juga Yang Menang. Antara Yang Wajar & Tidak Wajar

-->
BBB, 01 Rajab 1434 = 11 Mei 2013 ((Sabtu):

Sudah seminggu keputusan pilihanraya diketahui, kehangatannya masih berterusan. Ada yang tidak puashati dengan prestasi pencapaian – akibat kekalahan dan ada yang mempersoalkan cadangan perlantikan – berikut dari kemenangan !

MCA dilihat antara parti yang paling parah menerima keputusan pilihanraya 2013. Prestasinya menjunam turun. Pada pilihanraya ke 12 (2008) MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun. Pada pilihanraya ke 13 (2013) hanya memenangi 7 daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi dan 11 daripada 90 kerusi Dun. Kemerosotan ini membimbangkan pendukung MCA. Mesyuarat MCA mencadangkan akan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan sebagai protes terhadap pengundi-pengundi Cina yang tidak memberi sokongan terhadap MCA. Namun permintaan terhadap pimpinan MCA yang dianggap keras datangnya dari 6 cawangan MCA di Pulau Pinang meminta agar Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek meletakkan jawatannya sebagai Presiden MCA. Beliau seharusnya bertanggungjawab di atas kemerosotan sokongan orang-orang Cina terhadap MCA. Datuk Soi Lek sebaliknya tidak bersetuju meletakkan jawatan sebelum menyelesaikan masalah-masalah dalam MCA, namun tidak bersedia mempertahankan jawatannya pada mesyuarat Agung yang akan datang. Desakan yang paling keras datangnya dari Majlis Presiden MCA yang terdiri dari pemimpin veteran MCA yang bermesyuarat di Wisma MCA dan melalui jurucakapnya Bekas Presiden MCA Tan Koon Swan menuntut Datuk Soi Lek meletakkan jawatan serta merta bagi memberi ruang kepada pemimpin baru memberi nafas baru bagi MCA dan jika beliau enggan ada pihak yang mencadangkan agar diadakan mesyuarat Agung Luar biasa bagi melucutkan jawatannya.


Kita melihat perkembangan yang berlaku di dalam MCA ini adalah sesuatu yang rasional dan sihat. Pemimpin-pemimpin veteran dan pendukung-pendukung ,merasa tidak senang dengan prestasi MCA yang semakin menurun dan merudum. Kita berpendapat cadangan agar beliau meletakkan jawatan dengan segera adalah paling tepat, agar masalah yang dihadapi MCA tidak merebak dan pendukung-pendukungnya hilang kepercayaan dan meninggalkan MCA. Satu tindakan yang akan terus melemahkan MCA. Kita percaya dengan kesedaran dan tindakan yang akan diambil pemimpin baru akan lebih diyakini dan berjaya mencergaskan MCA kembali.

Di dalam konteks kemelut yang dihadapi oleh MCA akibat kekalahan di dalam pilihanraya ke 13, pada sebelah pihak yang lain, iaitu Pakatan Rakyat yang boleh disifatkan sebagai pihak yang menang, khususnya di negeri Selangor memperlihatkan akibat dari kemenangan wujudnya bunga-bunga perpecahan. Keberanian Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat YB Azmin Ali yang membuat kenyataan terbuka nampaknya di luar batas dan boleh dipersoalkan. Beliau mempersoalkan tindakan Presiden yang dituduh tidak telus dan tidak berunding terlebih dahulu di dalam menghantar nama calon bagi Menteri Besar Selangor. Beliau mendedahkan Ketua umumnya yang dikatakan tidak puas hati dengan Menteri Besar yang dilantik (Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim) dan beliau dicadang mengambilalih jawatan Menteri Besar sejak pada 2008 lagi, tapi beliau menolak untuk mengelak dari kekecohan. Bahkan beliau juga mempersoalkan tentang asset negeri Selangor berjumlah RM2.6 bilion, tetapi tidak dimanfaatkan. Menurutnya Selangor memerlukan seorang yang lebih berkaliber di dalam memimpin negeri Selangor. Timbalan Presiden ini juga tidak bersetuju dengan desakan jalanan yang mau diambil oleh pihak Penasihat Umum, tetapi mau tindakan diambil menurut saluran.  Semuanya ini menunjukkan gejala-gejala perpecahan mulai wujud dalam Parti Keadilan Rakyat. Kedua-dua pihak nampaknya mempunyai pengikut dari pimpinan atasan dan bawahan.


Kedua-dua fenomena di atas menunjukkan perkembangan yang mempunyai arah berlainan. Pada satu pihak MCA yang sedar dan insaf dengan nasib malang yang diterima, maka dengan segera pemimpin dari semua peringkat menyuarakan pandangan yang bertujuan tidak lain dari memberi nafas baru dan menyegarkan kembali MCA. Satu pihak lagi, iaitu Parti Keadilan Rakyat dalam Pakatan Rakyat, selepas kemenangan menyalakan bunga-bunga perpecahan pada peringkat pemimpin-pemimpin atasan dan pengikut-pengikut masing-masing. Kita menjangkakan pertikaian yang berasal dari Isu Perlantikan Menteri Besar yang membawa kepada menelanjangi berbagai-bagai isu, yang memang ditunggu dan dimainkan oleh musuh, tidak mudah dipadam, bahkan mungkin merebak sebagai api di dalam sekam. Kebimbangan kita bukan saja Parti Keadilan Rakyat akan berpecah, tetapi akan melemahkan Pakatana Rakyat. Sesungguhnya rakyat sedang melihat dan jika kemelut ini berterusan ianya akan melemahkan Pakatan Rakyat. Selangor yang diharap menjadi model kerajaan Pakatan Rakyat. tapi malap dan kehilangan keyakinan rakyat di Selangor dan juga di luar dari Selangor. Mungkin dapat dikatakan DAP akan terus kukuh di Pulau Pinang dan Pas akan terus kukuh di Kelantan, tetapi kedua-dua negeri itu tidak seistimewa Selangor yang diterajui 3 parti dalam Pakatan Rakyat secara seimbang dan tidak didominasi oleh sesuatu kaum. Dalam hal ini Parti Keadilan Rakyat penting sebagai penghubung dan jambatan yang boleh mengurangkan polarisasi kaum. Kita berharap kemelut yang dihadapi oleh Parti Keadilan Rakyat dapat dipadamkan dengan segera. Soal perlantikan Menteri Besar Selangor yang disetujuai oleh Pas dan DAP dan sebahagian dari Parti Keadilan Rakyat (terbaru penegasan dari Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat) perlu diterima dan tidak dipersoalkan lagi. Yang perlu Pakatan Rakyat hendaklah menunjukkan kematangan dan mengelak dari menunjukkan kelemahan kepada musuh. Kita menjangka MCA yang berusaha memulihkan kedudukannya bagi menarik kembali keyakinan rakyat akan berjaya, sedang kita, khususnya di Selangor yang semakin mendapat sokongan rakyat, tapi akibat perpecahan adalah dibimbangi menyebabkan kehilangan sokongan rakyat. Semoga kemelut di atasi dan apa yang dibimbangi tidak terjadi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment