May 14, 2013

Mendaftar Sebagai Pelajar Sulung UKM - Puisi Mengenainya (Memoir)

-->
BBB, 03 Rajab 1434 = 13 Mei 2013 (Isnin):

Tarikh Pembukaan Rasmi UKM ialah pada 18 Mei 1970, tetapi sebenarnya Pelajar Sulung UKM dikehendaki datang lebih awal daripada itu. Tarikh bagi mendaftar di Kolej Kediaman UKM ialah pada Khamis 14 Mei 1970.


Penulis sebagai salah seorang yang ditawarkan mendaftar sebagai pelajar sulung UKM memilih untuk bertolak ke Kuala Lumpur pada hari ini. Tarikh di atas (13 Mei) adalah tarikh kotroversi, pada tahun sebelumnya (13 Mei 1969) berlaku peristiwa Rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur. Terasa bimbang untuk terus ke Kuala Lumpur hari ini kalau-kalau berulang berlaku peristiwa hitam seperti tahun lepas. Namun penulis berazam bertolak hari ini sekurang-kurangnya separuh jalan.

Terasa sayu meninggalkan isteri dan dua anakanda yang kami tidak pernah berpisah (Najiah dan Nadzmi). Masa bertolak dari rumah kecil kami di Padang Midin, Kuala Terengganu anakanda Muhammad Nadzmi sedang tidur nyenyak, manakala anakanda Najiah anak sulung menangis mau ikut sama. Bertolak dengan rasa sayu dan air mata berguguran.
Penulis bertolak dengan kereta Fiat 850 dengan tiga orang lain (Awang Mat Rambai dari Kuala Berang, saudara Abdul Rahman Pulau Manis dan saudara Husin Besut –  Awang datang ke rumah pada pagi itu dan yang lain Jemput di Stesyen Kereta Sewa di Kuala Terengganu) yang sama mau mendaftar di UKM. Tapi pada hari ini kami tidak terus ke Kuala Lumpur, sebaliknya bermalam di Kampung Nyiur, Paka - Kampung asal penulis – bertemu dengan nenek yang sakit dan sempat mendapatkan ubat baginya di Klinik, di Paka.


Pada 14 Mei 1970 pagi-pagi kami bertolak dari Kg. Nyiur Paka ke Kuala Lumpur dan selamat sampai jam 2.00 petang di Kampus UKM, Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur. Sebaik tiba penulis mendaftar di asrama dan ditempatkan di Blok E10, tingkat bawah (satu blok asrama sahaja) bersama seorang pelajar dari Temerloh saudara Salimi.

Pada 15 Mei 1970 ialah hari mendaftar
Pada hari ini mulai daftar kursus yang diambil. Penulis ditawarkan ke Fakulti Sastera. Dua fakulti yang lain ialah Fakulti Sains dan Fakulti Islam.
Penulis membuat pendaftaran bagi kursus-kursus berikut:
Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dan Intropologi/Sosiologi
Subjek yang wajib diambil ialah Matematik dan Sains.
Selepas mendaftar semua mata pelajaran ke Pejabat Dekan serah borang pendaftaran dan membuat bayaran.

Pada 16 Mei 1970 jam 8.00 pagi menghadiri Majlis Amanat Naib Canselor yang disampaikan oleh Dr. Rushdan Baba. Beliau memberi penerangan tentang fungsi UKM. Bahawa UKM menawarkan kursus secara liberal, bermaksud pelajar Fakulti Sastera dan Fakulti Islam mesti mengambil mata pelajaran matematik dan sains dan pelajar Sains mesti mengambil kursus pengajian Islam dan Sastera. Mereka wajib lulus pelajaran wajib termasuk bahasa Inggeris. Naib Canselor juga menerangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Pengantar. UKM menurutnya, ``Didirikan atas hasrat rakyat yang mau mengunggulkan bahasa Melayu sebagai bahasa Pengantar sesuai dengan bahasa tersebut sebagai bahasa Rasmi dan Kebangsaan. Dr. Rushdan Baba mengucap tahniah kepada semua mahasiswa sulung yang diterima masuk ke UKM.


Selepas itu kami beramai-ramai ke Universiti Malaya yang tidak jauh dari UKM bagi tujuan mendaftar keahlian di Perpustakaan Universiti Malaya. Ini ialah kerana pada peringkat permulaan Perpustakaan UKM di Jalan Pantai masih belum sempurna. Di Perpustakaan Universiti Malaya, kami disambut dan diberi taklimat oleh Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Ungku Aziz. Kami sangat kagum berhadapan dengannya. Selama ini nama dan beritanya saja didengar, hari ini berhadapan dan mendapat taklimat daripadanya. Kami juga dibawa melawat ke bahagian-bahagian perpustakaan.

Pada 17 Mei 1970 menghadiri perjumpaan bagi menubuhkan Jawatakuasa Sementara bagi Dewan Rendah Kolej UKM. Penulis mewakili penghuni bagi ground floor. Dalam majlis di Kolej ini dihadiri oleh En. Arifin Suhaimai selaku Pengetua Kolej. Turut hadir dua orang fellow. En. Arifin Suhaimi menyampaikan taklimat. Kemudian perbincangan dipindahkan ke bilik khas dan diadakan pemilihan AJK Sementara Dewan Rendah Kolej UKM.  Mereka yang dipilih:

En. Bustamam Yahya    -  Pengerusi
En. Jamaluddin              -  Setiausaha
En. Shamsul Bahrin       -  Penolong Setiausaha
Sdr.  Masri                      -  Bendahari
Turut dilantik 5 AJK.
Pada malamnya diadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang ceramahnya disampaikan oleh Tan Sri Profesor A. Jalil Hasan Dekan Fakulti Islam UKM.
Berikutnya pada malam itu juga diadakan perjumpaan antara AJK Dewan Rendah Kolej yang antara tugasnya merangka Perlembagaan dan Aturan Kolej.

Penulis sesungguhnya menulis sejak awal 1960an. Untuk Hari Pertama Mendaftar diri di UKM penulis merakamkannya di dalam puisi yang menjadi salah sebuah puisi dalam Kumpulan Madu Ilmu Penulis:

Hari Pertama Di Kampus Universiti

Dari KT ke KL
Daki mendaki turun menuruni
Ku lempar pandangan ke gaung curam
Terasa dalamnya kesan perpisahan.

Jam dua – empat belas Mei
Pertama kali melangkah ke Kampus Universiti
Melihat binaan tinggi meninggi
Dengan suatu nekad
Mau dakinya tingkat ke tingkat.

Di puncak menaranya
Ku dongak kampung lamanku
Sedang anak isteri di sudut hati
Dengan wajah berselubung rindu.

Pesanku pada isteri
Biarlah anak manis
Bermain di laman hati
Hilangkan tangisnya
Pada ayah yang pergi
Kerana di sini
Ku ingin memungut permata
Menyinari kita
Di hari muka

Shafie Abu Bakar,
Universiti Kebangsaan Malaysia
14 Mei 1970.

(Dipetik dari Kumpulan Puisi, Shafie Abu Bakar, Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, FSKK, UKM,  1999: 165).

Sekian.

1 comment: