May 29, 2013

Takziah Kepada Mr Sem Dan Saudara Haji Uwais

-->
BBB, 15 & 16 Rajab 1434 = 25 & 26 Mei 2013 (Sabtu & Ahad):

Pada petang Jumaat Mantan Adun Bangi dimaklumi oleh saudara Ari Krishnan bahawa ibu kepada saudara Sem di West Country meninggal dunia. Mantan Adun ambil maklum bahawa esok Mantan Adun akan datang menziarah. Saudara Ari adalah Ketua Lajnah Perpaduan Kaum bagi Kawasan Serdang dan Ketua Lajnah Perpaduan Kaum bagi Mantan Adun Bangi (AJK Kabinet Mini Bangi). Beliau tinggal di Pekan Bangi. Saudara Sem pula selaku Timbalan kepada saudara Ari dan Ketua Perpadauan Kaum di West Country, tempat tinggal bagi saudara Sem (West Country). Kedua-duanya adalah aktif dan banyak memberi sumbangan di dalam menarik sokongan masyarakat India di Serdang kepada Pakatan Rakyat.


Pada pagi Sabtu Mantan Adun pergi menziarah Ibu Mr. Sem yang meninggal dan mengucapkan takziah kepada Mr. Sem di atas kematian ibunya yang difahamkan berumur 81 tahun. Kematiannya adalah disebabkan sakit tua. Semasa Mantan Adun Bangi sampai ramai dari jiran tetangga Mr. Sem dan kenalan dari luar datang ziarah dan memenuhi khemah yang dipasang dihadapan rumah. Mantan Adun Bangi disambut oleh orang ramai yang hadir dan bersalam dengan mereka dan bertanya khabar. Mantan Adun berada 15 minit dan mengucap takziah kepada Mr. Sem di atas kematian ibunya. Menurut Mr. Sem, ``Urusan membawa mayat ke cheras akan dilakukan pada jam 12.00 tengahari. Sekali lagi Takziah kepada Mr. Sem dan keluarga.


Sementara itu pada pagi Ahad 26 Mei, Mantan Adun menerima maklumat bahawa Ibu kepada Tuan Haji Uwais bin Zairi meninggal di Hospital Besar, Kuala Lumpur akibat sakit kanser. Sememangnya pada pagi tadi ada bacaan Al-Qur`an dari Surau Istiqamah, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi yang dengan adanya bacaan Al-Qur`an, luar masa kebiasaannya menandakan ada kematian penduduk setempat. Dengan menghubungi pihak berkaitan adalah dimaklumkan bahawa jenazah Ibu Haji Uwais akan dibawa pulang dari Hospital Besar, Kuala Lumpur pada jam 9.00 pagi. Tuan Haji Uwais merupakan Bekas Ketua Unit Amal Bangi dan Timbalan Ketua pada peringkat Serdang.


Tiga bulan yang lepas, semasa masih Adun Bangi, Adun ada melakukan ziarah bersama Lajnah Kebajikan terhadap mereka yang usia emas dan yang sakit di Seksyen 16, BBB.  Termasuk senarai ziarah ialah terhadap Ibu Haji Uwais – Puan Badariah yang pada masa itu telah mulai sakit, tetapi masih belum ketara seriusnya. Puan Badariah dan suaminya En. Zairi serta Haji Uwais masih kelihatan sihat dan melayan kami yang datang. Bahkan pada kesempatan kami datang, kami dapat saksikan koleksi wang-wang lama yang dihimpun oleh Encik Zairi. Keadaan menjadi serius lebih kurang sebulan yang lalu, berikutnya Puan Badariah dimasukkan ke Hospital Besar, Kuala Lumpur. Ramai yang menziarah. Mantan Adun mewakilkan kepada Isteri pergi menziarah seminggu yang lepas. Menurut isteri Mantan Adun, semasa menzirah, Puan Badariah masih dapat bercakap secara normal dengan tamu-tamu yang datang menziarah. Beliau meminta maaf dan mohon didoakan kesejahteraannya.


Jenazah Ibu Haji Uwais dibawa balik dari Hospital Besar,lebih kurang jam 9.00 pagi. Mantan Adun Bangi menziarah lebih kurang jam 10.00. Jenazah dimndi dan diselenggarakan di Bilik Mayat Surau Al-Istiqamah. Difahamkan anak yang paling jauh – dari Kuala Terengganu turut tiba semasa jenazah di Surau.
 Sembahyang jenazah dilakukan lebih kurang jam 12.00 oleh lebih dari 50 orang jamaah. Pihak Mantan Adun diminta mengimami Solat Jenazah, tapi Mantan Adun mengingatkan, kalau dapat anak sendiri mengimami – maksud Haji Uwais adalah lebih afdal. Jadi Tuan Haji Uwais mengimami Solat Jenazah bagi ibunya dan Mantan Adun Bangi membaca doa.


Jenazah Puan Badariah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Sungai Tangkas.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Al-Marhumah Puan Badariah. Al-Fatihah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment