May 24, 2013

Lebuh Ilmu - Al-Quranul Karim

BBB, 03 Rajab 1434 = 13 Mei 2013 (Isnin):


Impak yang penting dengan kehadiran Islam ialah pertumbuhan dan Perkembangan Ilmu. Sumber utama perkembangan keilmuan Islam ialah:

1)      Al-Qur`anul Karim
2)      Rasulullah s.a.w. dan Hadith-Hadith Baginda
3)      Para sahabat dan Tabi`in
4)      Para Ulama` dan Intelektual
5)      Warisan Tradisi dan Penerokaan Moden

Al-Qur`anul Karim

 Penamaan Al-Qur`anul Karim mempunyai keistimewaan tersendiri, kerana ianya mempunyai kaitan dengan `Membaca` yang merupakan wahyu dan firman pertama diterima Rasulullah s.a.w. Bererti umat Islam digesa membaca yang memberi makna seharusnya menjadi orang yang berilmu. Al-Qur`an juga dinamakan `Al-Kitab` (al-Baqarah: 2) yang di dalamnya mengandungi Ilmu dan Maklumat yang ada kaitan dengan Iqra`. Difahami dari maksud `Membaca` dan `Kitab` perlu ada aktiviti menulis bagi membaca ilmu dan maklumat di dalam `Kitab`. Menariknya golongan yang membaca kitab dan ilmu disifatkan di dalam al-Qur`an sebagai `Ahlul Kitab` (al Bayyinah: 1 & 6). Bermaksud mereka golongan pembaca, ahlul ilmi, intelektual dan sebagainya.

Meneliti gaya susunan lahir al-Qur`an  yang terdiri dari surah-surah (114 surah) dan ayat-ayat 6,236 (Hamka, Tafsir al-Azhar, Jil I, 2001: 7) dan bandingkan dengan hasil-hasil karya zaman Jahiliyah , baik dari segi puisi dan prosa – Nasihat, kata hikmah dan  khutbah, maka didapati tidak ada kesamaan dengan al-Qur`an baik dari segi bentuk dan gaya bahasa. Tiada satu penulisan yang dihasilkan pada zaman Jahiliyyah berbentuk  seperti surah-surah di dalam  al-Quran atau penggunaan bahasa dan gaya bahasa yang sama. Ini bermakna al-Qur`an membawa gaya baru dalam pengungkapan yang tidak terpengaruh dengan perkembangan puisi yang sedang rancak berkembang pada masa kehadiran Islam. Ianya juga tidak terpengaruh dengan bahasa-bahasa khutbah yang juga popular di kalangan masyarakat Arab pada masa kehadiran Islam.

Di dalam hal ini menurut Malik Bennabi, ``Linguistically, the Qur`an has its own terminology. Thus, from the philological as well as the literary point of distinction view, this phenomenon has created a clear distinction between Jahili Arabic  and Islamic Arabic.`` (Malik Bennabi, The Qur`anic Phenomenon, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 2001: 147).

Al-Qur`an bukan kitab dalam bentuk prosa, tetapi di dalamnya membawa elemen-elemen prosa yang terbukti sebahagian dari kandungan al-Qur`an adalah bersifat kisah-kisah atau cerita dan al-Qur`an juga bukan kitab puisi, tetapi di dalamnya kaya dengan elemen-lemen puisi, bahkan al-Qur`an menjadi contoh yang baik dari segi bahasa dan perpuisian yang boleh dikaji dan dihayati melalui nahu- saraf, ilmu balaghah – Ma`ani, bayan dan badi`. Penyusunan ayat-ayat al-Qur`an mempunyai significant tersendiri, bahawa kandungan al-Qur`an sungguhpun tersusun secara juz` dan surah, tetapi ayat-ayat al-Qur`an dapat berdiri dengan sendiri dan boleh diangkat bersendirian sebagai istinbat keilmuan, dalil dan sebagainya.

Paling jelas bahawa al-Qur`an adalah Kitab Ilmu. Berdepan dengan Qur`an adalah berdepan dengan alam, bahkan berdepan dengan kewujudan. Kesegalaan adalah dibicara oleh al-Qur`an, Ayat Qur`an antaranya bermaksud:

``Kami tidak  tinggalkan dari membicarakan di dalam al-Qur`an daripada sesuatu.`` (Al-An`am: 38). Perkara-perkara yang dibicarakan, antaranya:

1)      Aqidah tauhid yang tidak berbeza dari aqidah pegangan yang dibawa oleh Rasul-Rasul terdahulu
2)      Syariat perundangan bagi panduan kehidupan
3)      Alam kosmologi dan cakerawala
4)      Nilai akhlak sebagai panduan bagi kehidupan sosial masyarakat
5)      Kehidupan kekeluargaan bagi menjamin kebersihan kelangsungan kehidupan
6)      Kaedah bernegara dan pemerintahan
7)      Kisah dan cerita sebagai tamsil dan panduan
8)      Peraturan-peraturan ibadat dan kerohanian
9)      Contoh panduan bagi aspek bahasa dan kesusasteraan
10)  Alam akhirat yang kekal abadi

Sesungguhnya al-Qur`an adalah sebuah Kitab yang dituntut dibaca. Menurut maklumat tiada sebarang buku yang  dicetak begitu banyak untuk dibaca seperti al-Quran. Selain dari membaca secara biasa, ada yang membacanya dengan kefahaman bagi keperluan kajian, huraian dan penerokaan.

Untuk kefahaman bagi seluruh al-Qur`an, timbul usaha mengulas seluruh kandungan al-Quran yang dikenali dengan terjemahan dan tafsir. Terjemahan dan tafsir ini dilakukan bukan sahaja di dalam bahasa Arab, tetapi di dalam berbagai bahasa umat Islam, bahkan bukan umat Islam.

Antara terjemahan seperti:

Al-Qur`anu`l- Karim, Terjemahan Dan Huraian Maksud oleh Abu Salah Muhammad `Uthman El-Muhammady, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 6 Jilid.

Antara tafsir di dalam bahasa Melayu (juga Indonesia):

Al-Qur`nul Karim Wa Bihamishihi Tarjuman al-Mustafid (Abdullah bin Umar bin Muhammad al-Shirazi) oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri al-Jawi, Singapura, Maktabat wa Matba`at Sulaiman Mar`I, 1370H./1951M.

Tafsir al-Azhar, oleh Profesor Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA), Singapura, Pustaka Nasional Pte Limited, 2001. 10  Jilid.
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Kuala Lumpur, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1985.
Sharh Tafsir Ibn Kathir, oleh Team Ahli Tafsir di bawah Pengurusan Syaikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri, Jakarta, Pustaka Ibn Kathir, 2000M./1421 H. 9 Jilid.

Tetapi tafsir yang banyak ialah di dalam bahasa Arab, antaranya seperti:

Tafsir al- Quranil Azim li al Imamayni Al-Jalalayn, oleh Al Allamah Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli wa al-Shaykh al-Tabahhuri Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr al-Sayuti, Singapura, Maktabah wa Matba`ah Sulaiman Mar`I, tt. 2 Jilid.

Tafsir Fi Zilal al-Qur`an, oleh Sayyid Qutb, Beirut: Dar al-Shuruq, 1400H/1980M, 6 Jilid.
Dan berbagai-bagai tafsir lagi.

Penggalian terhadap al-Qur`an juga dilakukan dengan berbagai cara. Misalnya dengan penekanan kepada aspek-aspek tumpuan pengkaji seperti:

  • Malik Bennabi, The Qur`anic Phenomenon, Kuala Lumpur, Islamic Book Trust, 2001.
  • Muhammad Qutb, Dirasat Qur`aniyyah, Beirut, Dar al-Shuruq, 1400H/1980M.
  • Mohd Arip Kasmo, Kehebatan Susunan al-Quran, Senawang, Pusat Perniagaan Senawang, Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, 2010.
  • Khurram Murad, Way To The Quran, Kuala Lumpur, The Islamic Foundation, 1985/1405.

Terdapat kajian khusus mengenai sesuatu aspek yang menjadi minat pengkaji misalnya
Berhubung dengan Cakerawala dan Sains seperti:
Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buty, Hakikat Alam Semesta dan Cakerawala Menuju Iman Yang Teguh (Terjemahan Zayuki bin Mohamed), Kuala Lumpur, Jasmin Enterprise, 2000.
Sulaiman Nordin (Penyelenggara), Sains Menurut Perspektif Islam,, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.
Turut membuat kajian terhadap kandungan al-Qur`an oleh yang bukan Islam misalnya
tentang ketuhanan. Menurut Karel Armstrong berhubung dengan kajiannya terhadap tiga agama besar (Islam, Yahudi dan Kristian) bahawa:

``Tuhan orang Yahudi, Kristen, dan Islam adalah Tuhan yang – dalam beberapa pengertian – berkata-kata (berfirman). Firmannya sangat krusial di dalam ketiga agama besar itu. Firman Tuhan telah membentuk sejarah kebudayaan kita.`` (Karen Armstrong, Sejarah Tuhan, Bandung, Pustaka Mizan, 1995: 25).
Manakala yang lain seperti Toshihiko Izutsu yang menterjemah al-Qur`an ke dalam bahasa Jepun. Beliau mengkaji tentang iman dan Islam. Menurutnya:``Belief was historically the first and the most important of all the theological concepts of Islam.`` (Toshihiko Izutsu, The Concept of Belief In Islamic Theology, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 2006: IX).
Perkembangan seterusnya al-Qur`an menjadi sumber bagi berbagai-bagai bidang ilmu yang banyak yang memperkukuhkan keilmuan Islam seperti ilmu aqidah (Usuluddin), fiqh, akhlak, tasawuf, astronomi, perubatan, bahasa (termasuk nahu-saraf), sastera, sains, teknologi, pertanian, politik, kenegaraan, ekonomi dan berbagai lagi.

Al-Qur`an sesungguhnya ianya bukan sebagai buku biasa yang disimpan di rak-rak dan susunan buku, tetapi sejak ditanzil adalah dinamik yang terus hidup dibaca di dalam solat, ditadarrus di masjid, surau, madrasah dan di rumah-rumah, diajar di Sekolah dan pusat pendidikan, dipetik, diulas dan ditafsir oleh maha-maha guru di pusat-pusat pengajian tinggi. Terus menjadi bahan bagi penulisan-penulisan. Menjadi rujukan bagi perundangan dan pentadbiran, bahkan mewarnai peribadi dan individu generasi al-Qur`an. Pun begitu penerokaan terhadap al-Qur`an, penggalian terhadap mutiara kandungan dan rahsia-rahsia keilmuan tidak akan terhenti, bahkan berterusan. Demikianlah dinamiknya al-Qur`an.

Sekian.

No comments:

Post a Comment