BBB, 01 Rajab 1434 = 11 Mei 2013 (Sabtu):
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di
dunia dan amal-amal salih yang kekal faedah itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai
pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan (Al-Kahfi: 46).
FirmanNya lagi bermaksud:
Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain melainkan
permainan dan hiburan serta perhiasan juga bermegah-megah di antara kamu serta
berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak (Al-Hadid: 20).
Kehidupan kita dalam masyarakat Islam seharusnya menurut
nilai dan budaya masyarakat Islam. Nilai dan budaya ini kadang-kadang bersifat
tempatan dan seharusnya tidak bercanggah dengan nilai dan budaya Islam. Antara
ciri nilai dan budaya masyarakat Islam ialah hidup secara berkeluarga dan
mempunyai hubungan yang baik di antara keluarga dan jiran tetangga. Sama
menunaikan solat berjamaah bagi kaum lelaki di masjid dan surau, sama menyambut
hari-hari kebesaran seperti Maulidur Rasul dan Hijratur Rasul s.a.w. atau
menyambut Idul Fitri dan Idul Adhha, juga sama bergotong royong dan menjaga
keselamatan kampung agar hidup masyarakat umat dalam aman damai.
Dalam masyarakat aman bahagia sedemikian ada peristiwa dan
upacara bagi melahirkan kesyukuran dan kegembiraan. Bagi kehidupan suami
isteri, tidak dianggap sempurna jika tidak mempunyai anak-anak yang menyambung
hayat dan zuriat. Kelahiran seorang anak – terutama anak sulung disifatkan
rezeki dan kurniaan Allah bagi ibu bapa dan keluarga dan disambut dengan penuh
kesyukuran. Dalam Islam bagi melahirkan kesyukuran dianjurkan (sunat yang
dituntut) melakukan aqiqah dan sedekah.
Peristiwa gembira ini sering dialami penulis dengan
menghadiri Majlis Aqiqah yang diadakan oleh ibu bapa, orang tua dan keluarga.
Sebagai contoh seorang datuk menjemput jiran-jiran terdekatnya pada pagi ini
bagi mengadakan Majlis Aqiqah dan Kesyukuran sempena kelahiran cucunya. Penulis
hadir memimpin Majlis dengan baca Yasin, tahlil dan salawat ke atas Rasul dan
turut sama memotong jambul cucunya yang ditatang oleh ayah bayi berkenaan
mengelilingi tamu semasa salawat berlangsung, Majlis yang memang dituntut agama
dan menjadi sebahagian dari nilai budaya masyarakat yang berorientasikan Islam
terasa kesucian dan keluhurannya. Majlis yang seumpama ini seharusnya
dihidupkan di tengah masyarakat sebagai melahirkan kesyukuran dan mengeratkan
hubungan kemasyarakatan.
Satu lagi proses kehidupan kekeluargaan, ialah Majlis
Perkahwinan. Sudah menjadi tuntutan keagamaan dan alam, seseorang anak apabila
sudah remaja, baik lelaki atau perempuan memerlukan pasangan untuk meneruskan
kehidupan dan keturunan. Untuk melangsungkan perkahwinan perlu melalui adat dan
nilai keislaman, misalnya bertunang, aqad dan majlis jemputan bagi meraikan perkahwinan
yang bertujuan juga bagi menghebahkan perkahwinan dan kesyukuran. Majlis
sedemikian biasanya di adakan pada hari-hari minggu – Sabtu dan Ahad, bagi
memudahkan jemputan untuk hadir. Boleh dikatakan setiap hari minggu penulis
menerima jemputan kahwin. Contohnya selepas Majlis Aqiqah di atas Penulis
menerima 3 jemputan kahwin dari tengahari hingga di waktu malam (Jemputan di
waktu malam). Kehadiran adalah bagi menunaikan jemputan dan bagi meraikan
pengantin yang merupakan hari amat bermakna bagi kehidupan mereka.
Di sebalik melahirkan rasa kesyukuran, kehidupan juga
menurut ketentauan Tuhan dan juga hukum alam, bahawa tiap-tiap yang hidup
menemui ajal kemataian
Firman Allah bermaksud:
Tiap-tiap yang hidup merasai kematian. (Ali Imran: 185)
Jika dua-dua majlis di atas bersifat gembira, maka peristiwa
kematian adalah bersifat duka dan menginsafkan tentang kefanaan diri. Bagi
kematian juga ada adat dan aturan. Jika di kampung maklumat dihebahkan ke
seluruh kampung. Jiran tetangga dan kenalan jauh dan dekat datang bertandang
mengucap takziah dan kalau boleh sama bersolat jenazah dan turut sama
menghantarkan jenazah ke perkuburan. Hari-hari berikutnya turut sama bertahlil
diadakan sempena dengan kematian yang diraikan. Demikian rutin dan pusingan
kehidupan yang sepatutnya difahami dan mengerti tentang kesementaraan hidup.
Yang terbaik bukannya bermegah dengan turunan, kedudukandan kekayaan, tetapi dapat
difahami dari firman Allah bermaksud:
Demi masa !
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih
Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
Serta berpesan-pesan dengan sabar (Al-`Asr: 1 -3)
Sekian.
No comments:
Post a Comment