May 16, 2013

Tahniah Tan Sri Khalid Dilantik Menteri Besar Selangor Bagi Penggal Kedua. Semoga Menjadi `Khalid` Paling Berjaya Antara Tiga Khalid Dilantik !

-->
BBB,  05 Rajab 1434 = 15 Mei 2013 (Rabu):

Turun dari Surau al-Umm bersama-sama sahabat-sahabat selepas menunaikan fardu Subuh dan mengikuti tazkirah ringkas dan dalam perjalanan pulang seorang sahabat bertanya,
``Macam mana perlantikan Menteri Besar Selangor ?``
``Al-hamdulillah, Tan Sri Khalid angkat sumpah depan Tuanku Sultan semalam,`` jawabku. ``Tinggal perlantikan barisan Exco, kita tunggu pengumuman,`` tambahku.
Sahabatku melanjutkan perbincangan, ``Sepatutnya perebutan berlaku antara parti, tapi nampaknya berlaku dalam satu parti,`` katanya. Aku cuba meredakan persoalan yang merujuk kepada kelewatan perlantikan dengan menjawab, ``Itulah politik, tujuan untuk berkuasa, kalau tak ada pergeseran dan perebutan bukan politik !`` jawabku.
Sambil berjalan itu sahabatku ini mengalih kepada persoalan lain dan menambah, ``Sayang Dr. Hasan Ali, kalau tak keluar parti, ini peluang terbaik baginya menjadi MB !`` Aku hanya menjawab, ``Dia menyimpang ke jalan baru.`` Masa itu aku menyimpang ke jalan rumahku dan sahabatku sambil menyimpang ke jalan rumahnya mengungkapkan ayat ``Wa makaru wa makarallahu …`` Dalam fikiranku terlintas, ``Itulah kebesaran Allah Yang Maha Mengetahui dan Mengatur semua menurut sebagaimana dikehendaki dan sering menyimpang dari yang kita kehendaki !``


Sebagaimana biasa selepas ke pejabat selepas subuh melaksanakan tugas dan pulang ke rumah biasanya lebihkurang jam 8.00 pagi aku membeli akhbar-akhbar di warung depan rumahku. Sepintas lalu melihat dalam semua akhbar pagi ini antaranya membawa berita yang bagiku menarik, pengangkatan tiga orang Khalid !

1)      Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor
2)      Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Besar Johor
3)      Tan Sri Khalid Abu Bakar selaku Ketua Polis Negara

Tahniah juga kepada mereka semua.

Dalam mindaku, biar pun perlantikan mereka secara hampir bersamaan, tetapi membawa makna dan isyarat tersendiri.
Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat yang membawa obor melambangkan kemajuan negeri maju di bawah Pakatan Rakyat, manakala Datuk Seri Mohamed Khaled diamanahkan oleh Umno-BN mempertahankan kubu terkuat Umno daripada jatuh, di samping juga membawa misi kemajuan yang dilambangkan dengan Pembangunan Iskandar. Adapun Tan Sri Khalid Abu Bakar diamanahkan sebagai orang yang mempastikan keamanan dan memberi ruang kepada mereka berdua dan lain-lain peluang mempastikan maximum kemajuan yang dapat dicapai.


Tugas utama Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim ialah membaiki imej yang tercalar pada Pakatan Rakyat, khususnya bagi Parti Keadilan Rakyat di Selangor dan memberi kesaksamaan di dalam melantik Exco-Exco yang akan membantu YAB Dato` Menteri Besar di dalam mengendalikan pentadbiran negeri Selangor. Setiap Exco perlu dipastikan mempunyai rangka pendekatan, program-program dan jadual-jadual kerja yang akan dikendalikan bagi sepenggal dan bagi setiap tahun pentadbiran. Setiap Adun juga perlu patuh dengan program yang diatur pada peringkat negeri dan mempunyai pendekatan, program dan penyelesaian yang patut dijalankan pada peringkat Dun.

Kita berpendapat ada janji-janji yang masih belum diselesaikan bagi penggal yang lepas. Paling utama ialah janji mau mengambilalih pentadbiran air negeri Selangor ditambah dengan janji mau memberi saham air kepada rakyat. Janji ini perlu diselesaikan, jangan sampai hingga ke hujung penggal tidak dapat diselesaikan. Sekiranya tidak berselesai akan merosakkan imej dan kredibiliti kerajaan negeri Selangor dan boleh mengurangkan sokongan rakyat. Perlu diambil ingatan bahawa perkhidmatan PBT negeri Selangor hingga ke akhir pemerintahan bagi penggal lepas masih tidak memuaskan. Tugas utama bagi Exco Kerajaan Tempatan jangan mengulangi masalah-masalah yang lepas dan bertindak tegas terhadap PBT-PBT yang cuai atau sengaja menimbulkan masalah.
Satu masalah yang besar memasalahkan rakyat negeri Selangor, ialah kekurangan rumah rakyat yang mampu milik. Walaupun masalah ini telah diusahakan untuk mengatasi pada penggal yang lepas, kita berpendapat, ianya lebih banyak publisiti dari hakikat rumah rakyat dapat dimiliki. Kita berharap dengan adanya reserve kerajaan negeri Selangor sebanyak RM2.6 bilion itu tidak hanya indah dari segi sebutan, tetapi hendaklah diterjemahkan kepada tindakan, bukan hanya diguna untuk membina tambahan Jambatan Kelang, tetapi memberi tumpuan dan peruntukan bagi membina rumah mampu milik kepada rakyat di setiap Dun. Penggunaan wang tidak merugikan, tetapi menjual kepada rakyat dengan harga minimum.

Perlu ditarik perhatian, sungguhpun Manifesto Pakatan Rakyat adalah bagi peringkat Persekutuan dan tidak dapat dilaksanakan kerana Pakatan Rakyat tidak dapat menguasai Putrajaya seperti rancangan mau menurunkan harga petrol dan diesel, penghapusan tol secara berperingkat dan menurunkan harga kenderaan dan sebagainya, tetapi ada janji-janji yang mampu dilaksanakan pada peringkat negeri yang perlu dilaksanakan. Contoh:

  • Bonus RM1000 setiap tahun kepada semua warga emas.
  • Bantuan RM300 bagi setiap murid Sekolah Rakyat
  • Caruman Wanita Malaysia (RM10-RM100) sebulan untuk isteri
  • Tabung usahawan Perajurit
  • Banteras rasuah, monopoli kroni dan sekatan media.

Perkara-perkara yang dijanjikan ini diharap tidak diabaikan oleh Kerajaan negeri Selangor. Kita percaya Datuk Seri Khaled Nordin Menteri Besar Johor yang telah melantikkan Exco-Exconya mempunyai pendekatan dan program-program yang siap sedia untuk dilaksanakan yang secara tidak langsung mencabar kemajuan negeri Selangor. Namun kita percaya, walaupun Johor mempunyai Projek Iskandar dan Pelabuhan Senai yang besar, kita percaya Johor tidak dapat menandingi Selangor. Kita percaya Tan Seri Khalid Abu Bakar Ketua Polis Negara dengan tenaga Pengaman di seluruh negera, mempastikan keamanan berlaku dan negeri dan Negara maju.


Sekian.

No comments:

Post a Comment