BBB, 08 Rajab 1434 = 18 Mei 2013 (Sabtu):
Sumpah Mahasiswa
18 Mei
Di dewan universiti
Kami siswa pertama
Tegak berdiri di depan Bapak Menteri
Melafaz ikrar mahasiswa
Mengangkat tangan ke muka
Penuh setia.
Bahawa kami mahasiswa pertama
Patuh pada tata susila
Nilai budi tonggak universiti
Sanggup melayari bahtera
Di laut ilmu tanpa tepi
Memetik biji-biji mutiara
Hiasan dada bangsa.
Berderap duduk para siswa
Lalu gugur manik-manik air mata
Pecahan rasa runtuh dari dada
Terharu pada sejarah tertinta.
Shafie Abu Bakar,
Dewan Universiti Kebangsaan Malaysia .
18 Mei 1970.
(Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Februari 1971,
hlm. 50. &
Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, 1999, hlm. 163).
Pada Isnin jam 2.00 petang pada tarikh di atas Majlis
Mengangkat Sumpah Mahasiswa Sulung UKM berlangsung di Auditorium Universiti
Kebangsaan Malaysia , Kampus
Jalan Pantai, Pantai Baharu, Kuala
Lumpur . Tarikh Isnin 18 Mei 1970 ini diterima sebagai
tarikh rasmi bermulanya Pembukaan UKM. Majlis dihadiri oleh Datuk Haji Abdul
Rahman Yaakub Menteri Pelajaran Malaysia ,
Dr. Muhammad Rashdan bin Baba Naib Canselor UKM, Wakil-Wakil
Universiti-Universiti Dalam dan Luar Negara, professor-profesor, pejuang-pejuang
UKM seperti Syed Nasir Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Penaja Menubuhkan UKM), Mahathir
Mohamad (Naib Pengerusi), Zainal Abidin Wahid, Abu Bakar Hamid dan mahasisawa-mahasiswa
sulung UKM. Penulis sebagai salah seorang mahasiswa sulung yang hadir sama
Mengangkat Sumpah merakamkan peristiwa bersejarah berkenaan dengan gubahan
sebuah puisi berjudul `Sumpah Mahasiswa` di atas.
Sesungguhnya untuk sampai kepada tarikh bersejarah Pembukaan
UKM di atas adalah melalui perjuangan yang panjang.
Keperluan kepada UKM bermula dari Penyata Pelajaran Razak
(1956) yang memerlukan kepada pengwujudan aliran Menengah Melayu dan seterusnya
Universiti. Usaha bagi mengadakan Sekolah Menengah Melayu bermula dengan
terdirinya Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh, Sekolah Dato` Abdul Razak di
Seremban dan Sekolah Alam Shah di Kuala Lumpur. Tetapi keluaran-keluaran dari sekolah-sekolah
ini tidak dapat menyambung pengajian kerana tidak ada saluran di peringkat
tinggi, kecuali Ke Universiti Malaya yang amat terhad tempatnya. Rakyat
mendesak supaya diwujudkan Universiti Kebangsaan dan janji untuk mendirikannya
ialah pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, namun bila tiba tarikh
tersebut universiti dijanjikan tidak juga terdiri. Ini menyebabkan
aktivis-aktivis UKM, Persatuan Bahasa Melayu UM, Kesatuan Guru-Guru Melayu,
Persatuan-Persatuan Penulis dan rakyat mendesak supaya didirikan UKM. Misalnya
Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya mengadakan Seminar Bahasa
Kebangsaan pada 29 Oktober 1966
memfokuskan penggunaan bahasa Kebangsaan di Universiti, Tuntutan yang lebih
jelas supaya UKM didirikan apabila diadakan Kongres Universiti Kebangsaan
pada 15 Mac 1969. Suasana agak hangat pada masa itu oleh
kesedaran orang Melayu bahawa mereka ketinggalan dalam lapangan pelajaran dan
ekonomi.
Penulis yang pada masa itu sebagai guru yang juga bercita-cita
untuk menyambung pengajian di universiti, turut terpercik dengan semangat
memperjuangkan agar UKM didirikan. Puisi berikut yang ditulis pada bulan
September 1968 membuktikan:
Universiti Kebangsaan
Jiwa bumiputra
Sekian lama membara
Menyimpan hasrat terpendam
Dibedung suasana
Tiba-tiba pecah
Digegar
Tuntutan KTAR.
Suatu permintaan gagah
Keluar mencurah-curah
Universiti Kebangsaan
Mesti didirikan
Dasar pelajaran kebangsaan
Perlu dihormati
Bumiputra bergerak
Tegak mendesak
Dengan hasrat
Akhirnya diumum pasti
Universiti Kebangsaan
Rasmi didirikan.
Universiti Kebangsaan
Anak kandungan
Hasil cinta anak watan.
Shafie Abu Bakar,
Kg. Raja, Besut
16 September 1968.
Sememangnya diakui pada masa itu ada semacam ketegangan,
bila usaha sedang rancak dilakukan bagi mendirikan Universiti Kebangsaan, pada
masa itu juga kaum Cina juga sedang berusaha mendirikan Kolej Tengku Abdul
Rahman (KTAR), dicampur banyak lagi rasa tidak puashati di kalangan bumiputra
yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969 itu.
Walau macam mana atas desakan rakyat, maka pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia ,
iaitu YB. Mohd. Khir Johari Menteri Pelajaran Malaysia
pada masa itu ketika berucap merasmikan Pembukaan Seminar Pendidikan di
Malaysia bertempat di Maktab Perguruan Lembah Pantai (Bakal tapak sementara
UKM), mengumumkan pada 7 September 1968 bahawa kerajaan akan
menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia . Keputusan ini turut sama
tercetus di dalam puisi Penulis di atas. (Mohd Ali Kamaruddin, Universiti
Kebangsaan Malaysia
– Sejarah Penubuhan, Bangi, Penerbit UKM, 2006: hlm. 93).
Hasil desakan dan gerakan rakyat, akhirnya ditubuhkan
Jawatankuasa Penaja UKM, iaitu terdiri dari:
Pengerusi Tuan
Syed Nasir Ismail
En. Zainal Abidin Abd. Wahid
Setiausaha bersama: En. Abu Bakar Hamid
Tuan
Shamsul Bahrin
Bendahari: Tuan
Syed Jaafar Albar
Ahli Jawatakuasa: Profesor Hamzah Sendut
Dr. Syed Naquib al-Attas
En. A.
Samad Ismail
En. Zain Majid
Dr.
Rais Saniman
En. Mansor Othman
En. Yunus Maris
En. Atan Long
( Mohd Ali Kamaruddin, Universiti Kebangsaan Malaysia , Sejarah Penubuhan, 2006,
hlm. 147).
Sebelum penubuhan Universiti Kebangsaan pada 18 Mei 1970.
Maka sejumlah staf utama pentadbiran
dilantik:
Canselor Datuk Abdul Razak bin Hussein
Pengerusi Tuan Syed Nasir Ismail
Pro Canselor Datuk Tan Siew Sin
Pro Canselor Datuk Nik Ahmad Kamil
Naib Canselor Dr.
Mohd Rashdan bin Haji Baba
Pendaftar Tuan
Abdullah bin Mohd Salleh
Bendahari Megat
Abdul Rahman Megat Ahmad
Pustakawan Haji Abdul Aziz Sheikh Mydin.
( Mohd. Ali
Kamaruddin, Universiti Kebangsaan Malaysai: Sejarah Penubuhan, 2006: hlm.
Antara 92 – 93).
Walaupun akhirnya UKM didirikan, sebenarnya banyak
suaru-suara ragu dan pendapat negatif dikeluarkan
tentang kemampuan Universiti Kebangsaan. Ada yang
ragu terhadap kemampuan bahasa Kebangsaan Malaysia menjadi bahasa akademik di
Universiti, bahkan ada yang menyifatkan UKM sebagai Universiti Kampungan.
Penulis ada merakamkan sebuah puisi sehari menjelang sumpah Mahasisawa esoknya:
Siswa Pertama Di Universiti Kebangsaan
Siswa pertama di Universiti Kebangsaan
Campuran dari anak tani anak nelayan
Melangkah keraguan para petualang.
Peduli pada prasangka anti nasional
Mari bergerak dalam satu barisan
Mengangkat tangan sumpah setia
Menjunjung cita murni bangsa
Melaksana Dasar Pelajaran Negara.
Jelajahi segala teluk liku ilmu
Dengan bahtera expedisi bangsa
Di segara luas tiada watas
Memetik mutiara-mutiara indah
Untuk di kalung ke dada bangsa.
Siswa Pertama Universiti Kebangsaan
Bunga-bunga indah berkembang di taman
Akan berputik dalam putaran musim
Ranumnya menjadi idaman zaman.
Shafie Abu Bakar,
Universiti Kebangsaan,
17 Mei 1970.
`(Dipetik dari Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, UKM,
1999, hlm. 164)
Universiti Kebangsaan Malaysia
nampaknya bukan saja melalui liku-liku dan cabaran panjang sebelum penubuhan,
tetapi seharusnya berjuang bagi membuktikan kemampuannya agar menjadi
universiti terulung, bukan saja di dalam Negara Malaysia , tetapi juga agar menjadi
salah sebuah universiti terbaik di dunia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment