May 26, 2013

Ulasan Mengenai Teori Estetika Bersepadu Oleh Tiga Sarjana Sastera

Tanjung Malim, 13 Rajab 1434 = 23 Mei 2013 (Khamis)

Teori Estetika Bersepadu yang dibentang oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali di Dewan Kuliah J, UPSI pada 23 Mei 2013 telah diulas oleh tiga orang Panel Pembahas. Mereka ialah:



1.      Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Hassan  (UM)
2.      Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Napiah – Mana Sikana (UPSI)
3.      Mantan Profesor Madya UKM Dr. Shafie Abu Bakar

Moderator Prof. Madya Dr. Azhar Wahid menjemput saudara Mana Sikana menyampaikan ulasannya terlebih dahulu. Beliau bertolak dengan contoh-contoh proses pertumbuhan dan perkembangan sesebuah teori dari Barat. Menurutnya sesebuah teori sastera sama mengalami proses penciptaan. Beliau mengambil tiga tokoh Penteori terkenal, iaitu Lacan, Derrida dan Kristeva.


Lacan terkenal dengan Teori Psikoanalisis dengan bukunya  Ecrits: A Selection
Derrida dengan bukunya  Of Grammatology
Kristiva dengan Revolution In Poetica Language

Lacan terpengaruh dengan Teori Bawah Sedar Freud. Tapi beliau tidak berpuashati dengan Teori Psikoanalisis Freud, terutama tentang konsep pertentangan dalam diri manusia id, libido, ego dan super ego. Beliau tertarik dengan karya-karya Penulis  Poe dan karya-karya penulis ini dikajinya dengan melihat imajen dan aspek yang tidak diucapkan dengan mencari makna yang transcendental, ikonik dan metafizikal. Beliau membawa Teori Psikoanalisis yang baru


Derrida tidak bersetuju dengan teori strukturalisme. Derrida menentang Barthes. Derrida melihat untuk menganalisis sesebuah teks bagi mendapat erti dan maknanya haruslah melalui pemecahan struktur.

Kristiva mengemukakan Teori Intertekstualiti sebagai transformasi dari teori Dialogisme  Bakhtin yang menyelesaikan masalah apresiasi terhadap karya-karya besar di Peranchis. Menurut Mana Sikana, ``Setiap teori itu mempunyai mekanisme berbeza, tetapi hampir sama dalam kaedah proses penciptaannya.``

Saudara Mana Sikana mengingatkan perbezaan antara Teori dan Kritikan Sastera, bahawa Kritikan sastera adalah berpusat kepada penilaian sastera semata-mata, tetapi bagi teori sastera mengandungi dua aspek, aspek pertama yang wajib, iaitu definisi, konsep dan prinsip sastera. Aspek kedua mengandungi kaedah untuk memahami sastera, termasuk memahami teks sastera.

Teori Estetika Bersepadu

Teori dibina oleh sdr. Abdul Halim (2009) bertolak dari konsep keindahan gaya dan perutusan agama. Berasaskan al Qur`an dan penciptaan Adam sebagai Khalifah Allah yang dilihat padanya kesempurnaan lahiri (fizikal) dan dalaman. Abdul Halim melihat kesempurnaan Adam sebagai makhluk terpantul kepada makhluk-makhluk yang lain – termasuklah kesusasteraan. Menurut Abdul Halim , ``Teks kesusasteraan juga adalah `Tek Keindahan` yang lahir daripada proses penyepaduan berbagai unsur bahasa, idea dan pemikiran, pengajaran dan perutusan.`` Menurutnya, ``Teks mempunyai hubungan bermakna dengan Pencipta-Nya, pengarang, agama dan realiti. Teks tidak bersifat autonomi, sebaliknya berfungsi dalam ikatan yang dibataskan oleh ajaran agama, norma-norma kehidupan dan kebenaran.``

Prinsip Teori

1>    Kesepaduan estetik bahasa dengan pemikiran. Kesepaduan ini disebut sebagai gaya yang mendukung ilmu atau ringkasnya disebut stail.
2>    Kesepaduan stail (estetik bahasa dan Pemikiran) dengan perutusan agama.
3>    Perkaitan stail dan perutusan dengan kebenaran Islam dan kebenaran realiti

Aplikasi Dalam Kritikan

Telah diaplikasikan terhadap empat kumpulan puisi Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), iaitu Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir dan Mim dan terhadap Kumpulan Puisi Suhaimi Haji Muhammad Taman Taqwa yang disifatkan sebagai memenuhi syarat dan berjaya.

Pengulas kedua yang dijemput oleh Prof. Madya Dr. Azhar Wahid, ialah Prof Dr. Mohamad Mokhtar. Beliau membicarakan perkembangan teori yang begitu rancak pada tahun-tahun 1980an. Pada masa itu semarak teori sastera berkembang di beberapa buah universiti dan puncaknya berlaku pada tahun-tahun 1990an. Namun kerancakan ini makin menurun sehingga waktu ini boleh disifatkan sepi. Ini menurutnya merugikan bidang akademik. Menurutnya beliau sendiri ada mengemukakan teori `Kata Kunci` bagi menyemarakkan perkembangan teori Sastera Tanahair.


Mantan Prof. Madya di UKM Dr. Shafie Abu Bakar dalam mengulas kertas `Estetika Bersepadu`, menurutnya  didapati saudara Abdul Halim cuba membuat pendekatan Estetika Bersepadu menurut perspektif Islam, tetapi didapati Sdr. Abdul Halim bertolak dengan membicarakan terlebih dahulu banyak teori terutama dari Barat kemudian berhujung dengan Islam. Adalah wajar terus membicarakan Teori Estetika Bersepadu dari perspektif Islam dari awal bab dengan teori-teori Barat dan lain-lain disinggung dalam pembicaraan. Dengan ini terserlah pendekatan Keislaman yang dikehendaki penulis dan tidak bersifat cebisan dan sampingan.

Dr. Shafie Abu Bakar mempersoalkan penggunaan istilah `Bersepadu` yang membawa juga makna seperti `Menyatukan`. Sedangkan contoh sebuah puisi dan diri juga bidang sastera yang lain ada elemen sejajar, selari, bertentangan, bergelombang, bercanggahan, panjang pendek yang tidak mampu disepadukan. Apa yang dilihat Dr. Shafie dengan contoh sebuah puisi di dalam kertas ulasannya Solat (Subuh Di Masjid Nabawi), bahawa istilah yang lebih tepat digunakan ialah `Mengharmoni` .

Satu kelemhan yang nyata, di dalam membicarakan tentang Estetika Bersepadu dari segi teori dan aplikasi, didapati tidak dibawa contoh-contoh  terutama puisi yang dibicara, kecuali dua bait Cinta Al-Farabi (2 baris). Ini dirasakan tidak memada di dalam memberi contoh dan aplikasi bagi Estetika Bersepadu terhadap puisi. 


Saudara Abdul Halim mengambil contoh Adam bagi melambangkan kesempurnaan dan kindahan dari segi luaran dan dalaman. Contoh ini agak janggal, kerana refleksi keindahan, kesempurnaan, kebesaran dan keagungan sewajarnya dinisbahkan kepada Allah – Takmilah menggunakannya. Penggunaan Insan Kamil jika hendak diguna adalah dirujuk kepada Rasulullah - Muhammad s.a.w.  Nabi Muhammad adalah Abul Anbiya`, sedangkan Adam adalah Abul Bashar. Beberapa pelajar mengemukakan beberapa soalan yang melengkapkan pembicaraan

Walau apa pun saudara Abdul Halim dapat memberi satu sumbangan ilmiah yang memperkayakan khazanah kesusasteraan, khususnya dalam bidang teori.

Sekian.                                                                                                  

No comments:

Post a Comment