BBB, 19 Rajab 1434 = 29 Mei 2013 (Rabu):
Hadith (Riwayah) dimaksudkan ialah segala apa yang
dihubungkan dengan Nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, taqrir, sifatnya
dan apa yang diriwayatkan (athar) berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
Adapun dari segi ilmu Hadith (Dirayah) ialah ilmu berhubung
dengan kanun-kanun yang dikenali dengannya perkara-perkara yang berhubung
dengan sanad dan matan. Atau sebagaimana kata Shaykh al-Islam al-Hafiz Ibn
Hajar ialah, mengetahui kaedah-kaedah mengenali hal rawi dan yang diriwayatkan.
(Dr. Muhammad al-Ujjaj al-Khatib, Usul al-Hadith Ulumuhu wa
Mustalahuhu, Beirut: Dar al-Fikr, 1409H./1989M: 7-8).
Contoh Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah berkata
(maksudnya):
Bersabda Rasulullah s.a.w. Dibina Islam di atas lima : Syahadah bahawa
tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad hambaNya dan Rasulnya dan
mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan Haji ke Rumah (Allah) dan puasa
bulan Ramadhan.
(Hadith Sahih Muslim (Terjemahan), Juz` 1 (Oleh H.A.Razak
dan H.Rais Lathief), Jakarta, Pustaka al-Husna, 1980: 42).
Penekanan bagi permulaan ialah Hadith (Riwayah):
Kedudukannya sebagai sumber kedua penting bagi agama Islam
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang mana
kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu
Kitab Allah dan Sunnahku.``
(Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta`)
Kitab Allah ialah al-Qur`an, manakala Sunnah Rasul bahawa:
``Al-Sunnah mengikut ahli bahasa membawa erti: Jalan, cara
perilaku dan cara hidup, sama ada baik ataupun jahat, manakala Al-Sunnah dalam
syarak membawa erti: Setiap perintah dan larangan Rasulullah s.a.w, sama ada
sabdanya ataupun yang dikatakan oleh baginda, yang tidak ada di dalam
al-Qur`an. Oleh itu dalil syarak diambil daripada al-Kitab dan al-Sunnah. Yakni
al-Qur`an dan al-Hadith.``
(Badrul Munir Muhamad Nur, Kedudukan Al-Sunnah Dalam Sintaksis
Arab, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Selangor: 2005, hlm. 47-48).
Adalah logik bahawa Rasulullah yang menerima wahyu
al-Qur`an, mengetahui isi kandungan dan menyampaikan kepada sahabat-sahabat,
bahawa bagindalah lebih arif di dalam mengulas dan menyampaikan berbagai
maklumat, baik tentang agama Islam dan kehidupan. Demikian peranan Hadith.
Hadith yang sampai kepada kita adalah melalui riwayat, sanad
dan matan. Keperluan dijaga dan dipelihara Hadith-Hadith Nabi timbul selepas
kewafatan Rasulullah s.a.w. Bimbangkan hilangnya Hadith-Hadith maka para
sahabat berusaha menjaga Hadith dengan menghafaz, menanda dan mengumpulkannya
sebaik mungkin. Bahkan sebelum berakhirnya zaman sahabat terdapat pengumpulan
dan pembukuan secara peribadi oleh beberapa tokoh seperti :
Al-Sahifah al-Sadiqah oleh Abdullah bin `Amru r.a.
Al-Sahifah al-Sahihah oleh Hammam ibn Munabbih (Murid Abu
Hurayrah r.a)
Sahifah Jabir ibn `Abd Allah al-Ansari r.a.
Sahifah Sayyidina Ali k.w.
(Haziyah Hussin dll., Hadis Cabaran Dan Masa Depan,
Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, 2006: XII).
Sebagai catatan, ``Di waktu Islam datang ke Makkah hanya
terdapat 11 orang sahaja yang pandai membaca dan menulis, iaitu Umar, Ali,
Usman, Abu Ubaidah, Talhah, Yazid bin Abi Sufyan, Muawiyah, Abu Sufyan ibn
Harb, Abu Huzaifah ibn Utbah, Hathib bin Amr, Abu Salamah ibn Abdul Asad
al-Makhzumy. (Antara mereka menjadi jurutulis bagi Rasulullah s.a.w) Ditambah dengan empat penulis wanita, iaitu
Al-Syifa binti Abdullah al-Adawiyah, Hafsah binti Umar (Isteri Rasulullah),
Ummu Kalthum binti Utbah dan Karimah binti Miqdad.
Di Madinah sedikit sahaja yang tahu menulis dan membaca dari
kalangan Aus dan Khazraj. Beberapa Yahudi menguasai penulisan dan mengajar kepada
anak-anak Madinah pada peringkat awal. Bila Islam tiba ke Madinah terdapat
beberapa orang yang pandai menulis-membaca, iaitu Sa`ad bin Ubadah al-Mundhir
ibn Amar, Ubai ibn Ka`b, Zaid bin Thabit (pandai Arab dan Ibrani), Rafi Ibn
Malik, Usaid ibn Hudhair dan sejumlah sebelas yang lain. Rasulullah s.a.w.
menggalakkan anak-anak belajar menulis membaca, antaranya dengan memerintah
tawanan perang yang pandai menulis membaca mengajar anak-anak menulis dan
membaca.
(M. Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, Kuala Lumpur : Pustaka Al-Shafa, 2006, hlm. 67).
Dalam erti kata yang lain tradisi lisan dan ingatan
(menghafal) masih dominant dalam masyarakat Arab. Sebagaimana telah disebutkan
bahawa tradisi meriwayat dan menghafal kata-kata tokoh-tokoh terkenal seperti
penyair dan pemimpin-pemimpin berlaku sejak zaman Jahiliyyah oleh kerana pada
masa itu masyarakat umum belum menguasai tulisan. Penurunan maklumat secara
riwayat berlaku, contoh puisi Urwah bin
al-Ward (m.616M.) yang mempunyai kedudukan, tinggi dengan keindahan bahasa, dan
halus cita rasa kemanusiaan, berakhlak mulia dan dermawan, katanya dalam
puisinya:
`Tilamku tilam tetamu dan rumahku rumahnya`
hingga riwayat tentang `Urwah sampai kepada Saidina Umar
al-Khattab, bahkan riwayat keindahan puisi dan sifatnya sampai kepada Khalifah
Muawiyah bin Abi Sufyan dan Khalifah Al-Mansur. Tentang Penyair `Urwah ini kata
Muawiyah:
``Kalaulah `Urwah mempunyai anak, nescaya aku ingin berbesan
dengannya !``
Bahkan kata Khalifah Abdul Malik bin Marwan:
Tidak ada yang menggembirakan daku dari seorang Arab yang
melahirkan turunanku, tapi tidak kepadaku daripada `Urwah bin al-Ward. Lihat
keintiman puisi (`Urwah) tentang kemuliaan peribadinya:
Aku tidak kisah cawan minumanku diguna kawan
Walaupun cawan minumannya diguna hanya seorang
(Diwan
`Urwah bin al-Ward wa al-Shamauul, Beirut :
Dar Sadir, tt. Hlm. 7- 9).
Orang-orang Arab sebelum Islam menurut Hasbi Ash-Shidieqy,
``Mereka berpegang pada kekuatan hafalan dalam mengumpulkan syair, salsilah
keturunan mereka, kejadian-kejadian sejarah dan ucapan-ucapan yang mereka
ucapkan diwaktu masing-masing kabilah mengutarakan kemegahan dan kebanggaan
masing-masingnya (M.Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, hlm. 67).
Bila Islam datang dan Rasulullah berperanan sebagai pemimpin,
sudah tentulah Rasulullah dipandang unggul, lebih dari kepimpinan biasa. Oleh
kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah tinggi, maka budaya menghafal sejak
sebelum Islam berterusan, bahkan sudah
tentulah, sabda-sabda dan apa yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
lebih-lebih lagi dijaga, dipelihara, dihafal dan dicatat. Menurut M.Hasbi
Ash-Shidieqy:
``Para sahabat Nabi, adalah
orang-orang Arab yang masih Ummi, tak dapat membaca dan menulis, pegangan
mereka hanyalah kekuatan hafalan. Dalam hal mereka mempunyai kekuatan hafalan
yang menakjubkan, telah dikenal dan diakui oleh dunia. Allah telah
mempersiapkan bangsa Arab dengan kelengkapan itu menyimpan ayat-ayat al-Qur`an
dan Hadith-Hadith Rasul di dalam dada mereka masing-masing.``
(M.Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, hlm. 5 – 6).
Namun perkembangan Hadith pada zaman Rasulullah tidak
rancak, kerana tumpuan diberi kepada al-Qur`an. Ada semacam larangan pada zaman baginda untuk
menghimpun Hadith, lantaran bimbang akan bercampur aduk dengan al-Qur`an. Kerancakan hanya berlaku pada zaman Umar ibn
al-Aziz yang menjadi Khalifah di akhir kurun pertama Hijrah. Beliau mengeluarkan perintah untuk
mengumpulkan Hadith dan membukukannya , kerana kebimbangan Khalifah akan
kehilangan ilmu dan lenyap para ulama. Maka berlakulah kerancakan penghimpunan
Hadith di berbagai kota
Islam oleh berbagai ulama`.
Hadith-Hadith mulai dibukukan seperti oleh al-Zuhri dan puncaknya ialah
al-Muwatta` oleh Imam Malik yang mengandungi 500 Hadith yang semuanya sahih. (Hasbi
Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, hlm. 71-75).
Kepentingan Hadith tidak dapat dinafikan, ianya menjadi
bukti, hujah dan dalil dalam berbagai bidang sama ada keilmuan, perundangan,
hukum hakam, nilai akhlak dan kehidupan. Adalah menjadi kebiasaan dalam bicara
keilmuan selepas diperturunkan ayat al-Qur`an, maka dikukuhkan dengan
Hadith-Hadith Junjungan s.a.w.
Al-Qur`an dan Al-Hadith adalah sumber Islam yang memancarkan
tamadun dan peradaban umat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment