June 1, 2013

Tahniah Di Atas Perlantikan Exco Negeri Selangor - Selamat Bertugas

-->
BBB, 20 Rajab 1434 = 30 Mei 2013 (Khamis):

Setelah 25 hari dari keputusan pilihanraya ke 13 (5 Mei) dan Kerajaan Pakatan Rakyat mencapai keputusan cemerlang dengan memenangi 44 daripada 56 kerusi berbanding 34 sebelumnya, maka hari ini baru dapat diadakan upacara mengangkat sumpah jawatan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan. Upacara mengangkat Sumpah diadakan pada pagi ini di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Istana Alam Shah, Kelang.  Jadi negeri Selangor nampaknya negeri paling akhir mengadakan  upacara mengangkat sumpah. Kelewatan ini ada kaitan dengan keperluan rundingan bagi memuaskan hati bagi semua pihak. Keputusan pilihanraya ke 13 menunjukkan ketiga parti di dalam Pakatan Rakyat di Selangor memenangi kerusi hampir sama jumlahnya dalam mana Pas memenangi 15 kerusi, DAP 15 kerusi dan PKR 14 kerusi. Setiap parti berpendapat masing-masing berhak jumlah yang adil dari 10 kerusi Exco yang diperuntukkan. Masing-masing menuntut jumlah maksimum daripada pembahagian 10 kerusi. Dalam artikal kita yang lepas – 9 Mei (diterbitkan 10 Mei), kita mencadangkan agar Pas diperuntukkan 4 kerusi Exco dan yang lain-lain 3 kerusi dengan Speaker diperuntukkan kepada DAP. Kita cadangkan YB Dato` Teng Chang Khim dikekalkan sebagai Speaker memandangkan kewibawaan beliau memimpin Sidang Dewan Negeri. Keputusan dicapai dengan formula 4 , 3, 3.  dengan enam daripada mereka hendaklah dari orang Melayu beragama Islam sebagaimana dikehendaki oleh Istana dapat tertunai. Pembahagian ini kita kira adil. Keputusan nampaknya tidak begitu berbeza dengan apa yang pernah kita tuliskan. Sebenarnya walaupun formulanya adalah  4, 3, 3, pada hakikatnya ketiga-tiga parti mendapat bahagian yang sama banyak. Kedudukan sebenarnya.

1)   PKR       3  Exco      +      1  Kerusi Menteri Besar     =     4
2)   DAP       3  Exco      +      1  Speaker                           =     4
3)   PAS        4                                                                            4

Jumlah        10                                                                           12

Dari segi jumlah kerusi dan kuasa bagi setiap parti menunjukkan keseimbangan. Pas yang maukan portfolio penting, iaitu Agama Islam dapat dicapai, PKR mendapat portfolio Pembangunan Tanah, Ekonomi dan Pelaburan, manakala DAP Industri dan Perdagangan. Enam dari Exco lama mengekalkan portfolio masing-masing, antaranya dengan sedikit perubahan. Empat muka baru menggantikan exco lama yang berhenti dan yang tidak dilantik lagi, iaitu:

1)      YB Dato` Teng Chang Khim (DAP- Sungai Pinang)  mengambil tempat Ronnie Liu yang tidak bertanding, iaitu portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.
2)      YB Dr. Daroyah Alwi (PKR – Sementa) menggantikan tempat YB Dr. Yaakob Sapari yang tidak dilantik ke jawatan Exco dengan Portfolio Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi (dengan tambahan Kesihatan, Sains. Tekonologi dan Inovasi).
3)      YB Ustaz Sallehin Muhyi (PAS – Sabak) menggantikan tempat Dato` Dr. Hassan Ali dan sebahagian dari YB. Dr. Yaakob Sapari dengan portfolio Hal Ehwal Islam, Pemodanan Pertanian dan Pembangunan Desa.
4)      YB V. Ganabatirau (DAP – Kota Alam Shah) menggantikan tempat YB Dr. Xavier Jayakumar bagi Portfolio Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin

Bagi Menteri Besar dan beberapa Exco lama ada pengurangan dan penambahan tugas seperti Bagi Menteri Besar bertambah dengan Pengurusan Sumber Alam, Penerangan dan Jawatakuasa Adat Melayu.

Bagi Adun Seri Kembangan menerima tugas tambahan dari yang asal Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram ditambah dari YB Teresa Kok yang tidak bertanding pada peringkat Dewan Negeri, iaitu Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

YB Dr. Ahmad Yunus Khairi (Pas – Sijangkang) ditambah dari Belia dan Sukan dengan infrastruktur dan kemudahan Awam.

YB Iskandar (Pas- Cempaka), YB. Dr. Halimah (Pas – Selat Kelang) dan YB Elizabeth Wong (PKR – Bukit Lanjan) tidak berubah portfolio, manakala YB Rodziah Ismail (PKR – Batu Tiga) dikurangkan kepada Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Nampaknya pada kali ini Ketua-Ketua Parti pada peringkat negeri tidak dilantik ke jawatan Exco Negeri, iaitu YB Dr. Abdul Rani bin Osman (Pas – Meru) Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, YB Mohamed Azmin Bin Ali (PKR – Bukit Antarabangsa) Ketua PKR Negeri Selangor dan YB Teresa Kok ( DAP - Tidak Bertanding di Peringkat Dun) Ketua DAP Negeri Selangor mungkin memberi peluang bagi mereka menumpukan perhatian bagi mengukuh dan memantapkan parti masing-masing.

Satu kejutan pada kali ini ialah perlantikan YB Hannah Yeoh (DAP – Subang Jaya) sebagai Speaker dari kalangan wanita. Ini adalah kali pertama wanita dilantik menjadi Speaker di Negara ini dengan YB Nik Nazmi Bin Ahmad (PKR – Seri Setia) sebagai Timbalan Speaker.

Kita kira perlantikan dari gabungan muka lama dan baru lebih mantap dan pembahagian kuasa lebih adil, memberi puashati kepada semua pihak dan mampu menggerakkan tenaga lebih dinamik bagi memacukan kemajuan Negeri Selangor.

Selamat berkhidmat kepada semua Yang Berhormat !

Sekian.

No comments:

Post a Comment