June 20, 2013

Minat Menulis ? Tuntutan Keperluan

-->
BBB, 10 Sya`ban 1434 = 19 Jun 2013 (Rabu):

Menulis bermaksud dalam bentuk esei seperti penulisan akademik atau secara kreatif bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kemahiran dan bakat dalam penulisan. Bagi memiliki kemahiran perlu kepada ilmu, bukan saja ilmu penulisan, tetapi ilmu yang berpelbagaian, kerana bila menulis memerlukan ilmu dan maklumat. Kalau menulis dalam bidang kreatif seperti puisi, cerpen, novel dan drama, maka ianya memerlukan bakat dan jiwa seni yang kreatif.

Untuk menjadi penulis keperluan yang utama ialah ilmu, mana mungkin menulis jika tidak ada ilmu yang luas dan berbagai dan bagi penulisan kreatif sebagaimana dikatakan perlu mempunyai bakat dan jiwa yang kreatif. Di dalam dunia bersifat globalisasi yang tidak mempunyai sempadan dan masyarakat rata-rata meningkat dari segi keilmuan dan mempunyai kemudahan untuk mendapat maklumat, menjadi penulis memerlukan ketinggian ilmu dan daya kreativiti. Adalah diharap dari penulis sesuatu yang baru dan segar yang dapat memenuhi daya intelektual dan kreatif. Adalah dikatakan, ``Seorang penulis seharusnya terkehadapan dari masyarakat dari segi ilmu, maklumat dan kreativiti.``  Dalam masa masyarakat rata-rata mempunyai pendidikan taraf universiti, mana mungkin dalam konteks sekarang penulis hanya mempunyai pelajaran dan maklumat pada taraf sekolah menengah untuk menghidangi tulisannya kepada masyarakat yang lebih tinggi ilmu dan daya intelektualnya. Penulis mesti mendepani masyarakatnya.

Satu syarat yang penting bagi seorang penulis dia hendaklah minat membaca pelbagai buku dan kini media internet. Menulis selain dari perlu kepada ilmu dan maklumat dan daya kreatif, perlu menggunakan bahasa, bukan sekadar bahasa basahan dan percakapan, tetapi bahasa berkemampuan mengungkapkan ilmu dan daya kreativit tinggi. Kaedah bahasa boleh dipelajari, tetapi kemampuan mengungkapkan bahasa dengan gaya dan stail tersendiri perlu kepada banyak membaca. Membaca di dalam bidang keilmuan yang dikuasai dan yang mau dikuasai serta ilmu umum, membaca di dalam bidang kreatif sehingga mampu menghayati dan turut tersentuh dengan apa yang meyentuhi penulis yang mencetuskan ilham yang mampu pula diperturunkan didalam bahasa yang kreatif dan imaginatif.

Dengan mempunyai keperluan-keperluan yang disebutkan di atas, tidak semestinya seorang penulis berkemampuan menulis sama ada di dalam bidang prosa seperti esei, lebih-lebih lagi di dalam bidang akademik atau di dalam bidang kreatif seperti novel, cerpen, drama dan puisi. Sesetengah penulisan memerlukan kepada teori tertentu sebagai pendekatan. Jadi penulis perlu memahami teori dan kaedah mengaplikasikannya.  Seterusnya menulis memerlukan latihan bagi mencapai kemahiran dan bagi bidang kreatif ialah mencapai kemampuan mengungkapkan bahan penulisan secara kreatif dengan stail dan identiti tersendiri.

Untuk mencapai kemahiran sebenarnya memakan masa yang lama. Seorang pelajar di universiti menimba kemahiran mengarang di dalam bidang akademik melalui penulisan esei yang dibentangkan di dalam tutorial. Dia akan menghadapi kritikan misalnya dari segi fakta yang tidak lengkap, kurang membaca hingga tidak dapat mengemukakan fakta-fakta yang seharusnya dikemukakan – sepatutnya dia dapat mengemukakan sesuatu yang baharu yang belum lagi diketahui oleh pelajar-pelajar yang lain. Dia mungkin menghadapi kritikan, misalnya keluar dari topik dan tidak tepat dengan aplikasi teori. Dia mungkin banyak membaca dan banyak dengan fakta-fakta, tetapi tidak kemas dari segi pendekatan dan tidak dapat mengatur idea dan fakta secara tersusun. Dia mungkin dikritik dari segi teknikal, tidak kena dari segi membuat rujukan atau catatan kaki tidak mengikut kaedah yang digunakan. Dia juga mungkin mendepani kritikan dari segi ketidaktepatan menggunakan istilah dan bahasa yang tidak licin dan sebagainya. Ini merupakan proses pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar yang pembelajaran sedemikian berulang bila dia membentangkan kertas kerja yang lain sama ada dari kursus yang sama atau kursus yang lain. Proses peningkatan penulisan yang bersifat ilmiah atau akademik ini berterusan sehingga dia mnenamatkan pengajian yang kerja-kerja mengarangnya dikira sebahagian daripada pengajiannya. Pada peringkat lebih tinggi mungkin dia seorang pelajar yang baik dan diberi peluang menjadi tenaga pengajar. Selepas mengikuti Ijazah lanjutan yang juga melalui pembelajaran dan latihan menulis kertas-kertas ilmiah, dia sebagai tenaga akademik perlu membuktikan kemampuannya sebagai tenaga akademik menulis kertas kerja, menerbitkannya di dalam jurnal-jurnal yang dihormati dari segi akademik dan seterusnya menerbitkan buku. Jika ternyata dia seorang ahli akademik bertahap tinggi, maka tulisannya dihormati dan diiktiraf dengan peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi – Doktor falsafah dan kenaikan pangkat.

Melalu bidang yang lain, misalnya menulis dalam akhbar atau majalah atau tulisan secara jurnalis perlu pendekatan dan latihan menulis yang tersendiri dan perlu kepada latihan dan kemahiran yang melayakkannya menjadi penulis, kulomnis atau featurist dan sebagainya. Semuanya memerlukan latihan dan amalan yang melayakkannya menjadi katakan seorang penulis buku, eseis,  wartawan, jurnali, kolumnis dan sebagainya.

Berbanding dengan semua bidang penulisan, maka untuk mengusai penulisan kreatif adalah lebih sukar. Ianya boleh diajar dan dipelajar, tetapi dituntut membawa kelainan dari penulis kreatif yang dijadikan contoh bagi pengajaran. Bagi mengusai bidang ini seorang penulis kreatif lebih banyak dituntut membaca dan menulis, lebih daripada itu ia perlu banyak pengalaman alamiah seperti pengembaraan, mengalami dan menghayati sesuatu yang menjadi ilham dan bahan penulisan kreatif. Penulis perlu bereksperimen mencari kelainan-kelainan  berinovasi dan kreatif. Penulis hendaklah menghantar karya-karya mereka kepada penerbitan-penerbitan. Misalnya puisi & cerpen dihantar ke akhbar-akhbar mingguan, majalah dan sebagainya bagi melihat mutu dan pencapaian karya, tetapi jika novel, maka usaha menerbitkannya hendaklah dilakukan.

Mutu penulisan kreatif boleh juga diketahui melalui peraduan dan penilaian yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Melalui keputusan yang diumumkan kita mengetahui pada tahap mana kita berada. Selain daripada itu melalui penilaian yang berbagai-bagai seperti Hadiah Sastera,  kemenangan membuka kepada pengiktirafan lebih tinggi.

Sebenarnya penulisan menyumbangkan ilmu pengetahuan, meningkatkan rasa kemanusiaan dan keihsanan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment