BBB, 19 Sya`ban 1434 = 28 Jun 2013 (Juma`at):
Bagi penulis-penulis muda (maksudnya belum mendapat tempat
dalam penerbitan) yang komited dengan penulisan tentu ingin agar tulisan yang
dihantar kepada penerbitan mendapat tempat – ertinya diterbitkan sama ada dalam
majalah dan akhbar atau penerbitan-penerbitan yang lain. Tetapi sebagaimana
diperkatakan, tidak mudah untuk mendapat tempat di dalam penerbitan. Ianya
bergantung kepada banyak faktor. Antaranya penulisan adalah bermutu, tetapi
bagi penulis baru, tidak mungkin dapat mencapai mutu yang baik pada peringkat
awal menulis. Ianya perlu melalui peringkat latihan baik dari segi teknik
mengarang atau kandungan.
Sesebuah penerbit, biasanya mau melihat terlebih dahulu dalam
beberapa masa tentang kemampuan dan komitmen penulis, jika dengan
tulisan-tulisan awal diberi ruang sedang tidak ada komitmen daripadanya, lantas
dengan mudah mendapat tempat dengan mudah pula dia boleh menghilang, ini
merugikan ruang dan peluang yang diberikan. Sebab itu untuk mendapat tempat
memerlukan masa untuk mempastikan kesungguhan dan ada bakat dan kemampuan.
Tidak jarang seorang penulis bergiat di dalam persatuan penulis dan mengikuti
program-program yang dianjurkan untuk mendapat pengalaman dan pendedahan. Jika
menulis bahan kreatif, maka buat permulaan dia menyertai penulisan-penulisan
yang diterbitkan oleh persatuan. Kursus-kursus yang diadakan dengan jemputan
pihak penerbit, akhbar, majalah dan lain-lain memberi ruang pengenalan dan bila
diri dikenali membuka ruang untuk mendapat tempat. Satu cara untuk mendapat
tempat ialah melalui penyertaan-penyertaan peraduan penulisan. Sebarang
kemenangan yang dicapai boleh membuka ruang dan peluang mendapat tempat bagi
penulisan – dengan syarat baik dan bermutu.
Sebagaimana disebutkan Penulis sendiri tiba peringkat serius
menulis dengan menghantar puisi-puisi kepada penerbitan-penerbitan DBP, Utusan
Zaman, Berita Minggu, Mustika dan beberapa yang lain, tetapi hingga ke
pertengahan 1970 masih belum mendapat tempat. Walau bagaimana Penulis terus
menghantar karya-karya dari masa ke masa hingga Penulis diterima masuk ke UKM
pada 18.5.1970. Antara puisi yang penulis hantar ialah `Sumpah Mahasiswa` - bertarikh
di atas yang dikira sebagai hari permulaan UKM dibuka.
Satu yang mengejut dan gembira bagi Penulis apabila Penulis
menerima surat
dari Dewan Bahasa dan Pustaka
DBP/4/D 81/4 Jil.4 (60) 16
Januari 1971
Sdr. Shafie bin Abu Bakar
Bilik E 10,
Kolej Universiti Kebangsaan,
Jalan Pantai Baru,
Dengan hormat,
Sebuah sajak sdr, yang berjudul `Asas Peribadi`akan
didisiarkan di dalam Dewan Bahasa
Keluaran bulan Mach 1971.
Untuk keperluan rencana pengarang sudilah sdr. memberitahu
saya
a) Tarikh
dan tempat lahir
b) Pendidikan
c) Pekerjaan
dulu dan sekarang
d) Kegiatan
kreatif misalnya mula menulis sajak, cherpen dsbnya, dan hasil2 yang berupa
buku.
Sekianlah
Wasalam
Abdullah
Hussain
a.n. Ketua Bahagian Pengarang
b.p. Pengarah
Dewan
Bahasa dan Pustaka
Namun dalam menunggu penerbitan Majalah Dewan Bahasa bagi
Mac 1971, tiba-tiba tanpa diberitahu, yang keluar lebih awal bagi puisi Penulis
ialah `Sumpah Mahasiswa` di dalam Dewan Masyarakat Bulan Februari 1971 (hlm. 50):
Sumpah Mahasiswa
18 Mei
Di dewan universiti
Kami siswa pertama
Tegak berdiri didepan bapak menteri
Melafaz ikrar mahasiswa
Mengangkat tangan ke muka
Penuh setia.
Bahawa kami mahasiswa pertama
Patuh pada tata susila
Nilai budi tonggak universiti
Sanggup melayari bahtera
Dilaut ilmu tanpa tepi
Memetik biji2 mutiara
Hiasan dada bangsa.
Berderap duduk para siswa
Lalu gugur maik2 air mata
Pecahan rasa runtuh dari dada
Terharu pada sejarah tertinta.
Dewan Universiti Kebangsaan Malaysia
18 Mei, 1970
Shafie A. Bakar
Ini bererti sajak pertama Penulis diterbitkan, ialah Sumpah
Mahasiswa dalam majalah Dewan Masyarakat Februari 1971 (hlm. 50). Manakala
sajak `Asas Pribadi` memang keluar dalam Dewan Bahasa Mac 1971 (hlm. 136).
Asas Peribadi
Seorang ditanya
Kiranya engkau diberi
Tempoh tiga hari
Tiga hari sebelum kau mati
Apa tindakmu ?
Dengan lekas ia menjawab
Aku akan semadi
Semadi hingga dinihari
Berbakti pada Rabbul Jalil.
Ia menekan
Tiga hari bukan suatu jaminan
Kau perlu berperibadi
Asasnya bukan tiga hari
Tapi seluruh hidupmu
Seluruh hidupmu.
Aku katanya
Akan terus jalani hidup ini
Bagai ku lalui
Baik tiga hari atau seminit lagi
Kerana aku memang jalani
Hidup yang ku anut
Mati hanya degup jantung yang terhenti
Universiti Kebangsaan,
9hb. Oktober, 1970. Shafie Abu Bakar.
Adalah diakui, peluang diberi kepada sajak Penulis, oleh
kerana telah lama hantar sajak. Jadi Pengarang yang menjaga bahan puisi, memang
telah melihat puisi-puisi yang dihantar sebelum ini. Mungkin mereka meyakini
komitmen Penulis. Faktor yang penting bahawa Penulis mulai belajar di UKM.
Mereka meyakini Penulis dan masa depan Penulis, khususnya bila mengikuti
kursus-kursus yang berhubung dengan puisi secara teratur. Mungkin dari segi
mutu dapat dipersoalkan, tetapi mungkin ada unsur galakan bagi memupuk Penulis
menjadi lebih matang agar menjadi salah seorang Penulis mapan pada masa akan
datang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment