BBB, 13 Sya`ban 1434 = 22 Jun 2013 (Sabtu):
Pada 22 Jun lima
tahun lepas (22 Jun 2008) Perisytiharan Bangi Bandar Ilmu dilakukan oleh YAB.
Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor bertempat
di KUIS, Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor. Tarikh 22 Jun ini kemudian
dikenali sebagai Hari Ilmu bagi Dun Bangi. Dokumen pelancaran dan bahan-bahan
Bangi Bandar Ilmu telah diterbitkan di dalam buku Bangi Bandar Ilmu yang telah
dilancarkan oleh YAB Dato` Menteri Besar pada 6 Januari 2013 di Bangi.
Sempena dengan tiga tahun Bangi Bandar Ilmu, maka pada awal
tahun 2011 dilancarkan Pertandingan Menulis Esei dan Puisi, tarikh tutup
pertandingan ialah pada akhir tahun tersebut. Keputusan Pertandingan diumumkan
pada 22 Jun 2012 di Bangi Golf Resort dengan pemenang utama bahagian esei ialah
saudara Azman bin Maamor (kini Pensyarah Sains Universiti Malaya) dan bahagian
puisi ialah saudara Abdul Hadi Muhamad (Guru di Kelantan). Kumpulan esei dan
puisi pemenang-pemenang diterbitkan di dalam buku berjudul `Gagasan Bangi`.
Buku ini diterbitkan sempena 35 tahun Bandar Baru Bangi dibuka (1977-2012).
Buku Gagasan Bangi ini serentak dilancarkan oleh YAB Dato` Menteri Besar
Selangor bersama buku Bangi Bandar Ilmu pada 6 Januari 2013 di atas.
Sempena 5 tahun perisytiharan Bangi Bandar Ilmu, iaitu hari
ini – 22 Jun (22 Jun 2008 – 22 Jun 2013) adalah tarikh mewujudkan sebuah Galeri
Bangi Bandar Ilmu. Galeri ini bertempat di Pejabat Mantan Adun Bangi beralamat
di No. 8, Jalan ¼ , 43650 Bandar Baru Bangi. Keperluan mewujudkan sebuah Galeri
di Bangi telah lama disuarakan. Ianya perlu bersama (sebahagian) daripada Dewan
Konvensyen Bangi. Ada
ura-ura pihak PKNS mau dirikan Dewan Konvensyen ini di tepi Tasik Cempaka, tapi
hingga kini masih belum menjadi kenyataan.
Oleh kerana harapan untuk diwujudkan sebuah Galeri di Bandar
Baru Bangi oleh pihak PKNS tidak menjadi kenyataan, maka hasrat mewujudkan
Galeri Bangi Bandar Ilmu ini, diambil inisiatif oleh Penulis dengan menggunakan
bangunan Mantan Adun Bangi di atas. Niat mendirikan Galeri Bangi Bandar Ilmu
ini bercambah di dalam hati sejak beberapa tahun lepas itu dan menjadi realiti
apabila Pejabat Mantan Adun Bangi tidak lagi menjadi Pejabat Adun dan juga tidak
lagi menjadi Pejabat Pas Kawasan Serdang. Pihak Pas Serdang menyerahkan kunci tidak
menggunakan lagi pejabat di sini selepas Pilihanraya 2013, iaitu penyerahan pada
1 Jun 2013. Sebagai simbolik persediaan bagi menjadikan Pejabat Mantan Adun
Bangi sebagai Galeri Bangi Bandar Ilmu, maka pada 1 Jun 2013 Penulis membeli
dua buah almari standard untuk mempamerkan bahan-bahan bagi galeri Bangi Bandar
Ilmu
Minat membuka Galeri Bangi Bandar Ilmu ini ada hubungan
dengan keterlibatan Penulis sebagai Ahli
Lembaga Muzium Negeri Terengganu dari 1993 – 2004 (Lantikan mulai 1 September
1993) dan Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor sejak 18
Januari 2012 hingga Februari 2013 dan
kini Timbalan Pengerusi.
Mulai 1 Jun 2013 Penulis telah membeli sebanyak 6 almari
standard yang setiap satu hitung panjang berharga RM1,000 ditambah dengan
almari-almari yang sedia ada. (Walaupun disebut `Bangi Bandar Ilmu` bagi Penulis
kawasan mencakupi semua kawasan yang pernah menjadi kawasan Dun Kajang dan
Bangi yang pernah Penulis berkhidmat sebagai Adun). Setiap almari mempamerkan
aspek-aspek tertentu, iaitu:
- Almari yang diisi dengan bahan-bahan `Bangi Bandar Ilmu`.
- Almari yang diisi dengan bahan-bahan mengenai Dun Kajang dan Bangi
- Almari diisi dengan tokoh-tokoh Pas dan tulisan-tulisan yang berhubung dengan mereka
- Almari berhubung dengan masjid dan surau di Dun Kajang dan Bangi
- Almari berhubung dengan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor
- Almari yang diisi dengan bahan-bahan berhubung dengan UKM
- Almari diisi dengan cenderahati yang diterima
- Almari yang diisi dengan bahan-bahan penulisan oleh penulis
- Himpunan diari-dairi
- Rak yang tersusun dengan fail-fail bagi Dun Kajang dan Bangi
Bersama dengan almari di atas terdapat 8 almari dan rak yang
dipenuhi berbagai-bagai buku yang diguna sebagai bahan rujukan Penulis bila
menulis, di samping bahan-bahan dari tempat lain.
Setiap satu daripada bidang di atas masih belum sempurna dan
perlu kepada penambahan dan penyempurnaan.
Semua bahan-bahan di atas dipamer pada tingkat bawah. Banyak
lagi bidang yang akan ditambah. Pertambahan akan dilakukan sedikit demi sedikit
bergantung kepada kewujudan kewangan. Pengisian akan dibuat bagi mengisi
ruang-ruang bilik pada tingkat atas. Antara bidang-bidang yang memerlukan kepada
bahan-bahan untuk pengisian.
1) Segala
maklumat masjid dan surau (di atas) serta gambar yang akan menggunakan satu
ruang khas di tingkat atas kelak.
2) Maklumat
dan land mark serta gambar bagi semua
kampung dan taman di Dun Bangi dan Dun Kajang
3) Maklumat,
gambar dan buku-buku institusi pengajian, Sekolah dan pendidikan di Dun Bangi
dan Kajang
4) Pejabat-pejabat
dan pusat pentadbiran di Bangi dan Kajang
5) Persatuan
penduduk dan persatuan-persatuan taman
6) Bangunan
yang bersejarah dan mempunyai ciri budaya dan estetika
7) Tokoh-tokoh
yang berjasa di Bangi dan Kajang
8) Kegiatan
ekonomi di Bangi & Kajang
9) Infra-struktur
dan kemudahan di Bangi & Kajang
10) Berbagai
perkara yang akan ditambah menurut keperluan.
Galeri ini adalah dedikasi kepada penduduk Bangi dan Kajang
yang pernah memberi amanah kepada Penulis menjadi Adun bagi kedua-dua tempat.
Pendekatan galeri adalah berorientasikan ilmu, sesuai dengan
motto Bangi Bandar Ilmu.
Bahan-bahan yang boleh didapati adalah terhad, sebab itu
sesiapa yang ada bahan istimewa untuk disumbang atau untuk dibuat salinan atau
diambil gambar dan maklumat untuk diabadikan amatlah dialu-alukan. Nasihat juga
diperlukan. Sila buat hubungan dengan Penulis selaku Mantan Adun Bangi dan
Kajang.
Galeri ini mungkin slow dari segi perkembangan, kerana ia bergantung
kepada tenaga dan kewangan perseorangan, namun atas nama minat akan diteruskan.
Insya Allah.
(Catatan: Sempena dengan pengwujudan Galeri Bangi Bandar Ilmu pada hari ini, maka Blog
ini yang menjadi pengantara maklumat termasuk bagi Galeri Bangi Bandar Ilmu,
menerima jumlah pembaca hingga hari ini berjumlah 500,000 pengunjung dan terus
meningkat – Insya Allah). Terima Kasih.
Sekian.
No comments:
Post a Comment