BBB, 25 Rajab 1434 = 04 Jun 2013 (Selasa):
Setelah bergiat di dalam Kumpulan Penulis Muda seperti
Grupemuisi UKM sejak 1977, mengirim puisi kepada akhbar-akhbar dan majalah dan
mendapat ruang di dalam antologi-antologi, bahkan memenangi Hadiah Sastera
Utusan – Public Bank 85 dan puncak awal memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia
`84-85`, Abdul Hadi Muhamad yang bertugas sebagai guru di Kelantan setelah
keluar dari UKM dan bergiat di dalam persatuan penulis – Pertubuhan Angkatan
Penyair Kelantan (PAPK) dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK), maka Abdul Hadi
Muhamad buat kali pertama mengusahakan menerbitkan kumpulan puisi bersendirian
yang diberi judul `Ruang Dalam`.
Kumpulan puisi `Ruang Dalam` adalah istimewa, bukan saja
sebagai kumpulan puisi persendirian awal bagi Abdul Hadi Muhamad, tetapi di
dalam kumpulan ini terhimpun puisi-puisi terbaik Abdul Hadi seperti puisi `Tanjung Jara` yang memenangi
Hadiah sastera Utusan – Public Bank `85, puisi
`Urir Char` yang terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia
`84-85`. Bahkan puisi `Ruang Dalam` yang menjadi judul bagi kumpulan puisinya
`Ruang Dalam` memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia 1986/87 apabila kumpulan
puisi Ruang Dalam (1986) dinilai bagi Hadiah Karya Sastera Malaysia 1986/87.
Kumpulan puisi `Ruang Dalam` diterbitkan pada tahun 1986,
atas nama penerbit Perkumpulan Penyajak Mutakhir Malaysia (PENYAIR). Kumpulan
puisi ini setebal 56 halaman yang mengandungi 45 buah puisi yang diletak di bawah
dua bahagian – pertama Serumpun Angin di bawahnya 21 puisi dan Ruang Dalam 24
buah puisi.
Di bawah Serumpun Angin terhimpun gumpalan rindu penyair
yang terecer antara ibu yang dikasihi, isteri yang dicintai dan alam yang
hayati dengan watak-watak manusia yang melintasi penyair. Contoh
Sehelai Daun Jarak Gugur
Akhirnya aku
Tiba-tiba saja gugur
Menjadi sepi semakin sunyi
Menjadi sunyi semakin sepi
Sebelum kelam yang terkurung
Menggapai rindu yang terapung.
(hlm. 10)
Namamu Mama
…
Biarkan malam membawa lena
Biarkan siang mendepa warna
Antara bulan dan matahari
Balasnya sekasih setia
Neracanya selangit doa
(hlm. 15)
Manakala bahagian `Ruang Dalam` membawa persoalan yang lebih
serius seperti puisi
`Intelektual`, Pendidikan & Makna dan Erti Hidup
seperti, contoh:
Intelektual
Tahun kian membujur
Sukar akui kudrat waktu
Hari yang meninggalkan
`kah ilmu mula
memperbodoh diri
Dengan tanggapan dan teori
Tanyalah siapa kurnia
Ijazah dan diploma
Tiap hujung bulan menerima ganjaran
Celah tradisi atau kontroversi.
(hlm. 40)
Ternyata pada bahagian dua
`Ruang Dalam` membicarakan persoalan lebih berat dan bahasanya kurang
puitis.
Namun sebagaimana disebutkan dalam kumpulan ini, khususnya
di bawah pecahan Ruang Dalam, dimuatkan sama puisi seperti `Tanjung Jara` yang memenangi Hadiah
Utama Hadiah Sastera Utusan – Public Banh `85. Iaitu gambaran terhadap Pusat
Peranginan Di tepi laut – di Kuala Dungun yang menjadi destinasi pelancong
luar.
Tanjung Jara
…
Tanjung Jara,
Wangi lumutmu melapisi bau aspal
Ikan-ikan yang berkelamin di sini
Lupa menyembunyikan diri, bagai
Sepasang pelancong sedari tadi
Membakar diri.
(Hlm. 49).
Tanjung Jara adalah gambaran alamiah berlatarbelakangkan
laut dan pantai, tambah penyair:
Tanjung Jara,
Kalaupun ada waktu untukku menyahut
Serulah seluruhku setamatnya rebut.
(hlm. 49)
Jika gambaran alam bagi Tanjung Jara agak lembut, menarik
dan indah, maka gambaran dalam puisi `Urir Char` ialah tentang laut, badai dan
taufan mengamuk seperti di musim tengkujuh di Pantai Timur. Sesuai dengan
suasana maka pemilihan kata keras;
Badai yang dibalingNya ke darat ini berpusat
Dengan petaka. Benua tersembunyi tertulis kini
Tintanya hitam mengidam airmata
Tuhan , Kaubangunkan lautan mengkabarkan
Murka apakah
Seluruh pekik tertanam di dasar raung
Bumi tiba-tiba berkabung:
Demikian gambaran tempat yang menjadi mangsa rebut `Urir
Char` (di selatan Thailand ) yang mengalami kemusnahan
teruk.
Manakala Ruang Dalam adalah gambaran gelora dalaman
Jiwa yang psikologi
sifatnya dan digambar secara imaginative tentang pergolakan dalam yang dihadapi:
Ruang Dalam
Ketika kau masuk
Tiada kudengar ketuk
Jelaga yang dihidang
Tersekang di rangkung tamu
Waktu persis inilah
Tiba raung
dari arah sukma
Dalam
Dan
Sayap
Jatuh
Bagai hujan runcing
Bilah sembilu
Menerbit aduuuuuh - -
-
Tidak berupaya berahsia
Pada selang jeritan,
Perlukah kuragut
Mata rantai dan dengung kecapi
Mengekang berat pintu
Sanubari.
(hlm.
53).
Gambaran-gambaran yang ditampil oleh Abdul Hadi Muhamad
adalah bersiaft alamaiah yang disentuh minda dan jiwanya yang diterjemahkan
kepada pemilihan kata yang bersesuaian bagi menyampaikan mesej yang diingini.
Abdul Hadi mempunyai gaya
pengucapan dan stail tersendiri dalam pengucapan puisi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment