BBB, 24 Rajab 1434 = 03 Jun 2013 (Isnin):
1) Abdul
Hadi adalah Pemenang Pertama di dalam peraduan menulis puisi sempena
Pengisytiharaan Bangi Bandar Ilmu (22 Jun 2008) yang puisinya diterbitkan di
dalam buku Gagasan Bangi (2012). Himpunan esei dan puisi yang memenangi
peraduan tersebut.
2) Abdul
Hadi adalah Penyair yang lahir dari Grup Pemuisi UKM yang ditubuh pada tahun
1977 di UKM. Penulis pernah menjadi Penasihat bagi Grupemuisi semasa baru menjadi
pensyarah di UKM. Abdul Hadi adalah salah seorang penyair muda yang terserlah
pada masa itu. Ternyata kemudiannya beliau menjadi salah seorang penyair
tanahair yang memenangi Hadiah Sastera beberapa kali.
3) Abdul
Hadi terus menghantar kepada Penulis buku-buku puisinya yang dihasilkan. Semasa
datang menerima Hadiah Peraduan Penulisan Puisi Bangi Bandar Ilmu beliau
menghadiahkan kepada Penulis buku puisi antologi (Bersama) yang berjudul
Al-Abrar (2011) dan terbaru beliau menghantar Kumpulan Puisi terbarunya yang
berjudul Gobar Wilayah Kami (2012) yang tiba ke tangan Penulis pada 27.2.2013.
Melihat kepada penerbitan kumpulan puisi perseorangannya
berjumlah 4 buah kumpulan puisi iaitu Ruang Dalam (1986), Racun Abadi (2001), Negeri Di Bawah Bulan
(2008) dan Gobar Wilayah Kami (2013) menunjukkan Abdul Hadi seorang yang serius
berpuisi. Selain dari itu beliau banyak menghasilkan puisi secara antologi
berpuluh buah antologi seperti Abrar (2011), Gema Membelah Gema 4 - 8,
Puisi-Puisi Bangi (1978), Koleksi Perhimpunan Penyair Muda Malaysia (1988),
Danau Dan Tifa II, Perubahan (DBP 1988), Sayang Ottawa Airnya Sejuk (DBP 1989),
Mengenangimu (DBP 1989), Di Atas Mimber Merdeka (DBP 1989), Puisi Baharu Melayu
1961-86 (DBP 1990), Kamar Kecil (PAK 1991), Taman Bahasa Ibunda (DBP 1993),
Cetera 94 (Kelab Sastera Dewan 1994), Puisi-Puisi Kunjungan (DBP 1995), Paluh -
Dalam bahasa Rusia Terbitan Krasnaya Gora Moscow (1996), Nyanyian Kembara (GEMA
1999), Ratib Seribu Syair (GAPENA 2005), Oh Penuntut Darul Fikr KL 2005),
Sebening Sinar DBP 2005) dan lain-lain.
Beliau juga memenangi banyak hadiah seperti Hadiah Sastera-Public Bank (1985),
Hadiah Sastera Malaysia
(1984/85 dan 1986/87), Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1989) dan Hadiah
Peraduan Menulis Sempena Ulang Tahun Pelancaran Bangi Bandar Ilmu (2012).
Apabila Grup Pemuisi UKM ditubuhkan (1977) Grup Pemuisi
banyak mengadakan kegiatan berpuisi, berdiskusi dan berkreasi. Satu kegiatan
menonjol ialah menghasilkan kumpulan puisi. Selama lebih setahun bergiat
sebanyak 5 buah antologi puisi secara stensilan dihasilkan.
Menulis kata-kata aluan bagi Antologi Puisi Kuntum Rasa
selaku Penasihat Grupemuisi Penulis menyatakan:
``Umur Setahun jagung kelahiran Grup Pemuisi di UKM
relatifnya amat pendek, tetapi semuda usia ini Grup Pemuisi telah menempa nama
dalam kegiatan bersastera di tanahair, khususnya di UKM. Kejayaan ini banyak
bergantung pada pengemudian Grup Pemuisi yang dipimpin oleh saudara Nawawee
Mohammad, Azmi Yusoff dan rakan-rakan. Dengan lahirnya antologi ini sudah lima buah antologi yang
dikaitkan dengan Grup Pemuisi dihasilkan, di samping kegiatan yang lain
(Nawawee Mohammad & Abdul Aziz Ahmad, Kuntum Rasa, Grup Pemuisi UKM, 1979:
hlm. I.
Abdul Hadi Muhamad dilahirkan di Kg. Humalanas Takbai, Wilayah Narathiwat , Thailand Selatan pada tahun 1954.
Menerima pendidikan awal di Ma`had Muhammadi Kota Bharu, di Kolej Islam
(1971-74) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1975-1979). Bersama beberapa
teman penyair di Kampus UKM Abdul Hadi memimpin Grup Pemuisi UKM. Abdul Hadi sebenarnya
mempunyai persediaan bakat terserlah di dalam berpuisi. Kegiatannya di dalam
Grup Pemuisi UKM mempercepatkan kelahiran dan penonjolan bakatnya. Ini terbukti
dari tiga puisi awal beliau yang dimuatkan di dalam Antologi Kuntum Rasa. Baca
dan hayati kekuatan imaginasi dan
pemilihan kata beliau yang menyimpang dari ungkapan biasa:
Perpindahan: Tiada Lagu Dari Seorang Voyeur
Dan sesudah itu ?
Mendung pun kaupunggah-punggah ke dermaga
Laut yang lagi tenteram, akulah layang-layang
Sesekali menjunam atau bungkam
Memerhati kesibukan pengkalan
Dengan bungkus-bungkusan berat
Kata selamat yang tak terucap.
(Kuntum Rasa, Grup Pemuisi UKM, 1979: 4)
Demikian sebahagian dari puisinya yang menggambarkan
kesibukan dialami penyair di Dermaga Butterworth, Pulau Pinang. Lihat pada
pemilihan katanya secara imaginative dan puitis, Mendung pun kaupunggah-punggah
ke dermaga, Laut yang tenteram akulah laying-layang, sesekali menjunam atau
bungkam dan Kata selamat yang tak terucap. Ungkapan-ungkapan ini menggamit rasa
yang menyentuh naluri ingin tahu apa yang diungkap dan mau disampaikan yang
sesungguhnya amat berkesan.
Hayati lagi gaya
pengucapan Abdul Hadi ketika bertolak dan mengucap Selamat Tinggal kepada kampung halamannya. Kata Abdul Hadi:
Swaddi Kap Buat Tanah Kelahiran
Swaddi kap,
Sekarang aku melintasi sempadan
Tanpa ingatan ke belakang
Atau menangis
Bot ini memunggah kesaratan rasa
Kembara, penemuan dan kembali
Bakal penghabisan hari.
Swaddi kap orang-orang Pulau Nibung !
Swaddi kap orang-orang Humalanas
Angin kelmarin mengapa masih sepi
Anak-anak keli lagi menggigit umbi padi
Ah, gagakkah yang pulang ke benua
Mengetuk daun pintu tanah kelahiran
Atau berlari-lari mengejar belalang
Hinggap di daun kerian
Pinggir kubang,
(Kuntum Rasa, UKM, hlm. 4 & 6).
Perhatikan petikan kata-katanya bagi mewakili imaginasi dan
perutusannya, Swaddi kap (bahasa Thai = Selamat Tinggal), Bot ini memunggah
kesaratan rasa, Angin kelmarin mengapa masih sepi, Anak-anak keli lagi
menggigit umbi padi, Gagakkah yang pulang ke benua, Mengetuk daun pintu tanah
kelahiran, Berlari-lari mengejar belalang, Hinggap di daun kerian, Pinggir
Kubang. Abdul Hadi mengungkapkan pengalaman alamiah yang dilalui dan dihayati
dan berjaya menterjemahkannya ke dalam bahasa puisi.
Dua petikan (sebahagian) menggambarkan situasi dialami
penyair dalam perjalanan yang ditanggapi secara imaginative kreatif, begitu
indah ungkapan dan itulah bahasa puisi. Dengan bakat terserlah ini ianya
menjadi asas bagi Abdul Hadi menginjak dan melebarkan sayap puisinya menerawang
ke pelbagai kemungkinan mendepani masa depan.
(Bersambung …)
Sekian.
No comments:
Post a Comment