June 14, 2013

Peranan Sahabat Memperluaskan Islam Dan Keilmuan

BBB, 05 Sya`ban 1434 = 13 Jun 2013 (Khamis):

Bayangkan bagaimana kita berpeluang mendapat kurniaan hidayah dan menikmati keilmuan Islam. Sudah tentulah melalui dakwah dan pendidikan yang sampai kepada kita melalui lapisan-lapisan  pendakwah/guru sejak bermula dari Nabi Muhammad s.a.w. melalui sahabat-sahabat baginda seterusnya turun ke bawah lapisan-demi lapisan hingga kepada kita yang kini sudah memanjang masa hingga 1434H.



Para sahabah adalah rantaian pertama selepas Rasulullah s.a.w. yang mengunjurkan dakwah/pendidikan kepada rentetan generasi ke generasi. Para sahabat adalah mereka yang hidup, berkesempatan dengan Rasulullah  dan menerima  pendidikan/keilmuan atau sekurang-kurangnya bersama dengan Rasululah s.aw. Berkata Nasr `Abd al-Salam Nasr yang membuat kata pengantar bagi buku yang berjudul Mukhtasar Hayat al-Sahabat bahawa,

``Para sahabat ialah mereka yang telah memindahkan kepada kita ini agama secara  sempurna lagi betul. Mereka memelihara Islam dan Sunnah Nabi (s.a.w.). Mereka menyebarkan agama ini ke pelusuk dunia dari Timur ke Barat.`` dan
Mereka bernama sahabat, ialah mereka yang menjual diri mereka dan harta benda mereka pada jalan Allah bagi meninggikan  kalimah Lailaha illa Allah Muhammadur Rasulullah, mereka berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad hingga mereka dipilih Allah dan mengangkat mereka di tempat yang tinggi.`` Tambah lagi,
``Mereka adalah sahabat-sahabat yang keluar dari Negara-negara mereka dan meninggalkan harta mereka, perniagaan mereka, anak-anak dan isteri mereka demi agama ini, mereka berhijrah ke negara-negara yang mereka tidak mengetahuinya membawa agama Islam meskipun mereka berdepan dengan risiko bahaya dan kesusahan.``

(Muhammad Yusof  al- Kandahlawi, Mukhtasar Hayat al-Sahabat, Beirut, Dar al-Kalam, tt: hlm. 6 - 7).

Bayangkan peranan Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq sahabat sejati Rasulullah s.a.w. ketika menyeru kaum Quraisy bagi menyampaikan maklumat dan dakwah Islamiyyah terawal, ketika semua kaumnya mencemuh baginda, tetapi Abu Bakarlah yang mengia, membenar dan mempertahankan Baginda.

Bayangkan pula setelah menghadapi tentangan, bahkan sekatan selama 13 tahun, apabila Rasulullah hendak berhijrah ke Madinah, maka Abu Bakar A-Siddiqlah menjadi pengiring setia. Abu Bakar bukan setakat pengiring, tetapi adalah sama sebagai Penyelamat Islam, pemelihara maklumat dan keilmuan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Amat banyak peranan sahabat, apabila Rasulullah menghadapi ancaman perang bagi menghapuskan Islam, tidak kurang dari 70 peperangan berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan Baginda sendiri memimpin pasukan perang sebanyak 28 kali.
(Haji Ahmad Adnan Fadzil & Hj. Riduan Mohamad Nor, Peperangan Rasulullah s.a.w., Kuala Lumpur, Jundi Resources, 2007: V.

Bayangkan pada peperangan kritikal seperti peperangan Badar dan Uhud tanpa pertahanan bersama sahabat-sahabat, bahkan antara mereka yang gugur syahid seperti Sayyiduna Hamzah bin Abu Talib di dalam peperangan Uhud, tanpa mereka cahaya Islam akan terhalang, bahkan kesetiaan sahabat-sahabat memepertahankan keselamatan Rasulullah s.a.w, maka sinar Islam berkembang.
(Mukhtasar Sirah Ibn Hisham, Beirut, Dar al-Nafa`is, 1987: 136 – 149).

Demikianlah dengan peperangan-peperangan yang lain bagi mempertahankan Islam.
Para sahabat yang tergolong dari kalangan Muhajirin dan Ansar yang membina masyarakat Islam Madinah termasuk kaum Yahudi, menjadikan Madinah sebuah masyarakat yang harmoni yang menjadi model sebagai pemerintahan Negara Islam terawal. Antara kegiatan dan elemem Negara Islam terawal di Madinah ialah:

  1. Menyusun sistem pertahanan
  2. Menjaga keamanan dan keselamatan
  3. Menyediakan undang-undang dan aturan untuk melaksanakan keadilan kepada seluruh manusia
  4. Menyebar Ilmu pengetahuan
  5. Memungut hasil Negara (di Baitulmal)
  6. Membuat dan mengadakan perjanjian dengan Negara asing
  7. Membuat hubungan diplomasi – menghantar dan menerima duta-duta asing.
(Hj. Harun Taib, Negara Islam, Kuala Lumpur,  Dewan Ulama` Pas Pusat, tt: 3 – 4).

Dasar Pendidikan Diikuti Sahabah
Para sahabah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sebaik-baik manusia pada zamannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Daripada `Amran bin Husayn berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Sebaik-baik manusia mereka yang berada pada kurunku, kemudian yang mengikuti mereka dan kemudian yang mengikuti mereka.``
Para sahabat adalah mereka yang berada pada paling awal bagi permulaan kurun, apakah formula yang digunakan oleh para sahabat di dalam menyampaikan tarbiyah dan ilmu kepada masyarakat ? Tidak lain daripada berpandukan kepada al-Qur`an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai contoh:

Ketika Rasulullah s.a.w hendak mengutuskan Mu`az bin Jabal r.a. ke Yaman terlebih dahulu Baginda bertanya sebagaimana maksud dari Hadith Rasulullah s.a.w.
``Apa yang menjadi pedoman  dalam mengadili sesuatu hal hai Mu`az ?``
Kitabullah, jawab Mu`az.
``Bagaimana jika kamu tidak menjumpainya di dalam Kitabullah ?`` Tanya Rasulullah pula. ``Saya akan putuskan dengan Sunnah Rasul,`` kata Mu`az
Bagaimana jika kamu tidak menjumpainya di dalam Sunnah Rasul ?`` Jawab Mu`az
``Akan aku gunakan fikiranku untuk berijtihad dan saya tidak akan berbuat sia-sia.``
Maka berseri-serilah wajah Rasulullah s.a.w. Sabda Baginda, ``Segala puji bagi Allah s.w.t. yang lebih memberi taufik kepada Utusan Rasulullah sebagai yang diredai oleh Rasulullah s.a.w.``
Muaz seorang yang tidak banyak cakap, tetapi bila di dalam majlis-majlis pendapatnya selalu dirujuk. Dia memiliki otak yang cerdas dan memberi jawapan yang logik dan memuaskan. Beliau dihormati tentang ilmu pengetahuannya sama ada pada zaman Rasulullah atau selepas wafatnya Baginda.
Rasulullah menghantar Mu`az ke Yaman bagi memperkembangkan agama Islam dan pengajarannya. Ketika Rasulullah s.a.w wafat Mu`az masih berada di Yaman. Pemergiannya sejak dihantar oleh Rasulullah s.a.w. ke sana bagi membimbing masyarakat Yaman tentang agama Islam dan keilmuan. Semasa Khalifah Abu Bakar Mu`az kembali ke Yaman sebagai pendidik. Mu`az juga pernah ke Syria mendidik masyarakat Islam di sana. Mu`az meninggal semasa Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam umur yang masih muda belum (33 tahun)’
(Dr. Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 133 Wira Terbilang Di Zaman Rasulullah, Terjemahan dan Tambahan oleh Abu Mazaya al-Hafiz, Batu Caves, Kuala Lumpur, Al-Hidayah Publications, 2008: 85 – 87).

Muaz bin Jabal adalah contoh yang baik dari segi dakwah, keilmuan dan penyebaran agama Islam, tetapi para sahabat yang lain sama berperanan di dalam dakwah dan menegakkan agama Islam. Pada zaman permulaan Islam di Makkah sudah ada pusat pendidikan yang dikenali sebagai rumah Arqam bin Abi al-Arqam, di sini pengajaran Islam disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat menerima dan menyampaikan Islam. Contoh seperti Mus`ab bin Umair yang menerima Islam melalui pengajaran di rumah al-Arqam, beliau pula dihantar oleh Rasulullah s.a. ke Madinah untuk mengajar kepada orang Ansar yang telah berbaiah dengan Rasulullah s.a.w. (sejumlah 12 orang) sebelum berhijrah ke Madinah. Cara mnghantar perutusan sedemikian bagi menyebarkan agama Islam dengan menghantar sahabat-sahabat dilakukan  ke Taif dan juga Habasyah.

Sahabat Abdullah bin Umar  yang lanjut umarnya (85) terkenal sebagai sahabat yang banyak ilmunya yang dipelajari dari Rasulullah s.a.w. dan mengikuti apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga Saydatina Aisyah mengatakan:
``Tidak seorang pun mengikuti jejak langkah Rasulullah di tempat-tempat pemberhentiannya kecuali Ibn Umar (Sejarah 133 Wira Terbilang, hlm.56).
Ibn Umar menjadi tempat rujukan dan memberi fatwa menurut keilmuan yang dialami dan difahami dari Rasulullah s.a.w. Beliau pernah diminta oleh Khalifah Uthman Ibn Affan untuk menjadi hakim, tetapi beliau menolak. Abdullah selain dari terkenal dengan banyak ilmu adalah seorang yang kuat beribadat dan dermawan.
Abdullah bin Abbas juga adalah sahabat yang tinggi dengan ilmu pengetahuan. Sepupu Rasulullah s.a.w.ini didoakan oleh Rasulullah;
``Ya Allah berilah dia ilmu agama yang mendalam dan ajarkanlah kepadanya takwil.``
(Sejarah 133 Wira Terbilang, hlm. 408).
Sesungguhnya Abdullah bin Abbas model ulama` yang keilmuan dimanfaat bukan saja oleh umat Islam semasa dengan beliau, bahkan berterusan hingga kini.

Umat Islam juga mementingkan ekonomi dan perniagaan bagi menghidupkan punca rezeki dan kekayaan Negara. Ramai daripada sahabat yang berniaga seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Uthman bin Affan dan antara mereka kaya raya seperti Abdul Rahman bin `Auf yang mempunyai 700 kenderaan dagangan yang berniaga antara Sham dan Madinah (Sejarah 133 Wira Terbilang, hlm. 338-344).
Tokoh perniagaan terbilang juga ialah Abu Sufyan Penguasa Makkah sebelum Islam dan pedagang terkenal sebelum dan selepas Islam.

Sebenarnya begitu ramai sahabat yang semua berfungsi di dalam menyebarkan Islam dan meluaskan ilmu pengetahuan. Bayangkan jumlah perawi awal dalam silsilah (sanad Hadith) dari Rasulullah s.a.w. Perawi-perawi di dalam Kitab Hadith Bukhari, Muslim, Abu Daud, Termidhi, Al-Nasai dan Ibn Majah dan yang lain daripada enam ini. Jumlah para sahabat adalah beratus ribu. Apa yang diriwayatkan oleh mereka adalah ilmu yang dipoerturunkan dari generasi ke generasi hingga kini. Apa yang diperturunkan adalah melibatkan berbagai ilmu sebagai pengukuh keilmuan yang bersumberkan al-Qur`an. Penyusunan di dalam kitab-kitab Hadith ini diatur mengikut bidang-bidang ilmu misalnya bermula dengan persoalan ibadat, muamalat, munakahat, jinayah, jihad dan bidang-bidang yang lain, khususnya akidah. Pendekatan dibuat oleh Imam Malik dengan kitabnya al-Muwatta dan model seumpamanya diikuti imam-imam dan penyusun kitab-kitab Hadith yang lain, bahkan dituruti kitab-kitab fiqh sebagai pendekatan standard dan mantap.

Perkembangan ilmu makin meluas dengan adanya kitab-kitab yang bersifat tafsir, sharih dan hashiah. Perkembangan ilmu terus berkembang ke zaman moden di dalam berbagai bidang yang memperkukuh peradaban dan tamadun umat hingga kini dan berterusan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment