June 6, 2013

Bilakah Tertubuhnya Persatuan Sastera Mahasiswa Di UKM ? (Memoir)

BBB, 26 Rajab 1434 = 05 Jun 2013 (Rabu):

Antara objektif UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970 ialah bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa akademik yang mampu mendukung keilmuan di dalam berbagai bidang. Bagi mencapai objektif ini di UKM ditubuhkan fakulti, institute dan jabatan yang berhubung dengan berbagai keilmuan, bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Dalam pertumbuhan dan pelunjuran UKM semua aspek-aspek berkenaan wujud dan berkembang. Satu aspek lagi seharusnya tertubuh ialah persatuan, kelab dan badan-badan yang berhubung dengan bahasa, sastera dan budaya Melayu bagi mempertingkat dan menghaluskan bidang-bidang berkenaan.


Melihat kepada kegiatan bahasa, sastera dan budaya, memang wujud badan bahasa di UKM sejak dari awal penubuhannya. Penubuhan dirangsang dan digerak oleh wujudnya mahasiswa yang peka dan berminat dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu dan wujudnya tenaga-tenaga akademik yang berwibawa, ditambah dengan situasi semasa masyarakat yang menyokong penubuhan UKM dan adanya seperti Dewan Bahasa dan Pustaka yang sama-sama mendukung aspirasi meningkatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Dari penelitian yang dibuat terhadap kegiatan mahasiswa yang berhubung dengan sastera ada dua tahap penubuhan badan bahasa, sastera dan budaya Melayu hasil dari kesedaran mahasiswa di UKM.


Pertama penubuhan pada peringkat permulaan semasa kampus UKM bertempat di kampus sementaranya di Jalan Pantai Baru, iaitu bermula dari tahun 1970, sejak awal UKM ditubuhkan.

Kedua: Penubuhan badan sastera sejak 1977 dan bergiat sejak awal kampus UKM berpindah ke Bangi. Badan ini dikenali sebagai Grupemuisi UKM. Grupemuisi UKM telah disentuh secara tidak langsung bila membicarakan `Abdul Hadi Muhamad Penyair Grupemuisi UKM`.

Tulisan ini memberi tumpuan kepada membicarakan tentang penubuhan badan sastera di kalangan mahasiswa semasa di Kampus UKM di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.
Pada peringkat awal penubuhan UKM di Jalan Pantai Baru, maka terdapat Jabatan yang dikenali dengan Jabatan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (kemudian ditingkatkan kepada Institut). Terdapat beberapa tokoh Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu seperti Profesor Dr. Syed Naguib al-Attas, Ali Haji Ahmad, Muhammad Haji Salleh dan Siti Hawa Salleh.


Sekumpulan pelajar di Fakulti Sastera setelah berunding telah menulis surat pada 15.7.1970 kepada Pensyarah pada masa itu Muhammad Haji Salleh yang merupakan seorang penyair dan aktivis bercadang untuk menubuhkan sebuah badan penulis yang beliau sebagai penulis dilihat paling sesuai membimbing. Beliau bersetuju, maka pada malam 23 Julai 1970 diadakan Majlis Perasmian Penubuhan sebuah badan Penulis yang diberi nama `Studi Kelab Sastera UKM. Ramai pensyarah yang dijemput dan hadir pada malam perasmian, iaitu Prof. Dr. Syed Naguib al-Attas selaku Dekan Fakulti Sastera UKM pada masa itu, Alis Murni (Ali Haji Ahmad – Pensyarah), Muhammad Haji Salleh, Usman Awang, Kemala, Abdullah Hussein, Yahya  Ismail, Aziz Jahpin dan ramai lagi. Majlis alu-aluan, pandangan dan pendapat dibuka. Semua bersetuju dengan penubuhan Studi Kelab Sastera UKM – Nama yang telah ditentukan lebih awal. Bagi menggerakkan Studi Kelab sebuah AJK ditubuhkan yang pengerusinya diamanahkan kepada Penulis sedang Setiausaha ialah saudari Asiah Sarji dengan beberapa AJK.

Antara kegiatan awal yang dijalankan ialah ceramah. Misalnya pada 29.8.1970 Prof. Dr. Syed Naguib memberi ceramah di UKM berjudul `Sastera dan hubungannya dengan filsafat.`` Sebelum daripada itu pihak Penulis menghubungi NST minta siarkan maklumat tentang ceramah berkenaan dan memang tersiar. Surat juga ditulis kepada Usman Awang Ketua Gapena untuk membawa kerabat Gapena ke ceramah dan kepada saudara Ahmad Sebi ketua Pena untuk membawa kerabat Pena ke ceramah.  Bersyukur kepada Allah kerana Ceramah dihadiri sejumlah peserta yang agak memuasakan. Berikutnya ceramah juga disampaikan oleh Profesor Slamet Muljana diadakan pada 3.9. 1970.


Pihak Studi Kelab Sastera UKM juga bekerjasama dengan pihak DBP dalam usaha mementaskan Drama Bukan Lalang Ditiup Angin karya Nordin Hassan seorang Dramawan dan Teater terkenal yang kemudian dianugerah sebagai Sasterawan Negara. Pihak Studi Kelab Sastera UKM sama menolong menjual tiket dan mengurus dua bas bagi Mahasiswa UKM ke DBP menyaksikan drama berkenaan pada malam 5.10.1970. Hadirin memenuhi Dewan. Pementasan dilakunkan oleh pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris Shah, Tanjung Malim diketuai saudara Rahman Shaari yang pada masa itu pelajar di Maktab tersebut. Bukan Lalang Ditiup Angin bersifat berat, ia adalah sindiran terhadap watak Melayu yang disifatkan sebagai Lebai Malang itu. Bukan Lalang Ditiup Angin amat popular pada masa itu dan banyak diperkatakan oleh penulis, pengkritik dan masyarakat. Ini adalah merupakan kegiatan terbesar Studi Kelab Sastera dalam tempoh hingga akhir tahun 1970.

Selepas itu hingga akhir tahun ada kegiatan ceramah seperti oleh En. Ismail Ahmad dari DBP. Studi Kelab Sastera UKM meneruskan kegiatan secara lebih rancak dengan kehadiran tahun 1971.

Sekian.

No comments:

Post a Comment