June 11, 2013

Nawawee Mohammad Pengasas Grupemuisi UKM: Kegiatan Pada Eranya (Memoir)

BBB, 01 Sya`ban 1434 = 10 Jun 2013 (Isnin):

Nawawee Mohammad bersama sahabat-sahabatnya telah mencipta sejarah tersendiri menubuhkan Grupemuisi pada 17 Disember 1977 di Kampus UKM Bangi. Ia adalah merupakan badan sastera yang memberi tumpuan kepada kegiatan berpuisi dan bersifat terbuka bagi semua mahasiswa di UKM. Dapatlah dikatakan ianya adalah merupakan Persatuan Kumpulan Berpuisi  yang diberi nama Grupemuisi pertama tertubuh di mana-mana pengajian tinggi di Malaysia. Kesan dari penubuhan Grupemuisi berjaya mewarnai kegiatan bersastera di Kampus UKM dalam tempoh dua dekad (1977-1997). Bahkan kesannya turut sama menggemai kegiatan sastera tanahair, khususnya di dalam bidang puisi.


Era Penubuhan yang diketuai oleh saudara Nawawee Mohammad dapat dikatakan sebagai Era Gemilang. Beliau bersama-sama dengan saudara Abdul Hadi Muhamad melonjakkan Grupemuisi dalam bidang puisi. Baik Nawawee atau Abdul Hadi sebelum masuk ke UKM mereka berdua telah berpengalaman menulis dan pena mereka lebih dipertajam dengan kemasukan mereka ke UKM, lebih-lebih lagi dalam masa membimbing Grupemuisi. Satu yang menarik bahawa baik Nawawee maupun Abdul Hadi bukan mahasiswa Fakulti Sastera, tetapi kedua-dua mereka adalah mengikuti pengajian di Fakulti Pengajian Islam. Yang menggerakkan mereka menulis ialah kerana minat dan bakat.


Sejak dari penubuhan,  Grupemuisi mengadakan berbagai-bagai kegiatan dengan sama didukung oleh penyair-penyair muda AJK dan ahli Grupemuisi seperti saudara Azmi Yusoff, Azizah Awang, Maswan Salleh, Jamilah Juni, Siew Yee Wee, Kho Hock Hoi  dan beberapa yang lain. Mereka berdiskusi, mengadakan majlis-majlis baca puisi bersama ahli-ahli Grupemuisi dan juga menjemput penyair-penyair luar kampus ke UKM dan keluar ke lokasi-lokasi khusus berkreasi dan berpuisi. Mereka juga menyertai kegiatan badan-badan penulis di luar kampus.

Satu yang istimewa Grupemuisi sejak ditubuhkan giat menerbitkan antologi-antologi puisi. Antara antologi-antologi diterbitkan pada Era Nawawee ialah:

1)      Puisi-Puisi Bangi Dan Dua Alam (1978)
2)      Sabda Bersahut Sabda (1978)
3)      Kuntum Rasa (1979)
4)      Puisi-Puisi Wangi
5)      Puisi Puisi Puisi Puisi Puisi
6)      Puisi Grupemuisi UKM 1
7)      Samudera (1979)
8)      Puisi-Puisi Mimaland

Sebagai contoh dipetik fragmn dari puisi Azmi Yusoff AJK Grupemuisi yang agak puitis:

Di Pesisir Pantai Ini

………
Di pesisir pantai ini
Kita bebas bak burung-burung
Bersayap ke sisi gunung
Kita bebas bak ikan-ikan
Berenang ke perut lautan.
       (Kuntum Rasa, 1979: 15).

Cara memilih kata adalah puitis dan alamiah, walaupun dari segi perutusan tidaklah mendalam.

Demikian Halijah Mohd Ibrahim dengan:

Pengertian
…..
Biarlah kita akukan
Keimanan yang masih tipis
Acap digoda keadaan
Amat mudah ditawan perasaan
           (Kuntum Rasa, 1979: 20).

Adalah ungkapan secara jujur dari Halijah tentang permainan rasa anak muda.

Saudara Maswan Salleh mencatatkan tentang perpustakaan:

Di Perpustakaan Sosiologi

Seorang anak kampung
Seperti aku
Berada di antara rak-rak buku
Berdiri bagai tidak berbaki
Terapung dicelah-celah awan
Angin dan kabus,
Mata semacam tidak mau berkelip
Hanyut bersama angan-angan.
           (Kuntum Rasa, 1979: 38)

Agak ringan dari segi persoalan, patut diperdalam dan diberatkan lagi kepada maksud meneroka keilmuan. Melihat kepada semua puisi dalam Kuntum Rasa sebenarnya agak ringan dan masih pada peringkat permainan rasa. Dilihat dari antologi Samudera tahapnya adalah seperti Kuntum Rasa. Contoh Norlaila Ghafar dengan puisinya yang agak membawa unsur ketuhanan:

Nyanyian Ini Rabbi,
Bagaimana harus kunyanyikan ?

Andai aku seorang pelukis
Akan kuperhambakan diri
Pada knaves dan warna
Melukiskan sketsa alam
Menyatakan keagunganMu
                          -Tuhan.

 (Samudera, 1979: 3)

Ungkapan menarik dengan imej yang hidup dan alegori menyegarkan. Hayati pula dari puisi Abdul Hadi h.m. yang lebih mendalam serta puitis dari segi ungkapan,

Sajak Buka Tahun

Sepatu yang kautanggalkan
Talinya perlahan-lahan reput
Debu-debu yang kau lupa usapkan
Kini bersangkutan di ujungan rumput
Daun-daun kalendar di beranda
Kaukah menggugurnya, kaukah
Kemudian memadam angkanya.
               (Samudera, 1979: 8)

Ungkapan di atas menarik,  dan imaginatif. Pada pokoknya walaupun sebahagian besar dari ungkapan-ungkapan penyair muda agak ringan, tetapi ada potensi untuk dipertingkatkan sebagaimana kelihatan pada puisi saudara Abdul Hadi h.m. Sebenarnya Grupemuisi sedang menyediakan jalan bagi mereka untuk mendaki ke tingkat yang mencabar dan kemampuan bagi menjadikan diri penyair mapan.
Demikianlah beberapa contoh petikan mewakili banyak antologi dan ramai penyair muda yang sedang diasuh oleh Grupemuisi bagi menuju kematangan.

Bagi saudara Nawawee Mohammad puisi-puisinya ada bersama di dalam antologi-antologi yang dihasilkan oleh Grupemuisi, tetapi sebagai penyair berpengalaman seperti Abdul Hadi Muhamad beliau juga menghasikan kumpulan puisi berseorangan. Antaranya:

1)      Nota Orang Bersajak (1987)
2)      Sajak Seorang Aku (1988).

Penghasilan puisi dalam dua buah buku puisi seturut tahun agak banyak dan jelaslah beliau begitu kreatif  dan prolifik. Satu kelainan yang dibawa Nawawee di dalam puisi-puisinya beliau memilih kata-kata agak asing dan menyimpang dari kebiasaan. Ambil saja istilah Grupemuisi yang sebelum dari itu tidak digunakan istilah sedemikian dan permulaan banyak pro dan kontra pemilihan istilah sedemikian. Contoh dari Kumpulan Nota Orang Bersajak:

Di Luar Diri

Keajaiban padang alam memintal ikhlas akal
Melembut naluri menemui rahsia wujud
Bersatu mendekat jarak cinta manusia
Kepada Pencipta.
      (Nawawee Mohammad, Nota Orang Bersajak, 1987: 2).

Lihat bagaimana beliau mengkoin istilah yang agak lain `keajaiban padang`, `alam memintal` dan `ikhlas akal` yang kurang licin, melompat-lompat dan terganggu dari segi estetik. Dalam puisi-puisinya saudara Nawawee banyak bereksperimen bukan saja dari segi pemilihan kata, tetapi membawa kelainan dari segi visual. Walau macam mana saudara Nawawee mempunyai gaya tersendiri yang menjadi identitinya. Contoh ungkapannya yang lebih lembut, tetapi kekal dengan cara pemilihan kata yang identik dengan dirinya:

Sajak Ini Harus Diperbaiki Lagi,
Supaya Lebih Menarik dan Disenangi
(buat en)

Kerana di balik bait-bait sajak itu
Adalah sepotong api
Barangkali akan membakarmu nanti

Kerana di padang persoalannya
Ada seekor cemburu yang nakal
Selalu saja mengawasi garis sempadan
Antara laut setia dan hutan tresno
Menjadikan segala-galanya di situ
Dibodohi oleh asap dendam.
         (Nawawee Mohammad, Sajak Seorang Aku, 1988, hlm. 8)


Kegiatan-kegiatan Grupemuisi dan antologi sering mendapat liputan media. Ini melonjakkan nama Grupemuisi dan juga Universiti. Ini ditambah galakan dan pensyarah-pensyarah yang turut membuat ulasan terhadap antologi-antologi seperti oleh Drs. Ramli Isin, Shafie Abu Bakar dan Sahlan Mohd. Saman. Bagi memberi semangat kepada peminat-peminat peraduan-peraduan menulis puisi juga dianjurkan kepada penulis-penulis puisi dengan hadiah walaupun tidaklah begitu lumayan.  Mereka juga menganjurkan kursus-kursus bimbingan di Sekolah-sekolah.

Selain daripada itu Grupemuisi di Era Nawawee berjaya mengaturkan lawatan kegiatan berpuisi misalnya lawatan ke Universiti Singapura  yang disambut oleh Persekutuan Bahasa Melayu, Universiti Singapura pada 18 Februari 1979. Lawatan juga dibuat ke Universiti Sains Malaysia, maktab-maktab perguruan dan sekolah-sekolah.

Kegiatan Grupemuisi berpuisi sebenarnya mendapat sokongan kuat dari UKM. Ia bukan sedar setakat peramian dilakukan oleh Naib Canselor, tetapi pihak UKM mulai tahun 1979 menganjurkan Penilaian dan penyampaian Hadiah Sastera UKM mulai pada 30 Jun 1979. Ini adalah merupakan Hadiah Sastera julung-julung kali diadakan di mana-mana universiti di Malaysia. Barangkali ianya mengikuti Hadiah Sastera yang diadakan oleh kerajaan terhadap penulis-penulis di Malaysia saban tahun. Dalam Hadiah sastera kali pertama ini dua orang tokoh Grupemuisi diberi hadiah. Iaitu Nawawee Mohammad mendapat Hadiah Terbaik dengan puisinya berjudul, ``Apologia Buat Ibu`` dan saudara Azmi Yusoff mendapat Hadiah Penghargaan dengan puisinya yang berjuduul, `Sebuah Kota Yang Dibakar Sepi`. Meraikan majlis itu bukan saja hadir dari ahli-ahli Grupemuisi, tetapi juga oleh Pentadbir Universiti, para pensyarah dan jemputan kepada sasterawan dari luar. Penyampaian Hadiah mendapat liputan dari akhbar-akhbar. Selepas dari itu penyampaian Hadiah Sastera UKM menjadi acara tahunan. Ini menunjukkan pihak UKM pada masa itu memberi perhatian kepada kegiatan bahasa dan Sastera dari kalangan mahasiswa. Biasanya Naib Canselor UKM akan hadir pada setiap acara.

Jelaslah bahawa Grupemuisi sejak dari permulaan di Era Nawawee berjaya mewarnai kegiatan bersastera, khususnya berpuisi di kampus UKM dan kesannya keluar ke persada tanahair. Apa yang diasaskan oleh saudara Nawawee Mohammad diteruskan oleh pendukung-pendukung Grupemuisi bagi era seterusnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment