June 28, 2013

Tradisi Pengajaran Perluas Keilmuan Islam Pada Zaman Nabi Muhammad s.a.w Dan Khulafaur-Rashidin

-->
BBB, 18 Sya`ban 1434 = 27 Jun 2013 (Khamis):

Salah satu mekanisme meluaskan Islam ialah melalui pengajaran. Mengajar adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Ayat al-Qur`an antaranya menegaskan:

Allah mengangkat orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniakan ilmu kepada darajat yang lebih tinggi (al-Mujadalah: 11).  Firman Allah lagi bermaksud:

Kami mengangkat kepada darajat sesiapa kami kehendaki dan di atas yang mempunyai ilmu ada yang lebih berilmu (Yusuf: 76).
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Mununtut ilmu adalah wajib di atas kesemua muslim (Ihya`, Dar al-Fikr, 1400/1980: 15). Dan Hadith riwayat oleh Abu Dharr dari Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Engkau berulang belajar ilmu pengetahuan lebih baik daripada engkau bersolat seratus rakaat.

Dalam sejarah penyampaian keilmuan kepada umat melalui berbagai kaedah mengikut kesesuaian zaman.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah merupakan penyampaian langsung daripada Baginda sebagaimana Baginda memperturunkan ayat-ayat al-Qur`an dan penyampaian Hadith-Hadith Baginda yang diriwayatkan oleh para sahabat.

Pada zaman Makkah penyampaian ajaran-ajaran Islam berlaku di kalangan sahabat di rumah al-Arqam bin Abi`l-Arqam.

Rasulullah juga mementingkan pendidikan terhadap kanak-kanak. Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. telah membenarkan beberapa orang tawanan Perang Badar menebuskan diri mereka dengan mengajar sepuluh orang anak orang-orang Islam hingga pandai menulis dan membaca.

Selepas Hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah ini juga didirikan `Kuttab` dan `Darul Qur`an` seperti bentuk sekolah-sekolah rendah, bertujuan untuk kanak-kanak Islam belajar al-Qur`an, menulis dan membaca. Dengan ini jelas bahawa prinsip pendidikan Islam dari peringkat rendah sudah ada pada zaman Rasulullah s.a.w.

Peringkat pengajian yang lebih tinggi pada masa tersebut berlangsung di Masjid Madinah. Kegiatan penyebaran keilmuan pada masa itu dihidupkan oleh para sahabat Nabi. Antara sahabat yang turut berperanan sebagai guru mengembangkan ilmu pengetahuan ialah Sayyiduna Umar ibn al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Ibn Mas`ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, Saydatina Aishah r.a(ha), Mu`adh Ibn Jabal, Abu al-Darda`, `Abdullah ibn Salam dan Salman al-Farisi. Antara guru-guru tersebut dihantar keluar daripada Madinah seperti Mu`adh bin Jabal dihantar mengajar di Yaman.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. kesedaran terhadap kepentingan bahasa asing telah disedari. Misalnya Rasulullah s.aw. telah menyuruh Zaid bin Thabit mempelajari bahasa Suryani (bahasa Yahudi) untuk menyenangkan pengurusan yang berhubung dengan orang Yahudi seperti soal-soal perjanjian dan sebagainya dan juga untuk mengelak daripada berlakunya tipu daya daripada orang-orang Yahudi terhadap orang Islam dan juga orang ramai.

Pada zaman pemerintahan Khulafaur-Rashidin (Khalifah Empat – Sayiduna Abu Bakar, Umar, `Uthman dan Ali r.a(hum) di mana perpindahan kuasa dari satu Khalifah kepada satu Khalifah berlaku dengan baik, tumbuh dan berkembangnya pusat-pusat pendidikan dan pengajian. Pusat-pusat tersebut terdapat di Makkah, Basrah, Kufah, Damshik, Palestin dan Fustat (Qahirah). Beberapa orang guru yang mursyid telah dihantar ke beberapa Bandar yang penting yang menjadi tempat perkembangan ilmu pengetahuan. Umpamanya  Abdullah ibn Umar menjadi guru di Madinah, Abdullah bin Mas`ud dihantar ke Kufah, Abdullah ibn `Amr dihantar ke Mesir dan Abdullah ibn Abbas bertempat di Makkah (Shafie Abu Bakar, Aspek Pendidikan Dan Pertumbuhan Ilmu Pengetahuan Di Bawah Kerajaan Islam, Utusan Kiblat, Bil. 47, Jun 1974, hlm. 39-42).

Pengajaran yang disampaikan adalah berhubung dengan al-Qur`an dari segi bacaan dan kandungan, tafsiran dan amalan-amalan. Hadith Rasulullah s.a.w. juga menjadi bahan pengajaran. Para sahabat ini, mereka masih ingat segala perkara yang berhubungan dengan Rasulullah s.a.w. Mereka mengajar mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan aqidah, ibadat, seperti solat, zakat, berpuasa, Haji dan aspek-aspek akhlak. Contoh jelas yang dibawa sebagai contoh tauladan, tidak lain dari Rasulullah s.a.w.
Dengan perluasan kawasan pemerintahan Islam, bertambah ramainya umat Islam, tentu timbul masalah baru mendepani Khalifah-Khalifah, sebagaimana yang didepani oleh Muadh bin Jabal, maka tentulah lebih banyak lagi permasalahan yang dihadapi oleh para Khalifah dan mereka menyelesaikannya berdasarkan al-Qur`an dan Sunnah dan ijtihad masing-masing.

Dari kalangan Khulafaur-Rashidin, maka Sayyiduna Abu Bakar, walaupun berwatak lembut, tetapi tegas di dalam memerangai mereka yang murtad, beliau juga memulakan pengumpulan al-Qur`an kerana bimbang akan lupus dengan kematian para sahabat. Sayyiduna Umar al-Khattab terkenal dengan ketegasannya dan dalam menegakkan keadilan dan pembelaan terhadap mereka yang susah. Sayyiduna Uthman Ibn Affan terkenal sebagai seorang koperat, tetapi pemurah. Beliau berusaha mengumpulkan al-Qur`an dengan lebih sempurna hingga terkenal naskhah susunannya dengan Mushaf `Uthman dan Sayyidina Ali k.w. terkenal sebagai orang yang alim dan bijaksana, penghafal Qur`an, seorang sasterawan dan ahli pidato, seorang pahlawan perang, negarawan dan pencinta Ilmu. Ali juga adalah pelopor Ilmu Tauhid, fiqih, Ilmu Nahu dengan penulisan bahasa Arab (Abdul Latip Talib, Khalifah-Khalifah Yang Benar, Batu Caves, Selangor, PTS Litera Utama Sdn. Bhd, 2010: 1X.). Bidang-bidang keilmuan seperti yang didalami oleh Sayyiduna Ali k.w. adalah keilmuan-keilmuan yang dipelajari pada zaman Khulafaur-Rashidin, khususnya pada zaman Khalifah Ali k.w. Pngajian keilmuan berkenaan, makin berkembang luas. Bahkan Kufah dan Basrah pantas menjadi Pusat Bahasa, lantas kemudian daripada itu lahir aliran-aliran ilmu bahasa yang dikenali sebagai Golongan Kufiyyun dan Basariyyun.

Di dalam pemerintahan Islam pada zaman Khulafaur-Rashidin ini diperkukuhkan aspek kemasyarakatan yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. dengan mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Konsep orang-orang Islam bersaudara ini diperluaskan di mana Islam berkembang, bahawa orang-orang Islam tanpa mengira kaum dan keturunan diikat oleh kesatuan aqidah dan mereka adalah bersaudara, tidak ada kelebihan antara mereka, kecuali yang lebih bertaqwa. Umat Islam bebas bergerak ke mana-mana Negara Umat Islam tanpa sekatan. Bahkan adalah menjadi tuntutan dakwah mereka bergerak dari satu negara ke satu negara, bahkan berbagai negara bagi menyebarkan dakwah keislaman dengan mengajar ilmu-ilmu keislaman kepada mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment