June 23, 2013

Mula Menulis (Memoir)

BBB, 13 Sya`ban 1434 = 22 Jun 2013 (Sabtu):


Penulis mula menulis sejak tahun1961 semasa Penulis bersekolah di Madrasah (Sekolah Arab Thanawi) Sultan Zainal Abidin Kuala Terenganu lagi. Timbulnya minat menulis oleh beberapa faktor. Antaranya:

1)      Banyak membaca sama ada di dalam bahasa Melayu, Arab dan English. Iaitu bagi menghadapi peperiksaan Sijil Thanawi. Pada masa itu Penulis juga turut sama belajar kelas malam bersama dengan beberapa orang kawan Madrasah Sultan Zainal Abidin bagi mengambil LCE Persendirian bersama-sama pelajar lain di Kelas Malam Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
2)      Minat terhadap penulisan juga dicetus oleh Majlis Khitabah yang diadakan setiap hujung minggu – Dua kelas akhir hari Khamis –Selepas waktu rehat pertengahan. Penulis menjadi Pengerusi Khitabah yang mengurus Majlis Khitabah untuk dua tahun. Majlis Khitabah memerlukan kepetahan berbahasa dan bercakap. Setiap hujung minggu (Jumaat hari minggu) diatur jadual siapa yang menyampaikan khutbah dan pengerusi. Kadang-kadang Penceramah (Khatib) dijemut dari luar.
3)      Pengajian di Sekolah Arab (Agama) yang mementingkan pengucapan melahirkan ramai tokoh pemidatu dan sekali gus penulis. Antara penulis keluaran dari Sekolah Sultan Zainal Abidin yang dianggap terkenal dan antara mereka mencapai taraf penulis nasional seperti Ibrahim Hilmi, Wan Hussein Azmi, Khairuddin Muhammad, Alias Ali, Aziz Afkar, Mahmud Embong, Ibrahim Fikri, Awang Jabar dan lain-lain lagi. Mereka menjadi inspirasi bagi pelajar-pelajar di Sekolah Sultan Zainal Abidin, termasuk diriku.
4)      Ada majalah terbitan Sekolah yang menawarkan pelajar-pelajar untuk menulis.
5)      Hasrat untuk menyambung pengajian tinggi. Cita-cita awal selepas tamat thanawi, ialah untuk menyambung pengajian di al-Azhar Mesir, tapi tiada sumber kewangan, sebab itu terpaksa bekerja dan menyimpan cita-cita untuk menyambung pengajian ke Universiti tempatan (akhirnya ke UKM) melalui belajar sendiri dari peringkat LCE/SRP hingga SPM dan STPM. Minat menulis bergerak sama di dalam menghadapi pelajaran.

Menurut catatan Penulis tulisan-tulisan awal yang dihasilkan Penulis sejak 1961 secara bertulis tangan, ialah:

1)      Tahun 1961 menulis Rencana mengenai bahasa untuk Majalah Sekolah Sultan Zainal Abidin Thanawi. Majalah diterbitkan dalam bentuk stensilan.
2)      Tahun 1961 . Menulis cerita mengenai Arnab bersifat saduran untuk kanak-kanak. Pernah dihantar ke Penerbit Sinaran Brothers, Pulau Pinang, tetapi ditolak.
3)      Tahun 1962 menghasilkan tiga buah cerpen kanak-kanak hantar ke Peraduan Cerpen Kanak-Kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak menang.
4)      Tahun 1962 menghantar beberapa cerpen ke Akhbar Utusan Zaman dan Berita Minggu, tetapi tidak pernah mendapat tempat.
5)      Tahun 1962 menghasilkan Novel Norman dan hantar ke Penerbit Haji Abdul Rahman Marang, Terengganu. Novel dianggap mentah dan ditolak.

Penulisan-penulisan di atas dihasilkan secara minat, tetapi tidak melalui pembelajaran yang penghasilan seharusnya melalui kaedah-kaedah yang betul. Tulisan-tulisan di atas dihasilkan secara tulis tangan. Penulis belum lagi mempunyai taip dan pada masa itu belum ada photo-copy atau Xerox. Sebab itu tulisan-tulisan yang dihantar tidak ada salinan. Ada naskhah-naskhah yang dipulang, tetapi semuanya tidak disimpan dan hilang.

Penulisan secara teratur selepas penulis bekerja sebagai guru agama (Sekolah Arab)  dan baru dapat membeli taip secondhand jenis Remington pada pertengahan tahun 1965. Mulai pada masa itu tulisan-tulisan yang ditaip mempunyai salinan. Tetap selepas 1964 tumpuan tulisan ialah bidang puisi.

Antara puisi tertua yang pernah Penulis hasilkan yang ada dalam simpanan ialah berjudul:

Perahu Besar

(Untuk Pelaut Perahu Besar Terengganu)

Dalam jeritan engin
Dan pecahan ombak berlari
Terkilas di mata Perahu Besar
Tersadai di dada kali.

Kesah lama mencetus kembali
Di zaman keutuhan nenek-nenek bangsaku
Mengharung samudera nan luas
Kini peristirahatan Perahu Besar
Memati di jiwanya semangat berniaga
Cabaran kapal api di sampingnya
Membuatnya lemah tak bernadi
Dan itu tok-toko mencecah air
Kepunyaan bangsakulah
Tapi putaran musim berguguran
Utuhnya turut berderai
Dan kini terus tersadai

Shafie Abu Bakar,
Kuala Terengganu,
07 Disember 1963.

(Ejaan lama disesuaikan kepada ejaan kini. Puisi ini pernah dihantar ke Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1.10.1968, tapi tidak mendapat tempat).

Sajak ini mengambil ilham dari peristiwa benar, bahawa pada tarikh di atas penulis bersama beberapa orang kawan menghadiri jemputan perkahwinan sahabat bernama saudara Mansor bin Abdullah (Pelajar lulusan Sekolah Sultan Zainal Abidin Thanawi – Beliau berkhidmat sebagai Guru Agama Pelawat di bawah Jabatan Agama Negeri Terangganu). Untuk hadir ke tempat jemputan di Kampung Kuala Bekah, kampong di tepi Sungai Terengganu, kami menaiki motor boat. Jauhnya dari jeti di Kuala Terengganu ke Kuala Bekah sejauh lebih kurang 15 km. ke hulu Sungai Terengganu. Khidmat motor boat mengangkut penumpang di Sungai Terengganu adalah pengangkutan popular pada zaman tradisi, sebelum ada jalan-jalan darat yang sempurna.

Dalam perjalanan Penulis melihat beberapa buah Perahu Besar tersadai di tepi Sungai Terengganu. Dari segi sejarahnya antara penduduk seperti Pulau Duyung, Pulau Rusa, Losong, Seberang Takir, Ladang dan Kuala Terengganu sendiri antara mereka berniaga berulang alik dari Terengganu ke Siam, (Thailand) – termasuk Patani, Kamboja (Cambodia), Campa bahkan hingga ke Vietnam dan China membawa dagangan dari Terengganu seperti bahan-bahan binaan, hasil kerja tangan – pertukangan besi dan hasil-hasil laut, hasil-hasil hutan dan ubatan ke negara-negara di atas dengan Perahu Besar yang menggunakan layar (biasanya luar musim tengkujuh). Dari negara-negara tersebut ditukar (beli) barang-barang seperti Beras dan garam dari Thailand, benang tenunan untuk songket dari Kamboja dan Campa, alat-alat besi dari Vietnam, pinggan mangkok dari China dan sebagainya. Pada zaman tradisi pelayar-pelayar ini terkenal sebagai saudagar yang barang-barang dagangan mereka ini dijual di Kuala Terengganu seperti di Kedai Payang, Pasar Tanjung, Kampung Cina dan tukang-tukang senjata (Kg. Ladang) dan penenun songket (Pulau Rusa dan Losong). Antara mereka mempunyai gudang dan kedai di Kuala Terengganu. Tetapi pelayar/peniaga tradisi dari muara Kuala Terengganu ini menghadapi ancaman moden dengan wujudnya kapal-kapal dan alat pengangkutan moden. Akhirnya terutama selepas perang Dunia Kedua pelayar peniaga tradisi ini menghadapi kepupusan. Kapal layar buatan tempatan yang dikenali dengan Perahu Besar kini sudah tidak lagi kelihatan. Walau bagaimana industri membuat kapal dan perahu masih hidup seperti di Pulau Duyung dan Losong.

Sekian.

No comments:

Post a Comment