June 25, 2013

Tidak Mudah Mendapat Tempat Dalam Penerbitan


BBB, 15 Sya`ban 1434 = 24 Jun 2013 (Isnin):


Sungguhpun penulis menulis dari awal 1960an, penulis belum lagi menghantar tulisan kepada penerbit-penerbit akhbar dan majalah. Penulis mulai serius menulis, ialah pada tahun 1968 semasa berkhidmat sebagai guru di Madrasah al-Ma`arif Kg. Raja Besut. Tumpuan tulisan ialah bidang puisi dan makalah dan mulai menghantar hasil-hasil penulisan ke akhbar dan majalah, termasuk puisi yang dihasilkan lebih awal dari itu. Mulai dari masa ini penulis mulai menggunakan sistem fail dan mengasingkan karya-karya mengikut penerbitan yang dihantar. Penerbitan yang menjadi pilihan bagi menghantar karya mulai 1968 - Pertengahan1970 (sebelum UKM dibuka):

1)      Akhbar Berita Minggu
2)      Akhbar Utusan Zaman
3)      Majalah Mastika
4)      Majalah Dewan Masyarakat

Namun cara menulis, terutama bagi puisi tidak menurut kaedah yang betul. Misalnya dalam satu halaman puisi disertakan nama dan alamat penulis dan tandatangan. Sepatutnya surat dibuat berasingan dari puisi yang disertakan. Nama samaran bagi penulis pernah gunakan Shabab dan Shafie A.B., tapi akhirnya menggunakan nama biasa Shafie Abu Bakar. Antara sajak terawal (1963) yang dihantar kepada Berita Minggu ialah:

Seorang Ibu Perungus. (Fragmen darinya):

Seorang Ibu Perungus

Herdeknya begitu meninggi
Cukup untuk meregut hati anaknya
Dan aku tiada hairan
Kekerasan hati anaknya membatu.

Kebebasan anaknya telah dirampas
Sekian lamalah ia terbelenggu
Perkembangan anaknya terhenti kaku
Dari herdeknya yang menggerutu
……
Kg. Nyiur, Paka,
13 Disember 1993.

26 buah puisi dihantar ke Berita Minggu sebelum Penulis masuk ke UKM, tetapi tidak mendapat sebarang tempat di dalam akhbar berkenaan. Keadaan yang sama tidak mendapat tempat di Utusan Zaman (Fail ke Utusan Zaman  sebelum Mei 1970  setakat ini tidak diketemui – tersalah tempat).

Penulisan ke Majalah Mastika tidaklah banyak sehingga bulan Mei 1970 jumlah puisi yang dihantar adalah lapan buah. Membaca kembali ternyata rendah mutunya. Contoh:

Seorang Anak Kecil

Seorang anak kecil
Tersenyum manis
Menggamit dunia
Dari jendela hati
Tanpa curiga.

Padanya
Laparnya tangis
Sakitnya tangis
Bahasanya tangis
……

Kg. Raja Besut,
5/2/1970.

Sebuah artikal tentang Musim Haji yang dihantar pada 9hb. Februari 1969 ke Mastika. Mutunya adalah rendah.

Hantaran puisi ke Dewan Masyarakat dari 1 Okt. 1968 hingga 21 Mac 1970 berjumlah 19 buah puisi. Satu yang memberi kelegaan bahawa setiap hantaran yang dibuat sama ada ke Dewan Masyarakat dan terbitan-terbitan yang lain di Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat jawapan yang mempunyai no. rujukan dari pihak DBP. Jawapan standard:

Rujukan ( )                                          Dewan Bahasa dan Pustaka
                                                             Jalan Lapangan Terbang,
                                                             Peti Surat 803,
                                                             Kuala Lumpur

Tuan/Puan,

Dengan ini adalah dimaklumkan iaitu surat tuan/puan Bilangan …… Bertarikh …….
Berkenaan  sajak untuk Dewan Masyarakat telah selamat diterima serta faham/mendapat perhatian.
                                                              b.p. Kt. Pengarang
                                                              Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jika Sajak `Perahu Besar` adalah antara sajak terawal dihantar ke Dewan Masyarakat, maka sajak `Kampungku Sunyi` adalah sajak terakhir dihantar ke Dewan Masyarakat sebelum penulis diterima masuk ke UKM yang memulakan era baru bagi Penulis dalam bidang penulisan.

Kampungku Sunyi adalah gambaran bagi suasana di Kg. Nyiur Paka pada masa itu. Sajak ini dihantar dari Kg. Raja Besut tempat Penulis berkhidmat.

Kampungku Sunyi

Di daerah pendalaman ini
Kemesraannya bertukar sepi
Air alur yang begitu jernih
Kini berlodak keruh sendiri
Kerana anak-anak tani
Tidak lagi turun bermandi.

Membuak air pekat memerah
Dari perigi tua
Di dada bumi yang punah
Kelat hapak berlemin hanyir
Meracun anak-anak tani.

Di daerah pendalaman ini
Telah sunyi dari anak-anak yang menyanyi
Di bendang padi
Sekali-sekali jika anda menjenguk ke mari
Terlihat orang tua yang uban kepala
Bertongkat melangkah dengan hati-hati
Capek jalannya kabur matanya
Bertenggek di anjung masjid basi.

Di daerah pendalaman ini
Pokok kelapanya tinggi-tinggi
Menyapu pokok-pokok tua lain
Dengan lenggoknya yang lesi
Memanggil anak-anak muda yang pergi
Kembali berbakti pada bumi nenek sendiri.

Di daerah pendalaman ini
Sepinya bertambah sepi
Semak-semak menyerang berhati-hati
Setapak demi setapak mengganti
Rumah-rumah runtuh sendiri
Kuburan memerah bertambah
Mengatasi kelahiran bayi pengganti
Yang tua-tua tinggal memakan hati
Rindu pada anak-anak yang mengembara lagi.

Kg. Nyiur, Paka, Dungun.
21 Mac 1970.

Walau bagaimana usaha Penulis untuk mendapat tempat bagi hasil-hasil penulisan, masih tidak berjaya. Sudah pastilah tulisan-tulisan berkenaan tidak sampai mutu yang melayakkannya untuk diterbitkan. Hingga pada satu peringkat kegigihan menulis agak tercabar sehingga lahirnya puisi berikut yang mnenjadi sebahagian dari puisi dalam Kumpulan Madu Ilmu berjudul `Protes` (hlm. 167):

Protes

Ia bertindak
Dalam jemu jelak
Mengangkat timbunan kertas
Makanan api – biar puas.

Ini kertas
Pencuri masa – emas
Pemeras tenaga – frust
Penghakis harta – mengkalas
Punca sengkita – rumah.

Dalam seketika
Api menjulang ganas
Membakar puncak hatinya – panas
Kakinya menyepak-nyepak
Hatinya menggelegak
Bersama api melonjak-lonjak
Lalu ia mendabik
Aku Nero pembakar Kota Roma
Aku Hulagu perempuh Kota Baghdad.

Tapi anih
Ia kembali menulis
Mohon tempat bertatih.

Kg. Raja, Besut.
07 Februari 1970.

Sesungguhnya untuk menjadi penulis berkebolahan tidak mudah untuk mencapai kematangan yang membolehkan tulisan diterima dalam penerbitan. Menulis hanya dengan bersemangat tetapi tidak melalui pembelajaran menyebabkan hasil tulisan kita tidak kesampaian dan tidak diberi ruang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment