June 19, 2013

Buletin PADAT Bil. 2/2012 Jun - Dis 2012

-->
BBB, 09 Sya`ban 1434 = 18 Jun 2013 (Selasa):

Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) setiap tahun menerbitkan penerbitan secara berkala iaitu Jurnal secara tahunan yang bernama Seri Alam dan Buletin secara dwi-tahunan yang dikenali dengan Buletin PADAT. Berbagai buku pula diterbitkan secara tidak berkala. Sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya, maka pada tahun 2012 dalam mana Adun Bangi (Dr. Shafie Abu Bakar) dilantik oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor menjadi Pengerusi PADAT (18 Januari 2012), maka tradisi menerbitkan Jurnal dan Buletin diteruskan. Adalah menjadi hasrat PADAT mau menerbitkan Buletin sebanyak 4 kali setahun, tapi hasrat ini masih belum dapat dilaksanakan. Penerbitan adalah masih secara dwi-tahunan, Penerbitan bagi Januari – Jun 2012 pada muka depan Buletin memfokuskan gambar Perlantikan YB Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) Adat Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Negeri Selangor. Buletin 1/2012 ini telah diperkatakan sebelum ini. Tulisan ini memfokuskan kepada Buletin PADAT 2/2012


Kulit luar bagi Buletin PADAT 2/2012 ini memilih gambar Majlis Perasmian Pameran Selangorku oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor pada 7 September 2012 di Muzium Sultan Alam Shah yang disertai oleh YB Dr. Ahmad Yunus Hairi Selaku Pengerusi Adat Melayu, Belia dan Sukan, dan Exco-Exco YB. Teresa Kok, YB. Dr. Halimah Ali dan YB Dr. Yaakob Sapari. Turut sama YB Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi PADAT.


Konsep Buletin ialah bertujuan melaporkan kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh pihak institusi yang menerbitkannya. Di dalam hal ini Buletin PADAT ialah bertujuan melaporkan kegiatan-kegiatan yang dilakukan sepanjang setengah tahun terawal bagi Bil. 1/2012 dan Bil 2/2012 bagi setengah tahun kedua 2012. Kandungannya tidak bersifat berat dan akademik sebagaimana jurnal. Ianya ditujukan sebagai maklumat kepada orang awam. Dalam kata-kata aluan bagi Buletin Bil. 2/20121 kata Dr. Shafie selaku Pengerusi PADAT:
``Merenungi dan menilai kerja-kerja yang telah terlaksana bersama warga PADAT selama setahun tidaklah boleh dikategorikan sebagai cemerlang sebagaimana seharusnya diharapkan.``  (10 pecahan persoalan utama dilaksanakan). Seterusnya penambahan,
``Walaupun sejumlah kegiatan telah dijalankan pada tahun 2012, tetapi banyak lagi tindakan dan program yang harus dilaksanakan. Misalnya kita masih belum melaksanakan konsep PADAT sebagai sebuah perbadanan.`` (disebut projek-projek yang masih dalam perancangan), Tambahnya lagi,
``walau apapun selama setahun kita telah berjaya menjalankan kegiatan-kegiatan memenuhi tanggungjawab dan amanah. Kita mengucap terima kasih kepada semua pihak.`` Demikian Pengerusi PADAT.

Laporan yang dibuat dalam Buletin 2/2012, adalah bersifat terpilih dan yang dianggap penting dan tidak mungkin semua kegiatan dapat dilaporkan.

Fokus utama ialah Perasmian Pameran Selangorku, menurut keterangan bahawa,
``Pameran Selangorku, Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan yang julung kali diadakan ini memaparkan kelangsungan sejarah serta perjuangan generasi terdahulu yang membentuk Selangor seterusnya menyumbang kepada kegemilangan perkembangan ketamadunan rakyat negeri ini.``

Pada halaman 4 Buletin Padat ini disenaraikan kegiatan sepanjang setengah tahun kedua 2012 yang berjumlah sebanyak 27 kegiatan. Antaranya Majlis Penyerahan bangunan lama MAIS di Kelang. (6 Julai 2012), Sidang Media Jumpaan Arkeologi di Bukit Jugra, Kuala Langat (13 Ogos 2012), Majlis Meraikan Sasterawan Tamu – A. Samad Said (26 September 2012) dan Bengkel Riview Pencapaian Plan Tindakan Strategi PADAT 2011-2015).

Antara Laporan dibuat ialah mengenai Bengkel Sulaman Kelingkan Gaya Selangor yang diadakan di PADAT pada 3 – 4 Julai 2012. Penyertaan ahli-ahli PADAT pada Pesta Masakan Warisan Melaka Dan Nusantara 2012 Anjuran Perzim Melaka pada 13 – 15 Julai 2012 di Pekarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka sempena sambutan ulang tahun Keempat perisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia Unesco.

Penemuan bahan-bahan arkeologi di Jugra dan sidang media mengenainya adalah menarik. Ini adalah hasil kerjasama antara PADAT dengan  Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Penemuan-penemuan seperti paku, bahan tembikar dan beberapa bahan yang lain hendaklah dianggap sebagai hasil permulaan dan kerjasama dan kajian lanjut haruslah diteruskan. Turut dilaporkan mengenai Moreh Puisi ke 6 di Meru pada 3 Ogos 2012 yang turut dirasmikan oleh YB Dr. Ahmad Yunus yang beliau sendiri turut mendeklamasikan puisi gubahan beliau sendiri.

Buat pertama kali PADAT menerima giliran menjadi hos bagi Program Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Jubli Perak yang dihadiri YAB Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negaeri Selangor YB Dato` Khusrin Haji Munawi, YB Dr. Ahmad Yunus Pengerusi Tetap Adat Melayu dan Warisan, Belia dan Sukan, YB. Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi Padat. Exco-exco, Puan Azlinda Azman Ketua Eksekutif PADAT dan pegawai-pegawai Kerajaan. Laporan dibuat dalam dua halaman. Turut dilaporkan ialah Perbarisan Malam Diambang Kemerdekaan ke 55 Tahun, peringkat negeri Selangor yang begitu meriah. Turut dilaporkan mengenai Bengkel Seni Tari 2012 dan perbicaraan mengenai Seni Kompang dalam usaha mencari Kompang Beridentiti Selangor.


Satu yang seharusnya semua pihak bersyukur, khususnya bagi warga PADAT, bahawa PADAT menerima Anugerah Cemerlang Pengurusan Kewangan berdasarkan indeks Akauntabiliti Tahun 2011 bertaraf empat bintang beserta 7 agensi lain. Anugerah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang di Kuantan. Atas pencapaian Anugerah ini Kerajaan Negeri Selangor menghadiahkan RM20,000 kepada setiap jabatan yang berjaya’

Turut dilaporkan ialah Sambutan Hari Muzium Antarabangsa bagi Tahun 2012 yang diadakan pada 17 hingga 21 Oktober 2012 di Pekan dan Sungai Lembing Pahang. Padat turut mengambil bahagian. Ini adalah merupakan lanjutan program yang diadakan di Muzium Negara sebelumnya, iaitu pada 17 Mei 2012 yang dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah bin Sultan Ahmad.

Usaha juga dilakukan mulai tahun ini bagi membaikpulih Istana Bandar, Kuala Langat bagi menjadikan muzium yang dikenali sebagai Muzium Istana Bandar. Turut diisi Buletin pada kali ini dengan bahan warisan, iaitu mengenai Warisan Kebaya Selangor, Majlis Meraikan Sasterawan Tamu Negeri Selangor, iaitu Dato` A. Samad Said pada 17 September 2012. Slot-slot yang lain ialah program bagi meningkatkan prestasi warga kerja PADAT seperti Bengkel Review Pencapaian Pelan Tindakan Strategik PADAT 2011-2015, Kursus Team Building, Kelab Kebajikan dan Rekreasi dan Lawatan ke Muzium-Muzium di Utara Malaysia. Untuk kanak-kanak disediakan rungan Kenali Muzium Selangor dan Kuiz.

Buletin PADAT Bil. 2/2012 sungguh pun nipis, tapi kaya dengan maklumat dan keilmuan. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang sempat menatap.

Sekian.

No comments:

Post a Comment