BBB, 22 Rajab 1434 =
01 Jun 2013 (Sabtu):
Ketibaan Rajab merupakan gerbang bagi sambutan bagi
kehadiran Ramadhan. Bagi surau dan masjid, selepas sambutan peristiwa besar
Isra` Mi`raj topik-topik pengajaran dan ceramah di surau masjid lebih menjurus
kepada persediaan menyambut Ramadhan. Persediaan bagi menambah kefahaman
tentang Ramadhan dan pengisian dengan amalan-amalan yang dapat mempertingkatkan
kualiti bagi beribadat pada bulan Ramadhan.
Bagi negeri Selangor, pemerintahan Pakatan Rakyat dapat
diteruskan bagi penggal kedua, setelah mencapai prestasi yang makin baik dalam
pilihanraya ke 13 pada 5 Mei yang baru lalu. Semasa pemerintahan Pakatan Rakyat
di negeri Selangor bagi penggal pertama (2008-2013) adalah sebagai bukti dan
sebutan di kalangan masyarakat bahawa perkembangan Islam semakin bersemarak di
negeri Selangor. Masjid dan surau di negeri Selangor diisi dengan
pengajaran-pengajaran. Jamaah yang hadir berjamaah dan mengikuti
pengajaran-pengajaran makin bertambah ramai. Syiar Islam makin bertambah dan
sokongan rakyat juga semakin meningkat terhadap perjuangan keislaman. Bukti
sokongan ini makin jelas apabila, jika pada pilihanraya 2008 Pas di bawah
Pakatan Rakyat hanya memenangi 8 kerusi, maka pada pilihanraya Mac 2013,
sokongan terhadap Pas makin meningkat dengan memenangi 15 kerusi Dun di negeri
Selangor, sama sebagaimana yang dicapai oleh Dap (15) dan PKR (14). Kepercayaan
yang diberi ini bukan sahaja dari orang-orang Islam, tetapi sama diberi oleh
yang bukan Islam, kerana mereka dan semua yang lain melihat adanya amanah dan
komitmen yang tinggi dari wakil-wakil Pas bersama dengan wakil-wakil yang lain
di dalam Pakatan Rakyat.
Pertanda yang positif ini hendaklah bukan saja diterima
dengan cara positif, tetapi memberi ingatan dan merupakan harapan dari rakyat
bahawa agenda keislaman hendaklah dipertingkatkan dan pendekatan yang pro-aktif
hendaklah dijanakan.
Menjelang Ramadhan ini ada dua perkara yang positif yang
boleh diambil kesempatan oleh Pakatan Rakyat, khusus Pas bagi meningkatkan
komitmen dan syiar keislaman di negeri Selangor.
Pertama: Exco Pakatan
Rakyat dilantik 30 Mei (20 Rajab) yang di dalam perlantikan Pas diberi
tanggungjawab menjaga Hal Ehwal Islam. Portfolio ini diamanahkan kepada Ustaz
Sallehin Mukhyi. Dengan kesedaran dari segi amanah dengan meningkatkan program
dan syiar keislaman dari awal ini kita berharap blueprint dan pendekatan
komprehensif diambil tindakan dari awal. Tenaga-tenaga pakar dan
penasihat-penasihat berwibawa hendaklah dikenalpasti dan diajak berunding bagi
mendapat buah fikiran yang bernas dan positif bagi merangka blueprint dan
program yang hendak dijalankan bagi tempoh sepenggal yang akan datang. Di dalam
hal ini JAIS hendaklah turut serta dan memberi kerjasama yang positif di dalam
melaksanakan polisi Agama Islam di bawah Pakatan Rakyat. Jangan sampai berlaku
antara dua institusi - kerajaan dan JAIS yang sebenarnya juga duduk di bawah kerajaan menuju kepada
arah yang berlainan.
Kedua: Secara kebetulan bermulanya kerajaan Pakatan Rakyat
bagi penggal kedua ini, pemilihan AJK pentadbiran Masjid dan Surau yang baru
berkuatkusa mulai 1 Jun 20013 ini. Sesuai dengan permulaan pentadbiran ini,
maka sebarang polisi dan program baru wajar diperturunkan oleh Exco Agama Islam
melalui mekanisme pentadbiran yang ada - melalui masjid dan surau. Sesungguhnya
setengah masjid dan surau telah mengadakan mesyuarat AJK pentadbiran yang baru
bagi merangka pendekatan dan kegiatan bagi masjid dan surau, khususnya bagi
persediaan Ramadhan. Misalnya Surau al_Umm di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi
yang diberi amanah kepada penulis memimpin surau di sini, mulai mengadakan
mesyuarat pertama bermula hari pertama AJK baru berfungsi (1 Jun 2013). Antara
agenda yang paling utama ialah persiapan Ramadhan di samping kegiatan-kegiatan
yang lain. Kita percaya masjid dan surau yang lain, jika tidak mengadakan
mesyuarat dari peringkat awal, akan mengadakan mesyuarat dan sudah tentu agenda
pengisian Ramadhan, pendidikan dan kegiatan kebajikan menjadi sebahagian
daripada agenda yang dibincangkan.
Walaubagaimana sempena dengan mandate yang diberi kepada kerajaan
negeri sebelum Ramadhan, pihak Exco Agama Islam perlu merangka segera
pendekatan bagi memperkasakan Islam di negeri Selangor. Tenaga pakar dan
penasihat berwibawa perlu segera dihimpun dan mendapat pemikiran dan cadangan
positif dari mereka. Pendekatan yang komprehensif perlu dihasilkan. Di samping
meneruskan kegiatan yang sedia ada program yang impressif perlu dilancarkan
menjelang Ramadhan dan program-program berkenaan dan lanjutan perlu
diperturunkan dari peringkat negeri ke peringkat daerah, pekan, taman, mukim
dan kampung. Kita harap Islam terus berkembang dan lebih meningkat dari segi
syiar dan kemajuan berbanding dengan masa yang lepas.
Sekian. Wallahu a`lam.
No comments:
Post a Comment