June 2, 2013

Komitmen Terhadap Mempopularkan Bangi Bandar Ilmu - Menubuhkan Galeri


BBB, 22 Rajab 1434 = 01 Jun 2013.

Hari ini adalah hari akhir notis dari Pas Serdang yang pihak Pas akan mengosongkan barang-barang dari Pejabat Mantan Adun Bangi, kerana pihak Pas Serdang berpindah ke Pejabat Barunya di Seksyen 7 BBB. Tarikh itu adalah ditentukan oleh pihak Pas. Sebelum ini pihak Pas Serdang menggunakan Pejabat Khidmat Masyarakat Mantan Adun Bangi termasuklah sebagai markas menggerakkan kempen pilihanraya 2013 dan penggunaan ini berterusan sehingga pada hari ini 01 Jun 2013.

Sejak seminggu dua yang lepas memang pihak pekerja termasuk saudara Shahrum Abdullah dan saudara Harun Aminurrashid datang  menyimpan barang-barang dan mengangkut barang-barang dengan lori dan kereta sendiri memindahkannya ke Pejabat Baharu, di Seksyen 7 BBB. Tetapi pada hari ini adalah hari terakhir mengangkat barang-barang dan penyerahan kunci oleh saudara Shahrum kepada Mantan Adun Bangi.


Walau apapun Bekas Bangunan Polis BBB beralamat di No. 8, Jalan 1/4, 43650 adalah Pejabat yang paling lama diguna oleh Pas semasa Bangi di bawah kawasan Hulu Langat dan di bawah Serdang (Persempadanan semula adalah 2004). Mengapa Pejabat Pas Hulu Langat dan kemudian menjadi Pejabat Pas Serdang yang dalam masa tersebut menjadi Pusat Khidmat Adun Kajang (Mac 2001 – Mac 2004) dan Adun Bangi (2008-5 Mei 2013) mempunyai sejarah yang tersendiri.


Sejak 1998 Pejabat Pas bagi kawasan Bangi adalah disewa bertempat di sebuah rumah teres tepi satu tingkat di Seksyen Dua BBB. Secara langsung pejabat ini menjadi sebagai Markas (Mawadah)bagi kawasan Hulu Langat, walaupun ada markas di tempat lain, tetapi kepimpinan berada di Bangi, maka tempat ini menjadi sebagai markas di Hulu Langat. YDP pada masa itu ialah Dr. Che Rusli Che Mat. Bila pilihanraya umum berlangsung pada tahun 1999, Dr. Che Rusli Che Mat bertanding di Perlis dan YDP Hulu Langat di Pangku oleh Dr. Hamirdin. Dalam masa tersebut Dr. Shafie Abu Bakar bertanding bagi DUN Kajang dan menang. Operasi bagi pilihanraya lebih banyak berlaku dari rumah teres di Seksyen Dua, BBB.

                                          Markas Mawadah

Pada peringkat permulaan Adun Kajang beroperasi sebagai pejabat baginya ialah dari rumah sendiri di No. 11 Jalan 1/3K, BBB, ada cadangan untuk membeli kavin untuk diletakkan dalam kawasan rumah tepi di situ, tetapi tak jadi, kemudian menggunakan markas di Seksyen dua. Memikirkan tempat ini jauh dari orang ramai untuk dikunjungi, maka timbul cadangan dari pihak AJK untuk menggunakan bangunan Syarikat Ahi-Ahli Pas di Kajang Utama, masa sejak 2000 Pejabat di Kajang Utama digunakan. Namun tempat ini terpisah dan jauh untuk dikunjungi, walau bagaimana pejabat ini terus digunakan, tetapi untuk mendekati rakyat di DUN Kajang, pihak Adun Kajang dan AJK mengadakan Kaunter Terbuka pada setiap hujung minggi – Hari Sabtu dan Ahad secara bergerak dari Pasar Kajang, ke Bandar Sungai Long, Pasar Pekan Semenyih, Suntex ke pasar-pasar malam seperti di Seksyen 16 BBB, Jalan Reko, Pekan Bangi dan di mana ada kegiatan dan sambutan. Buka Kaunter Aduan adalah menjadi budaya bagi Adun Kajang. Bantuan diberi oleh AJK cawangan setempat secara bergilir-gilir dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Bila pergi ke satu tempat, misalnya di Semenyih, maka AJK dan penyokong setempat dari kalangan orang Cina terutamanya datang membantu. Ianya adalah satu mekanisme yang berjaya sebagai pengantara menghubungkan Adun Kajang dengan penduduk setempat.

    11 Jalan 1/3 BBB.
                                                                        
                                                                                Pasar Kajang


Pasar Semenyih


                                                                                Sungai long

Dalam masa membuka Pejabat Adun Kajang di Kajang Utama secara kebetulan pihak Pejabat Polis BBB berpindah mulai awal tahun 2001 ke Pejabat Baru di bangunan yang ada sekarang dekat dengan Sekolah Agama Integrasi dan juga dekat dengan Bangunan Bomba BBB. Adun Kajang menyedari kekosongan bekas bangunan Polis yang kebetulan berada di hadapan rumah Adun Kajang. Bangunan adalah No. 8 Jalan ¼  BBB. Perkara ini dibawa kepengetahuan AJK Pas Hulu Langat, tetapi tidak ada kewangan untuk memilikinya, lagi pula difahamkan jika dibeli atas nama parti banyak implikasinya dari segi pemilikan. Lantaran itu Adun Kajang berusaha berunding untuk mendapatkan bangunan untuk dijadikan Pejabat Adun Kajang. Pihak PKNS menawarkan bangunan berkenaan dengan harga RM260,000. Walau bagaimana untuk membuat pinjaman Adun Kajang tidak layak kerana melebihi umur kelayakan. Akhirnya Adun Kajang membelinya dengan membayar permulaan RM100,000 dan meminjam dari Bank Muamalat sebanyak RM160,000. Pinjaman adalah atas nama anak Adun Kajang Muhammad Nadzmi bin Shafie dengan bayaran bulanan RM1,800 sebulan, tetapi bagi setiap bulan dibayar lebih, iaitu RM2,000 sebulan yang dijangka tamat bayaran pada tahun 2014 insya Allah.


Dengan pembelian ini Pejabat Adun Kajang berpindah dari bangunan kedai setingkat di Kajang Utama ke Bangunan Kedai dua tingkat di Jalan ¼, 43650 BBB. Perpindahan berlaku mulai bulan Mac 2001. Dengan perpindahan Pejabat Adun Kajang dari Kajang Utama ke Jalan ¼ BBB, maka Pejabat Pas Hulu Langat juga turut sama berpindah ke Bangunan Kedai, Jalan ¼ Bandar Baru Bangi yang secara kebetulan Adun Kajang juga adalah YDP Pas Hulu Langat. Walau bagaimana tradisi membuka kaunter yang menjadi identiti Adun Kajang pada masa itu tetap diteruskan. Adapun bangunan Pas disewa di Seksyen Dua BBB, akhirnya diserah balik kepada pemiliknya pada tahun 2002. Penggunaan Pejabat Adun Kajang dan Pejabat Pas Hulu Langat di Bangi adalah secara percuma dan ditanggung oleh Adun Kajang & kemudian Adun Bangi (Mac 2001 hingga Mei 2013). Jadi bangunan bekas Polis Bangi ini mempunyai sejarah tersendiri bagi Pas Hulu Langat dan Pas Serdang juga Adun Kajang dan kemudian Adun Bangi. Dengan pertukaran Wakil Rakyat, maka berlaku pertukaran Pejabat Pas Serdang dan Pejabat Adun Bangi yang baru – Ustaz Shafie Ngah, di Seksyen 7, BBB.

Adapun bekas Pejabat Pas Serdang dan Mantan Adun Bangi di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi ini akan terus beroperasi dijadikan Galeri Bangi Bandar Ilmu. Perancangan ini telah lama dibuat. Sebaik perpindahan Pas Serdang dari Bangunan di Jalan ¼ pada hari ini, sebagai simbolik bagi permulaan beroperasinya Galeri, maka pada hari ini juga Mantan Adun Bangi menempah 2 almari standard bagi mempamerkan bahan-bahan yang berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu. Pengisian akan dilakukan secara berperingkat bergantung pada kemampuan kewangan, masa dan bahan-bahan. Dalam masa yang sama pihak Mantan Adun Bangi akan berusaha menerbitkan berbagai-bagai bahan penerbitan, terutama yang berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu.


Sekian.

No comments:

Post a Comment