June 13, 2013

Era Ketiga Grupemuisi UKM Pimpinan Wan Mohd Redzuan Haji Ibrahim

BBB, 03 Sya`ban 1434 = 12 Jun 2013 (Rabu):


Era Ketiga Grupemuisi ialah selepas berlaku pemilihan pimpinan baru yang dikatakan sebelumnya Grupemuisi sudah kurang aktif. Mesyuarat agung dapat diadakan  pada 9 September 1987 bertempat di Bilik Seminar 3A.501, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Mesyuarat yang berlangsung pada jam 3.00 petang itu dihadiri 30 orang ahli dan majlis perasmian dilakukan oleh En. Ramli Isin salah seorang Penasihat Grupemuisi. AJK yang dipilih bagi mengendalikan Grupemuisi bagi Era Ketiga ini ialah:

  1. Ketua Satu
Wan Mohd. Radzuan Haji Ibrahim (Wanrazuhar)
  1. Ketua II
Mohd Sufian Mohd Shah
  1. Setiausaha 1
Zainuddin Mat Hussin
  1. Setiausaha II
Sdri. Mona Mohd Anuar
  1. Bendahari
Sdri. Salmah Jaafar
Dan AJK-AJK Seramai 10 orang turut dilantik

Jika kita lihat kegiatan Grupemuisi sejak ditubuhkan selama ini adalah berlindung dan mendapat bimbingan serta nasihat daripada pensyarah-pensyarah Jabatan Persuratan Melayu seperti saudara Ramli Isin, Shafie Abu Bakar dan Sahlan Mohd Saman. Namun di dalam Era ketiga ini Grupemuisi mendapat tambahan lindungan dari Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu yang telah bertukar nama kepada Alam Dan Tamaduan Melayu (ATMA) itu. Ini ialah kerana pada masa Era Ketiga Grupemuisi ATMA mendapat Pengarah yang Baru, iaitu Profesor Dato` Ismail Hussein, tokoh yang pernah memimpin Jabatan Pengajian Melayu dan juga sebagai Ketua Satu Gapena.

Dengan kedudukannya yang kukuh dalam sastera dan Budaya Melayu dan mempunyai konteks yang banyak dengan badan-badan penulis dan penulis-penulis memudahkan hubungan dibuat. ATMA sebagai Institut penyelidikan tentang bahasa, budaya dan sastera selain dari mempunyai fellow penyelidik sering pula mengadakan seminar yang berbagai tokoh dibawa hadir membentangkan kertas kerja dan juga hadir menyertai seminar. Lantas Grupemuisi mengambil manfaat dari kedudukan Pengarah ATMA. Bahkan melantik Prof. Dato` Ismail Hussein sebagai Penasihat Kehormat Grupemuisi. Pendekatan Grupemuisi pada Era Ketiga ini juga sedikit berbeza dari sebelumnya. Jika Era Pertama dan Kedua Grupemuisi lebih banyak bergiat dan menerbitkan antologi dan Kumpulan Puisi Perseorangan, tetapi pada Era Ketiga agak kurang dari menghasilkan antologi dan Kumpulan puisi. Era Ketiga nampaknya lebih menekankan kepada Baca Puisi secara bersiri - Bulanan dengan menjemput penyair-penyair luar menyemarakkan majlis bacaan puisi. Dari catatan yang dibuat oleh saudara Anuar Musa dalam Latihan Ilmiahnya yang berjudul Dua Dekad Kegiatan Puisi di Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia yang Penulis menjadi Penyelianya menyusun:

1)      Bicara Puisi I pada 3 Oktober 1987 bersama Puan Siti Zainan Ismail & pelancaran Kumpulan Puisi sdr. Ladin Nuawi `Peta Puisi Malaysia` – Penyair luar bertempat di Foyer Pusanika UKM. Majlis disempurnakan oleh Prof. Dato` Ismail Hussein jam 1.00 tengahari dan kehadiran agak ramai. Jemputan dibuat terhadap pembaca puisi dari luar. Antaranya ialah Pyanhabib, Abdul Aziz HM, Khalid Salleh, A.Samad Said, Wan Zawawi – bawa lagu puisi, T. Alias Taib dan lain-lain. Sempena Baca puisi ini Grupemuisi menerbitkan sebuah antologi puisi stensilan yang diberi judul `Tunas`.
2)      Baca Puisi II pada 2 Januari 1980 bersama Anak Alam juga bertempat di Foyer Pusanika bersama kumpulan Penyair Nila Utama dari Singapura. Turut hadir T. Alias Taib, Ladin Nuawi dan Imlan Adabi. Sebuah kumpulan puisi stensilan berjudul `Kehilangan` juga dihasilkan.
3)      Baca Puisi sempena Minggu Budaya di Kamsis Ibrahim Yaakob, UKM pada 13 Februari 1998. Turut sama hadir Siti Zainon Ismail dan Ladin Nuawi.
4)      Baca Puisi meraikan anugerah Sasterawan Negara kepada Bapak Arenawati pada 16 Julai 1988. Arenawati kemudiannya menjadi Penulis Tamu ATMA bagi menulis biografi dirinya.
5)      Pembacaan Puisi diteruskan hingga awal tahun 1991, tetapi semakin tidak popular kerana kerap diadakan dan pendekatan hampir sama. Baca puisi seterusnya disifatkan tidak lebih dari mengisi kalendar jadual sahaja.

Antara kegiatan lain yang diadakan oleh Grupemuisi Era Ketiga ialah Sambutan Ulang Tahun Grupemuisi ke 10 (17 Disember 1987) yang disambut pada 19 Disember 1987 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Drs. Sulaiman Mohammad  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hadir sama dalam majlis ialah Profesor Dato` Ismail Hussein dan pegawai-pgawai universiti. Pameran Hasil-hasil karya ahli-ahli Grupemuisi sempena 10 tahun juga diadakan.

Era Ketiga selama kegiatannya berjaya menghasilkan satu antologi puisi berjudul :

  1. Di Luar Bingkai Diri
  2. Airmata Kekasih (Kumpulan Cerpen Wan Radzuan Ibrahim)

Namun dari Era Ketiga tidak menampakkan seorangpun penyair muda yang berpotensi untuk menjadi penyair mapan sekurang-kurangnya setara dengan Nawawee Mohammad, Abdul Hadi Muhamad dan Azmi Rahman.

Selepas dari Era Ketiga ini Grupemuisi seolah-olah hilang kepimpinan dan rangsangan. Banyak faktor yang menyebabkan Grupemuisi  menuju kepada kepupusan, ianya berkait dengan mahasiswa yang kekurangan aktivis dan bakat, polisi universiti terhadap perkembangan pengajian sastera di kampus dan suasana masyarakat yang makin kurang minat terhadap sastera.

Walau apa pun Grupemuisi berjaya melakar sejarah tersendiri di dalam kegiatan berpuisi di kampus UKM Bangi. Adalah wajar kumpulan ini atau yang seumpama Grupemuisi perlu diwujudkan kembali di UKM bagi memeriah suasana kehidupan kampus dengan aspek seni dan kemanusiaan. Sebagai mengabadikan kecemerlangan Era Grupemuisi di UKM (1977-1977) sewajarnya dipilih puisi-puisi terbaik dari berpuluh-puluh antologi dan kumpulan puisi perseorangan yang telah diterbitkan oleh Grupemuisi diterbitkan kembali ke dalam satu Antologi Pilihan Grupemuisi. Siapa mau mengambil inisiatif dan tanggungjawab ini ?

Sekian.

1 comment:

  1. merindui kamar seni grupemuisi
    biarpun hampir 20 tahun berlalu

    nasarudin muhammad
    ketua 1 grupemuisi 96/97

    ReplyDelete