June 9, 2013

Selepas Diambil Kuasa

-->


Selepas kunci itu diserah
Berharian dia di pejabat bersimpan
Mengubah kedudukan peralatan
Meja-meja mengarah ke hadapan
Membetulkan arah kedudukan
Dari selama ini bertentang
Almari ditambah bilangan
Demi memperbaharui pandangan
Menyegarkan jiwa menceria minda
Melihat ke depan lebih positif
Kreatif dengan tugasan.


Benar suasana sudah berbeza
Dulu sebok dengan kunjungan
Menerima aduan dan soalan
Turun ke lokasi buat penyelesaian
Hujung minggu buat lawatan
Hari ini dia bersendiri menolak troli
Dengan longgokan buku
Diangkut dari bilik sebelah
Untuk diisi pada ruang almari
Sumber maklumat tugasan.

Kini dia berseorang lebih diam
Dari menggunakan perkataan
Dia pula bagai pustakawan
Mengambil dan membelek buku
Menyusun mengikut kategori
Pada kotak rak almari

Dia kini
Lebih kembali ke pangkal asal
Pagi ke petang, bahkam malam
Lebih bersendiri dengan buku
Lebih bermesra dengan ilmu
Kadang berpindah ke komputer
Menghabis sebahagian masa
Merakam kata.

Kadang kala dia menganggap
Masuk ke bidang kuasa itu
Semata mencari pengalaman
Merdu di luar kecamuk dalaman
Kadang terlintas pandangan anarkis
Tentang kuasa tidak banyak beza
Bukankah Khalifah dalam jihad
Terbunuh mangsa kekuasaan ?

Dia berdoa kepada Tuhan
Dia Yang Mengangkat dan Menurunkan
Semoga berada di dalam hidayah
Bergerak di atas lebuh lempang.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
30 Rajab 1434
09 Jun  2013.

No comments:

Post a Comment