June 18, 2013

Gemasiswa Bil. 2 Menampilkan Kepimpinan Mahasiswa UKM Generasi Kedua (Memoir)

BBB, 08 Sya`ban 1434 = 17 Jun 2013 (Isnin):

Perlantikan AJK Persatuan Mahasiwa UKM (PMUKM) terawal sebagai Penaja ialah pada Ahad 13 September 1970. AJK Penaja PMUKM ini berterusan mentadbir PMUKM sehingga kepada Mesyuarat Agung kali partama pada Ahad 5 September 1971. Mesyuarat Agung pada hari ini masih tidak selesai kerana Laporan Kewangan digantung dan draft Perlembagaan PMUKM juga ditangguh. Kedua-duanya disahkan pada  mesyuarat pada Ahad 12 September 1971. AJK PMUKM pada kali ini kebanyakannya dianggotai oleh AJK Penaja 1970 dan YDP ialah masih saudara Ramli Ibrahim.


Gemasiswa Tahun 1 Bil. 2 diterbitkan pada 20 Jun 1972 KDN No. 5900 senaskhah setebal 14 halaman berharga 20 sen memfokuskan kepada pilihanraya kampus bagi kali kedua yang berlangsung pada Jumaat 23 Jun 1972. Calon-calon pada kali ini adalah muka baru, kecuali seorang dari muka lama. Pilihanraya PMUKM ialah bagi merebut 13 kerusi yang dipertandingkan. Antara pemimpin baru (terpilih) yang memimpin PMUKM bagi sesi 1972/73 ialah saudara Idris Jusi sebagai YDP, saudara Tajul Ariffin Noordin sebagai Naib YDP, saudara Nordin Kayat sebagai Naib YDP Antarabangsa, saudara Halim Arshad sebagai Setiausaha Agung dan saudara Wan Jamaluddin Yaccob sebagai Bendahari. Rencana Pengarang Gemasiswa Bil. 2 ini turut memperkatakan tentang pilihanraya PMUKM yang dianggap sebagai sepi.


Dalam keluaran ini dimuatkan ucapan YDP PMUKM saudara Ramli Ibrahim pada hari Ikrar Mahasiswa Baru 1972 berhubung dengan Ingatan agar mahasiswa tidak hilang pedoman di dalam menghadapi kancah kehidupan mahasiswa. Mereka disifatkan oleh YDP sebagai golongan terpilih dan bernasib baik, kerana di sana terdapat beribu-ribu pemohon, tetapi tidak terpilih. Beliau mengingatkan mahasiswa agar memperjuangkan keadilan, kebenaran dan kejujuran. Mahasiswa tidak seharusnya terpesona dengan nilai Barat dengan meninggalkan nilai-nilai murni timur. Beliau menyeru mahasiswa bersatu di bawah PMUKM menentang akta Universiti dan Universiti Kolej yang mulai diperkatakan pada masa itu. Beliau juga berharap tidak perlu ditimbulkan lagi soal status UKM. Yang perlu adalah pengisian bagi membuktikan kemampuan UKM.

Turut menulis dalam keluaran ini ialah saudara Idris Jusi (Bakal YDP) menyuarakan penentangan terhadap Akta Kolej dan Kolej Universiti yang mula dikuatkuasa pada 29 April 1971. Menurutnya Akta Universiti dan Universiti Kolej memberikan satu ancaman ke atas pelajar dan gerakan persatuan pelajar, sebab itu menurutnya harus ditentang.

Turut dimutkan di dalam Gemesiswa Bil. 2 ini ialah kertas kerja saudara Anwar Ibrahim yang dibentangkan dalam Program Latihan Kepimpinan UKM pada 15 Mei 1972 di UKM. Beliau membincangkan kegiatan mahasiswa sebagai golongan belia dalam hubungan dengan masyarakat Malaysia. Beliau mau golongan mahasiswa menggunakan sebaik mungkin kemampuan yang ada pada mahasiswa bagi faedah diri dan masyarakat. Beliau tidak mau golongan mahasiswa dihanyut oleh nilai-nilai negatif tanpa berlandaskan keimanan dan kerohanian. Beliau juga membincangkan mengenai dasar pelajaran Razak yang perlu diawasi dari segi perlaksanaan agar tidak berlaku penyelewengan.


Turut menulis ialah saudara Chamhuri Siwar yang mengikuti bidang Ekonomi di UKM dan Ketua Sidang Reduksi Gemasiswa. Beliau menulis tentang Keupayaan Masyarakat Melayu Melabur Adalah Rendah. Menurutnya masyarakat Melayu hanya mampu melabur 1.5% sahaja dari penanaman modal dalam Negara. Hasrat untuk mencapai 30 % penanaman modal masih jauh dan perlukan tindakan pro-aktif dan progresif bagi meningkatkan ekonomi orang Melayu.

Berhubung dengan jurang ekonomi ini turut dimuatkan kertas kerja Rafidah Aziz  Pensyarah Muda Universiti Malaya yang berjudul ``Merapatkan Jurang Perbezaan Ekonomi, Bukan Hanya Dengan Kata-Kata, kertas kerja ini juga dibentangkan dalam Latihan Pimpinan PMUKM pada 15 Mei 1972 di atas. Saudara Haha Nusa (Nama Samaran) dengan tulisan yang panjang memuji dasar liberal dari segi kursus di UKM yang mewajibkan pelajar di UKM mengambil kursus di luar bidang, bagi melengkapkan keilmuan pelajar dan tidak terhad kepada satu bidang yang sempit. Dalam ruangan Hal Ehwal Pelajar dimaklumkan dua orang pelajar UKM yang memenangi bahas antara universiti Asean diberi peluang melawat negera-negara Asean. Mereka ialah Cik Sharifah Mastura dan Rahimah Aziz. Mereka jadi duta UKM.

Saudara Abdul Aziz Salleh melaporkan ucapan Tan Sri Syed Nasir di ODT, UKM pada 9.00 pagi 25 Mei 1972 berhubung dengan masa depan UKM yang akan mempunyai kampusnya sendiri di Bangi. Belaiu berharap tidak timbul lagi sikap pesimis terhadap UKM. Beliau juga mengharapkan UKM menjadi Universiti yang benar-benar mengunggulkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik dan pentadbiran.

Walaupun UKM dijangka akan berpindah, tetapi pembangunan di Kampus sementara di Jalan Pantai terus dilakukan, misalnya pembinaan perpustakaan tiga tingkat yang memakan belanja sebanyak satu juta dilakukan. Demikian dilaporkan oleh pelajar Quek Ah Yong. Beliau diantara sejumlah pelajar bukan Melayu di UKM.

Di dalam Gemesiswa Bil. 2 ini penulis juga menulis dua artikal. Pertama berjudul Dari Suaikenal ke Pilihanraya yang berlangsung dari 22 Mei hingga 4 Jun 1972. Penulis meninjau pendapat YDP PMUKM yang menyatakan, ``Saya rasa berpuashati dengan acara-acara yang telah berjalan selama ini,`` tambahnya, ``Setakat yang diketahui tidak ada kejadian buruk yang berlaku,`` katanya. ``Kejayaan Minggu Suaikenal tersebut sebahagian besarnya adalah bergantung kepada daya usaha Jawatankuasa Minggu Suaikenal 1972/73.``. Sebuah lagi artikal yang ditulis Penulis dalam keluaran kedua ini adalah bersifat laporan dari Mesyuarat Dewan Mahasiswa yang merupakan badan Tertinggi bagi Kemahasiswaan. Badan itu mengambil keputusan mendesak agar UKM membina identitinya hendaklah bersifat kebumiputraan dan Keislaman. PMUKM mengambil pendirian menolak Akta Kolej dan Kolej Universiti. Pengumuman ini dibuat oleh saudara Ramli Ibrahim YDP PMUKM dalam Sidang Dewan Mahasiswa Kali Kedua yang telah berlangsung di Dewan Mesyuarat UKM pada Ahad 11 Jun 1972.  Beliau juga berharap pihak UKM memberi perhatian memantapkan universiti yang relatifnya masih muda dan beliau mau pihak kerajaan segera membina Kampus UKM di Bangi.
Saudara Mat Zakaria pelajar dari Fakulti Sains melaporkan bahawa UKM pertama kali akan menggunakan komputer. Komputer itu mempunyai 8.000 unit penyimpan. Komputer dari IBM ini akan tiba pada Julai 1972 dengan harga pada masa itu RM200,000. Komputer ini bukan semacam bentuk komputer kecil seperti sekarang, tetapi terpaksa didirikan bangunan seperti kaven. Sistem yang digunakan dengan menggunakan kertas seperti kad-kad yang ditebuk. Komputer secara portable hanya popular selepas pertengahan 1990an. Pada masa itu pensyarah baru  dibekalkan dengan satu unit komputer bagi seorang. Turut dilaporkan ialah mengenai kegiatan sastera dan sukan di kampus.


Keluaran Gemasiswa Jil 1, Bil. 2 ini lebih baik dari keluaran pertama. Kandungannya lebih berat dengan isi dan maklumat. Kalau keluaran pertama hanya ada satu gambar Naib Canselor, kalau ini berita disertakan dengan gambar-gambar secara wajar. Sebagai keluaran sepenuhnya di bawah PMUKM ianya adalah satu kemajuan yang membanggakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment