Pada sebelah pagi ini isteri bagi anak bungsukan -Nurul
dijangka – Insya Allah akan melahirkan anak sulung mereka secara operation. Aku
dan isteriku memang bersedia menunggu hari ini. Pagi ini setelah solat duha dan
hajat mohon keselamatan dari Allah kami bertolak dari Bangi jam 9.30 pagi dan
tiba di Hospital Sime Darby (Dulu Johor Coperation) jam 10.45 pagi. Anak
Bungsuku Muhammad Nasim sedia menunggu di hospital. Menantu yang dijangka
menerima operation jam 10.30 pagi ini sudah masuk bilik operation, tetapi
diberitahu oleh anakku operation ditangguh oleh kerana Doktor yang ditempah
terpaksa hadir ke kes yang urgent. Kami menunggu di bilik menunggu hingga jam
12.45, tetapi masih belum dioperasi. Oleh kerana hari ini hari Jumaat Aku dan
isteriku keluar dahulu ke rumah ibu saudara isteriku di rumah berdekatan dengan
Masjid Subang Jaya yang tak jauh juga dari Subang Parade. Dari rumah ini ke
masjid tidak begitu jauh dan pergi berjalan kaki sahaja. Masjid melempah dengan
jamaah. Selepas solat Jumaat aku ke kawasan jualan dan turut sama orang ramai
membeli makanan dan pulang ke rumah.
Dari hospital kami dimaklumkan Nurul selamat melahirkan anak
lelaki (jantina sudah diketahui awal) dan dalam keadaan sihat, tetapi tidak
boleh keluar melainkan selepas jam 3.00 petang. Selepas jam 3.00 barulah kami
bertiga – termasuklah ibu saudara bongsu bagi isteriku pergi sama. Kali ini
kami hanya naik teksi memikirkan sukar mendapat parking dan harga parking lebih
mahal daripada tambang teksi. Kami bertiga naik teksi dengan bayaran hanya
RM5.00.
Kami berdua suami isteri sengaja datang menunggu kelahiran
cucu kami yang ke 23 ini dari anak bungsu kami dari lima beradik (cucu 11
lelaki 11 perempuan dan seorang meninggal dalam kandungan lelaki) kerana
memberi semangat dan sokongan terhadap anakanda berdua yang telah kahwin sejak
7 tahun lepas (mereka berdua peguam), tetapi masih tidak mendapat anak.
Berbagai ikhtiar dilakukan dan akhirnya dengan menggunakan kaedah saintifik
yang memakan belanja yang agak tinggi dan terusan berada di bawah pengawasan
Doktor Pakar di Hospital Sime Darby di sini, akhirnya dengan izin Allah mereka
dikurniakan zuriat anak lelaki dan selamat melahirkan jam 1.14 tengahari
betul-betul masuk waktu zohor waktu solat Jumaat tadi.
Ketibaan kami melihat ibu dan anak dalam keadaan sihat –
bersyukur kepada Allah. Dalam masa yang sama kedatangan kami selepas solat
Jumaat ini jam 3.30 petang turut tiba ibu bapa Nurul – besan dari Gombak dan
ibu saudara angkatnya. Kami bersyukur kepada Allah kerana segalanya berjalan
dengan lancar.
Bersyukur kepada Allah dan tahniah kepada anakanda berdua.
Semoga dengan kehadiran – dijangka dinamakan `Uwais Rayyan` akan menyerikan
hidup anakanda berdua. Kami mendoakan hidayah dan keselamatan untuk semua.
Sekian.
No comments:
Post a Comment