June 12, 2013

Era Kedua Grupemuisi Selepas Nawawee-Abdul Hadi, Melahirkan Azmi

BBB, 02 Sya`ban 1434 = 11 Jun 2013 (Selasa):

Penggunaan Era di dalam penulisan ini yang membicarakan tentang Grupemuisi untuk mengelak dari terikat kepada pentahapan perlantikan AJK Grupemuisi selepas satu mesyuarat agung ke mesyuarat Agung, biasanya dua tahun sekali. Bayangkan berapa banyak berlaku pentadbiran antara 1977-1997. Pertukaran pimpinan sebenarnya tidak boleh dielakkan, kerana selepas tiga atau empat tahun pelajar menghabiskan pengajian mereka dari universiti dan keluar, jadi setiap pemimpin sama ada Grupemuisi atau PMUKM paling banyak dapat dipilih memimpin sebanyak dua kali saja bagi sesi pengajian mereka. Penggunaan era dalam tulisan ini lebih melihat kepada tokoh menonjol bagi span-masa bagi sesuatu kepimpinan. Penulis melihat hanya ada tiga era menonjol yang melahirkan tokoh-tokoh pemuisi dalam masa berkembang maju Grupemuisi ditambah dengan adanya pimpinan dinamik pada era-era berkenaan.


Bagi Era Kedua selepas pimpinan Nawawee Mohammad sebagai Ketua Satu dan Abdul Hadi Muhamad sebagai Ketua Dua tiba kepada Era Kedua secara kebetulan belaku pertukaran melalui Mesyuarat Agung dan wujudnya dalam Era Kedua ini tokoh yang mempunyai bakat kepenyairan yang menonjol. Mesyuarat Agung yang melahirkan Era Kedua berlaku pada 13 Disember 1981. Ketua yang dipilih sebagai Ketua Satu Grupemuisi kali ini ialah saudara Mohammad Haji Abu Daud, manakala para AJK terdiri dari Azmi Rahman, Wanyuyee, Wan Ali Wan Besar, Tuan Abdul Hamid, A. Manan, M.Yazid Yusoff, Abdul Hadi Abadi, Abdul Aziz Bakar dan beberapa yang lain. Kali ini memang lebih ramai bergiat di dalam berpuisi tetapi tidak ramai yang menonjol.

Sebagaimana Era Pertama Era Kedua diisi dengan majlis baca puisi, bengkel puisi (3 Januari 1982 di Janda Baik), diskusi, menyertai kegiatan yang diadakan oleh badan-badan penulis luar dan berkreasi dan berpuisi. Bagi Era Kedua satu Misi Puisi Ke Seri Begawan Brunei telah dilakukan (Mei 1982) dan menerima kunjungan balas dari Angkatan  Sastera dan Sasterawan  Brunei (Astrawani) mulaii dari 18 hingga 25 Disember 1982. Satu projek Besar yang dilakukan oleh Grupemuisi dalam Era Kedua ialah mengadakan lawatan ke Sumatera mulai 22 Mei hingga 31 Mei 1983, termasuk ke Danau Toba. Lawatan dilakukan dengan kerjasama UKM. Pemergian disertai 30 orang mahasiswa. Turut serta ialah beberapa orang penasihat/pensyarah terdiri dari En. Shafie Abu Bakar, Encik Ramli Isin  dan En. Sahlam Mohd. Saman. Turut sama dua orang pensyarah yang bukan penasihat, iaitu En. Ramli Salleh dan En. Yusof Mohd. Nor. Lawatan juga di bawah naungan  YB Dato` Mohd Rahmat Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan Ybhg. Tan Sri Prof. Dato` Dr. Awang Had Salleh Naib Canselor UKM yang bukan saja minat, tetapi Pakar Sastera (Sasterawan). Ini bererti pada Era Kedua ini langkah Grupemuisi lebih jauh dan kedepan, Kalau dalam Era Pertama mereka sekadar bergerak mencari pengalaman dan ilham sekadar dalam negeri dan lebih jauh hanya ke Singapura, tetapi Era Kedua ini mereka melangkah lebih jauh hingga ke Brunei dan Sumatera. Yang terlibat bukan setakat pembimbing/pensyarah, tetapi hingga kepada Naib Canselor dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bagi Era Kedua Grupemuisi juga banyak menghasilkan antologi puisi, iaitu:

1)      Suara Dari Perbukitan Bangi (1981)
2)      Titian II  (1982)
3)      Puisi Kunjungan Ghazali (1982)
4)      Wajah – Sempena Malam Gema Puisi UKM 83.
5)      Waktu (Kumpulan Puisi Abdul Aziz Bakar – 1983)

Dari kandungan antologi-antologi di atas sebenarnya begitu ramai sekali penyair-penyair muda yang diberi ruang oleh Pemuisi untuk menulis puisi, tetapi dari segi nilai puisi ada di kalangan mereka yang menonjol, tetapi lebih ramai yang tidak mencapai mutu sebagai sebuah puisi sebenar. A. Manan misalnya Penulis masih ingat – menyertai Majlis Baca Puisi, bahawa puisinya yang berjudul ``Kata Kun`` amat menarik dan memikat bila dideklamasikan, ianya mengambil elemen jampi dan begitu menarik didengar:

Kata ``Kun``

Kun
Kata kun !
Kata kun kata penjadi
Kata yang Maha dari segala yang maha.

Kun
Kata kun
Kata kun kata berhormat
Kata kun kata berdaulat.

Kun !
KataMu
Jadilah aku
Sebagai pengembara di dada waktu
Meniti di titian taqdir
Yang tunduk pada qudrat iradatMu.

Kun
Kata kun
Kata kun kata berkuasa
Kata kun kata penamat
Kata penamat bagi segala yang berjauhar
Kata penamat bagi segala yang berzat.

(Suara Dari Perbukitan Bangi, 1982: 5).

Manakala Rose mengungkapkan kesepian dengan puisinya:

Aku Dan Sepi

Di kehijauan yang begini
Di manakah harus kubaringkan
Keresahan yang membuka di hati
Kesunyian yang mendakap rasa
Hingga aku jadi tak menentu
Lalu ,,,,
Kugantungkan sepiku
Di hujung daun yang melambai mesra
……
(Suara Dari Perbukitan Bangi, hlm. 30).

Demikian expresi Rose tentang resah dan sunyinya.

Dan puisi dari Wan Mohamad Wan Daud `Suara Dari Perbukitan Bangi` yang dipetik menjadi judul antologi:

Suara Dari Perbukitan Bangi

Malam membenamkan rahsia angin
Yang mendengungkan gema dari segala bukit
Yang dibakar segala matahari
Yang datang dari segenap lautan
Yang menyerbu dari seluruh benua
Membawa keping-keping hidup yang memberat
Musim kemarau atau musim hujan
Menyerahkan resahnya kembali
Tak berputar berhenti
Di depan kamarku ini.

(Suara Dari Perbukitan Bangi, hlm. 53).

Sebagaimana Rose demikian Wan Mohamad Wan Daud melahirkan keresahannya dari angle yang berlainan dari Rose. Seorang Pemimpin Grupemuisi selepas Wan Mohamad Wan Daud, ialah Abdul Aziz Bakar. Selain dari menerbitkan antologi bersama, beliau sendiri menerbitkan kumpulan puisi perseorangannya berjudul Waktu. Di sini dipetik sebuah puisi kenangannya tentang:

Lumut Setelah Sembilan Tahun

Ini tempat yang kukenal
Lembut angin lautnya
Pada petang panas
Serta deru pohon rhu
Yang memanggil pulang
Ketika angin kencang datang.

Aku kenal bau pantai ini
Tika air surut
Juga batu yang berbalut teritip
Membekaskan luka di kaki
Yang masih mampu
Untuk menghampirkan kenangan
Dari hari remaja
Kepada waktu yang kian masak ini
……..
(Abdul Aziz Bakar, Rasa, 1981: 4)

Expresi yang bersahaja dan sederhana, tetapi menarik mengenai kenangan silamnya di Pantai Lumut.

Dalam Era Kedua ini, seorang penyair menonjol yang dapat dibariskan dengan  Nawawee Mohammad dan Abdul Hadi Muhamad ialah saudara Azmi Rahman. Contoh puisinya:

Surat Dari Tuhan

Tuhan kirimkan surat-suratNya
Dari langit
Telah dikumpulkan
Lewat sejarah menjadi kitab agung.

Surat dari Tuhan
Kita menerima hormat dengan iman putih
Kerana ia surat dari Kekasih
Bahawa cinta yang agung
Mengisi ini alam tujuh petala
Tersusun lengkap di balik firmanMu.
……
(Suara Dari Perbukitan Bangi, 1982: 26).

Persoalan yang menarik tentang kebesaran al-Qur`an yang disifatkan sebagai Surat Dari Tuhan.

Dari buku puisi Orang Kita yang diusaha bersama dengan Wan Razuhar, Azmi mengungkapkan puisi `Orang Kita` yang menjadi tajuk antologi dan sering dideklamasikan secara menarik yang penulis pernah menyertainya.

Hey ! Orang Kita

Hey ! Orang kita
Orang kita yang boleh tolong orang kita
Orang kita yang memerdekakan orang kita
Orang kita yang arif memahami orang kita
Orang kita yang membarakan semangat orang kita
Orang kita yang melagukan tentang orang kita
……
(Wan Razuhar & Azmi Rahman, Orang Kita, 1989: 48).

Berdasarkan catatan puisinya Azmi banyak mengembara dan menimba pengalaman dan ilham termasuk ke Manchester City, North Wales, Kent England, bahkan ke Jakarta dan sempat menemui Pak Pramoedya Anantatoer Pengarang terkenal Indonesia, antaranya menghasilkan novel-novel Keluarga Gerilya, Anak Bumi Manusia, Rumah Kaca, Perlawanan, Arus Balik dan lain-lain. Azmi mencatat tentang Pramoedya sebagaimana tercatat dalam puisi yang disertai foto bersamanya.

Kepada Pramoedya

Tanahmu dirampas
Rumahmu dirampas
Hartamu dirampas
Tenagamu dirampas
Kebebasanmu dirampas.

Di Hutan Kayu
Kauhidup dengan semangat gerilya

Jakarta,
14 Julai 1988.

Azmi Rahman penyair berbakat memenangi Hadiah Puisi UKM dan puisi-puisinya mendapat tempat di dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah termasuk di dalam Dewan Sastera.

Azmi Rahman adalah Penyair yang dilahirkan oleh Grupemuisi UKM sebaris dengan Nawawee Mohammad dan Abdul Hadi Muhamad.

Sekian.

No comments:

Post a Comment