June 21, 2013

Salaf Asas Jelas, Membuka Ruang Pengolahan

-->
BBB, 11 Sya`ban 1434 = 22 Jun 2013 (Khamis):

Asas bagi perkembangan agama Islam melalui perutusan Rasulullah s.a.w adalah jelas. Al-Qur`an dan Hadith Rasulullah s.a.w. adalah menjadi prinsip ilmu yang disampaikan kepada penganut-penganutnya. Perkembangan lanjutan kepada zaman tabiin dan selanjutnya dapat difahami dan dicontohi daripada Hadith riwayat Sayyiduna Mu`adh bin Jabal r.a tatkala beliau dihantar oleh Rasulullah s.a.w. ke Yaman, bila ditanya oleh Rasulullah s.a.w. apakah yang beliau akan lakukan. Bahawa dia akan berpandu kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya dan jika tiada beliau akan menggunakan ijtihadnya. (Dr. Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 133 Wira Terbilang, Kuala Lumpur,  Al-Hidayah Publications, 2009: 85-86).


Maksud daripada Hadith riwayat Muadh bin Jabal ini amat significant bagi pengolahan dan perkembangan keilmuan di dalam Islam. Pada dasarnya prinsip-prinsip keislaman di dalam al-Qur`an dan al-Hadith sudah lengkap dan sempurna bagi segala aspek. Ini adalah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

``Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku lengkapkan kepada kamu nikmatKu dan aku reda bagi kamu agama Islam sebagai agama.`` (al-Ma`idah: 3)

Pada zaman Salaf segala bukti keilmuan dan hukum hakam dirujuk terus kepada ayat-ayat al Qur`an dan Hadith-Hadith Nabi s.a.w. sebagai bukti langsung yang jelas dan terang.

Secara rumusan padat dapat dilihat kesempurnaan dari segi keilmuan dapat dirajahbulatkan dalam mana induk bagi segala asas ialah Keesaan Allah dilambangkan secara satu titik tengah, dan bulatan demi bulatan kelilingnya dapat dilebarluaskan kepada aspek-aspek: Rukun Iman, Rukun Islam, Alam, Insan, Kenegaraan, Keilmuan, Pendidikan, Kesihatan, Adab-Akhlak, Politik, Kepimpinan, Kemasyarakatan, Kekeluargaan, Keihsanan (Seni-Rohani & Kemanusiaan), Ekonomi, Kebajikan, Jenayah, Pertahanan, Perang, Damai, Hubungan Antarabangsa, Dakwah, Jihad dan Keakhiratan. Dapatlah ditambah aspek-aspek yang lain yang releven yang semua aspek berkenaan mempunyai prinsip di dalam Islam. Sebahagian diperkatakan di dalam lihat: (Ustaz Abd. Latif B. Muda & Ustazah Rosmawati Ali, Huraian Ayat-Ayat Hukum 1, Kuala Lumpur, Pustaka Salam Sdn. Bhd., 1999, 499 hlm. & Ustaz Abdul Latif B. Muda, Huraian Ayat-Ayat Hukum 2, Kuala Lumpur, Pustaka Salam Sdn. Bhd.; 2001: 525 hlm.).

Ambil saja prinsip Ketuhanan yang sebenarnya bahan mengenainya lebih dari lengkap dan sempurna bermula dari prinsip ketunggalanNya sebagaimana di dalam Surah al-Ikhlas bermaksud:

``Katakanlah  (wahai Muhammad), Dialah Allah Yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya.``

Dalam Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an diberi huraian sebagaimana berikut:

Surah yang pendek ini menetapkan Keesaan Dhat Allah, Keesaan sifat KetuhananNya dan Keesaan PerbuatanNya. Surah ini sebagaimana ia menetapkan yang demikian, ia juga memberi kesedaran kepada hati kecil manusia akan i`tiqad tauhid yang sebersih-bersihnya, supaya dijadikannya asas bagi ibadatnya dan bawaannya dalam alam kehidupan, maka dengan itu ia tidak akan memperhambakan dirinya melainkan kepada Allah semata-mata dan tidak bertumpu pada masa senang dan susah melainkan kepada Allah sahaja, serta tidak menjadikan kata pemutus dalam segala urusan hidupnya melainkan hukum Allah yang ialah menjadi punca bagi segala keadaan, kekuasaan dan ketetapan.

Tauhid yang demikian ialah asas yang awal pertama yang wajib dii`tiqadkan oleh hati seseorang semasa lidahnya mengucap `La ilaha illallah` - ucapan yang dikehendaki senantiasa disebut walaupun dengan hati, sebenarnya tauhid yang sedemikian suci bersihnya sudah tentu diikuti oleh segala perbuatan dan sifat-sifat yang mulia, kerana undang-undang peraturan Allah telah menetapkan bahawa i`tiqad kepercayaan mempunyai kekuasaan dan pengaruh yang sangat berkesan kepada bawaan dan amal perbuatan, maka baik buruk yang terdapat pada bawaan dan amal perbuatan seseorang adalah berpunca dari baik buruknya aqidah kepercayaannya. (Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, Tarjemah dan Penjelasan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Kuala Lumpur, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1985: 1450).

Hamka di dalam Tafsir Azharnya berhubung dengan Surah al-Ikhlas ini memetik Hadith yang diterima oleh Ubay dari Anas bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

``Diasaskan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi atas Qul huwallahu Ahad.`` Beliau juga memetik Hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidhi dari Abu Hurairah, katanya,
`Aku datang bersama Nabi s.a.w. tiba-tiba Baginda mendengar seseorang membaca Qul huwallahu Ahad, Maka bersabdalah Baginda s.a.w. `Wajiblah`, lalu aku bertanya, ``Wajib apa ya Rasulullah ?`` Baginda menjawab, ``Wajib orang itu masuk syurga.`` Kata Tirmidhi, Hadis itu Hasan (bagus)  dan Sahih. (Tafsir Al-Azhar, Jil 10, oleh Hamka, Singapura, Pustaka Nasional Pte Limited, 2001: 8149 – 8150).

Sesungguhnya Ketunggalan Allah adalah ilmu tertinggi. Berkata Muhammad Qutb, seorang Pengarang Mesir yang bahasa karangannya selalunya indah dan tinggi daya imaginasinya di dalam karangannya yang berjudul `Dirasat Qur`aniyyah`:

``Demikianlah meningkat perkara `Ilmu` (Tauhid kepada Allah) bahawasanya apa yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. dari Tuhannya adalah sesuatu yang `Haqq` yang menjadi amalan, keperibadian dan kesedaran rasa (masha`ir). Sesungguhnya bahawasanya dia bertukar dari `Maklumat` - Ilmu kepada `Iman`. Tambah Muhammad Qutb,
``Keimanan dengan Allah ini adalah topik yang utama di dalam al-Qur`an secara keseluruhan dan dengan hal yang tabi`I dia menjadi prinsip dari segi aqidah.``
Tambahnya lagi,

``Ketika al-Qur`an diturunkan pada zaman Makkah selama 13 tahun tidak berbicara melainkan tentang aqidah. Dia adalah perkara terbesar. Tidak syak lagi ia adalah beriman dengan Allah. Kerana dia merupakan rukun utama dan terbesar di dalam aqidah. Dan pembinaan Islam berlaku berikut selepas itu.``

(Muhammad Qutb, Dirasat Qur`aniyyah, Beirut - al-Qahirah, Dar al-Shuruq, 1400H./1980M,: 57-58).

Huraian ini masih pada tahap `Titik Utama` dalam bulatan, iaitu tetang Ketunggalan Allah yang menjadi induk dan prinsip utama bagi Islam dan bagi pembicaraan ini.
Selain daripada sifat Ketunggalan Allah (Ahad), banyak lagi ayat-ayat al-Qur`an yang menerangkan sifat-sifat Allah yang memang lengkap dan jelas bagi menggambarkan Kesempurnaan Allah yang daripadanya dapat diolah terutama dari segi aqidah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment