BBB, 27 Rajab 1434 = 06 Jun 2013 (Khamis):
Satu aspek Hadith yang diperturunkan sebagai sumber ilmu
ialah aspek `Dirayah` Berhubung dengan Dirayah ini kata Ibn al-Akfani:
``Ilmu yang dikenali dengannya hakikat riwayat,
syarat-syarat, jenis-jenisnya dan hukum-hukumnya. Juga mengenai perawi dan
syarat-syarat dan jenis-jenis perkara yang diriwayat dan perkara yang berhubung
dengannya.`` Ada
yang berpendapat,
``Dirayah ialah ilmu berhubung dengan aturan-aturan yang
dikenali dengannya hal-hal mengenai sanad dan matan dan mauduknya ialah sanad
dan matan`.
Jadi ilmu yang berhubung dengan Dirayah ialah sejumlah
kaedah, masalah yang dikenali dengannya hal periwayat dan yang diriwayat
(al-Hadith) sama ada boleh diterima atau ditolak.
Maksud Rawi ialah yang memindahkan (Naqil) Hadith dan yang
diriwayatkan ialah apa yang dinisbahkan kepada Nabi s.a.w. atau kepada yang
lainnya dari kalangan sahabat, tabiin dan yang lain daripada mereka.
(Dr. Muhammad Ujjaj al-Khatib, Usul al-Hadith: Ulumuhu wa
Mustalahuhu, Beirut :
Dar al-Fikr, 1409H./1989: 7 – 8).
Dalam kata lain perkara-perkara yang berhubung dengan Hadith
juga dikenali sebagai ilmu khusus sebagai Mustalah al-Hadith
Timbulnya keperluan kepada ilmu khusus ini oleh kerana
selepas kewafatan Nabi s.a.w. berlaku usaha menghimpunkan Hadith-Hadith Nabi
dan timbul kaedah-kaedah yang sepatutnya diguna bagi menjamin kesahihan Hadith
yang dihimpun, agar tidak berlaku antaranya bercampur antara ayat al-Qur`an dan
al-Hadith, kelemahan perawi (pelupa), kelakuan perawi dan kepalsuan apa yang
dikatakan Hadith bagi kepentingan susuatu (contoh politik).
Melalui ilmu Mustalah al-Hadith dipelajari secara ilmiah
bagaimana mempastikan kedudukan dan martabat Hadith. Adalah dikatakan orang yang
mula menyusun Ilmu Mustalah Hadith ini ialah Kadhi Abu Mahmud Al-Ramahramzi
(360H.)
Istilah-istilah yang digunakan di dalam Ilmu Mustalah ialah
mengenali mengenai:
1) Sanad iaitu jalan yang menyampaikan kepada Hadith
2) Isnad, iaitu menyebutkan Hadith itu kepada orang yang
mengatakannya
3) Musnad, iaitu orang yang meriwayatkan Hadith dengan
isnadnya
4) Musnad juga bererti Kitab yang dikumpulkan Hadith di
dalamnya, yang diriwayatkan dari seorang sahabat atau lebih
5) Matan, iaitu
Hadith Nabi s.a.w. yang di akhir sanad
6) Riwayat, iaitu memindahkan Hadith dari seorang kepada
seorang yang lain dan orang yang memindahkan disebut Rawi
7) Istikhraj dan Ikhraj, iaitu mengambil sesuatu Hadith dari
rawi dan jadi musnad yang lain sesuatu kitab, dan mencari sanad yang lain dari
sanad kitab itu.
8) Muhdith, iaitu orang yang banyak menghafaz Hadith serta
mengetahui sifat orang yang meriwayatkan tentang adil dan kecacatannya.
9) Hafiz, iaitu orang
yang telah menghafaz sebanyak 100,000 Hadith dengan isnadnya
10) Hujjah, iaitu orang telah menghafaz sebanyak 300,000
Hadith dengan isnadnya
11) Hakim Iaitu orang yang meliputi ilmunya dengan urusan
Hadith.
(Mustafa Abdul Rahman Terjemah, Syarah dan Susun), Hadith
40, Kuala Lumpur :
Dewan Pustaka Fajar, 1988: 15 -16.).
Pemeriksaan secara teliti menurut kaedah-kaedah ilmu
Mustalah Hadith melahirkan kategori-kategori Hadith seperti:
1) Mutawatir,
iaitu Hadith yang diketahui oleh beberapa orang yang sampai kepada bilangan
mutawatir.
2) Hadith
Masyhur atau mustafid, iaitu Hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang
berlainan.
3) Hadith
Sahih, iaitu Hadith yang berhubung sanadnya dari permulaan hingga akhirnya dan
orang yang menjadi riwayatnya semuanya mempunyai sifat-sifat adil, dabit,
sejahtera dari keganjilan dan sejahtera dari illat (kecederaan) yang
menjatuhkan maruah atau kehormatan peribadinya, ditambah lagi jika riwayatnya
menyalahi riwayat orang yang lebih masyhur daripadanya.
4) Hadith
Hasan, iaitu Hadith yang bersambung sanadnya dan diriwayatkan oleh orang-orang
yang adil seperti Hadith Sahih, tetapi kurang dabitnya, iaitu kurang kekuatan
ingatannya
5) Hadith
Daif, iaitu Hadith yang tidak mempunyai syarat Hadith Sahih dan tidak pula
syarat Hadith Hasan. Misalnya Rawinya bukan orang Islam, belum lagi baligh,
tidak pula diketahui orangnya atau sifatnya, tidak bagus ingatannya, kerana
selalu terlupa, tidak benar percakapan, serta pernah dusta serta tidak menjauhi
dari melakukan dosa dan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah atau
kehormatan peribadinya, ditambah lagi riwayatnya menyalahi riwayat orang yang
lebih masyhur daripadanya.
6) Hadith
Marfu`, iaitu Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w., sama ada perkataan,
perbuatan, maupun taqrir (pengakuan), iaitu yang berhubung sanadnya atau tidak.
7) Hadith
Mauquf, iaitu fatwa atau perkataan sahabat sendiri yang diriwayatkan kepada
kita
8) Hadith
Mursal, iaitu perkataan seorang Tabi`I yang sudah tentu tidak bertemu dengan
Nabi
9) Hadith
Muttasil, iaitu Hadith yang berhubungan sanadnya, tiap-tiap orang yang
meriwayatkan mendengar terus dari orang yang meriwayatkan kepadanya hingga
sampai kepada Nabi atau kepada sahabat.
10) Hadith
Mahfuz, iaitu Hadith yang terpelihara, perawi orang yang kepercayaan yang tidak
menyalahi akan golongan kepercayaan yang lain daripadanya misalnya dengan
menambah atau mengurang
11) Hadith
Jayyid, iaitu Hadith yang dikatakan baik dan sahih oleh ahli-ahli Hadith
12) Hadith
Mujawwad, iaitu Hadith yang meliputi Hadith sahih dan Hasan
13) Hadith
Maudu`, iaitu Hadith atau perkataan seseorang yang dikatakan Hadith Nabi
s.a,w., pada hal itu bukanlah Hadith Nabi.
(Mustafa Abdul Rahman (Penterjemah, Syarah dan Susun),
Hadith Empat Puluh, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Dewan Pustaka Fajar, 1988: 21 –
27).
Tulisan ini bukan bertujuan untuk membicarakan tentang
Hadith per se, tetapi membuktikan bahawa tradisi Hadith – juga al-Qur`an adalah
bersifat ilmu.
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa kaedah mengingat,
menghafal dan menurunkan maklumat melalui sanad kepada generasi ke bawah adalah
berlaku sejak dari zaman sebelum Islam, tetapi kaedah penurunan ini tidak mengira
dari segi kesahihan pada peringkat tinggi atau rendah, benar atau kurang benar
dan sebagainya. Melalui tradisi ingatan
dan hafalan dan diperturunkan secara riwayat bersanad boleh menyampaikan
maklumat pada zaman tradisi Jahiliyah yang tidak mencatat, tetapi diingat (Dr.
Shauqi Dhaif, al-`Asr al-Jahiliyy, al-Qahirah: Dar al-Ma`arif, 1960: 158) kepada
zaman berikutnya hinggalah tiba kepada zaman tradisi tulisan dalam mana
bahan-bahan maklumat sama ada puisi, kisah dan khutbah yang diingati itu dirakam
dan diterima oleh genarasi berikut.
Apa yang mau ditekankan, bahawa tradisi hafalan, termasuk
penerimaan al-Qur`an, khususnya yang dibicarakan di sini, iaitu al-Hadith juga adalah
melalui tradisi pendengaran, penglihatan, penggambaran yang diingat, dihafal
dan diperturunkan kepada penerima dan generasi berikutnya. Tetapi dalam tradisi
Hadith berlaku kaedah ilmiah yang memperkukuhkan kesahihannya. Penelitian
dibuat secara ilmiah misalnya pada perawi tentang kebolehpercayaan, amanah,
kemampuan ingatan, akhlak dirinya dan perbandingan dengan yang lain dari segi
riwayatnya. Penelitian juga dilihat dari segi sanad-sanad, apakah berlaku
persambungan, watak bagi setiap rantaian dalam sanad, kesahihan dari segi
pertemuan yang melibatkan sejarah, geografi dan sosialisasinya dan juga taraf
keilmuan setiap dari mereka, juga sifat amanah, kebolehpercayaan dan boleh
dipertanggungjawabkan. Penelitian juga dilihat dari segi apa yang diriwayatkan,
iaitu matan (Hadith) apakah bersamaan dengan apa yang diriwayat oleh perawi-perawi
yang lebih masyhur, apakah ianya satu-satunya matan yang diriwayat dan
kesahihan.
Fokus kesemuanya ialah mempastikan kebenaran dan kesahihan
kerana ianya bukan setakat penerimaan, tetapi akan melibatkan penggunaan di
dalam ibadat, muamalat, hukum hakam, bahkan budaya dan peradaban umat.
Kaedah ilmiah di atas sebenarnya memberi sumbangan di dalam
membina tradisi keilmuan dan membangun budaya dan peradaban ummah.
Di dalam tradisi keilmuan Islam konsep riwayat dan validiti
sebagaimana dibicarakan tidak terhad kepada keilmuan Hadith sahaja, tetapi
ianya diguna di dalam keilmuan-keilmuan yang lain, hatta sesudah berkembangnya
tradisi penulisan. Kalau kita lihat karya-karya (penulisan) terawal misalnya Muhammad
bin Ishaq bin Yasar (85-151H.) mengarang Kitab Sirah Ibn Ishaq, yakni mengenai
Sirah Rasulullah s.a.w. juga menulis secara riwayat dan bersanad menurut gaya Hadith. Contoh
selepas menyebut nasab Nabi Muhammad s.a.w. dicatat sebagai maklumat kedua:
``Bercakap kepada kami Ahmad bin Abd al-Jabbar, dia berkata,
bercakap kepada kami Yunus bin Bakir dia berkata, ``Setiap sesuatu daripada
percakapan Ibn Ishaq bersanad, maka dia yang mengimla` kepadaku atau dibaca
kepadaku atau dia bercakap kepadaku dan apa yang tidak bermusnad, maka dia
adalah bacaan dekat dengan ibn Ishaq. Kemudian sebagai maklumat ketiga mencatat
oleh Ibn Ishaq menurut gaya
Hadith:
``Bercakap kepada kami oleh Ahmad, bercakap kepada kami oleh
Yunus daripada Muhammad bin Ishaq berkata (Matannya panjang, tetapi tentang
mimpi Abdul Muttalib agar dia menggali tapak air Zamzam yang tertimbus selepas
mengalirnya pada peristiwa Saydatina Hajar bersama anak Ismail mendapati air
Zamzam).
(Muhammad bin Ishaq bin Yasar, Sirah Ibn Ishaq, (Tahqiq wa
Ta`liq Muhammad Hamidullah), Riyad: Hizmet Kitabevi, 1981/1401: 2).
Sebagai contoh lagi Abu Nasr al-Sarraj al Tusi (m.378H.)
yang mengarang kitab tasawuf terkenal dengan judul al-Luma` masih mengarang
menurut gaya
Hadith. Contoh:
Berkata Shaykh (Abu Nasr al-Tusi) rahimahullah. Sampai
kepadaku daripada Yusuf bin al-Husayn al-Razi rahimahullah bahawa dia berkata:
Berdiri seorang lelaki di hadapan Zhu al-Nun al-Misri lalu dia berkata,
Khabarkan daku tentang tauhid: Apa dia ?
Dia berkata: Dia bahawa engkau mengetahui bahawa Qudrat
Allah Ta`ala pada sesuatu tidak bercampur, dan perbuatanNya bagi sesuatu tiada
ilaj dan illah, tiap sesuatu adalah perbuatanNya dan tiada illah bagi
perbuatanNya, dan tidak ada di langit tinggi dan tidak ada di bumi rendah
Pentadbir selain daripada Allah Ta`ala, Apa jua terlintas dalam sangkaan, maka
Allah Ta`ala berlainan dari yang demikian atau apa yang dikata selain daripada
itu.
(Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi, (Tahqiq Dr. Abdul Halim Mahmud
& Taha Abdul Baqi Surur, Misr: Dar al-Kutub al-Hadithah & Baghdad : Maktabat
al-Muthanna, 1380H./1960: 49).
Gaya Hadith juga didapati digunakan di dalam kitab
al-Muwatta` Imam Malik dan al-Umm oleh Imam Shafie.
Apa yang mau dtekankan bahawa kaedah ilmiah ini dilanjutkan
di dalam penulisan-penulisan ilmiah moden, misalnya konsep rawi dapat
diaplikasikan kepada
Persoalan thiqah, authoriti di dalam bidang-bidang kepakaran
diberi keutmaan di dalam rujukan-rujukan ilmiah. Termasuk dibawah thiqah ialah
amanah di dalam keilmuan dan jujur memperturunkannya kepada generasi penerusan.
Seorang yang hendak bercakap tentang sejarah adalah lebih dipercayai dari yang
terdidik di dalam bidang sejarah dari yang lain.
Konsep rawi digunakan di dalam percakapan dan penulisan
dengan merujuk kepada pendukung ilmu berkenaan. Ketokohan seorang dalam bidang
keilmuan memberi keyakinan kepada penyampai dan penerima ilmu-ilmu yang
disampaikan. Kadang-kadang terkenal seorang tokoh dan institusi tertentu
menjadi tarikan pelajar kerana keyakinan
pada tokoh dan authoriti keilmuan yang ada padanya. Kadang-kadang
keyakinan melangkaui kepada murid-murid bagi guru terkenal. Murid-murid
berkenaan dianggap kelangsungan authoriti dan keilmuan yang diwarisi.
Konsep matan bagi Hadith adalah paling utama, kerana di
dalam matanlah terkandung persoalan dan mesej yang diterima dan menjadi panduan,
apa lagi tahap Hadith diakui sebagai Sahih.
Sebagaimana Hadith sebagai sumber authoriti kedua tertinggi
selepas al-Qur`an, maka dalam tradisi ilmiah keilmuan selepas kesahihan dari
segi rawi dan sanad, maka musnad, iaitu `Bahan Ilmu` yang menjadi tujuan utama
sebagaimana diambil manfaat dari Hadith.
Dalam kata lain konsep matan bagi keilmuan moden tidak lain
daripada hasil kajian dan dapatan bagi ilmuan yang biasanya diperturunkan di
dalam bentuk buku. Bagi tokoh keilmuan terkenal buku yang ditulis adalah
memancarkan keilmuan dan kepakarannya dan menjadi terkenal dan dihormati dan
dijadikan panduan dan rujukan.
Selain dari konsep rawi, sanad dan musnad (matan) yang memberi sumbangan
terhadap validiti keilmuan. Di dalam penulisan keilmuan Islam juga berkembang bagi Qur`an dan Hadith dan
keilmuan-keilmuan Islam ialah konsep dabt, terjemah, sharah (sharih) dan
hashiah terhadap matan. Konsep ini memberi sumbangan yang penting di dalam
penulisan dan keilmuan moden yang kini digunakan di dalam penulisan ialah nota
kaki
Dan rujukan ilmiah, Sebuah matan kitab seperti Jawharat al-Tauhid
yang di dalam bentuk puisi berkembang dengan terjemah, kitab sharah dan hashiah
yang memperluaskan lagi pembicaraan dan huraian dalam erti kata memperluaskan
keilmuan yang dibicarakan..
Banyak lagi sumbangan keilmuan Islam kepada dunia akademik,
tetapi mungkin terkeluar dari bidang Hadith yang dibicarakan. Walau apa pun
dapat kita lihat kehadiran Islam membawa keilmuan berasaskan al-Qur`an dan
Hadith yang memperluaskan kaedah kajian dan memperluaskan horizon keilmuan.
Sekian. Wallahu a`lam.
No comments:
Post a Comment