May 30, 2013

Jamaah Mula Bersolat Di Surau Al-Faizin, Taman Tun Perak, Balakong

-->
Taman Tun Perak, 14 Rajab 1434 = 24 Mei 2013 (Jumaat):

Setelah menunggu hampir 10 tahun (bermula dengan permohonan gazet tapak surau tahun 2004), maka pada petang ini para jamaah dari penduduk setempat di Taman Tun Perak mula menggunakan surau ini bermula dengan solat Maghrib secara berjamaah di sini, walaupun masih banyak lagi keperluan surau patut disempurnakan. Berikut dari solat Maghrib, satu majlis kesyukuran diadakan bermula dengan Al-Fatihah dan Tilawah al-Qur`an. Hadir ke majlis Mantan Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, Tuan Haji Suhaimi Nazir Masjid, Encik Hanafi Muhammad Pengerusi Surau Al-Faizin, Ustaz Ridhuan bin Haji Mahmud Penasihat, Ustaz Shukri Guru Besar Sekolah Agama Tun Perak, Dato` Norhisham, Ustaz Zainal, pelajar-pelajar Ma`had Tahfiz & guru-guru dan para jamaah yang berjumlah lebih kurang 300 orang.



Saudara Jali selaku Pengerusi Majlis menjemput Ustaz Ridhuan selaku Penasihat mengalu-ngalu para hadirin dan mengucap terima kasih di atas kehadiran mereka. Beliau berharap dengan penggunaan Surau Al-Faizin ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk setempat menunaikan solat secara berjamaah setiap waktu, di samping juga menjadi tempat anak-anak belajar dan juga orang-orang dewasa mengikuti pengajian yang akan disusun oleh pihak AJK Surau.


Pengerusi Surau Encik Hanafi Muhammad dalam ucapannya bersyukur kepada Allah, walaupun surau masih belum sempurna sudah mula dapat digunakan. Beliau berterima kasih kepada penderma-penderma yang bermurah hati sehingga surau yang dihasratkan hampir siap. Menurut Pengerusi, keperluan segera, terutama bagi penggunaan Ramadhan nanti ialah membina tandas yang tapaknya masih kosong. Buat masa ini atas ihsan Sekolah Surau menggunakan tandas Sekolah. Surau juga memerlukan tambahan kipas yang setakat ini hanya ada 3 buah. Kita juga memerlukan pembesar suara keluar yang setakat ini belum dapat dipasang, kerana kekurangan dana. Sementara itu kawasan keliling surau masih belum berturap. Kita harap kata saudara Hanafi Muhammad ada pihak-pihak yang sudi menderma bagi melengkapkan keperluan-keperluan. Setakat ini pihak Surau telah membelanjakan peruntukan hampir RM900,000. Turut berucap juga Tuan Nazir Masjid Tuan Haji Suhaimi yang melahirkan sama harapan agar keperluan Surau dapat disediakan. Selain daripada keperluan kepada tandas, ialah Surau memerlukan pintu besar untuk mengelak dari diceroboh. Beliau berharap pihak AJK surau akan berusaha memajukan surau dengan berbagai aktiviti, termasuk pengajaran dan kursus-kursus yang dapat diadakan dari masa ke semasa.



Antara ucapan berlangsung para jamaah dihiburkan secara berselang dengan lagu-lagu Nasyid  yang disampaikan oleh pelajar-pelajar tahfiz yang dijemput khas.

Mantan Adun Bangi juga dijemput berucap, memandang Mantan Adun Bangi terlibat langsung dengan perkembangan Surau Al-Faizin, mulai dari pengurusan tapak Surau. Selepas Mantan Adun dipilih sebagai Adun Bangi dan dilantik sebagai Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, usaha mendirikan surau Al-Faizin makin lancar hingga pada  Ahad 3 Ogos 2008 Adun Bangi pada masa itu merasmikan acara Pecah Tanah bagi Surau Al-Faizin. Bersempena dengan Pecah Tanah itu juga Skim Wakaf Pembinaan Surau Al-Faizin dilancarkan oleh Bendahari Surau pada masa itu, iaitu Encik Taufik Arshad bagi membina Surau di atas tanah seluas 2,000 meter persegi. Menurut Bendahari anggaran kos pada masa itu ialah RM700,000. Antara keperluan yang disebut pada masa itu ialah tempat urusan jenazah , perpustakaan mini dan Pejabat Surau.


Menurut Mantan Adun Bangi, berikutan dari pecah tanah, beberapa mesyuarat bagi pembinaan Surau diadakan di Surau lama, di Dewan Orang Ramai, bahkan di Pejabat Adun Bangi pada masa itu. Pada satu peringkat AJK pernah memohon dari JAIS untuk menyekalikan pembinaan Surau Al-Faizin dengan Sekolah Agama berhampiran, tapi jawapan dari pihak JAIS surat bertarikh 13 hb. Ogos 2010, ``Jabatan ini tiada peruntukan bagi tujuan pembinaan Surau di atas Lot 30622 yang telah dicadangkan oleh pihak Jawatankuasa tersebut.(Pecah tanah Sekolah pada 1 Ogos 2010 Lot 30623). Oleh kerana pemungutan derma agak lembab, maka pelancaran derma terpaksa dibuat sekali lagi pada 8 Mei 2011 di tapak pembinaan Surau dan pada 15 Mei 2011 diadakan Pelancaran Kerja Tapak dan melantik Pemungut-Pemungut Derma. Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kontrektor, iaitu En. Muzainizam yang sanggup menjalankan kerja, walaupun pihak surau dalam keadaan kewangan yang belum stabil.


Mantan Adun Bangi menyebut, walaupun memakan masa yang agak lama dan bertukar AJK beberapa kali, bahkan ada usaha untuk menggunakan surau ini pada bulan Ramadhan pada tahun lepas, walaupun tak terlaksana,  akhirnya surau dapat disiapkan sebagaimana keadaan yang sedia ada. Mantan Adun Bangi berharap penduduk di sini yang mempunyai 1,200 keluarga akan mengambil manfaat dari surau ini. Tahniah kepada  penduduk yang akan menggunakan surau ini bagi menyambut Ramadhan 1434H./2013M dan menjalankan ibadat Ramadhan nanti dengan lebih selesa. Mantan Adun percaya bila tiba Ramadhan lebih ramai yang suka menderma sempena bulan baik yang pahala amalan pada bulan tersebut berganda.

Selepas Majlis Jamaah Solat Bersama Di Surau Al-Faizin Mantan Adun Bangi menyampaikan peruntukan yang menurut AJK akan digunakan untuk memasang pembesar surau keluar.


Selepas daripada itu semua jamaah dijemput ke kantin Sekolah untuk jamuan. Adalah difahamkan seekor lembu disembelih bagi jamuan sempena penggunaan surau. Sebelum ke tempat jamuan Mantan Adun meninjau kawasan keliling surau yang antaranya tapak tandas dan tempat bilik mayat dan tanah-tanah keliling yang perlu diturapkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment