BBB, 01 Rejab 1434 =
08 Mei 2013 (Rabu):
Setelah memenangi kerusi dalam pilihanraya, yang ingin
diketahui terutama bagi rakyat negeri Selangor dan yang meminati politik ialah
perlantikan-perlantikan yang bakal mengetuai dan memerintah. Bagi peringkat
negeri yang ingin diketahui paling utama ialah perlantikan Menteri Besar atau
Ketua Menteri dan Exco-Exco. Setakat ini beberapa buah negeri telah melantik
Menteri Besar/Ketua Menteri dan Exco-Exconya. Namun bagi negeri Selangor masih
di dalam suasana penantian. Siapakah Bakal Menteri Besar Selangor ?
Menteri Besar Selangor pada sesi lepas (2008-2013) ialah
Mantan YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, tetapi jawatan Menteri
Besar dan Exco, walaupun kemenangan dicapai mereka dalam pilihanraya berikutnya,
tidak semestinya berterusan.
Perkembangan terbaru hasil dari keputusan pilihanraya ke 13 pada 5 Mei 2013
lepas ada perubahan dari segi jumlah kerusi dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan
parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu sendiri. Pakatan Rakyat memenangi 44 dari
56 kerusi Dewan Negeri Selangor. Menariknya ketiga-ketiga parti dalam Pakatan
Rakyat memenangi hampir sama dari segi jumlah kerusi. Pas memenangi 15 kerusi,
Dap 15 kerusi dan Keadilan Rakyat ialah 14 kerusi. Melihat kepada jumlah
kerusi, maka secara zahirnya Pas berhak menduduki Kerusi Menteri Besar,
manakala Dap, walaupun jumlah kerusi yang dimenangi adalah sama dengan Pas, tetapi
menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 3 – Eksekutif Pecahan
LL (1) Perlantikan Menteri Besar:
LI (1) Perlantikan Menteri Besar
Duli Yang Maha Mulia hendaklah melantik dengan Suratcara di
bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan, seorang Menteri Besar, mengikut
perenggan (a) Fasal (2) Perkara LIII.
(2) Tertakluk kepada peruntukan Fasal (4) Perkara LIII tiada
seorang pun boleh dilantik menjadi Menteri Besar melainkan jika beliau
berbangsa Melayu dan menganut Agama Islam.
Dengan kedudukan di atas Pas berkedudukan lebih kuat dan
lebih berhak dari PKR untuk menduduki Kerusi Menteri Besar. Namun dalam hal ini
tidak semestinya seorang Menteri Besar dari parti yang mendapat kerusi paling
tinggi, sekiranya dipersetujui. Dalam konteks ini Tan Sri Dato` Seri Abdul
Khalid Ibrahim dilihat berhak atas asas-asas berikut:
a) Beliau
adalah Menteri Besar bagi sesi pemerintahan (2008-2013).
b) Beliau
telah berjaya membawa kemajuan dari segi ekonomi dan pentadbiran negeri
Selangor yang statistiknya diakui oleh pihak Berkuasa Audit Negara.
c) Kemenangan
pilihanraya bagi Pakatan Rakyat pada 5 Mei 2013 makin meningkat dan kukuh
semasa Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Negeri Selangor
d) Kerusi
Menteri Besar Selangor adalah disifatkan sebagai ``Kerusi Panas``. Beberapa
Menteri Besar sebelumnya di Selangor bermaslah dalam tempoh pentadbiran dan ada
yang turun sebelum tempoh, tetapi pentadbiran di bawah Tan Sri Dato` Seri Abdul
Khalid berjalan lancar sehingga ke akhir tempoh pentadbirannya.
e) Adalah
difahamkan pihak ahli-ahli dari Pas dan Dap bersetuju dengan perlantikan Tan
Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menjawat semula Jawatan Menteri Besar
Selangor.
Berikutan dari isu perlantikan Menteri Besar Selangor,
Setiausaha Agung Pas Dato` Mustafa Ali membuat kenyataan, bahawa pihak Pas
tidak bercadang untuk menuntut jawatan Menteri Besar Selangor dan bersetuju
agar Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim meneruskan jawatan Menteri Besar
Selangor bagi penggal kedua. Dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas ini
mengukuhkan peluang Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menduduki Kerusi
Menteri Besar Selangor (Tertakluk pada perkenan Tuanku). Berhubung dengan
maklumat bahawa saudara Azmin Ali berminat sama bagi menduduki kerusi Menteri
Besar atas kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR, jika perkara ini dinaik
ke atas, barangkali pihak Pas lebih berhak membuat tuntutan jika Tan Sri Dato`
Seri Abdul Khalid dikesampingkan.
Oleh kerana pihak Pas secara ukhuwwah, sebagaimana
dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pas, tidak berhasrat menuntut jawatan Menteri
Besar Selangor, kita berpendapat wajar dilihat dan digunakan peruntukan
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 (Dipinda Sel. En. 7/1990):
(IA) Duli Yang Maha Mulia hendaklah melantik dengan
Suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan seorang Timbalan
Menteri Besar mengikut peruntukan-peruntukan perenggan © Fasal (2) Perkara
LIII, iaitu:
c) Baginda hendaklah, jika dinasihati sedemikian oleh
Menteri Besar, melantik seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan menjadi Timbalan
Menteri Besar yang hendaklah membantu Menteri Besar dalam menjalankan
kuasa-kuasanya, melaksanakan kewajipan-kewajipannya dan menunaikan
fungsi-fungsinya, dan atas arahan Menteri Besar, dia hendaklah menjalankan
kuasa-kuasa, melaksanakan kewajipan-kewajipan dan menunaikan fungsi-fungsi
Menteri Besar yang sedemikian.
Berdasarkan peruntukan yang ada, kita berpendapat, sebagai
penghargaan terhadap Pas yang dengan sukarela memberi ruang bagi perlantikan ke
Jawatan Menteri Besar Selangor, maka peruntukan membolehkan dilantik seorang
Timbalan Menteri Besar, maka ianya sesuai diberi kepada seorang Ahli Exco dari
Pas yang dilantik. Dengan demikian kerja-kerja yang banyak ditanggung oleh
Menteri Besar dapat diagih dan diringankan dan pentadbiran menjadi lebih licin.
Akhirnya kita melihat sifat terbuka dan kerjasama dalam
Pakatan Rakyat memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Misalnya kerelaan Pas memberi
ruang kepada Tan Sri Khalid dari Keadilan Rakyat Menjadi Menteri Besar Selangor
memperlihatkan ketiga-tiga parti menerima pembahagian kuasa secara saksama,
bahawa Keadilan Rakyat mengetuai pemerintahan di negeri Selangor, Dap mengetuai
pemerintahan di Pulau Pinang dan Pas mengetuai pemerintahan di Kelantan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment