Tanjung Malim, 13 Rajab 1434 = 23 Mei 2013 (Khamis)
Teori Estetika Bersepadu yang dibentang oleh Profesor Madya
Dr. Abdul Halim Ali di Dewan Kuliah J, UPSI pada 23 Mei 2013 telah diulas oleh
tiga orang Panel Pembahas. Mereka ialah:
1. Profesor
Dr. Mohamad Mokhtar Hassan (UM)
2. Profesor Madya Dr.
Abdul Rahman Napiah – Mana Sikana (UPSI)
3. Mantan
Profesor Madya UKM Dr.
Shafie Abu Bakar
Lacan terkenal dengan Teori Psikoanalisis dengan
bukunya Ecrits: A Selection
Derrida dengan bukunya
Of Grammatology
Kristiva dengan Revolution In Poetica Language
Lacan terpengaruh dengan Teori Bawah Sedar Freud. Tapi
beliau tidak berpuashati dengan Teori Psikoanalisis Freud, terutama tentang
konsep pertentangan dalam diri manusia id, libido, ego dan super ego. Beliau
tertarik dengan karya-karya Penulis Poe
dan karya-karya penulis ini dikajinya dengan melihat imajen dan aspek yang
tidak diucapkan dengan mencari makna yang transcendental, ikonik dan
metafizikal. Beliau membawa Teori Psikoanalisis yang baru
Derrida tidak bersetuju dengan teori strukturalisme. Derrida
menentang Barthes. Derrida melihat untuk menganalisis sesebuah teks bagi
mendapat erti dan maknanya haruslah melalui pemecahan struktur.
Kristiva mengemukakan Teori Intertekstualiti sebagai
transformasi dari teori Dialogisme
Bakhtin yang menyelesaikan masalah apresiasi terhadap karya-karya besar
di Peranchis. Menurut Mana Sikana, ``Setiap teori itu mempunyai mekanisme
berbeza, tetapi hampir sama dalam kaedah proses penciptaannya.``
Saudara Mana Sikana mengingatkan perbezaan antara Teori dan
Kritikan Sastera, bahawa Kritikan sastera adalah berpusat kepada penilaian
sastera semata-mata, tetapi bagi teori sastera mengandungi dua aspek, aspek
pertama yang wajib, iaitu definisi, konsep dan prinsip sastera. Aspek kedua
mengandungi kaedah untuk memahami sastera, termasuk memahami teks sastera.
Teori Estetika Bersepadu
Teori dibina oleh sdr. Abdul Halim (2009) bertolak dari
konsep keindahan gaya
dan perutusan agama. Berasaskan al Qur`an dan penciptaan Adam sebagai Khalifah
Allah yang dilihat padanya kesempurnaan lahiri (fizikal) dan dalaman. Abdul
Halim melihat kesempurnaan Adam sebagai makhluk terpantul kepada
makhluk-makhluk yang lain – termasuklah kesusasteraan. Menurut Abdul Halim ,
``Teks kesusasteraan juga adalah `Tek Keindahan` yang lahir daripada proses
penyepaduan berbagai unsur bahasa, idea dan pemikiran, pengajaran dan
perutusan.`` Menurutnya, ``Teks mempunyai hubungan bermakna dengan Pencipta-Nya,
pengarang, agama dan realiti. Teks tidak bersifat autonomi, sebaliknya
berfungsi dalam ikatan yang dibataskan oleh ajaran agama, norma-norma kehidupan
dan kebenaran.``
Prinsip Teori
1> Kesepaduan
estetik bahasa dengan pemikiran. Kesepaduan ini disebut sebagai gaya yang mendukung ilmu
atau ringkasnya disebut stail.
2> Kesepaduan
stail (estetik bahasa dan Pemikiran) dengan perutusan agama.
3> Perkaitan
stail dan perutusan dengan kebenaran Islam dan kebenaran realiti
Aplikasi Dalam Kritikan
Telah diaplikasikan terhadap empat kumpulan puisi Ahmad
Kamal Abdullah (Kemala), iaitu Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir dan Mim dan
terhadap Kumpulan Puisi Suhaimi Haji Muhammad Taman Taqwa yang disifatkan
sebagai memenuhi syarat dan berjaya.
Pengulas kedua yang dijemput oleh Prof. Madya Dr. Azhar
Wahid, ialah Prof Dr. Mohamad Mokhtar. Beliau membicarakan perkembangan teori
yang begitu rancak pada tahun-tahun 1980an. Pada masa itu semarak teori sastera
berkembang di beberapa buah universiti dan puncaknya berlaku pada tahun-tahun
1990an. Namun kerancakan ini makin menurun sehingga waktu ini boleh disifatkan
sepi. Ini menurutnya merugikan bidang akademik. Menurutnya beliau sendiri ada
mengemukakan teori `Kata Kunci` bagi menyemarakkan perkembangan teori Sastera
Tanahair.
Mantan Prof. Madya di UKM Dr. Shafie Abu Bakar dalam
mengulas kertas `Estetika Bersepadu`, menurutnya didapati saudara Abdul Halim cuba membuat
pendekatan Estetika Bersepadu menurut perspektif Islam, tetapi didapati Sdr.
Abdul Halim bertolak dengan membicarakan terlebih dahulu banyak teori terutama
dari Barat kemudian berhujung dengan Islam. Adalah wajar terus membicarakan
Teori Estetika Bersepadu dari perspektif Islam dari awal bab dengan teori-teori
Barat dan lain-lain disinggung dalam pembicaraan. Dengan ini terserlah
pendekatan Keislaman yang dikehendaki penulis dan tidak bersifat cebisan dan
sampingan.
Dr. Shafie Abu Bakar mempersoalkan penggunaan istilah `Bersepadu`
yang membawa juga makna seperti `Menyatukan`. Sedangkan contoh sebuah puisi dan
diri juga bidang sastera yang lain ada elemen sejajar, selari, bertentangan,
bergelombang, bercanggahan, panjang pendek yang tidak mampu disepadukan. Apa
yang dilihat Dr. Shafie dengan contoh sebuah puisi di dalam kertas ulasannya Solat
(Subuh Di Masjid Nabawi), bahawa istilah yang lebih tepat digunakan ialah `Mengharmoni`
.
Satu kelemhan yang nyata, di dalam membicarakan tentang
Estetika Bersepadu dari segi teori dan aplikasi, didapati tidak dibawa
contoh-contoh terutama puisi yang
dibicara, kecuali dua bait Cinta Al-Farabi (2 baris). Ini dirasakan tidak
memada di dalam memberi contoh dan aplikasi bagi Estetika Bersepadu terhadap
puisi.
Saudara Abdul Halim mengambil contoh Adam bagi melambangkan
kesempurnaan dan keindahan dari segi luaran dan dalaman. Contoh ini agak
janggal, kerana refleksi keindahan, kesempurnaan, kebesaran dan keagungan
sewajarnya dinisbahkan kepada Allah – Takmilah menggunakannya. Penggunaan Insan
Kamil jika hendak diguna adalah dirujuk kepada Rasulullah - Muhammad
s.a.w. Nabi Muhammad adalah Abul
Anbiya`, sedangkan Adam adalah Abul Bashar. Beberapa pelajar mengemukakan
beberapa soalan yang melengkapkan pembicaraan
Walau apa pun saudara Abdul Halim dapat memberi satu
sumbangan ilmiah yang memperkayakan khazanah kesusasteraan, khususnya dalam
bidang teori.
Sekian.
No comments:
Post a Comment