August 2, 2014

Estetika Akli Dan Takmilah: Peranan Masjid Membina Insan

-->
BBB, 05 Syawal 1435 = 01 Ogos 2014 (Jumaat):

Kehidupan adalah sunnah yang teratur dan indah yang perlu dijalani berterusan. Adalah menjadi tuntutan hidup insan perlu sentiasa memperbaiki diri bagi mengatasi cabaran hidup. Insan perlu bukan saja memperbaiki diri, tetapi alam sekitar yang menjadi ruang kegiatannya agar hidup lebih sempurna. Apa yang dicapai pada hari ini adalah hasil dari proses perjuangan keinsanan yang panjang. Pencapaian tidak lain dari melalui seni pendidikan melalui ilmu. Iaitu mengetahui kaedah-kaedah maklumat dan menggunakannya bagi pendidikan individu dan masyarakat dan mempertingkatkan potensi dan prestasi. Ironi seorang individu insan yang terdidik dengan baik dan mencapai kejayaan, tertakluk pada hukum alam yang fana bahawa kehidupan individu adalah tidak panjang. Dia pupus dan diganti dengan turunan dan generasi penggantinya dan proses pendidikan bagi generasi ini kembali berlaku berulang agar ianya menjadi lebih baik dari generasi terdahulu, tetapi tidak jarang ada yang lebih mundur, bahkan gagal. Maju mundur yang dicapai juga dinilai dari segi kolektif, bahawa berdasarkan kemajuan yang dicapai dan diwarisi dan diteruskan, mungkin masyarakat berkenaan makin meningkat dari segi kemajuan secara kolektif, tetapi proses pendidikan individu insan terus berlaku silih berganti dan setiap individu yang datang adalah pewaris dan pemegang amanah masyarakatnya yang seharusnya menjadi penggerak ke arah yang lebih maju. Ini adalah merupakan seni kehidupan dan seni pendidikan yang seharusnya mencetuskan kesedaran bahawa proses kehidupan insan yang merupakan satu spesis dari kewujudan yang tidak terkeluar dari proses putaran kewujudan yang berulang dalam menju kefanaan. Dalam sunnah ciptaan dapat dilihat putaran terus berlaku,  dari yang paling besar seperti cakrawala bergerak bertukar mengelilingi, malam bertukar siang kepada yang lebih kecil tidur dan bangun, bekerja dan berehat, rajin belajar dan malas, dan hidup dan mati dalam proses maju mundurnya generasi yang mewarisi. Apa yang dibicarakan adalah merupakan proses pembinan peradaban dan tamadun yang merupakan antara skema dalam Takmilah.


Masyarakat di Bandar Baru Bangi, relatifnya disifatkan sebagai masyarakat yang berjaya. Kejayaan adalah hasil dari pencapaian generasi permulaan dalam proses pendidikan yang mereka lalui sehingga mereka berjaya bermukim di Bandar Baru Bangi yang dikenali sebagai Bandar Ilmu. Kejayaan mereka tidak menjamin kejayaan generasi berikutnya tanpa generasi mendatang struggle dalam bidang keilmuan. Walau bagaimana generasi di sini berada di dalam suasana yang lebih baik – berada di dalam keluarga yang menyedari dan mementingkan pelajaran, wujudnya infra-struktur dan rangkaian pendidikan yang baik dari pra-sekolah, sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti. Mereka perlu meniti titian pendidikan ini dengan tekun agar mencapai kejayaan.


Masjid, khususnya Masjid Al-Umm adalah merupakan satu dari institusi pendidikan, di samping fungsi utamanya sebagai tempat ibadat. Apakah peranan yang mau dan seharusnya dilibatkannya dalam situasi masyarakat Bangi yang disifatkan masyarakat intelektual ?


Masjid seharusnya tidaklah mengambil peranan yang di luar dari skop kemasjidannya. Misalnya sungguhpun ianya sebagai institusi pendidikan, tetapi tidaklah sampai ianya misalnya bercita-cita menjadi sebuah universiti, kerana ianya tidak releven dan memerlukan kos yang tinggi, lagi pula peranan ini telah dipenuhi oleh berbagai-bagai universiti yang berada di sekelilingnya, ia juga tidak perlu menjadi sebuah kolej atau Sekolah kerana peranan ini juga dipenuhi oleh institusi-institusi berkenaan di sekelilingnya, tetapi peranannya seharusnya mencakupi semua bidang berkenaan, khususnya dalam kedudukannya sebagai induk pengajian Wadi Ilmu secara mikro di Bangi Bandar Ilmu. Apa yang dilihat bahawa Masjid Al-Umm perlu mengambil peluang dan kesempatan dari segi keberadaan di tengah-tengah berbagai institusi ilmu menjadi agen perubahan dan pemantapan dari segi keilmuan, terutama bagi bidang-bidang yang tidak dapat ditampung oleh institusi-institusi berkenaan atau bagi insan-insan yang memang terdidik di dalam bidang takhassus mereka, tetapi kekurangan di dalam bidang-bidang yang lain, misalnya keagamaan dan sebagainya. Masjid al-Umm berperanan mengangkatkan kesedaran keilmuan dan menawarkan ilmu-ilmu yang perlu ditampung agar tahap kesedaran dan celik ilmu di dalam bidang-bidang yang masih kurang ditampung agar level keilmuan berkenaan meningkat dan identiti dan relevensi Bangi Bandar Ilmu terus menyerlah. Wadah keilmuan yang harus disedia dan disedarkan pada peringkat mikro ialah:


1)      Menyediakan pengajian ilmu asas dan fardu kepada semua masyarakat yang mungkin tinggi di dalam bidang-bidang professional dan belum tentu mereka mengetahui dan menguasai ilmu-ilmu fardu, khususnya untuk amalan harian. Peranan ini dimainkan sama oleh institusi-institusi surau di Wadi Ilmu.
2)      Menyediakan pengajian sebagai pondok moden terutama bagi warga-warga emas setempat dan di luar dari Wadi Ilmu. Guru-guru yang berkebolehan perlu disediakan sebagai tenaga pengajar tetap di dalam bidang-bidang berkenaan.
3)      Ada pengajian bertahap tinggi di dalam pengajian agama dengan kurikulum dan bahan-bahan pengajian terpilih. Guru-guru boleh di dapati dengan kerjasama institusi-institusi pengajian tinggi yang berada di sekeliling Bangi.
4)      Masjid Al-Umm dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah dan surau-surau dan Kompleks Pendidikan Islam dan Dar al-Shifa` Bangi  menganjurkan pengajian secara pakej yang ditawarkan kepada penduduk setempat dan luaran dengan keilmuan-keilmuan terpilih pada hujung minggu atau tempoh masa tertentu dengan kerjasama tenaga-tenaga pengajar dari berbagai institusi yang ada di sekeliling Bandar Baru Bangi. Sijil dan pengiktirafan dapat dikeluarkan oleh pihak universiti yang bekerjasama bagi yang mengikuti secara lengkap.
5)      Mengadakan kelas tahfiz bagi sejumlah pelajar secara terhad yang mereka juga mengikuti kelas biasa dari sekolah-sekolah berdekatan. Kerjasama dengan Sekolah dan institusi pengajian tinggi yang mengadakan kursus tahfiz boleh diadakan.
6)      Pengajian khas bagi kalangan wanita juga diadakan yang diisi dengan berbagai kursus dan kegiatan. Biasanya pada hari Sabtu dan Ahad.
7)      Kursus-kursus untuk kalangan belia juga dianjurkan secara teratur termasuk motivasi dan bimbingan. Kegiatan sukan juga disertakan dengan menggunakan padang yang berhampiran masjid di samping mendidik belia mendekatkan diri dengan masjid.
8)      Kursus dan ceramah dalam bidang professional juga dianjurkan oleh Masjid dengan kerjasama KPI & Dar al-Shifa`.
9)      Mengadakan sambutan-sambutan hari-hari bersejarah dan kebesaran Islam
10)   Mengadakan kursus penulisan, kursus khat dan Pameran, kelas tarannum al-Qur`an, kumpulan nasyid dan Marhaban dan kegiatan-kegiatan seni dan budaya yang releven.

Kegiatan boleh diperbesarkan kepada peringkat Makro dengan pengajian diperluaskan kepada peringkat Bangi Bandar Ilmu dan Bangi sebagai kampus terbuka.


Pihak Masjid mempunyai perancangan bagi mendirikan Kompleks Keilmuan Masjid Al-Umm di kawasan Medan Usahawan berdekatan dengan Masjid. Jika hasrat ini berhasil, maka Sekretariat Bangi Bandar Ilmu boleh menubuhkan yayasan dan bergerak dari kompleks berkenaan. Segala keperluan pentadbiran, ruang pengajaran, perpustakaan, asrama dan infra-struktur pengajian boleh beroperasi dari sini. Kerjasama boleh dibuat dengan KPI dan Masjid Al-Hasanah serta dengan universiti-universiti di sekeliling Bangi bagi merangka kursus-kursus dan kurikulum-kurikulum  yang releven untuk ditawarkan kepada mereka yang mengikuti Pengajian Terbuka di Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment