Mengungkap dan menulis tentang sesuatu tema persoalan, boleh
dihasilkan secara langsung – dalam bahasa prosa biasa, namun bagi yang mempunyai sentuhan seni kadang-kadang diungkap secara tamsil ibarat, berlapis dan
berisyarat. Ungkapan secara bertamsil ibarat terdapat di dalam Al-Qur`an
misalnya ayat bermaksud:
``Bandingan bagi mereka yang menafkahkan hartanya pada jalan
Allah (kebajikan) diibaratkan sebagai menanam sebiji benih yang tumbuh subur
menghasilkan tujuh tangkai bijian yang setiap tangkai mengandungi seratus biji
(menjadi 700 biji) dan Allah menggandakan
bagi sesesiapa yang dikehendaki. Dan Allah itu Amat Luas Rahmat kurniaNya lagi
meliputi ilmu pengetahuanNya.`` (Al-Baqarah: 261).
Di dalam Syair Unggas Pingainya Hamzah Fansuri banyak
membuat tamsil ibarat berhubung dengan persoalan ma`rifat. Kata Hamzah Fansuri:
Ilmu`l-yaqin nama ilmunya
`Aynu`l-yaqin hasil tahunya
Haqqu`l-yaqin akan lakunya
Muhammad Nabi asal gurunya.
Shari`at akan ripinya
Tariqat akan budinya
Haqiqat akan tirainya
Ma`rifat yang wasil akan isinya.
`Alam nasut nama hambanya
Perisai malakut akan katanya
Duldul jabarut nama kudanya
Menyerang lahut akan kerjanya.
Dengarkan hai anak jamu,
Unggas itu sekalian kamu.
(Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Mysticism of Hamzah
Fansuri, University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1970: 501).
Tamsil ibarat dan bandingan di atas adalah merupakan ciri
estetika maknawi, bahkan adalah merupakan estetika berganda (berlapis),
estetika dari segi bandingan, dan estetika dengan menggunakan puisi (Syair
Unggas Pingai). Ini adalah merupakan contoh
estetika Takmilah kerohanian yang baik.
Dalam pembinaan Masjid Al-Umm, dia adalah amalan yang mulia,
sesuatu amalan, khususnya amalan yang baik, tidak terhasil, melainakn ada pada
peringkat awal ada niat baik berikut tercetusnya idea bagi mendirikannya. Ianya
tidak berlaku begitu sahaja tanpa adanya niat:
Niat adalah dari dalaman
Tatkala idea mula datang
Kemudian diperkukuh azam
Dengan niat bertolak
perlakuan
Setelah terniat berlaku usaha
Bererti ia adalah disengaja
Nilai hukum terletak padanya
Luas tafsir perundangan dengannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda berkenaan niat:
Daripada Amiril Mu`minin Abi Hafs Umar Ibn al_Khattab r.a.
berkata:, Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Hanya segala amal dengan
niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa
hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya.
Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan
yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah
kepadanya itu.
(Mustafa Abdul Rahman, Hadith Empat Puluh – Matan al-Arba`in
al-Nawawiyyah, Dewan Pustaka Fajar, Kampung Baru, Kuala Lumpur: 1988: 55).
Menurut Mustafa Abdul Rahman yang menghuraikan Hadith ini,
bahawa Hadith ini mempunyai martabat dan
nilaian yang tinggi dalam jurusan hukum Islam, kerana banyak di antara hukum
itu didasarkan kepadanya. Ulama` Hadith sepakat mengatakan tentang ketinggian
Hadith ini dan tentang sahihnya. (Mustafa Abdul Rahman, 1988: 56).
Niat menurut bahasa, ialah qasad (tujuan hati) dan iradat
(kehendak hati), maka dengan tujuan hati dan kehendaknya sendiri terjadilah
sesuatu amal atau pekerjaan. Ulama fiqh mengertikan niat, iaitu qasad
mengerjakan sesuatu bersamaan dengan melakukannya, dan tempatnya di hati. Menurut
istilah syarak, niat ialah tergerak di hati ke arah sesuatu pekerjaan untuk
mencari keredaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada
perintahnya. (Mustafa Abdul Rahman, 1988: 57-58).
Di dalam usaha membina Masjid Al-Umm, satu amalan kebajikan,
kita percaya ianya bertolak dari niat
yang baik, bagi kerja yang baik, kalau tidak, tanpa berniat baik, sudah tentu
mereka yang menyertainya tidak akan kekal bersama meneruskan komitmen dan tanpa niat yang baik,
maka projek tidak berjalan.
Kita melihat niat yang baik ini ibarat biji benih yang subur yang mendapat siraman rahmat dari
berbagai tangan sehingga ianya tumbuh dan berkembang subur, menggandakan
penghasilan - insya Allah buah yang baik ini dapat dituai bukan saja di
dunia, tetapi terus berganda hasilnya di akhirat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment