August 7, 2014

Pemilihan Kontrektor Pembinaan Masjid Al-Umm

Tekad Nusantara Diberi Amanah Membina Masjid Al-Umm
BBB, 10 Syawal 1435 = 06 Ogos 2014 (Rabu):
Setelah interview berlangsung pada 19 November 2013, maka AJK yang membuat pilihan bersetuju menawarkan amanah untuk membina Masjid Al-Umm kepada `Syarikat Tekad  Nusantara  Sdn. Bhd.` Tawaran dibuat kepada Pengarah Syarikat Tekad Nusantara Tuan Haji Marzuki bin Haji Che Omar dan surat `Persetujuan Penerimaan Tawaran  diterima bertarikh 25 November 2013.
Tawaran Amanah Membina Masjid Al-Umm kepada Tekad Nusantara atas berbagai pertimbangan. Paling utama ialah berdasarkan pengalaman dan prestasi yang ditunjukkan oleh Tekad Nusantara hasil kerja yang disaksikan oleh AJK interview di hadapan mata mereka sendiri. Laporan utama yang diterima dari Dr. Tajul Ariffin Noordin sendiri Mantan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Pengerusi Kompleks Pendidikan Islam BBB tentang prestasi Tekad Nusantara ketika membina Kompleks Pendidikan Islam BBB. Kompleks ini dirancang sejak awal Penulis menjadi Adun Bangi (Mac 2008). Iaitu untuk membina KPI di atas tapak sekolah agama satu tingkat kepada dua tingkat. Dalam perbincangan Penulis mencadangkan agar dibina 3 tingkat kerana kepentingan ruang yang tidak dapat diperbesarkan kelak. Cadang diterima. Pelancaran derma dilakukan sejak 2008 dan pada awal 2010 tapak pembinaan dirasmi oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din yang turut sama disertai Penulis.
Difahamkan semasa pembinaan dilakukan peruntukan yang ada ditangan hanya lebih kurang RM700,000. Penulis selaku Adun Bangi turut sama membantu mendapatkan kewangan dari Kerajaan negeri Selangor yang disalurkan melalui Exco Pendidikan (Y.B. Dr. Halimah Ali)  berjumlah RM240,000. Tekad Nusantara dipilih sebagai kontrektor membina KPI tersebut dan sanggup mengalami kekurangan kewangan, mendahulukan peruntukan sementara jumlah peruntukan sebanyak EM2.33 juta didapati dari derma  orang ramai. KPI dapat disiapkan dengan sempurna dan mulai digunakan sejak awal 2013.


Selain dari prestasi dan komitmen yang ditunjukkan, pengalaman pembinaan projek-projek yang lepas diambil kira. Tekad Nusantara berpengalaman membina 26 unit rumah berkembar seharga RM3.73 juta. Membangun Bangunan Tunku Puan Besar Kursiah seharga RM4.5 juta, Pembinaan 2 blok pangsapuri Pantai Dalam Kuala Lumpur seharga  RM3.2 juta, membina loji rawatan Kumbahan Pekan berharga RM1.05 juta, membina Dewan Masyarakat Kampung Baru, Salak Selatan berharga RM645,000, kerja ubahsuai Pejabat KBcorp berharga RM1.14 juta dan menaiktaraf Lobi Pelawat Pusat Perubatan, UKM seharga RM1.7 juta.
Pengalaman  yang ditempuh oleh KPI seolah-olah ada kesamaan apa yang sedang dilalui oleh Masjid Al-Umm. Maksud dari segi kewangan yang dapat dipungut dari orang ramai. Menurut Penyata Kewangan yang dikeluarkan oleh Bendahari – Tuan Haji Mohd. Nor bin Haji Yasin, bahawa jumlah kewangan yang terkumpul pada akhir Disember 2013 setakat RM2,641,102.35. Jumlah ini tentulah begitu jauh dari kos keseluruhan bagi pembinaan Masjid Al-Umm yang dijangka berjumlah sebanyak Rm12 juta itu. Dalam kata lain dalam pada Syarikat Nusantara berharap dapat kontrek pembinaan Masjid Al-Umm, pihak Masjid Al-Umm juga mengharapkan kefahaman dan mungkin berlaku masalah-masalah dalam pembinaan, maka kefahaman dan simpati diharap ada pada Syarikat Nusantara. Walau macam mana kita mengharapkan, insya Allah tidak banyak masalah yang mungkin dihadapi oleh kedua-dua pihak.
Satu yang menjadi pertimbangan bahawa Syarikat Tekad Nusantara `membedakan` kos bagi tender pembinaan Masjid Al-Umm adalah di bawah dari harga RM12 juta. Dengan itu dapat menyelamatkan sebahagian dari kos pembinaan kepada kos-kos yang lain.
Sesebuah Syarikat Pembinaan, tidak semestinya mempunyai asset peralatan yang dimilikinya sendiri, sebagai  kontrektor berpengalaman misalnya kos menyewa peralatan pembinaan lebih ekonomik dari membelinya. Begitu juga dari segi urusan-urusan yang lain, termasuk pengurusan dari segi tenaga pekerja. Namun pihak Syarikat  Tekad Nusantara memaklumkan bahawa pihak Syarikat mempunyai 3 orang  Site Supervisors, disamping seorang Site Agent dan seorang Kerani Am bagi pembinaan Masjid Al-Umm.
Selain dari perkiraan di atas, bahawa Pengarah Syarikat Nusantara adalah `Orang Tempatan`, bermaksud beliau sendiri adalah penduduk yang tinggal di Bandar Baru Bangi yang juga akan menjadi ahli jamaah di bawah Kariah Masjid Al-Umm. Yang penting juga Syarikat Tekad Nusantara adalah Syrikat Orang Islam yang mempunyai pekerja-pekerja Islam. Ini adalah amat bersesuaian bahawa masjid sebagai Rumah Allah yang menjadi tempat ibadat orang-orang Islam agak kurang sesuai  jika ianya dibina oleh yang bukan Islam. Perkara ini diperingatkan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din sebagai Penaung bagi Masjid Al-Umm kepada AJK Pembinaan Masjis Al-Umm sebelum bulan Ramdhan lalu, bahawa beliau mau dipastkan bukan saja pekerja-pekerja orang Islam, bahkan hendaklah dipastikan bahawa pekerja-pekerja juga mesti berpuasa. Menurutnya, ``Kita mau Masjid Al-Umm dibina secara bersih dan kalau boleh semua yang terlibat dengan pembinaan Masjid Al-Umm hendaklah bersih.`` Tambah TG Dato` Dr. Haron Din, ``Kita mau pembinaan Masjid Al-Umm diberkati oleh Allah dan dibina di atas dasar taqwa.``
Kita percaya dengan pengalaman dan prestasi yang telah dilalui oleh Syarikat Tekad Nusantara, maka kita berpendapat  Syarikat mampu menjayakan pembinaan Masjid Al-Umm – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment