August 28, 2014

Taklimat Dan Nasihat Dari Penaung Masjid Al-Umm

BBB, 01 Zulkaedah 1435 = 27 Ogos 2014 (Rabu):
Pada pagi ini 9 orang AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi terdiri dari Penulis selaku Pengerusi, Dr. Tajul Ariffin Noordin, Tuan Haji Ghazali Abbas, Tuan Haji Mohd Nor Yassin, Tuan Haji Ghazali Hussin, Tuan Haji Abdul Rahman Daud, Tuan Haji Ahmad bin Hasbullah, Tuan Haji Suib bin Maulud dan Mohd Adham bin Anuar hadir ke rumah Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din berhampiran Darul Shifa`  jam 9.00 pagi. Temu janji dibuat sebelumnya ialah bagi taklimat dan mendapat nasihat TG selaku Penaung bagi Masjid Al-Umm.
Pengerusi dalam kata-kata aluannya mengucapkan terima kasih kepada TG kerana sudi menerima kehadiran AJK. Tujuan kehadiran ialah bagi memberi  taklimat mengenai  perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm yang kini kemajuan pembinaan sudah 14%. Rangka binaan kini sudah berdiri tiga tingkat. Dan kelmarin semin  mulai diisi ke dalam kotak  tiang tingkat tiga dan juga lantainya. Kemajuan adalah menurut jadual, bahkan lebih awal seminggu dari jadual sebenarnya.
Dalam respondnya TG menasihatkan agar AJK bukan setakat pembinaan, tetapi pengimarahan, jad i  AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dan menurut kata TG, ``Sumbangan dari orang ramai hendaklah terus diterima, kerana AJK seharusnya bukan setakat berfungsi untuk pembinaan, tetapi  juga pengimarahan.``


Kehadiran  AJK pun sebenarnya adalah bertujuan melaporkan tentang program pengimarahan.  Iaitu  untuk makluman dan taklimat mengenai Seminar dan Pengisian Pengajian di Masjid Al-Umm. Dr. Tajul Ariffin Noordin yang merupakan Pengerusi Pendidikan Masjid Al-Umm memaklumkan kepada TG bahawa,  seminar akan diadakan pada 21 September 2014 (tertakluk pada perubahan) bertempat di Puri Pujangga, UKM, mulai jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.
Antara aturcara ialah alu-aluan pembukaan yang disampaikan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin.
 Ucaputama disampaikan oleh Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung AJK.
Kertaskerja: Pengisian Keilmuan Di Masjid Al-Umm disampaikan oleh Penulis
Kertaskerja  akan diulas oleh Pengulas jemputan.
Pada sebelah petang akan diadakan sidang pleno yang ahli-ahli panel menurut Dr. Tajul adalah:
·          Pegawai dari JAIS yang menjaga bahagian masjid
·         Tuan Nazir Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi
·         Ustaz Azrizal


Menyebut tentang pentadbiran masjid TG menarik perhatian perlu berusaha mendapat pihak pentadbir di beberapa masjid di Singapura yang terkenal seperti Masjid Al-Ghufran, Masjid Jalan Sultan yang dapat dijadikan modul bagi pentadbiran Masjid Al-Umm.
Bila Dr. Tajul menyebut bahawa Penulis akan membentangkan tentang Pengisian Pengajian di Masjid Al-Umm. Penulis menjelaskan bahawa:
``Pengajian mingguan melibatkan
1)      Pengajian Al-Qur`an dan Tajwid
2)      `Aqidah
3)      Fiqh
4)      Tafsir
5)      Hadith
6)      Tasawuf
7)      Sirah
8)      Ekonomi Islam
9)      Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris serta kemahiran computer
10)   Seni Khat, tarannum, nasyid, marhaban dan lain-lain.
Setiap bidang berkenaan mempunyai kurikulum dan bahan-bahan bacaan terutama sebagai bahan rujukan guru dan mempunyai teks pilihan bagi digunakan dalam pengajaran. TG mengingatkan pengajian Al-Qur`an hendaklah melibatkan semua peringkat. Beliau menyebut berapa ramai, termasuk kalangan dewasa yang tidak betul membaca al-Fatihah dan Tahiyyat.
Penulis juga menyebutkan selain dari pengajaran bidang-bidang di atas akan diadakan pengajian hujung minggu, pengajian berpekej, disamping diadakan konvensyen, seminar, forum, bengkel dan pengajian ala pondok terutama bagi kalangan warga emas dan Pengajian untuk Wanita. Jadual waktu disusun mengikut kesesuaian masa. Setengahnya bersifat tahunan contohnya konvensyen, setengah bersifat bulanan dan sebagainya. Akhirnya Penulis menyebut dalam perancangan Masjid Al-Umm juga akan mengadakan Kelas Tahfiz dengan jumlah pelajar secara terhad. TG mencadangkan guru-guru Qur`an dipilih dari johan-johan pertandingan Qur`an. Bagi bidang-bidang keilmuan yang lain hendaklah guru yang berkelayakan dalam bidang-bidang berkenaan. Berhubung dengan Kelas Tahfiz menurut TG, kita hendaklah melahirkan para huffaz dan kita patut menghantar mereka menjadi imam di tempat-tempat lain, bukan seperti sekarang kita terpaksa membawa Imam dari Thailand, Kemboja, Bangladish dan sebagainya, khususnya pada bulan Ramadhan.


Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud menyebutkan bahawa di dalam Seminar kelak akan turut diadakan Pameran Perkembangan Pembinaan Masjid Al-Umm dan Ustaz Ahmad Hasbullah mencadangkan agar Logo bagi Masjid Al-Umm semuanya ditulis di dalam tulisan jawi. Menurut TG, ``Penulisan dalam bentuk nasakh lebih baik, kerana ianya terang dan senang dibaca.``
Pertemuan ringkas itu berakhir jam 10.00 pagi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment