August 5, 2014

Persiapan Untuk Tender Pembinaan Masjid Al-Umm

BBB, 08 Syawal 1435 = 04 Ogos 2014 (Isnin):

Sebagaimana telah diperkatakan bahawa hasrat AJK Pembinaan Masjid Al-Umm, mau membina Masjid Al-Umm selewat-lewatnya pada akhir 2013 atas perkiraan beberapa sebab. Antaranya masyarakat yang prihatin terhadap pembinaan Masjid Al-Umm terutama penderma-penderma tertanya-tanya, ``Bila lagi Masjid Al-Umm mau dibina ?``
Kata mereka lagi, ``Derma sudah dilancarkan sejak Mei 2019, tetapi tidak nampak tanda-tanda bangunan didirikan.``


Orang ramai juga memberi pendapat, ``Jangan tangguh-tangguh, mulakan pembinaan dengan jumlah kewangan yang ada !`` Tambah mereka, ``Jika bangunan sudah naik, orang lebih yakin dan keinginan menderma bertambah, kalau tidak, mereka lebih bersikap tunggu dan lihat.``.

Memang kami sebagai yang bertanggungjawab dengan pembinaan dan jamaah bagi kawasan Masjid Al-Umm berhasrat mau melihat Masjid Al-Umm siap pada bulan Mei 2015 dan dapat mula bertarawih Ramadhan 1436H. bagi kali pertama di Masjid tersebut.

Sememangnya kami sedar, kami perlu membuktikan pembangunan sedia bermula. Lantaran itu, sebelum pembangunan betul-betul berlaku, kami ambil tindakan membersih tapak sebanyak empat kali (kerana semak segera naik selepas dibersih) bagi menunjukkan kepada orang ramai projek dalam persiapan untuk membina. Pembersihan dilakukan selepas penubuhan AJK Induk pembinaan selepas 4 Februari 2010 oleh Syarikat Haji Said (sebahagian). Pembersihan dilakukan lagi (kedua) selepas penambahan AJK 2012 bagi seluruh tapak bahagian atas, pembersihan kali ketiga dengan agak meluas, sebagai persediaan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim berkunjung bagi Majlis Mesra Kenduri Kampung pada 6 Januari 2013 yang melibatkan sama pihak MPKj dan terakhir (keempat) pembersihan oleh pihak Perunding dengan membuang semua pokok dan memagarinya dengan zink sekitar Ogos 2013 sebagai persediaan menyerahkan tapak kepada kontrektor. Dengan pembersihan-pembersihan berkenaan kami dapat tunjukkan bahawa kegiatan ke arah pembinaan sedang berlaku. Derma orang ramai sebenarnya tidaklah terhenti. Cuma kami tertunggu-tunggu kelulusan pelan dan pertambahan derma kepada jumlah meyakinkan untuk memulakan pembinaan.

Dari segi peruntukan kewangan, walaupun hingga sebelum akhir 2013 jumlah yang dikumpul lebih kurang RM2.5 juta, kami percaya bila pembinaan dilakukan akan ada pertambahan derma dan dapat membiayai perkembangan pembangunan dengan derma yang disumbang masyarakat. Kami juga mengejar jumlah RM6 juta bagi membolehkan kami menuntut dana dari kerajaan negeri sebagaimana dijanjikan.

Tetapi membina sebuah masjid yang kosnya sampai RM12 juta, tidaklah sebagaimana membina sebuah rumah batu untuk kediaman biasa. Sememangnya pada awalnya Penulis sendiri berpendapat dengan adanya AJK pembinaan, ada pihak arkitek dan kontrektor  dengan pekerja-pekerja sudah cukup untuk melakukan pembinaan. Pihak AJK sebagai penguasa memantau perkembangan pembinaan dan mengeluarkan pembayaran menurut perkembangan pembinaan yang diteliti oleh arkitek agar tidak lari dari pelan arkitektur pembinaan.


Sebagaimana Teori Takmilah mementingkan keilmuan dan kepakaran (termasuk seni) ke arah kesempurnaan maksimum penghasilan, maka demikian dari segi pembinaan projek Masjid Al-Umm yang agak besar tidak cukup dengan AJK Pembinaan, Arkitek dan Kontrektor. Bagi pihak penguasa memerlukan AJK dari segi teknikal – perlu lebih dari seorang kerani (termasuk kewangan). Dari segi pembinaan pula perlu kepada selain arkitek perlu kepada perunding-perunding dari Quantity Survey, Civil and Structure Engineering dan Mechanical & Electrical Engineering di samping kerani kerja, kerani tapak dan kerani pihak kontrektor. Satu kelompok lagi ialah pekerja-pekerja binaan itu sendiri yang berpuluh orang pekerja dan makin bertambah dengan bertambahnya kerja-kerja.

Dari segi kelulusan pelan pembinaan dari pihak MPKj, bahawa pihak AJK mendapat maklumat tidak rasmi bahawa pelan sudah hampir lulus dan sambil menanti surat rasmi kami mengambil tindakan menyediakan tapak, persediaan tender pembinaan Masjid Al-Umm kepada kontrektor-kontrektor juga dilakukan. Penyediaan tender ini dilakukan oleh Perunding May Consult, diteleti oleh AJK Teknikal dan kemudian dilulus oleh pihak AJK Induk yang melibatkan sama oleh pihak Arkitek Urusbina, Quantity Survey (May Consult), Civil and Structure Engineering (Safari) dan Mechanical & Electrical Engineering (Safari).

Setelah tertangguh dari tarikh asal (awal Mac 2013), maka pada akhirnya, tender dikeluarkan dan diiklankan. Penjualan dokumen dilakukan pada 2 Oktober 2013 bersamaan 26 Zulkaedah 1434. Tempoh diberi selama dua minggu kepada pembeli-pembeli (kontrektor) dengan masa untuk ditemuduga, iaitu 19 November 2013. Dengan pengeluaran tender ini, maka masa untuk permulaan pembinaan makin mendekat.

Keterlibatan Penulis dalam pentadbiran dan pengurusan Masjid Al-Umm ini banyak mengajar Penulis dan tentu juga sahabat-sahabat dalam AJK melalui mesyuarat dan turun padang berhubung dengan selok belok perancangan pembinaan, permasalahan dan cabaran bagi mengatasinya.


Sekian.

1 comment:

  1. salam tuan, bolehkan saya mengetahui berapa jumlah pekerja yang terlibat dalam pembinaan masjid ini dan apakah jentera yang telah digunakan?

    ReplyDelete