August 3, 2014

Estetika Kerohanian - Masjid

-->
BBB, 06 Syawal 1435 = 02 Ogos 2014 (Sabtu):

Masjid menyediakan pertukaran suasana yang kontras dari suasana sekurang-kurangnya biasa, jika pun tidak dari keadaan yang bising dan herok pekok, tegang dan tertekan, masjid menyediakan ruang ketenangan. Bayangkan suasana yang lebih intim di hening pagi, ketika berjalan, muazzin mengalunkan azan dan yang datang masuk ke masjid dengan tenang dan terus mengerjakan solat sunat, dia sebenarnya sudah masuk lebih jauh ke ruang kerohanian yang menjadikan jiwanya lebih tenang. Rasa kudus dan syahdu dinikmati ketika bersolat bersama imam dari takbiratul ihram sehingga salam. Dia berwirid dan berdoa` bersama imam dengan mohonan yang terselit di dalam hatinya mohon dikabulkan. Di pagi yang dia bekerja, dia masih berkesempatan mengikuti tazkirah ringkas sebagai bekalan dan panduan hidup seharian. Ini adalah merupakan episod ringkas yang diikuti seorang makmum di dalam kehidupan hariannya yang cukup memberi kesan kepada peribadi diri, kehidupan kekeluargaan dan mu`amalah serta mu`asyarahnya dengan masyarakat keliling dan seharian. Masjid bila-bila masa terbuka untuk sesiapa yang datang untuk beriktikaf, membaca Al-Qur`an dan melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain dalam suasana penuh ketenangan.


Sebuah masjid, khususnya Masjid Al-Umm  sebagaimana telah dibincangkan bukan setakat mengendali dan menunaikan solat subuh dan solat-solat waktu secara berjamaah sahaja, tetapi menyediakan pengajian-pengajian yang  sebagaimana telah disebutkan. Pada dasarnya semua keilmuan keislaman disediakan, baik ilmu fiqh yang berhubung dengan ibadat, muamalah, munakahat, jinayah dan jihad atau yang berhubung dengan akidah yang membicarakan tentang rukun iman tentang ketuhanan, kerasulan, malaikat, kiamat dan qada` dan kadar yang tidak lain dari menyentuh kebersihan diri dan rohani. Fiqh mengenai ibadat dan amalan yang bersifat pembersihan lahiri, manakala aqidah pembersihan, pembetulan, pengenalan, pegangan dan keyakinan akli, manakala di sana satu lagi bidang yang lebih dan langsung mengenai rohani yang lebih ditujukan kepada pembersihan hati dari sifat-sifat keji dan menghiaskan diri dengan gemerlap sifat-sifat terpuji (tasawuf-akhlak). Pengajian-pengajian begini menggunakan kitab-kitab panduan dan rujukan, di waktu-waktu, khususnya antara solat maghrib dengan Isyak dan lebih panjang pada hari Sabtu dan Ahad sebagai hari minggu. Semua ini secara langsung atau tidak langsung melibatkan pembaikan diri yang juga menyentuh kerohanian

Pengajian disedia bukan setakat ilmu tiga serangkai di atas, tetapi keilmuan-keilmuan sumber bagi Islam seperti Qur`an, Hadith, Tafsir, sirah, bahasa Arab ditambah dengan dakwah. Ini adalah keilmuan-keilmuan yang dipelajari di masjid, surau, jika tidak semua, adalah sebahagian daripadanya, bahkan dipelajari hingga kepada peringkat universiti yang dikenali sebagai pengajian Islam atau Akademi Islam yang di dalamnya terdapat fakulti-fakulti seperti akidah, syariat, Qur`an dan Sunnah, Dakwah dan Kepimpinan dan Bahasa Arab. Juga semuanya melibatkan pembinaan yang komponannya juga adalah kerohanian.

Yang kita mahu tawarkan melalui pengajian di Masjid Al-Umm Wadi Bangi Bandar Ilmu (Wadi Ilmu), pada tahap awal, yang boleh disifatkan sebagai pendekatan mikro meskipun tidak setinggi di universiti, tetapi sebenarnya lebih banyak dan luas daripada itu. Fokus `Pengajian` kita adalah semua lapisan masyarakat di Wadi Ilmu atau lebih luas daripada itu. Kita berusaha menampung mana yang kurang dan menyediakan bimbingan bagi yang langsung ketiadaan. Biar semua disirami rahmat keilmuan Islam. Kita mau membentuk dan memurni minda, hati nurani dan keperibadian mereka sebagai warga masyarakat yang terdidik dengan nilai-nilai Islam, mampu mendepani kehidupan moden, kreatif dan berinovasi dalam kehidupan. Mereka sebagai pewaris yang terus mendukung legasi dan identiti Bangi Bandar Ilmu.

Lantaran itu pendidikan melibatkan semua generasi. Kita berusaha merapatkan generasi muda dari peringkat pra dan Sekolah dengan kegiatan keilmuan dan ko-kurikulum termasuk sukan bagi merapatkan diri mereka dengan masjid. Kita berusaha mengadakan kelas tahfiz kepada mereka yang layak dalam jumlah terhad. Kita berusaha mengadakan `Pengajian Ala Pondok` bagi kalangan pesara dengan pengajian-pengajian yang releven dan tidak menghalang mereka yang lain baik dari penduduk tempatan atau luar sama mengikuti pengajian seperti ini. Pengajian khusus bagi kalangan muslimat juga turut diadakan.

Kita juga bersedia menyediakan pengajian pada level yang lebih tinggi dalam bidang-bidang keislaman dan professional atau spara-professional (contoh ekonomi Islam, perubatan + perubatan Islam, perniagaan dan perusahaan) secara berpakej pada hujung-hujung minggu atau tempoh-tempoh tertentu dengan kerjasama institusi-institusi setempat dan universiti-universiti yang ada di sekeliling Bangi.

Apa yang dibayangkan di atas, adalah bersifat mikro yang berpusat di Masjid Al-Umm dan institusi-institusi sekitar yang berada di Wadi Ilmu. Perluasan dapat dilakukan secara Makro sebagai tahap lanjutan yang mencakupi seluruh Bangi sebagai kampus terbuka. Dalam rangka pelan perluasan sebagaimana telah dibayangkan kita berhasrat memajukan kawasan Medan Usahawan berdekatan dengan Masjid Al-Umm sebagai Kompleks Ilmu Masjid Al-Umm (KIMU) dengan kerjasama universiti-universiti, masjid-masjid dan surau-surau dan institusi pendidikan berkaitan. Di sini disediakan berbagai bidang keilmuan yang releven. Pentadbiran KIMU dilakukan oleh kalangan professional yang berkelayakan dan kursus pengajian dirangka secara bermutu dan menarik pelajar-pelajar setempat dan luar. KIMU sewajarnya berdikari dan mempunyai harta wakafnya sendiri.

Pada puncaknya adalah dilihat bahawa pembinaan insan adalah bersifat integrated. Estetika lahiri, akli dan rohani yang melengkapi dan menyempurnakan pembinaan insan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment